Menjaga Kesucian Idul Fitri
الجواب
Hari Raya adalah kurnia daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala khusus kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu setelah berjaya melaksanakan ibadat puasa dengan menahan diri daripada hawa nafsu dan perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa. Maka Hari Raya atau Idul Fitri adalah sebagai hadiah kemenangan kepada umat Islam.
Menurut riwayat Anas Radhiallahu ‘anhu disebutkan bahawa Hari Raya merupakan sebagai rahmat kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam setelah berjaya menunaikan rukun Islam yang besar iaitu puasa. Beliau berkata:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah sampai ke Madinah dan bagi mereka (penduduk Madinah) ada dua hari untuk berpesta menyambutnya (iaitu hari Nairuj dan Mihrajan). Lalu Baginda bertanya: “Apakah yang berlaku pada dua hari tersebut?” Mereka menjawab: “Kami berpesta pada dua hari tersebut di zaman Jahiliah”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menukarkan kepada kamu dua hari tersebut kepada hari yang lebih baik iaitu Hari Raya Adhha dan Hari Raya Fithrah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis di atas, nyatalah bahawa Hari Raya itu ialah hari yang disyariatkan oleh Allah Ta‘ala sebagai rahmat dan khusus kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jadi, sewajarnya kita berterima kasih dan bersyukur atas pengurniaan tersebut.
Bagaimana Merayakan Hari Raya?
Hari Raya adalah hari mempererat serta memperkukuh hubungan persaudaraan dan hari kegembiraan. Menurut Ibnu Hajar Rahimahullah (Hâsyiyatân: 1/359) adalah disunatkan pada Hari Raya itu mengucapkan tahniah dengan mendoakan di antara satu dengan lain seperti mengucapkan:
Ertinya: “Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimanya daripada engkau.”
Adapun kalimat tahniah yang berbentuk doa ini membawa maksud semoga diterima ibadat puasa dan amal kebajikan yang dilakukan di bulan Ramadhan.
Di negara kita amalan berziarah, bermaaf-maafan dan bersedekah dilahirkan dalam berbagai bentuk majlis Hari Raya sama ada dalam bentuk pesta amal mahupun majlis-majlis hiburan atau kedua-duanya sekali. Ia diadakan oleh orang perseorangan mahupun perkumpulan, dengan mengambil sempena berkumpulnya sanak saudara dan sahabat handai. Bahkan ada pula yang mencampur-baurkan amalan-amalan yang berkebajikan itu dalam bentuk dan budaya orang asing seperti majlis-majlis Hari Raya yang di dalamnya ada pesta karaoke, tari-menari dan seumpamanya. Sebahagian mereka menganggap bahawa hari seperti ini sebagai hari bersuka ria. Jika tidak ada pesta sedemikian maka ia dirasakan tidak bermakna sebagai hari bersuka ria. Betulkah anggapan sedemikian?
Jika dinilai dari sudut pandangan Islam, tidak semestinya sesuatu sambutan itu diisi dengan pesta suka ria seperti menyanyi, menari dan sebagainya. Bahkan Islam memandang sambutan sedemikian sebagai meniru atau mewarisi budaya jahiliah.
Majlis-majlis seumpama itu bukan daripada budaya Islam. Sebarang bentuk budaya bukan Islam yang tidak selari dengan Islam, maka menyerupainya adalah dilarang sebagaimana riwayat daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa menyerupai satu-satu kaum, maka dia tergolong daripada mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Inilah antara bukti bahawa Hari Raya orang Islam itu berbeza sekali konsep dan cara merayakannya dengan hari-hari perayaan orang lain. Cara bersuka-ria di Hari Raya orang Islam itu adalah berkonsepkan ibadat semata-mata iaitu melahirkan rasa syukur kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti saling memberikan ucapan tahniah dengan sulaman doa mendoakan.
Menurut Islam setiap sesuatu yang dilakukan hendaklah ia tidak bercampur-aduk antara yang benar dengan yang salah, lebih-lebih lagi apabila ia berupa suatu ibadat. Larangan tidak mencampur-adukkan yang benar dengan yang salah itu telah disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu campur-adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 42)
Rancangan-Rancangan Hiburan Sempena Hari Raya
Pada kebiasaannya, sebaik sahaja diumumkan bahawa Hari Raya telah jatuh pada malam tersebut, maka lagu-lagu hiburan yang bermacam-macam irama terus berkumandang sekalipun diselangi dengan rancangan takbîr Hari Raya. Selepas itu diikuti dengan berbagai pesta hiburan sehingga beberapa hari untuk memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Raya.
