Sembahyang Tarawih: Ihyâ’ Ramadhan
الجواب
Ihyâ’ menurut pengertian bahasa ialah menghidupkan sesuatu. Ihyâ’ Ramadhan pula ialah menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan memperbanyakkan amal ibadat. Hukumnya adalah sunat, khusus bagi malam yang mempunyai nash mengenai fadhilat dan kelebihannya, seperti malam Jumaat, malam Hari Raya, malam-malam bulan Ramadhan khasnya malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan (Lailatul Qadar), malam sepuluh bulan Zulhijjah, malam nishf Sya‘ban dan malam pertama bulan Rejab. (Mausû‘ah al-Fiqhiyyah, juz 2).
Perkara menghidupkan malam-malam tersebut disyariatkan berdasarkan perkataan Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: “Adalah (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) tidur pada awal malam dan (Baginda bangun) menghidupkan (dengan amal ibadat) pada akhir malam.” (Hadis riwayat Muslim)
Menghidupkan malam, lebih-lebih lagi selepas waktu tengah malam dengan mengerjakan amal ibadat seperti bersembahyang, membaca al-Qur’an, berdoa, beristighfâr dan sebagainya adalah sangat-sangat dituntut (mustahabb). Hal sedemikian juga bertepatan dengan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan orang-orang yang beristighfâr (memohon ampun) pada waktu sahur.” (Surah Âli ‘Imran: 17)
Khusus pada bulan Ramadhan, adalah disunatkan kita menghidupkan malam-malam tersebut menurut perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan (sembahyang malam) di bulan Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Muslim)
Sembahyang Tarawih
Sembahyang Tarawih ialah sembahyang yang sangat dituntut (mu’akkad) melakukannya. Ia bertujuan untuk mengajak umat Islam berjaga pada malam bulan Ramadhan dengan melakukan berbagai ibadat dan amal salih seperti berdoa, beristighfâr, membaca al-Qur’an, bersembahyang dan lain-lain ibadat.
Sembahyang Tarawih itu bermula sebaik sahaja seseorang itu selesai mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ (sebaik-baiknya selepas mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyah ‘Isya’ kerana sembahyang tersebut juga adalah sunat mu’akkad.
Waktu Tarawih itu pula berkekalan sehingga terbit fajar. Ia dikerjakan dengan dua-dua rakaat. Jika dikerjakan sembahyang Tarawih itu empat rakaat dengan satu salam, maka tidak sah sembahyangnya, kerana menyalahi yang disyariatkan. (Al-Majmû‘: 4/38)
Pensyariatan Sembahyang Tarawih Dan Berjemaah Padanya
Di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sembahyang Tarawih dilakukan di Masjid Madinah. Diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang bersama orang ramai beberapa hari, kemudian Banginda tidak keluar bersembahyang selepas itu kerana Baginda takut sembahyang Tarawih itu nanti diwajibkan ke atas umat Islam dan menjadi bebanan atau memberatkan mereka. Inilah keprihatinan Baginda terhadap umat Islam sebagaimana telah diceritakan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada suatu malam (di tengah malam), Baginda mendirikan sembahyang di masjid dan diikuti oleh beberapa orang lelaki bersembahyang bersama-sama Baginda. Di waktu pagi, orang ramai pun bercakap mengenai perkara tersebut. Lalu berhimpunlah lebih ramai (daripada malam pertama) di kalangan mereka. Baginda mendirikan sembahyang dan mereka pun mendirikan sembahyang bersama-sama Baginda. Di waktu paginya lagi, orang ramai pun bercakap mengenai hal tersebut. Maka pada malam ketiga itu berhimpunlah lebih ramai lagi ahli masjid, lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar seperti biasa untuk mendirikan sembahyang dan mereka pun mendirikan sembahyang bersama-sama Baginda. Apabila datang malam yang keempat, masjid dipenuhi oleh para jemaah sehinggalah Baginda keluar untuk mendirikan sembahyang Subuh. Setelah Baginda selesai mendirikan sembahyang Subuh, Baginda pun menghadap orang ramai lalu Baginda bertasyahhud, kemudian bersabda: “Adapun sesudah itu, sesungguhnya tidak ada yang tersembunyi ke atasku kedudukan kamu, akan tetapi aku khuatir akan diwajibkan ke atas kamu dan kamu tidak mampu melaksanakannya”. Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat perkara itu masih berlaku sedemikian.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Selepas peristiwa itu Baginda terus menghidupkan Ramadhan dengan sembahyang Tarawih bersendirian dan umat Islam pun masing-masing melakukannya secara bersendirian juga; ada pula sebahagiannya berjemaah di masjid dan berlakulah sembahyang Tarawih itu sedemikian rupa sehingga Baginda wafat.
Pada zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu, sembahyang Tarawih juga dilakukan sebagaimana sebelumnya, sehinggalah pada suatu malam beliau telah keluar dari rumahnya di bulan Ramadhan untuk pergi ke masjid (Madinah). Beliau mendapati orang ramai bersembahyang Tarawih berkelompok-kelompok, ada yang bersembahyang secara bersendirian dan ada pula melakukannya secara berjemaah. Lalu beliau menghimpunkan orang ramai dan bersembahyang berimam dengan sahabat Ubai bin Ka‘ab. Peristiwa ini diceritakan oleh Abdul Rahman bin Abdul Qari’, beliau berkata:
Maksudnya: “Saya keluar bersama-sama Sayyidina ‘Umar bin al- Khaththab pada satu malam bulan Ramadhan pergi ke masjid Madinah lalu mendapati orang-orang bersembahyang Tarawih berkelompok-kelompok. Ada orang bersembahyang sendirian, ada yang bersembahyang sedang beberapa orang berada di belakangnya. Maka Sayyidina ‘Umar berkata: “Saya berpendapat jikalau orang-orang ini dihimpunkan dengan seorang imam sesungguhnya lebih baik”, kemudian Sayyidina ‘Umar berazam, lalu mengumpulkan mereka bersembahyang di belakang seorang imam iaitu Ubai bin Ka‘ab. Kemudian pada satu malam saya bersamanya (Sayyidina ‘Umar) datang lagi ke masjid, lalu kami melihat orang-orang bersembahyang dengan seorang imam. Sayyidina ‘Umar berkata: “Ini adalah bid‘ah yang baik.” (Riwayat al-Bukhari)
Para fuqahâ’ sepakat sembahyang Tarawih dilakukan secara berjemaah. Jumhûr fuqahâ’ juga berpendapat hukum berjemaah sembahyang Tarawih adalah sunnah sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat Ridhwanullahi Ta‘ala ‘alaihim ajma‘in dan para pengikut mereka sejak zaman Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu dan berterusan diamalkan secara berjemaah hingga sekarang.
Dalam perkara sunat berjemaah ini, para ulama berselisih pendapat sama ada afdhal dilakukan sembahyang Tarawih secara berjemaah di masjid atau secara bersendirian di rumah? Berkata Imam an-Nawawi:
Maksudnya: “Telah berkata asy-Syafi‘e dan sekalian sahabat-sahabatnya, Abu Hanifah, Ahmad dan sebahagian ulama Malikiyyah dan lain-lain: “Adalah afdhal melakukan sembahyang Tarawih secara berjemaah sebagaimana dilakukan oleh ‘Umar bin al-Khaththab dan sahabat-sahabat Radhiallahu ‘anhum. (Perbuatan berjemaah) itu berterusan dilakukan oleh orang Islam (sebagai mengikut perbuatan ‘Umar bin al-Khaththab itu), kerana sesungguhnya perbuatan sedemikian (berjemaah itu) adalah syi‘ar Islam yang nyata sebagaimana juga sembahyang Hari Raya.” (Shahîh Muslim: 2/410.
Fadhilat Sembahyang Tarawih
Sembahyang sunat lebih afdhal daripada segala amalan sunat yang lain. Menurut ulama Syafi‘iyyah bahawa sembahyang-sembahyang sunat mengikut tertib afdhalnya bermula daripada sembahyang sunat Hari Raya Adha, Hari Raya Fitrah, gerhana matahari, gerhana bulan, istisqâ’ (meminta hujan), Witir, sunat rawâtib, Tarawih, Dhuha, sembahyang dua rakaat tawaf, dua rakaat tahiyyatul masjid, dua rakaat ihram haji atau umrah, sembahyang sunat wudhu, sunat zawâl kemudian diikuti dengan sembahyang sunat muthlaq. Inilah tertib fadhilat sembahyang sunat yang tersebut di dalam kitab at-Tuhfah. (Sabîl al-Muhtadîn: 2/11-14).
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat menggalakkan supaya mendirikan sembahyang malam di bulan Ramadhan, bukan menyuruh mereka (mendirikan sembahyang malam itu) sebagai satu kewajipan. Maka Baginda bersabda: “Sesiapa yang mendirikan (sembahyang malam) di bulan Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu”. Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat perkara itu masih berjalan seperti biasa. Begitu juga yang berlaku pada zaman pemerintahan Abu Bakar dan permulaan pemerintahan ‘Umar.” (Hadis riwayat Muslim)
Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda lagi:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta‘ala telah mewajibkan ke atas kamu puasa Ramadhan dan aku sangat menggalakkan ke atas kamu mendirikan (sembahyang malam), maka sesiapa berpuasa dan mendirikan (sembahyang malam) kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya, nescaya keluar (terhapus) segala dosa-dosanya sepertimana dia baru dilahirkan oleh ibunya.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Al-Khathib asy-Syarbini mengatakan: “Mereka bersepakat bahawa yang dimaksudkan di dalam hadis di atas adalah sembahyang Tarawih.” (Al- Mausû‘ah al-Fiqhiyyah, juz 27).
Rakaat Sembahyang Tarawih
Persoalan berapakah jumlah rakaat sembahyang Tarawih itu, sebenarnya perkara lama yang telah pun diputuskan oleh ulama-ulama mu‘tabar, tetapi sentiasa diungkit-ungkit dan ditimbulkan oleh pihak-pihak yang tidak puas hati dengan pendapat dan ijtihâd ulama-ulama besar zaman dulu itu, padahal siapa kita dengan para ulama yang mu‘tabar itu?
Maka dalam hal ini, yang mu‘tamad dalam mazhab Syafi‘e, sembahyang sunat Tarawih itu berjumlah dua puluh rakaat, tidak termasuk sembahyang Witir.
Elok juga dijelaskan nash-nash pendapat ulama mazhab asy-Syafi‘e mengenainya.
1. Berkata Imam Ibnu Hajar Rahimahullah:
Ertinya: “Dan ia (sembahyang Tarawih) mengikut pendapat kita ialah dua puluh rakaat melainkan untuk penduduk Madinah sebagaimana yang mereka pratikkan pada zaman ‘Umar Radhiallahu ‘anhu.” (Tuhfah al- Muhtâj: 2/240).
2. Imam Nawawi Rahimahullah:
Ertinya: “Tarawih itu dua puluh rakaat dengan sepuluh salam. Aku katakan jika dilakukan empat rakaat dengan satu salam, tidak sah. Perkara ini disebut oleh Qadhi Husain di dalam kitab al-Fatâwâ dengan alasan perbuatan itu menyalahi apa yang disyariatkan.” (Raudah ath-Thâlibîn: 1/334)
3. Imam al-Malibari Rahimahullah:
Ertinya: “Sembahyang Tarawih ada dua puluh rakaat dengan sepuluh salam pada setiap malam bulan Ramadhan.” (Fath al-Mu‘în: 35)
Sebagai lintasan sejarah mengenai bilangan sembahyang Tarawih ini, pada masa Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu, hal itu tidak berubah. Umat Islam sembahyang Tarawih di bulan Ramadhan bersendirian atau ada juga secara berkelompok-kelompok.
Sembahyang Tarawih dengan satu imam dalam satu masjid tidak ada pada masa Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu.
Manakala pada zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu, sembahyang Tarawih masih dilakukan sebagaimana zaman Abu Bakar ash-Shiddiq sehingga pada satu malam Abdul Rahman bin Abdul Qari’ telah keluar bersama-sama Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab pada bulan Ramadhan pergi ke masjid Madinah mendapati dalam masjid itu orang-orang bersembahyang Tarawih berkelompok-kelompok. Ada yang bersembahyang sendirian, ada juga yang sembahyang dan beberapa orang mengikut di belakangnya. Kemudian Sayyidina ‘Umar berazam untuk mengumpulkan mereka bersembahyang di belakang seorang imam kerana inilah yang lebih baik. Sejak itu orang-orang bersembahyang dengan seorang imam. Menurut Sayyidina ‘Umar, ini adalah bid‘ah yang baik.
Abdul Rahman bin Abdul Qari’, yang meriwayatkan perbuatan Sayyidina ‘Umar ini adalah seorang tâbi‘în. Beliau adalah murid Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab yang meninggal dunia pada tahun 81H dalam usia 78 tahun.
Berdasarkan riwayat ini khalifah yang kedua, ‘Umar bin al-Khaththab memerintahkan agar sembahyang Tarawih dikerjakan dengan berjemaah, tidak bersendirian sahaja, dan beliau berpendapat bahawa hal itu adalah “bid‘ah yang baik”. Peristiwa ini terjadi pada tahun ke 14 Hijriyyah.
Disebut dalam kitab al-Muwaththa’:
Maksudnya: “Daripada Malik daripada Yazid bin Raman, dia berkata: “Adapun orang ramai mendirikan sembahyang pada zaman ‘Umar bin al- Khaththab ialah sebanyak 23 rakaat.” (Riwayat Imam Malik)
Jelaslah bahawa sahabat-sahabat ketika itu diperintah oleh Sayyidina ‘Umar untuk mengerjakan sembahyang sebanyak 23 rakaat, iaitu 20 rakaat sembahyang Tarawih dan 3 rakaat sembahyang Witir sesudah sembahyang Tarawih.
Menurut riwayat daripada Imam al-Baihaqi pula:
Maksudnya: “Bahawasanya mereka (sahabat-sahabat) Nabi, mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan Ramadhan pada zaman ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallahu ‘anhu dengan 20 rakaat.” (Riwayat al-Baihaqi)
Daripada keterangan-keterangan ini bahawa sahabat-sahabat Nabi telah ijmâ‘ mendirikan sembahyang Tarawih pada masa ‘Umar sebanyak 20 rakaat. “Ijmâ‘ sahabat menurut ushul fiqh adalah hujjah” yakni adalah dalil syariat.
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, jumlah rakaat sembahyang Tarawih dalam mazhab Syafi‘e ialah 20 rakaat.
Bolehkah Menunaikan Sebahagian Sembahyang Tarawih?
Tersebut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin mengenai melakukan sebahagian sembahyang Tarawih: “Barang siapa menunaikan hanya sebahagian sembahyang Tarawih, maka dia akan mendapat pahala Tarawih itu sebagaimana disebutkan dalam kitab Tuhfah. Ar-Rashidi pula menambah: “Sekalipun orang itu bermaksud untuk memendekkannya.” (Bughyah al-Musytarsyidîn: 27)
Kitab Hâsyiah asy-Syarwani dan Ibnu Qasim al-‘Ubadi ada menyatakan bahawa Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban telah meriwayatkan bahawa sahabat Jabir berkata:
Maksudnya: “Kami bersembahyang bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di bulan Ramadhan sebanyak lapan rakaat selepas itu melakukan sembahyang Witir.”
Asy-Syarwani berkata: “Baki rakaat sembahyang Tarawih itu diandaikan bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan di rumah Baginda. Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua (Hijriyyah) di mana baki bulan Ramadhan hanya tinggal tujuh hari.”
Seterusnya beliau mengatakan: “Syeikh kami (Ibnu Hajar al-Haitami) mengatakan: “… Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang Tarawih bersama mereka (para sahabat) sebanyak lapan rakaat. Walau bagaimanapun Baginda menyempurnakan (baki) sembahyang Tarawih sebanyak dua puluh rakaat itu di rumah Baginda. Begitu juga para sahabat menyempurnakan (baki) sembahyang Tarawih sebanyak dua puluh rakaat di rumah-rumah mereka, dengan dalil:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi memperdengarkan kepada para sahabat suatu bunyi seolah-olah bunyi berbisik-bisik seperti bunyi lebah (perumpamaan seperti bunyi orang sedang sembahyang). Sesungguhnya Baginda tidak menyempurnakan sembahyang Tarawih di masjid bersama mereka sebanyak dua puluh rakaat itu kerana belas kasihan Baginda kepada mereka.” (Hâsyiah asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-Ubadi ‘alâ Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 2/240)
Bagi mencapai kesempurnaan ibadat puasa yang dikerjakan, tidak memadai hanya setakat menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa di siang hari. Walaupun yang demikian itu sudah memenuhi tuntutan kewajipan berpuasa dari segi syariat, tetapi sebagai orang yang berpuasa hendaklah menyerikan lagi dengan perkara-perkara sunat yang sewajarnya tidak diabaikan.
Oleh itu, mengapa tidak setiap orang daripada kita mengambil peluang melakukan sebaik dan sebanyak mungkin amal ibadat di samping ibadat-ibadat yang wajib juga ibadat-ibadat sunat seperti sembahyang Tarawih.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-11146
دليل الألوان
