Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Mengerjakan Sembahyang Ketika Dalam Kapal Terbang

الجواب

Ibadat sembahyang merupakan salah satu komponen dalam rukun Islam yang lima. Kewajipan melaksanakannya memang jelas dan tidak diragukan lagi. Ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak memperuntukkan tentang kewajipan menunaikannya ke atas setiap orang yang mukallaf. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisâ’: 103)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus Mu‘adz bin Jabal ke negeri Yaman Baginda bersabda:

Maksudnya: “Serulah mereka (penduduk Yaman) kepada kesaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah. Maka apabila mereka taat untuk berbuat demikian beritahu kepada mereka sesungguhnya Allah Ta‘ala telah mewajibkan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada setiap siang dan malam. Apabila mereka taat untuk berbuat demikian beritahu kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah telah mewajibkan zakat ke atas mereka pada harta-harta mereka, di mana zakat itu diambil daripada orang-orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada golongan fakir di kalangan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kedudukan sembahyang itu sangat tinggi, sangat penting dan sangat istimewa. Ini dapat dilihat dari segi bagaimana ianya disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, iaitu secara langsung kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa perantaraan Jibril pada malam ketika Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dimi‘râjkan. Ini menunjukkan betapa penting dan tersendirinya ibadat sembahyang itu. Oleh itu menunaikannya amatlah dituntut. Ia tidak dapat ditinggalkan walau di mana dan dalam apa jua keadaan sekalipun, baik ketika sakit, musafir dan mahupun dalam ketakutan akibat peperangan.

Bahkan jika sekiranya seseorang itu tidak berupaya menunaikannya dalam keadaan berdiri, dia diberi kelonggaran oleh syara‘ menunaikannya dalam keadaan duduk. Jika dengan cara duduk masih tidak berupaya, dengan cara berbaring. Jika berbaring pun tidak berupaya, memadailah dengan isyarat atau ditunaikan sekadar keupayaannya, selama mana dia masih dalam lingkungan orang mukallaf.

Tuntutan memelihara waktu-waktu sembahyang itu jelas diperuntukkan di dalam al-Qur’an melalui firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Kamu peliharalah (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang wushthâ (sembahyang ‘Ashar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyû‘.” (Surah al-Baqarah: 238)

Oleh itu, bukan sewenang-wenang atau mudahnya untuk meninggalkan dan mencuaikan waktu sembahyang. Hanya orang yang mempunyai keuzuran tertentu yang diiktiraf oleh syara‘ sahaja yang tidak diwajibkan mendirikan sembahyang, seperti perempuan yang sedang haidh dan nifas. Sementara itu, hukum syara‘ juga memberikan keringanan atau rukhshah kepada orang yang dalam pelayaran menjama‘ dan mengqashar sembahyang fardhu.

Sungguhpun pelayaran dianggap sebagai suatu aktiviti perjalanan yang meletihkan dan mendatangkan kesukaran sehingga ia diiktiraf oleh syara‘ sebagai salah satu sebab bagi seseorang itu mendapat beberapa keringanan atau rukhshah, akan tetapi tidak bermakna ia merupakan suatu alasan untuk mendapat keringanan untuk tidak menunaikan sembahyang. Sembahyang tetap wajib dan mesti ditunaikan pada waktunya. Cuma cara menunaikannya terdapat sedikit perbezaan berbanding dengan keadaan biasa demi untuk memudah dan meraikan keperluan atau hajat orang yang bermusafir.

Hukum Mendirikan Sembahyang Di Dalam Kapal Terbang

Bagi orang yang membuat pelayaran dengan menggunakan kapal terbang, ibadat sembahyang boleh ditunaikan di kapal terbang, sungguhpun pada ketika itu dia sedang berada di udara. Sembahyang itu adalah sah dan tidak perlu diulang atau diqadha sekiranya ditunaikan dengan menepati rukun dan syarat-syaratnya.

Kapal terbang adalah juga seperti lain-lain kenderaan di air seperti kapal laut, sampan dan kenderaan di darat seperti kereta api, bas atau binatang tunggangan. Melaksanakan sembahyang dalam kapal terbang adalah sama saja seperti melakukannya di atas mana-mana juga kenderaan.

Dalam menerangkan kedudukan orang yang menunaikan sembahyang di atas kenderaan al-Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan pandangan para ulama dalam mazhab Syafi‘e: “Sekiranya seseorang itu bersembahyang fardhu di atas kapal, maka tidak harus baginya meninggalkan rukun berdiri (yakni tidak harus sembahyang duduk) sedangkan dia berkuasa untuk berdiri, sama seperti keadaan bersembahyang di darat. Pendapat ini juga dikatakan oleh Imam Malik dan Imam Ahmad. Menurut Imam Abu Hanifah: “Harus (meninggalkan rukun berdiri itu sekiranya kapal itu sedang bergerak).”

