Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Rahsia Sembahyang: Pandangan Mengenainya Secara Umum

الجواب

Sembahyang fardhu lima waktu diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang mukallaf. Ia mula disyariatkan ketika Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam diangkat ke langit dalam peristiwa Isrâ’ dan Mi‘râj.

Sembahyang fardhu lima waktu itu haram ditinggalkan walaupun hanya satu waktu, tidak kira dia seorang yang sakit, musafir, apatah lagi bagi orang yang sihat, melainkan orang-orang yang dikecualikan oleh syara‘ seperti perempuan yang haidh, nifas, orang gila dan kanak-kanak yang belum bâligh. Sementara orang yang mengingkari akan kewajipan sembahyang fardhu lima waktu itu adalah dihukumkan kafir.

Maka Irsyad Hukum kali ini akan menjelaskan beberapa analisis mengenai rahsia di dalam sembahyang iaitu:

1. Sembayang bukan sahaja penghubung di antara manusia dengan Allah bahkan juga menanamkan keimanan yang sebenar lagi sempurna di hati manusia, kerana sembahyang dapat mengingatkan manusia kepada beberapa perkara:

i. Perkara yang utama ialah mengingatkan manusia kepada Tuhannya iaitu Allah Ta‘ala.

ii. Mengingatkan manusia kepada Hari Akhirat sebagaimana ayat yang sering dibacakan di dalam sembahyang iaitu:

Tafsirnya: “Yang menguasai pemerintahan Hari Pembalasan (Hari Akhirat).” (Surah al-Fâtihah: 4)

iii. Mengingatkan manusia untuk beriman dan mencintai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana yang disebutkan di dalam bacaan dan doa tasyahhud awal dan akhir iaitu:

iv. Mengingatkan manusia kepada al-Qur’an yang membawa kepada petunjuk dan jalan yang sebenar kepada manusia. Ini jelas di dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Tunjukilah kami jalan yang lurus.” (Surah al-Fâtihah: 6)

Oleh yang demikian, sembahyang merupakan satu manifestasi keimanan seseorang hamba kepada Allah dalam bentuk amali. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu.” (Surah al-Baqarah: 143)

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zuhair daripada al-Bara’ bin ‘Azib ada menyebutkan mengenai sebab turunnya ayat di atas:

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mula-mula sampai ke Madinah, Baginda singgah di tempat nenek-nenek Baginda ataupun nenek sebelah ibu Baginda daripada kalangan Anshar (sebagaimana yang disangkakan oleh Abu Ishak periwayat hadis). Sesungguhnya Baginda sembahyang menghadap Baitul Maqdis selama enam belas bulan atau tujuh belas bulan. Baginda telah diperkenankan menghadap qiblatnya ke Baitullah (Ka‘bah). Sesungguhnya sembahyang yang mula-mula Baginda kerjakan dengan menghadap ke Ka‘bah adalah sembahyang ‘Ashar dan Baginda bersembahyang bersama-sama suatu kaum. Lalu keluar seorang lelaki yang bersembahyang bersama Baginda dan melewati ahli masjid yang sedang ruku‘, lalu dia berkata: “Saya bersaksikan dengan Allah, sesungguhnya saya telah sembahyang bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadap Makkah”. Maka mereka pun berpusing menghadap Baitullah sebagaimana yang mereka telah lakukan. Dulunya orang-orang Yahudi dan Ahli Kitab merasa senang kepada mereka (Muslimin) kerana Baginda sembahyang menghadap Baitul Maqdis. Ketika Baginda mengalihkan wajah ke arah Baitullah, maka mereka (Yahudi dan Ahli Kitab) mengingkari hal itu.

Berkata Zuhair: “Kami diceritakan oleh Abu Ishak daripada al-Bara’ di dalam hadisnya ini bahawa orang itu mati ketika dia menghadap qiblat di Baitul Maqdis sebelum dialihkan qiblat para jemaah lelaki itu dan mereka dibunuh, maka kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan terhadap mereka (jemaah lelaki). Maka Allah Ta‘ala menurunkan ayat: “Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain pula ada menyebutkan mengenai bukti keimanan orang yang mengerjakan sembahyang dan bukti kekufuran orang yang meninggalkannya. Ini disebut dalam satu riwayat daripada Ibnu Juraij katanya:

Maksudnya: “Abu az-Zubair telah mengkhabarkan kepadaku bahawa dia mendengar Jabir bin ‘Abdullah berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “(Perbezaan) antara seseorang dengan kemusyrikan dan kekufuran adalah meninggalkan sembahyang.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas menyatakan keadaan orang yang meninggalkan sembahyang kerana ingkar tentang kewajipannya (tidak mengaku akan hukum wajibnya sembahyang itu). Menurut ijmâ‘ ulama orang sedemikian dihukumkan kafir murtad. Sementara menurut Imam an-Nawawi orang yang meninggalkan sembahyang kerana malas, sibuk dengan urusan-urusan dunia dan mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan dihukumkan berdosa dan wajib dibunuh tetapi tidak dihukumkan kafir pada qaul al-ashah. Ulama Syafi‘e pula berpendapat hukuman bunuh tersebut tidak akan dijalankan kecuali jika dia enggan bertaubat setelah diperintahkan untuk berbuat demikian.

2. Bagi memantapkan aqidah dan iman dalam diri seseorang, dia hendaklah sentiasa menunaikan segala perintah Allah secara berterusan atau konsisten. Oleh kerana sembahyang dapat menghidupkan aqidah dan iman dengan sempurna, maka secara langsung sembahyang itu juga menjadi penyebab untuk seseorang itu sentiasa berada di jalan yang benar dan lurus. Perkara ini sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya).” (Surah al-‘Ankabût: 45) Dengan penjelasan ayat di atas, sembahyang itu juga adalah sebagai pengukur atau neraca keimanan seseorang. Ini juga dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang munâfiq itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munâfiq). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) ria (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” (Surah an-Nisâ’: 142)

Dalam firman Allah Ta‘ala yang lain:

Tafsirnya: “Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Surah al-Mâ‘ûn: 4-5)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidak kendur-kendur memberikan peringatan mengenai sembahyang, sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Istiqâmahlah kamu dan jangan kamu menghitung-hitung pahala dan beramallah kamu. Sebaik-baik amal kamu adalah sembahyang dan tidak ada yang memelihara wudhu melainkan orang mukmin.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Paling dekat jaraknya seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka perbanyakkanlah doa.” (Hadis riwayat Muslim)

3. Sembahyang adalah simbol dan anjuran yang sempurna bagi mengenal dan bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, di antaranya:

i. Allah Ta‘ala menciptakan setiap sesuatu untuk manusia, makaِ ucapan tahmîd (لل المد) di dalam sembahyang merupakan simbol atau tanda mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepadanya.

ii. Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu Maha Agung daripada setiap sesuatu. Apabila seorang Muslim itu mengucapkan takbîr (َبأك للا) di dalam sembahyangnya, maka itu adalah tanda yang dia mengakui dan bersaksi bahawa Allah adalah Khâliq (Tuhan yang menciptakan), tidak menyerupai dengan makhluk-makhlukNya yang lain.

iii. Ucapan tasbîh )سبحان ِللا ( dalam sembahyang itu pula adalah simbol mengenal Allah, bahawasanya Allah Ta‘ala adalah Pencipta yang tidak ada sekutu denganNya.

iv. Ucapan tasbîh ketika ruku‘ )سبحان ِريب ِاألعلى ( dan ucapan ketika sujud (سبحان ِريب ِالعظيم) adalah simbol pengakuan bahawa Allah sahajalah Tuhan yang berhak disembah dan pengakuan bahawa kedudukan seorang hamba itu adalah sebagai memperhambakan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sembahyang itu dua rakaat dua rakaat, bertasyahhud pada setiap dua rakaat, khusu‘, memohon kepada Allah dalam keadaan pasrah dan rasa hina diri, menzahirkan kemiskinan, memanjangkan tawasul, doa dan pengharapan, dan menadah kedua tangan. Berkata periwayat: “Angkat kedua tanganmu memohon hajat kepada Tuhanmu dengan kedua tapak tanganmu menghadap mukamu dan kau katakan: “Ya Tuhan, ya Tuhan. Barang siapa yang tidak melakukan yang demikian (semua perkara-perkara yang disebutkan di atas) maka sembahyangnya itu begini dan begini (tidak sempurna).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dapat diambil kesimpulan bahawa sembahyang itu merupakan suatu simbol penghambaan diri kepada Allah. Ia bukanlah mudah untuk dikerjakan melainkan oleh orang-orang yang mempunyai keimanan yang mendalam terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Hari Akhirat. Adapun bagi orang-orang yang tidak mempunyai keimanan yang mantap adalah sukar baginya untuk mengerjakan sembahyang itu dengan sebenar-benarnya. Ini diperjelaskan dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu‘. (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.” (Surah al-Baqarah: 45-46)

4. Sembahyang itu sebagai qurratu ‘ain (sesuatu yang menggembirakan). Perkara ini telah dijelaskan oleh al-Qur’an dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Ketahuilah! Dengan dzikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra‘d: 28)

Dalam sebuah hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Di antara kesenangan dunia yang aku sukai adalah kaum wanita dan harum-haruman, dan penenang hatiku adalah sembahyang.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)

5. Sembahyang juga boleh menghapus dan membawa keampunan kepada segala dosa dan kesalahan. Di mana sembahyang merupakan pembaharuan terhadap hubungan dan janji kepada Allah serta membuka catitan amal yang baru. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat sehingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa yang terjadi di antara sembahyang-sembahyang tadi selagi dia tidak melakukan dosa besar.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain, daripada ‘Amir bin Sa‘ad bin Abu Waqqash daripada bapanya:

Maksudnya: “Ada dua lelaki bersaudara, salah seorang daripadanya meninggal dunia sebelum seorang lagi meninggal dunia (setelah berlalu) empat puluh malam. Maka disebut-sebut keutamaan lelaki yang pertama itu di hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda bersabda: “Bukankah yang seorang lagi itu Muslim?”

Mereka berkata: “Betul, wahai Rasulullah, ada apa-apa dengan dia.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kamu tidak tahu sejauh mana sampai sembahyangnya. Sesungguhnya perumpamaan sembahyang itu bagaikan sungai yang melimpah lagi segar yang berada di depan pintu salah seorang daripada kamu; dia mandi di dalamnya (sungai) lima kali setiap hari, maka kamu tidak nampak kotorannya yang tinggal. Sesungguhnya kamu tidak mengetahui sejauh mana sampai sembahyangnya.” (Hadis riwayat Malik)

6. Masjid adalah markaz (pusat) bagi orang Islam. Manakala menta‘mîr masjid pula adalah simbol ikatan seorang Muslim dengan agamanya serta dengan Muslim yang lain. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.” (Surah al-Jinn: 18)

Dalam firman yang lain:

Tafsirnya: “Hanya sanya yang (layak) memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah: 18)

Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa orang yang beriman, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat adalah orang yang layak untuk memakmurkan masjid Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan mengenai galakan dan besarnya tuntutan sembahyang berjemaah di masjid, sebagaimana dalam riwayat daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud katanya:

Maksudnya: “Demi sesungguhnya pada pendapat kami (para sahabat atau jemaah Muslimin) tidak meninggalkan sembahyang (jemaah di masjid tanpa uzur) melainkan orang yang munâfiq yang nyata kemunâfiqannya atau orang yang sakit. Jika orang yang sakit, nescaya dia akan diusung oleh dua orang supaya dia dapat mengerjakan sembahyang (jemaah). Dia berkata: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepada kami akan jalan petunjuk dan kebenaran, dan sesungguhnya di antara jalan petunjuk itu adalah sembahyang di masjid yang dikumandangkan azan padanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Sementara dalam hadis riwayat Abu Daud ada ditambah:

Maksudnya: “Tidak ada seseorang daripada kamu melainkan baginya masjid (tempat sembahyang) di rumahnya. Jika kamu bersembahyang di rumah-rumah kamu dan kamu tinggalkan masjid-masjid kamu nescaya kamu meninggalkan sunnah Nabi kamu. Jika kamu meninggalkan sunnah Nabi kamu nescaya kamu melakukan kekufuran.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Mengenai dengan maksud “kekufuran” di atas, menurut al-Khatthabiy bahawa perkara yang membawa kekufuran itu adalah orang yang meninggalkan satu persatu sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sehingga terkeluar daripada syariat agama.