Jika kita lihat kepada rahsia bulan Ramadhan kita dapati bahawa ia adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan martabatnya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia juga menjadi penghulu segala bulan. Dalam bulan ini diturunkan kitab al-Qur’an dan ia juga adalah bulan kesabaran dan ganjaran pahala di bulan tersebut dilipat-gandakan. Itulah di antara fadhilat dan kelebihan ibadat puasa.
Matlamat puasa pula bukan sekadar memelihara kewajipan-kewajipan lahiriahnya, bahkan juga memelihara kewajipan-kewajipan kebatinannya.
Para ulama telah menggariskan kewajipan-kewajipan kebatinan itu antara lain ialah:
i. Memelihara mata daripada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan daripada segala sesuatu yang melalaikan hati daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
ii. Memelihara lidah daripada bercakap bohong, mengumpat dan kata-kata kosong yang tidak berfaedah.
iii. Memelihara pendengaran daripada mendengar perkara-perkara yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan.
iv. Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa dan daripada segala yang dibenci; hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana dia tidak mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sehingga dia tergolong ke puak orang yang hampir kepada Allah, atau puasanya ditolak dan tergolong daripada orang-orang yang jauh daripada rahmat Allah. Maka perasaan seumpama ini seharusnya wujud pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Jadi, di manakah kedudukan kita setelah selesai mengerjakan ibadat puasa di bulan Ramadhan?
Hari Raya adalah sebagai hari yang berkat dan terkhusus bagi kaum Muslimin. Ia merupakan satu syi‘ar.
Oleh itu, kita perlu memahami bahawa Hari Raya itu tidak boleh disamakan dengan perayaan-perayaan yang lain kerana ia merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala khusus kepada hamba-hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan. Maka ada cara dan adabnya yang tersendiri yang telah digariskan oleh syara‘.
Dengan kata lain bersuka ria dalam pengertian ibadat, bukan bersuka ria tanpa batas, tanpa sekatan dan tujuan, sebaliknya mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh syara‘; sebagai contoh disunatkan menghidupkan malam Hari Raya dengan takbîr, tahmîd dan tahlîl, bersembahyang Hari Raya, ziarah menziarahi tanda perhubungan silaturahim di antara sanak saudara dan sahabat handai, berhias dan bercantik-cantik menurut ukuran yang dibenarkan oleh syara‘, mengucapkan tahniah dengan doa di antara satu dengan lain, bersedekah dan yang paling penting ialah kewajipan agama terlaksana, larangan-larangan agama juga tidak dilanggar.
Maka menyusun rancangan, mengadakan, menyediakan kemudahan bagi tujuan suka ria seperti berkaraoke dan seumpamanya itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan kehendak syara‘ dan bercanggah dengan sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang perlu diperbetulkan. Sama ada sedar atau tidak, pada hakikatnya dengan melakukan perkara sedemikian kita seolah-olah meniru sesuatu kaum atau agama lain bagaimana cara mereka merayakan hari kebesaran atau perayaan mereka. Padahal umat Islam sangat dilarang daripada meniru dan mengikut-ikut pada perkara-perkara yang tidak selari dengan agama Islam.
Berziarah
Salah satu amalan bahkan menjadi tradisi di Hari Raya Fitrah ialah saling ziarah menziarahi. Berziarah adalah amalan yang dituntut dalam Islam di samping mempunyai fadhilat dan kelebihan di sisi Allah Ta‘ala. Amalan menziarahi saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang patut dipelihara dan dihidupkan.
Ziarah itu bertujuan mengeratkan tali persaudaraan dan perpaduan sesama Islam di samping menyemarakkan semangat untuk hidup bermasyarakat dan bernegara.
Mengenai kelebihan dan fadhilat ziarah itu telah diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barang siapa menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya sesama Islam semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah, nescaya malaikat akan mendoakannya dengan berkata: “Engkau telah mendapat kebaikan hidup (di dunia dan di akhirat), dan engkau telah menempatkan atau menyediakan bagi dirimu satu martabat yang tinggi di syurga.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Di dalam Islam adab berziarah itu telah digariskan oleh al-Qur’an sebagaimana Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya; yang sedemikian itu adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Maka jika sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa pun yang berhak memberi izin kepada kamu, maka janganlah kamu masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur untuk balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nûr: 27-28)
Berdasarkan ayat di atas, para ulama telah menggariskan beberapa etika dan cara berziarah menurut yang ditentukan oleh syara‘. Etika yang dimaksudkan antaranya dibutirkan seperti berikut:
1. Memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke rumah yang diziarah. Anjuran memberi salam dan meminta izin sebelum masuk disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Rib‘i, beliau berkata:
Maksudnya: “Diceritakan kepada kami bahawa seorang lelaki daripada Bani Amir datang meminta izin untuk masuk ke rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang Baginda berada di rumahnya. Lelaki itu berkata: “Bolehkah saya masuk?” Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada khadamnya: “Engkau keluar kepada lelaki itu dan engkau ajarkan dia cara meminta izin yang betul. Katakan kepada lelaki tersebut supaya memberi salam terlebih dahulu kemudian baharulah meminta izin untuk masuk”. Percakapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu telah didengar oleh lelaki berkenaan. Lalu lelaki itu berkata: “Assalamu‘alaikum, boleh saya masuk?” Maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun membenarkan lelaki itu masuk. Barulah lelaki tersebut masuk.” (Hadis riwayat Abu Daud)
2. Mengetuk pintu dengan perlahan sekira-kira boleh didengar oleh tuan atau penghuni rumah. Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan katanya:
Maksudnya: “Adalah pintu-pintu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diketuk dengan menggunakan kuku.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Keperluan mengetuk pintu itu hanyalah peringatan atau pendahuluan untuk meminta izin bukanlah sebagai ganti kepada meminta izin.
Pada masa sekarang disediakan alat-alat seperti lonceng di setengah-setengah rumah, maka hendaklah digunakan alat itu dengan perlahan, tidak keras dan memanjang-memanjangkannya.
3. Orang yang berziarah hendaklah tidak berdiri di hadapan muka pintu. Seeloknya dia berdiri di sebelah kanan atau kiri pintu. Ini bertujuan agar orang yang berziarah tidak terpandang sesuatu yang tidak wajar dilihat ketika tuan atau penghuni rumah membukakan pintu. Perkara ini berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Busr, katanya:
Maksudnya: “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda menziarahi ke rumah sesuatu kaum, Baginda tidak berdiri menghadapkan mukanya ke pintu, tetapi Baginda berdiri di sebelah kanan atau kiri pintu seraya memberi salam. Ini disebabkan pintu rumah tersebut ketika itu tidak ditutupi tabir.” (Hadis riwayat Abu Daud)
4. Hendaklah memperkenalkan diri sebelum masuk, lebih-lebih lagi jika tuan atau penghuni rumah menghendaki sedemikian. Jabir bin ‘Abdullah meriwayatkan bahawa beliau pada satu hari berkunjung ke rumah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila sampai di hadapan pintu, beliau mengetuk dan meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk masuk.
Maksudnya: “Aku mengetuk dan meminta izin kepada Baginda untuk masuk”. Baginda bersabda: “Siapa di luar sana?” Jabir Menjawab: “Aku”. Baginda membalas dengan suara: “Aku! Aku!”(dengan nada yang menunjukkan Baginda tidak menyenangi jawapan yang diberikan oleh Jabir).” (Hadis riwayat Muslim)
5. Sunat bagi orang yang berziarah meminta izin sebanyak tiga kali. Jika tidak menerima jawapan daripada tuan atau penghuni rumah, hendaklah dia balik dengan berlapang dada. Ini mungkin disebabkan tuan atau penghuni rumah belum bersedia menerima pengunjung. Perkara ini juga disebutkan dalam sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu telah meminta izin sebanyak tiga kali dan kamu tidak juga diberi izin untuk masuk maka hendaklah kamu balik.” (Hadis riwayat Muslim)
Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap konsep dan etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam.
Perlu juga diambil perhatian bahawa orang yang pergi berziarah mengambil kira kelapangan tuan atau penghuni rumah yang akan diziarahi. Umpamanya orang yang berziarah sudah menentukan atau memilih masa dan waktu yang terluang dan sesuai untuk berziarah seperti tidak pada waktu atau masa bersembahyang Maghrib, jauh malam dan sebagainya. Ini memberi peluang kepada tuan atau penghuni rumah tersebut bersedia menerima pengunjung dengan selesa.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya ini adalah wajar ia disambut mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syara‘ dan tidak dicampur-baurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan. Umpamanya pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan dengan keluar berhari raya bersama kawan dan rakan-rakan yang bukan mahram. Ada pula sebilangan remaja terutama yang telah mengikat tali pertunangan mengambil kesempatan Hari Raya sebagai tiket untuk keluar bersama-sama tanpa mahram. Semua perkara yang disebutkan adalah bertentangan dengan konsep ibadat pada Hari Raya tersebut.
Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadat di hari mulia ini dengan tidak mencampur-adukkannya dengan perkara-perkara yang dilarang (maksiat). Semoga kegembiraan di Hari Raya ini akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda sebagaimana kegembiraan yang hakiki yang difirmankan oleh Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kedatangan al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersuka ria (bukan dengan yang lain), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan (daripada segala benda dan perkara yang tidak kekal).” (Surah Yunus: 58)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-11158
دليل الألوان