Para ulama mazhab Syafi‘e seterusnya berkata: “Sekiranya ada keuzuran seperti pening kepala (mabuk laut) dan sebagainya, maka harus menunaikan sembahyang fardhu sambil duduk, kerana dia dianggap sebagai orang yang uzur (yang tidak mampu sembahyang berdiri). Sekiranya angin bertiup sehingga beralih haluan kapal itu lalu terpaling wajahnya daripada arah qiblat, maka wajib mengembalikannya ke arah qiblat dan meneruskan sembahyangnya. Berbeza halnya sekiranya dia melakukannya di darat dan dipalingkan oleh seseorang daripada qiblat dengan paksa maka batal sembahyangnya.” (Al-Majmû‘: 3/222)

Asy-Syeikh Abdullah Abdul Rahman Ba Fadhl al-Hadhrami menjelaskan di dalam kitabnya Busyrâ al-Karîm, sekiranya orang musafir itu menunaikan sembahyangnya di tempat tidur (seperti katil, tilam dan sebagainya) atau kapal laut maka hendaklah dia menyempurnakan ruku‘ dan sujudnya, dan hendaklah menghadap qiblat.” (Busyrâ al-Karîm: 1/206)

Walau bagaimanapun apabila melihat kepada keadaan kapal terbang dari segi ruang kawasannya yang sempit dan terbatas, ditambah lagi dengan kepadatan penumpang, maka keadaan seperti ini tidak memungkinkan atau sangat sukar khususnya penumpang kelas ekonomi melaksanakan tuntutan-tuntutan seperti yang dijelaskan oleh para ulama di atas.

Tuntutan Menghadap Qiblat Ketika Sembahyang

Menghadap qiblat merupakan syarat sah sembahyang. Tuntutan menghadap qiblat telah diperuntukkan di dalam al-Qur’an serta hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Ka‘bah).” (Surah al-Baqarah: 150)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Apabila engkau hendak melakukan sembahyang maka hendaklah engkau menyempurnakan wudhumu kemudian menghadaplah ke arah qiblat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, menghadap qiblat bagi sembahyang fardhu itu adalah wajib, kerana ia termasuk di dalam syarat-syarat sah sembahyang. Namun dalam keadaan tertentu diharuskan tidak menghadap qiblat, iaitu semasa dalam ketakutan seperti dalam peperangan, sama ada sembahyang fardhu atau sunat, dan sembahyang sunat ketika dalam pelayaran yang bukan maksiat yang susah baginya menghadap qiblat.

Sementara itu, menghadap qiblat bagi sembahyang fardhu di dalam pelayaran hukumnya adalah wajib. Ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Jabir bin Abdillah beliau berkata:

Maksudnya: “Pernah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang (sunat) di atas tunggangan Baginda di mana sahaja tunggangan itu menuju arah, tetapi apabila Baginda hendak menunaikan sembahyang fardhu Baginda turun lalu menghadap qiblat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menyentuh perkara sembahyang di dalam kapal terbang, sekiranya seseorang penumpang itu tidak dapat menghadap qiblat disebabkan terdapat keuzuran atau kesukaran seperti tiada ruangan untuk bersembahyang melainkan tempat duduknya, sedangkan dia wajib menunaikan sembahyang pada waktu itu, dan jika tidak ditunaikan akan luput waktunya, maka bolehlah menunaikan sembahyang itu sekalipun tanpa menghadap qiblat demi menghormati waktu. Akan tetapi wajib dia mengulangi atau mengqadha sembahyang itu.

Dalam hal ini al-Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan pandangan ulama mazhab Syafi‘e: “Kalau sekiranya waktu sembahyang fardhu telah masuk sedangkan mereka dalam perjalanan dan mereka khuatir sekiranya mereka turun (daripada tunggangan mereka) untuk bersembahyang di atas bumi nescaya mereka tertinggal daripada rakan-rakan mereka atau takut akan berlaku sesuatu ke atas dirinya atau hartanya, maka dalam hal ini tidak harus meninggalkan sembahyang itu dan meluputkannya daripada waktunya. Bahkan hendaklah dia bersembahyang di atas tunggangan bagi menghormati waktu dan wajib mengulangi sembahyang itu kerana ia merupakan keuzuran yang jarang berlaku.” (Al-Majmû‘: 3/222)

Tuntutan Menunaikan Sembahyang Dengan Berdiri

Melakukan sembahyang bagi mereka yang berupaya dengan cara berdiri merupakan rukun dalam sembahyang fardhu. Sementara bagi mereka yang tidak berdaya berdiri, maka mereka boleh melakukannya dengan cara duduk sebagaimana kelonggaran yang diberikan kepada orang sakit yang tidak berdaya menunaikannya dengan cara berdiri.