Dalam hadis yang lain juga ada menyebutkan mengenai kelebihan orang yang bersembahyang jemaah. Di antaranya riwayat daripada ‘Abdul Rahman bin ‘Amrah katanya:

Maksudnya: “Sesudah sembahyang Maghrib, ‘Utsman bin ‘Affan masuk ke masjid dan duduk bersendirian lalu aku duduk di sampingnya. Dia berkata: “Wahai anak saudaraku, aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa bersembahyang Isya’ dengan berjemaah, maka dia seperti mendirikan sembahyang separuh malam dan barang siapa bersembahyang Subuh dengan berjemaah, maka dia seperti mendirikan sembahyang semalam penuh.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Seseorang yang bersembahyang jemaah(di masjid) adalah berlipat ganda (pahalanya) berbanding dengan sembahyang di rumah dan di pasarnya sehingga dua puluh lima kali ganda. Demikian itu kerana sesungguhnya apabila dia berwudhu maka diperelokkan wudhunya kemudian pergi ke masjid, dia tidak pergi ke masjid melainkan untuk bersembahyang, dia tidak akan melangkah dengan satu langkah melainkan diangkat baginya satu darjat dan dikurangkan daripadanya satu kesalahan. Apabila dia bersembahyang (dengan sembahyang yang sempurna) malaikat tidak putus-putus berselawat ke atasnya selagi mana dia berada di tempat sembahyangnya (di masjid) dengan kata malaikat: “Ya Allah, kurniakanlah selawat ke atasnya, ya Allah, rahmatilah dia.” Dan dia sentiasa di dalam sembahyang selama dia menanti sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

7. Orang yang mengerjakan sembahyang dengan sempurna akan terselamat daripada segala kelemahan dan diangkat darjatnya kepada semulia-mulia makhluk, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyifatkan hambaNya:

Tafsirnya: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka tetap mengerjakan sembahyangnya. Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang salih sebagai buktinya). Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya. Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya. Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahyanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Kemudian sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi). Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka (yang demikian sifat-sifatnya) ditempatkan di dalam syurga dengan diberikan penghormatan.” (Surah al-Ma‘ârij: 19-35)

8. Sembahyang adalah perkara dan amalan yang mula-mula dihisab di Hari Kiamat. Orang yang sempurna sembahyangnya, nescaya akan berjaya dan bahagia di akhirat kelak. Akan tetapi jika sebaliknya, nescaya dia akan kecewa dan rugi. Perkara ini disebutkan dalam sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Perkara yang pertama sekali dihisab atau dihitung ke atas seorang hamba pada Hari Kiamat adalah sembahyangnya. Jika (sembahyangnya itu) baik, maka dia termasuk orang yang bahagia dan berjaya. Namun jika (sembahyangnya itu) rosak, maka dia termasuk orang kecewa dan rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit daripada sembahyang fardhunya, Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Lihatlah (wahai malaikat) adakah hambaKu ini mengerjakan sembahyang sunat, maka sembahyang sunatnya itulah yang menyempurnakan kekurangan yang ada pada sembahyang fardhu. Kemudian demikian juga (perkara fardhu jika ada kekurangan) pada semua amalnya (akan sempurna dengan perkara sunat).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sabda Baginda yang lain:

Maksudnya: “Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan dua kalimat syahadat iaitu: ِ ِل ِإله ِإل ُِممدًا ِرسول ِللا َّللِوأن ا, mendirikan sembahyang serta mengeluar zakat. Sesiapa yang melakukannya bererti dia dan hartanya bebas daripada aku kecuali dibenarkan oleh syariat Islam dan segala-galanya terserahlah kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk menentukannya.” (Hadis Muttafaq ‘Alaih)

