Isu-Isu Daging Korban
الجواب
Suasana ‘Idul Adhha atau dikenal juga sebagai Hari Raya Korban tidaklah sehebat ‘Idul Fithri. ‘Idul Fithri disambut dengan ‘bermati-matian’ di mana persediaan menyambut kedatangannya dibuat lebih awal dan ada orang sanggup ‘berbelanja besar’ kerananya. Inilah suatu hakikat yang tidak selaras dengan agama.
‘Idul Adhha mengingatkan kita kepada peristiwa penyembelihan Nabi Ismail. Sejak dari saat itulah penyembelihan binatang korban menjadi salah satu syi‘âr dalam Islam.
Kalau ada orang sanggup ‘berbelanja besar’ kerana Hari Raya Fithri, maka inilah saatnya kita ‘berbelanja besar’ untuk menyertai amalan berkorban binatang, kerana ia menjanjikan pahala yang besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang antaranya:
i. Orang yang berkorban itu akan dikurniakan kebajikan (hasanah) sebanyak bulu binatang yang dikorban.
ii. Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu.
iii. Darah korban itu jika tumpah ke bumi, maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Tidak syak lagi menyembelih binatang korban itu adalah salah satu tanda bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta sebanyak nilai harga binatang korban, selepas ditolak keperluannya dan keperluan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari Tasyrik, maka dia dianggap telah memenuhi syarat-syarat boleh berkorban.
Meninggalkan ibadah korban walaupun tidak berdosa, namun seseorang itu bukan hanya kehilangan pahala-pahala besar yang dijanjikan dan tidak mendapat pahala sunnah, bahkan dihukum pula sebagai makruh.
Yang demikian itu, rebutlah peluang berkorban ini yang datangnya hanya setahun sekali, itupun jika ada umur yang panjang. Di samping itu sama-samalah kita memerhatikan hukum-hakam mengenainya supaya bertambah sempurna amalan korban itu dan dalam waktu yang sama terhindar daripada segala yang boleh mencacatkannya.
Isu-Isu Daging Korban Wajib
Udhhiyyah atau korban itu terbahagi kepada dua iaitu udhhiyyah wâjibah (korban wajib) dan udhhiyyah mandûbah (korban sunat).
Binatang sembelihan bagi ibadat korban itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan, sama ada nazar itu nazar yang sebenar (nazar hakikat) ataupun nazar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apa yang dimaksudkan dengan nazar yang sebenar itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nazar’. Sebagai contoh orang yang berkorban itu berkata: “Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”, ataupun dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti”.
Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban”, ataupun dia berkata: “Ini adalah korban”, maka dianggap sama seperti bernazar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta‘yîn) binatang tersebut.
Maka yang demikian itu wajib disedekahkan semua daging sembelihan itu termasuk kulit dan tanduknya. Untuk lebih jelasnya lagi disebutkan beberapa isu berhubung dengan korban wajib yang perlu diambil perhatian seperti berikut:
1. Hukum Memakan Daging Korban Wajib
Haram atas orang yang berkorban wajib itu memakan daging tersebut walaupun sedikit. Jika dimakannya daging tersebut, wajib diganti kadar yang dimakannya itu, tetapi tidak wajib dia menyembelih binatang lain sebagai ganti.
2. Makan Daging Korban Yang Diwasiatkan
Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat daripada seseorang yang telah meninggal dunia, maka dagingnya tidak boleh dimakan oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.
3. Menukar Binatang Korban Wajib Dengan Yang Lebih Baik
Binatang korban wajib itu tidak boleh ditukar dengan yang lain walaupun dengan yang lebih baik. Apatah lagi dijual, disewakan atau dihibahkan (diberikan).
4. Melambat-lambatkan Pembahagian Daging Korban
Jika orang yang berkorban itu melambat-lambatkan pembahagian daging korban wajib tersebut sehingga rosak, maka wajib ke atas orang yang berkorban itu bersedekah dengan harga daging itu dan tidaklah wajib dia membeli yang baharu sebagai gantinya kerana telah dikira memadai dengan sembelihan tersebut.
5. Menjual Binatang Korban Wajib
Sekiranya binatang korban wajib itu dijual oleh orang yang berkoban, maka hendaklah dia mendapatkannya semula daripada orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli dan dia hendaklah memulangkan harga belian yang diterimanya. Jika tiada lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya, maka wajib baginya mengadakan nilaian harga yang lebih mahal daripada harga waktu dia memiliki yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun itu juga. Jika luput masa untuk dia menyembelihnya, maka wajib ke atasnya menyembelih binatang korban wajib itu pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu. Jika harga binatang korban itu (yang sama jenis dan umur dengan yang dahulu) lebih mahal kerana naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang yang sama dengan yang dahulu itu, hendaklah ditambahnya dengan hartanya yang lain. Begitulah juga hukumnya jika binatang itu tidak disembelih setelah masuk Hari Raya Adhha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut.
6. Binatang Korban Mati, Cedera Atau Dicuri
Jika binatang korban wajib itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban dan bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.
Manakala jika ia dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu mengganti harga binatang korban wajib itu kepada orang yang punya korban dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu. Jika tidak diperolehi binatang yang sama, hendaklah dibelinya yang lain sahaja sebagai ganti.
7. Disembelih Sebelum Masuk Waktu
Jika binatang korban wajib itu disembelih sebelum masuk waktu korban, wajib disedekahkan kesemua dagingnya dan tidak boleh orang yang berkorban wajib itu memakan dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih yang sama dengannya pada hari korban itu sebagai ganti.
8. Kecacatan Binatang Korban Wajib
Jika binatang korban yang telah ditentukan dalam korban wajib itu menjadi cacat (‘aib) setelah dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya dengan kecacatan tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya Adhha adalah memadai (boleh dibuat) sebagai korban.
9. Binatang Cacat Disembelih Sebelum Masuk Waktunya
Sekiranya binatang yang dalam keadaan cacat itu disembelih sebelum Hari Raya Adhha hendaklah disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada Hari Raya Adhha itu. Tetapi wajib bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.
10. Cacat Setelah Masuk Waktu Menyembelih
Jika kecacatan itu berlaku setelah Hari Raya Adhha dan disembelih dalam keadaan yang demikian, maka tidaklah ia memadai (tidak memenuhi syarat) sebagai korban, kerana ia telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, dan wajib diganti dengan yang baru.
Isu-Isu Daging Korban Sunat
Berkorban itu hukumnya sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Jumhûr ulama juga mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun, jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak wajib dia mengqadhanya.
Terdapat beberapa isu yang perlu diambil perhatian berhubung dengan korban sunat seperti berikut:
1. Memakan Daging Korban Sunat
Sunat bagi orang yang empunya korban itu memakan sebahagian daripadanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir”. (Surah al-Hajj: 28)
Yang afdhal dimakan itu ialah hatinya, kerana telah diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah makan sebahagian daripada hati binatang korbannya, tetapi makan di sini bukanlah bererti dia wajib memakannya.
2. Menyedekahkan Daging Korban Sunat
Berdasarkan kepada ayat al-Qur’an yang telah disebutkan tadi, para ulama berpendapat bahawa selain daripada sunat dimakan, wajib pula disedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat itu dalam keadaan mentah lagi basah kepada orang-orang fakir atau miskin yang Islam.
Ini bererti setiap orang yang berkorban sunat itu wajib menyediakan sebahagian daripada daging korbannya itu untuk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin. Tidak memadai jika daging-daging korban itu dihadiahkan keseluruhannya kepada orang-orang kaya. Hal inilah yang wajib diketahui oleh setiap orang yang berkorban.
3. Cara Pembahagian (Menyedekahkan)
Harus bagi orang yang berkorban itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian; satu pertiga untuk dimakan, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan satu pertiga lagi untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
4. Afdhal Disedekahkan Kesemuanya
Yang afdhalnya adalah disedekahkan semuanya, melainkan dimakannya sedikit sahaja iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada sifat mementingkan diri sendiri.
5. Jika Dimakan Kesemuanya
Sekalipun sah korban sunat seseorang itu jika dimakan kesemua daging korbannya dan tidak sedikitpun disedekahkan kepada orang fakir atau miskin, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging-daging yang lain kadar yang wajib disedekahkan sebagai ganti.
6. Daging Korban Untuk Hadiah
Memberikan daging korban sunat sebagai hadiah kepada orang kaya Islam adalah harus. Walau bagaimanapun hadiah itu setakat untuk dimakan sahaja, bukan untuk tujuan memilikinya. Ini bererti dia tidak boleh menjualnya, menghibahkannya atau sebagainya kecuali menyedekahkannya kepada fakir atau miskin. Berlainan halnya dengan orang fakir dan miskin, di mana daging yang disedekahkan kepadanya itu adalah menjadi milik mereka. Mereka diharuskan menjual daging tersebut atau menghibahkan (memberikan) kepada orang lain.
7. Menghadiahkan Daging Korban Kepada Orang Kafir
Satu perkara lagi yang wajib kita ketahui ialah hukum haram menyedekah atau menghadiahkan daging korban kepada orang kafir sekalipun dia kaum kerabat, sama ada ia korban wajib atau sunat sekalipun sedikit kerana ia adalah perkara yang berhubung dengan ibadat.
8. Daging Korban Dijadikan Upah
Kulit atau daging binatang korban itu haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah jika penyembelih itu orang miskin atau hadiah jika dia bukan orang miskin.
9. Daging Korban Dijadikan Jamuan Bagi Fakir Dan Miskin
Sepertimana yang telah dijelaskan, bahagian yang wajib disedekahkan itu hendaklah ia daging yang masih basah dan mentah. Ini bererti tidak memadai jika bahagian yang disedekahkan itu bukan daging seperti kulit, hati, tanduk dan sebagainya. Begitu juga tidak memadai jika daging tersebut dimasak kemudian dipanggil orang-orang fakir dan miskin untuk memakannya kerana hak fakir dan miskin itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi adalah memiliki daging berkenaan dan bukan memilikinya dalam keadaan yang telah dimasak.
10. Berkorban Bagi Pihak Orang
Tidak sah dibuat korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya, dan tidak sah juga dibuat korban bagi orang yang telah mati jika si mati tidak berwasiat untuk berbuat demikian.
Hukum Berwakil Membeli Dan Menyembelih Korban
Sepertimana kebiasaan di negara kita ibadat korban itu dilaksanakan dengan berkumpulan sama ada atas nama kementerian, jabatan, persatuan, kampung dan sebagainya. Kadang-kadang ibadat korban itu sudah menjadi projek tahunan bagi pihak-pihak yang berkenaan itu.
Jika dilihat daripada amalan kebiasaan bagi perlaksanaan ibadah korban itu, kumpulan tersebut akan menentukan wakil mereka untuk mengurus pembelian, penyembelihan binatang korban dan pengagihan dagingnya di pusat-pusat penyembelihan. Jika ditinjau dari segi hukum, perlaksanaan yang sedemikian itu melibatkan hukum wakâlah iaitu berwakil.
Huraian Umum Mengenai Wakâlah
Wakâlah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh diwakilkan.
Hukum wakâlah adalah harus berdasarkan al-Qur’an, sunnah dan ijmâ‘ ulama. Wakâlah mempunyai empat rukun iaitu:
i. Muwakkil (orang yang berwakil) ii. Muwakkal (orang yang dijadikan wakil) iii. Muwakkal fîhi (sesuatu yang diwakilkan) iv. Shîghah (îjâb dan qabûl). (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/100-101)
Shîghah Dalam Wakâlah
Apa yang ingin dihuraikan di sini ialah rukun yang keempat iaitu shîghah di mana perkara ini sangat penting diketahui demi menjaga keshahîihan ibadat korban berkenaan.
Disyaratkan îjâb ke atas orang yang berwakil itu dengan melafazkan sesuatu perkataan sama ada secara sharîh (jelas atau terang) ataupun kinâyah (yang tidak terang atau tidak jelas) seperti dalam kitâbah (penulisan), persuratan atau dengan isyarat jika yang berwakil itu orang bisu yang boleh difahami, yang menyatakan bahawa orang yang berwakil itu adalah dengan keredhaan hatinya. (Majmû‘: 14/197)
Ini bererti ada interaksi antara orang yang berwakil dengan orang yang diwakilkan yang dinamakan akad. Namun orang yang dijadikan wakil itu tidak disyaratkan baginya qabûl (ucap terima), kecuali di dalam keadaan tertentu seperti jika dalam perwakilan itu dengan upah. Contohnya orang yang berwakil itu mewakilkan seseorang untuk menjualkan sebidang tanahnya dengan harga sekian dan memberi upah kepada wakilnya itu. Maka dalam keadaan ini, wakil itu hendaklah melafazkan qabûlnya sama ada dia menerimanya ataupun tidak. Adapun yang disyaratkan bagi orang yang dijadikan wakil itu ialah dia tidak menolak ucapan atau lafaz orang yang berwakil itu. Jika orang yang dijadikan wakil itu menolak ucapan tersebut, seperti dia berkata: “aku tidak terima” atau seumpamanya, maka batal dan tidak sah akad perwakilan itu.
Jika dilihat ketentuan hukum dalam bab wakâlah dan dipraktikkan dengan cara kebiasaan yang tersebut di atas oleh sebahagian kumpulan yang berkorban itu ditakuti tidak menepati kehendak sebenar hukum wakâlah. Pada kebiasaannya, orang-orang yang hendak menyertai ibadat korban akan mendaftarkan namanya dan membayar kadar tertentu bagi tujuan tersebut tanpa disertai dengan lafaz tawkîl kepada wakil yang dilantik.
Amalan tersebut tidak memenuhi kehendak hukum berwakil kerana jika dilihat kepada tuntutan bab wakâlah orang yang berwakil itu wajib melafazkan tawkîlnya (akad) sama ada dengan lafaz yang sharîh atau kinâyah kepada wakil yang ditentukan bagi tujuan seperti membeli dan menyembelih binatang korban serta mengagihkan daging korban tersebut.
Melantik Wakil Kedua
Dalam bab wakil ini, para ulama fiqh juga berpendapat bahawa orang yang dijadikan wakil itu harus mewakilkan lagi kepada orang lain untuk menjadi wakil yang kedua tanpa perlu mendapat izin daripada orang yang berwakil. Itupun jika perkara yang diwakilkan itu tidak dapat dikerjakan oleh wakil itu sendiri, disebabkan dia tidak layak melakukannya atau tidak berkemampuan mengerjakannya. Akan tetapi jika sebaliknya, iaitu dia mampu untuk melaksanakan perkara yang diwakilkan ke atasnya itu, maka tidak harus baginya melantik orang lain menjadi wakil yang kedua melainkan dengan izin orang yang berwakil. (Majmû‘: 14/218)
Mewakilkan Sembelihan Binatang Korban
Menurut hukum asal berkorban itu bahawa sunat binatang yang hendak dijadikan korban itu disembelih oleh orang yang berkorban itu sendiri, kiranya dia pandai menyembelih. Walaupun begitu boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih korban itu dan hadir ketika penyembelihannya. Afdhalnya wakil itu ialah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.
Keharusan berwakil dalam ibadah korban itu diambil daripada perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah berkorban dengan seratus ekor unta, di mana Baginda sendiri menyembelih - dengan tangan Baginda yang mulia - enam puluh tiga ekor, kemudian Baginda menyerahkan pisau penyembelih itu kepada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah untuk menyembelih bakinya.
Persoalan Niat
Disyaratkan orang yang berkorban itu berniat kerana korban ketika menyembelih, kerana ia adalah ibadat dan harus juga mendahulukan niat itu sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah.
Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korbannya dengan hadir orang yang berwakil ketika itu. Dalam hal ini, niat orang yang berwakil itu adalah memadai dan wakil tidak perlu lagi berniat. Walau bagaimanapun adalah lebih baik orang yang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.
Apa yang mesti diambil perhatian dalam hal berniat korban ini, ada baiknya ditentukan niat itu umpamanya sebagai korban sunat bagi mengelakkan niat itu menjadi korban wajib, kerana haram bagi yang berkorban itu makan daripada daging korban wajib, bahkan wajib disedekahkan semua daging tersebut kepada fakir miskin.
Lafaz Niat Dan Tawkîl Dalam Korban
Niat itu tempatnya di hati dan sunat melafazkannya dengan lidah. Niat bagi korban sunat itu ialah seperti berikut:
Ertinya: “Sahaja aku melakukan korbanِ yang sunat”
Contoh lafaz berwakil:
“Buatkan korban/udhhiyyah sunat untuk saya”, atau “Belikan korban sunat untuk saya”, yang bermakna: “Sembelihkan untuk saya, niatkan untuk saya.”
Contoh terima wakâlah:
“Aku terima.”
Menyembelih Binatang Korban Di Luar Negeri Dan Dagingnya Diagihkan Ke Negeri Yang Lain
Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan itu.
Adakah harus bagi orang-orang tempatan berwakil untuk berkorban di luar negeri dan daging korban itu dipindahkan daripada tempat korban ke negeri atau daerah lain?
As-Sayyid al-Bakri ad-Dumyathi, Pengarang Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn menjelaskan bahawa telah dijazamkan dalam an-Nihâyah bahawa haram memindahkan daging korban daripada tempat berkorban itu seperti mana juga zakat, sama ada korban sunat atau wajib. Adapun yang dimaksudkan daripada korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin.
Manakala memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban adalah diharuskan seperti mana katanya:
Ertinya: “Adapun memindahkan wang dirham daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban di negeri tersebut, adalah harus.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/380)
As-Syeikh Mohammad bin Sulaiman al-Kurdi pernah ditanya:
Ertinya: “Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Makkah untuk dijadikan aqiqah dan korban sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak? Mohon fatwakan kepada kami.
Jawapan: “Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.”ِ (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/381)
Dalam perkara ini pengarang kitab Sabîl al-Muhtadîn pula menyebutkan:
“Kata Syeikhi Muhammad bin Sulaiman: “Harus berwakil pada membeli na‘am untuk korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu, tamat. Maka iaitu zahir sama ada negeri Makkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya daripada negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram lagi akan datang kenyataannya dan sayuginya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu ‘alam. (Sabîl al-Muhtadîn: 214)
Katanya lagi jikalau berwakil seorang akan seorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya, hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir miskin negeri itu dan janganlah dipindahkan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu kepada negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika korban itu sunat (adapun) jika korban itu wajib maka wajiblah atas wakil menyedekahkan sekaliannya kepada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain. (Sabîl al-Muhtadîn: 216)
Berdasarkan perkataan para ulama seperti yang dinukilkan itu, adalah jelas bahawa hukumnya harus berwakil untuk membeli binatang korban di negeri lain dan menyembelihnya serta membahagikan daging tersebut kepada fakir miskin di negeri berkenaan.
Adapun memindahkan daging korban daripada tempat sembelihan ke negeri yang lain itu adalah berhubungkait dengan hukum menyedekahkan daging korban itu:
i. Jika korban itu adalah korban wajib yang mana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhûr ulama Syafi‘iyyah.
ii. Jika korban itu korban sunat di mana sebahagian daripada daging korban itu harus dihadiahkan atau dimakan oleh orang yang berkorban, maka bahagiannya (hak orang yang berkorban) itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin itu wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/380)
Kesimpulan
Mengingatkan hukum berkorban itu sunat mu’akkadah dan mempunyai kelebihan-kelebihannya yang banyak, sayugia jangan dilepaskan peluang untuk membuat amalan korban ini.
Supaya korban itu sempurna, fahamilah hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah korban itu. Begitu juga mengambil perhatian dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil membeli dan menyembelih sebagaimana yang dijelaskan di atas supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10662
دليل الألوان