Maksud ‘tidak berdaya berdiri’ bukan hanya bermaksud dalam erti kata lemah tidak dapat berdiri, bahkan termasuk juga kerana takut kecelakaan berlaku ke atas dirinya, takut akan jatuh tenggelam ke dalam air, takut mendatangkan kesusahan yang berat, pening kepala atau takut akan menambahkan lagi kesakitan yang dialaminya. (Mughni al-Muhtâj: 1/214).

Oleh itu, para penumpang kapal terbang yang mempunyai keuzuran seperti yang tersebut di atas adalah harus mendirikan sembahyang fardhu sambil duduk.

Menurut Dr. Ahmad asy-Syarbashi dalam kitabnya Yas’alûnaka fi ad-Dîn wa al-Hayâh bahawa melakukan sembahyang sama ada berdiri atau duduk ketika berada di dalam kapal terbang hukumnya adalah harus, tanpa semestinya berpusing menghadap qiblat ketika sedang melakukan sembahyang itu, selama mana melakukannya itu merupakan satu kepayahan, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah al-Baqarah: 185)

Beberapa Pilihan Bagi Penumpang Kapal Terbang Dalam Melaksanakan Ibadat Sembahyang

Memandangkan pelayaran merupakan salah satu sebab yang diiktiraf oleh syara‘ bagi mengharuskan seseorang mengambil keringanan atau rukhshah, maka diharuskan baginya melakukan sembahyang secara jama‘ (mengerjakan dua fardhu sembahyang dalam satu waktu) dan diharuskan juga baginya mengqashar (memendekkan empat rakaat menjadi dua rakaat)

Orang yang musafir dengan menggunakan kapal terbang boleh menjama‘ sembahyang secara jama‘ taqdîm sebelum kapal terbang bertolak iaitu semasa berada di lapangan terbang lagi kerana pada masa itu dia sudah dihukumkan musafir sekiranya kawasan lapangan terbang itu tidak termasuk kampung orang yang musafir itu atau di mana-mana tempat di luar kawasan perkampungannya yang mudah baginya.

Pilihan lain ialah jika kapal terbang yang dinaikinya itu singgah atau transit di suatu tempat, jika ada kemudahan baginya melakukan sembahyang maka bolehlah dia melakukannya sama ada secara jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr iaitu tertakluk kepada waktu sembahyang di tempat berkenaan itu. Ataupun orang musafir itu melakukan sembahyang jama‘ ta’khîr apabila sampai ke destinasinya, selama mana tempoh pelayarannya masih berjalan yakni belum tamat iaitu selama tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari bertolak).

Walau bagaimanapun pilihan seperti ini hanya dapat dimanfaatkan oleh penumpang kapal terbang apabila perjalanan mengambil masa melibatkan dua waktu fardhu sembahyang yang boleh dijama‘ iaitu Zuhur dan ‘Ashar atau Maghrib dan ‘Isya’ sahaja. Akan tetapi jika sembahyang ditunaikan dalam kapal terbang secara jama‘ dan qashar, inipun harus dan elok juga.

Cara Menunaikan Sembahyang Di Kapal Terbang

Hasil daripada penghuraian yang lalu dapat disimpulkan, cara yang boleh disarankan untuk dipraktikkan bagi menunaikan sembahyang di dalam kapal terbang adalah seperti berikut:

1. Penumpang hendaklah berusaha mencari tempat untuk menunaikan sembahyang dengan bertanya kepada anak kapal. Sekiranya ruang itu masih digunakan kerana kerja-kerja kabin, maka hendaklah ditunggu sehingga kerja-kerja itu selesai atau berkurangan.

2. Bagi mereka yang tidak berupaya menunaikannya dengan berdiri disebabkan keadaan tidak memungkinkan seperti pening kepala atau disebabkan cuaca yang menyebabkan keadaan pesawat tidak stabil, maka diharuskan menunaikannnya sambil duduk sama ada fardhu atau sunat.

3. Jika penumpang tidak memperolehi tempat sembahyang yang sesuai, maka tunaikanlah sembahyang itu di tempat duduknya. Ketika hendak sujud hendaklah ditundukkan lebih rendah dari ruku‘nya. Perlu diingat agar dia tidak mengabaikan tuntutan menghadap qiblat.

Walau bagaimanapun, jika bersembahyang dengan duduk itu dia boleh menghadap qiblat berbanding dengan melakukannya dengan berdiri tanpa menghadap qiblat, maka adalah wajib dia bersembahyang duduk.

Semoga panduan yang dijelaskan ini akan memudahkan setiap orang untuk menjalankan ibadatnya khususnya ibadat sembahyang. Apa yang penting, lakukan atau tunaikanlah perintah syara‘ sedaya yang termampu, dan jangan sekali-kali mencuaikan atau meninggalkannya sesuai dengan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Oleh itu apabila aku menegah kamu daripada sesuatu maka hindarkanlah ia, dan apabila aku memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu maka tunaikanlah ia seberapa mampu yang kamu boleh buat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-11166

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص