Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Puasa Enam Disatukan Dengan Puasa Qadha

الجواب

Matlamat puasa jika dikerjakan dengan penuh penghayatan akan dapat membentuk manusia menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana perkara ini dijelaskan oleh Al-Qur’an

Di samping itu puasa juga merupakan ibadat yang istimewa disisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sendiri sebagaimana yang disebut oleh Nabi sallallalahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untukKu (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.” (Hadis riwayat Bukhari)

Puasa Ramadhan adalah diwajibkan kepada umat Islam pada setiap tahun berdasarkan ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Begitu juga disunatkan ke atas orang Islam berpuasa sunat atau tathawwu‘ di hari atau bulan yang lain seperti melakukan puasa ‘ Âsyûrâ, hari ‘Arafah, puasa di bulan Sya‘ban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis dan puasa selama enam hari pada bulan Syawal yang biasanya disebut sebagai puasa enam dan lain-lain.

Puasa enam ialah puasa yang dikerjakan dengan berturut-turut atau berselang-selang sebanyak enam hari pada bulan Syawal selepas Hari Raya Fithrah.

Puasa enam itu sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti haidh dan nifas, musafir atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah haram melakukan puasa enam kecuali setelah selesai mengqadha puasanya. Namun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadhan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakannya selepas mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh.

Hukum sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda:

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Hadis riwayat Muslim)

Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa enam ini. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan dengan berturut-turut selepas Hari Raya mulai Hari Raya kedua dan seterusnya. Manakala ulama muta’akhirîn pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya selama dalam bulan Syawal. Walau bagaimanapun mengerjakannya dengan berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdhal.

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadhan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadhan itu menyamai puasa sepuluh bulan, dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda:

Maksudnya: Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun. (Hadis riwayat Al-Darimi)

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadhan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan: “Membaca surah Al-Ikhlâsh itu sama dengan membaca sepertiga Al-Qur’an”.

Kewajipan Mengqadha Puasa

Puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib diqadha sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Surah Al-Baqarah: 184)

Kewajipan mengqadha puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran kecuali orang-orang yang benar-benar tidak terdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka tidak diwajibkan mengqadha puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Surah Al-Baqarah: 184)

Dalam mengerjakan qadha puasa ini, para ulama berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur adalah wajib menyegerakan qadha puasa tersebut. Dan mereka tidak diharuskan bahkan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam hari di bulan Syawal.

Puasa qadha boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti Hari Raya Fithrah, Hari Raya Haji atau pada hari-hari Tasyrîq dan sebagainya dan ia wajib disegerakan sebelum masuk Ramadhan yang baru.

Jika qadha puasa hendak dikerjakan pada bulan Syawal ia boleh dilakukan bermula pada Hari Raya kedua (2hb. Syawal). Bagi mereka yang diharuskan meninggalkan puasa kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘ seperti orang perempuan yang haidh atau nifas, orang sakit atau orang musafir (dalam perjalanan) dan lain-lain, sunat bagi mereka mengerjakan puasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qadha. Walau bagaimanapun menurut para ulama, ganjaran yang bakal diterimanya tidaklah sama dengan ganjaran pahala yang diterima oleh mereka yang berpuasa enam setelah berpuasa penuh satu bulan Ramadhan.

Berbanding dengan orang-orang yang meninggalkan puasa Ramadhan tanpa keuzuran atau dengan sengaja, diharamkan ke atas mereka mengerjakan puasa enam pada bulan Syawal itu kerana mereka diwajibkan menyegerakan qadha tersebut.

Manakala bagi orang yang luput keseluruhan puasa Ramadhan (selama satu bulan) kerana keuzuran yang diharuskan oleh syara‘, jika dia mengerjakan puasa qadhanya pada bulan Syawal, disunatkan (mustahabb) ke atasnya mengqadha puasa enam itu dalam bulan Zulkaedah. Walau bagaimanapun, menurut ulama, dia hanya mendapat ganjaran kerana melakukan ibadat sunat tersebut dan tidak mendapat ganjaran sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu orang yang berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal diibaratkan berpuasa selama satu tahun.

Menyatukan Puasa Qadha Dengan Puasa Enam

Bagi orang yang hendak melakukan qadha puasa Ramadhan (meninggalkannya kerana keuzuran yang dibolehkan oleh syara‘), ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam dalam bulan Syawal. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qadha dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha dan ganjaran puasa sunat).

Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qadha atau puasa nazar atau puasa kaffârah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari ‘Arafah atau pada hari Isnin dan khamis atau pada hari ‘Âsyûrâ’ dan puasa-puasa sunat yang lain seumpamanya.

Dalam menunaikan puasa tersebut, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qadha dan puasa sunat seperti puasa hari ‘Arafah atau puasa-puasa sunat yang lain, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.

Ibn Hajar Al-Haitami dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib seperti di atas dengan katanya:

Maksudnya: Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya. (Al-Fatâwâ Al-Kubrâ: 2/75)

Walaupun menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya, namun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seperti yang disebut dalam hadis di atas. Walau bagaimanapun sikap menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syara‘ kerana ganjaran dan pahala ibadat puasa itu hanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja yang menilai dan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10505

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص