Berbekam
الجواب
Bekam atau bahasa Arabnya disebut hijâmah bererti mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah sedikit pada bahagian kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor dengan tanduk atau cawan panas yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah itu. (Kamus Dewan: 124)
Pendapat sebahagian fuqahâ’, perkataan hijâmah bererti mengeluarkan darah daripada tengkuk dengan cara menghisapnya dengan alat-alat hajam (bekam) selepas dibedah. Al-Khaththabi menyebutkan bahawa hijâmah atau berbekam itu tidak dikhususkan tempatnya di tengkuk sahaja bahkan ia juga boleh dilakukan di mana-mana bahagian badan. (Mausû‘ah fiqhiyyah: 17/14)
Hukum Berbekam
Sepertimana yang kita ketahui, bahawa berbekam itu merupakan satu perubatan tradisional yang sudah lama diamalkan oleh sebahagian orang. Sehingga ada yang menjadikannya sebagai mata pencarian dalam menyara hidup seharian.
Persoalan yang timbul, adakah perubatan melalui cara berbekam itu disyariatkan, bolehkah ia dijadikan sebagai pekerjaan dan apakah kesannya terhadap keshahîhan sesuatu ibadat?
Perubatan dengan menggunakan kaedah bekam adalah disunatkan dalam Islam malahan ia merupakan di antara sebaik-baik cara perubatan, sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa buah hadis. Di antara hadis itu, sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sebaik-baik perubatan bagi kamu ialah berbekam.” (Hadis riwayat Ahmad)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Kiranya ada suatu perubatan yang lebih baik bagi kamu, maka iaitulah dengan menggunakan pisau pembekam atau minuman daripada madu atau catukan (pagutan) dengan api dan aku sendiri tidak suka membakar dengan besi panas.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Kesembuhan itu terdapat pada tiga cara: minum madu, pisau pembekam dan alat pengangus, dan aku melarang umatku membakar dengan besi panas.”
Daripada hadis di atas jelas menyebutkan bahawa berbekam itu salah satu jenis perubatan yang diharuskan dalam Islam. Namun apa yang ingin disentuh di sini ialah hubungan dan kesannya terhadap hukum thahârah, puasa dan berihram, dan hukumnya jika dijadikan ia sebagai satu mata pencarian.
Kesan Berbekam Dalam Thahârah
Mengikut mazhab asy-Syafi‘e, berbekam itu tidak membatalkan wudhu, sebagaimana dalam kitabnya al-Umm yang menyatakan:
Ertinya: “Tidak perlu berwudhu (tidak batal wudhu) kerana muntah, darah yang keluar dari hidung, berbekam, sesuatu yang keluar daripada badan dan sesuatu yang dikeluarkan daripada jasad selain daripada tiga lubang iaitu qubul, dubur dan zakar.” (Al-Umm: 1/14)
Oleh itu, sesiapa yang berubat dengan menggunakan bekam dalam keadaannya berwudhu, maka tidaklah batal wudhunya atau berbekam itu tidak membatalkan wudhu.
Kesan Berbekam Dalam Puasa
Apabila seseorang itu berbekam di siang Ramadhan ataupun puasa sunat adalah dibolehkan dan tidak membatalkan puasa tersebut kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berbekam ketika Baginda sedang berpuasa. Ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berbekam padahal Baginda sedang berpuasa.”
Kesan Berbekam Dalam Ihram
Mengikut pendapat Imam asy-Syafi‘e, ashhâb dan jumhûr ulama, adalah harus bagi seseorang yang sedang berihram itu berbekam dan tidak dikenakan ke atasnya fidyah, selagi dia tidak memotong rambutnya. (Majmû‘: 7/377)
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Buhainah Radiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berbekam di tengah-tengah kepala Baginda di Lahyu Jamal (tempat antara Makkah dan Madinah) padahal Baginda sedang berihram.”
Jika sekiranya seseorang yang sedang berihram itu hendak berbekam dan terpaksa memotong rambutnya, maka hendaklah dia membayar fidyah disebabkan memotong rambutnya itu.
Menurut Imam an-Nawawi dalam hal ini, jika seseorang yang sedang berihram itu berbekam tanpa tujuan atau hajat lalu terpotong rambutnya maka haram hukumnya. Akan tetapi jika tidak terpotong rambut maka itu diharuskan. (Mausû‘ah Fiqhiyyah: 17/17)
Berbekam Sebagai Pekerjaan
Pendapat jumhûr fuqahâ’ termasuk mazhab Syafi‘e, adalah diharuskan bagi seseorang itu menjadikan hijâmah (bekam) sebagai satu pekerjaan dan mengambil hasil daripadanya, kerana berbekam itu perbuatan yang bermanfaat, mubâh (harus) dan orang ramai memerlukannya. Oleh itu diharuskan dia mengambil upah seperti pekerjaan menjahit dan sebagainya. (Mausû‘ah fiqhiyyah: 17/18)
Mereka berdalilkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam pernah berbekam dan Baginda memberi (upah) kepada orang yang membekamnya itu, seandainya hal itu haram, nescaya Baginda tidak memberinya.”
Daripada penjelasan yang diberikan dapat kita simpulkan bahawa berbekam itu merupakan cara perubatan yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Yang demikian itu sudah tentu ia mempunyai banyak kelebihan dari segi kesembuhan suatu penyakit, sebagaimana yang diamalkan oleh Baginda sendiri. Oleh kerana itu membekam adalah suatu bidang pekerjaan yang patut diterokai.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10666
دليل الألوان