9. Surah al-Fâtihah adalah salah satu rukun qauli dalam sembahyang. Ia dibaca ketika berdiri setelah membaca doa iftitâh. Perkara ini berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Barang siapa mendirikan sembahyang tanpa membaca padanya Umm al-Qur’an (surah al-Fâtihah), nescaya sembahyangnya itu khidâj (kurang, rosak atau batal)”. (Baginda mengulanginya sebanyak) tiga kali, tidak sempurna sembahyangnya. Dikatakan kepada Abu Hurairah: “Sesungguhnya kami berada di belakang imam berjemaah (adakah kami membaca surah al- Fâtihah atau tidak?)” Dia berkata: “Bacalah surah al-Fâtihah itu secara sirran (sekurang-kurang didengar oleh diri sendiri), sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Ta‘ala berfirman: “Aku bahagikan sembahyang (al-Fâtihah) antara Aku dan hambaKu separuh-separuh, dan bagi hambaKu meminta apa sahaja. Apabila seorang hamba berkata: “ْيالمدِللِربِالعامل (segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam)”. Allah Ta‘ala berfirman: “َحد ِنِعبدي (hambaKu bersyukur dan memujiKu).” Apabila berkata: “الرَحنِالرحيم (Yang Amat Pemurah lagi Amat Mengasihani)”. Allah Ta‘ala berfirman: “ِعبدي َنِعلي أث (hambaKu memujiKu)”. Apabila berkata: “مالك ِيوم ِالدين (yang Menguasai Pemerintahan Hari Pembalasan (Hari Akhirat)”. Allah Ta‘ala berfirman: “َمد ِنِعبدي (hambaKu mengagungkan Aku) dan sesekali (Allah) berfirman: “فوض ِإ َلِعبدي (hambaKu pasrah padaKu)”. Apabila berkata: “ْيإَيكِنعبدِوإَيكِنستع (Engkau sahajalah ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan)”. Allah Ta‘ala berfirman: “ِ هذا ِبي ِنِوب ْيِعبدي ولعبدي ِما ِسأل (ini antaraKu dengan hambaKu dan bagi hambaKu

iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat)”. Allah Ta‘ala berfirman: “هذا ِلعبدي ِولعبدي ِما ِسأل (ini bagi hambaKu dan bagi hambaKu meminta apa sahaja.” (Hadis riwayat Muslim)

Kesimpulan

Sesungguhnya sembahyang itu kurnia yang amat besar daripada Allah kepada umat Muhammad yang diterima langsung oleh Baginda di Sidratul Muntaha pada malam yang penuh berkat iaitu malam Isra’ dan Mi‘raj.

Sesungguhnya itu adalah detik-detik munâjat kepada Allah. Detik-detik penumpuan diri yang total kepada Allah.

Oleh kerana itu untuk mencapai detik-detik menuju kepada Allah itu, maka semestinya sembahyang yang kita kerjakan itu bersifat sempurna, jauh daripada alam kebendaan, jauh daripada alam nafsu dan syahwat sehingga kita merasa kelazatan dan kenikmatan berdampingan dengan Allah. FirmanNya:

Tafsirnya: “Sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal salih)!” (Surah al-‘Alaq: 19)

Akhirnya akan tercapailah matlamat hidup ini sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmulah kesudahan (segala perkara).” (Surah an-Najm: 42)

Siapa yang mendirikan sembahyang, maka sebenarnya dia telah mendirikan agama. Siapa yang meninggalkan sembahyang, maka dia telah merobohkan agama.

Sesungguhnya tidak diragukan bahawa sembahyang yang didirikan oleh seseorang menurut petunjuk Allah dan RasulNya adalah di antara cara-cara yang paling berjaya dan berkesan dalam hal mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Oleh kerana itu amatilah penjelasan rahsia sembahyang sebagaimana yang dihuraikan tadi supaya kita termasuk orang-orang Islam yang berjaya dengan sembahyang yang kita kerjakan itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10924

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص