Hukum Membaca Surah Al-Fâtihah Bagi Makmum
الجواب
Bacaan surah al-Fâtihah adalah salah satu daripada rukun-rukun sembahyang. Jika bacaan surah al-Fâtihah dalam sembahyang ini ditinggalkan dan tidak kembali semula untuk membacanya maka sembahyang seseorang itu tidak sah.
Namun dalam perkara ini, mungkin ada yang beranggapan bahawa makmum yang tertinggal bacaan surah al-Fâtihah dalam sembahyang berjemaah tidak membatalkan sembahyang. Ini kerana pada anggapan mereka bacaan surah al- Fâtihah yang tertinggal itu ditanggung oleh bacaan imam sedangkan makmum tersebut wajib membaca surah al-Fâtihah itu. Jika anggapannya bacaan surah al-Fâtihah ditanggung oleh imam ini berlaku kepada makmum yang wajib membaca surah al-Fâtihah sehingga meninggalkan bacaan surah al-Fâtihah itu untuk mengikut perbuatan imam, maka bukan sahaja anggapan itu salah malah membuatkan sembahyangnya itu tidak sah kerana dia meninggalkan rukun sembahyang iaitu membaca surah al-Fâtihah.
Dalam menentukan kedudukan hukum bacaan surah al-Fâtihah bagi makmum yang sembahyang berjemaah itu adalah dilihat kepada bagaimana keadaan makmum itu. Ini amat penting diketahui untuk memastikan sama ada makmum perlu membaca surah al-Fâtihah atau menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah ataupun tidak.
Keadaan makmum dalam sembahyang berjemaah terbahagi kepada dua, iaitu makmum muwâfiq dan makmum masbûq. Makmum muwâfiq itu ialah makmum yang sempat bersama imam masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah dalam kadar bacaan yang sederhana. Sementara makmum masbûq itu pula ialah makmum yang tidak sempat bersama imam masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah dalam kadar bacaan yang sederhana.
Membaca surah al-Fâtihah bagi kedua-dua keadaan makmum ini mempunyai hukum yang berbeza mengikut keadaan masing-masing. Ada yang wajib menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah walaupun makmum itu tertinggal daripada imam dan ada juga yang tidak diwajibkan membaca surah al-Fâtihah dan terus mengikut pergerakan imam.
Bacaan Surah Al-Fâtihah Bagi Makmum Muwâfiq
Makmum muwâfiq wajib menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah walaupun dia tertinggal oleh imam sama ada disebabkan keuzuran ataupun tidak. Untuk jelasnya dihuraikan seperti berikut:
• Makmum muwâfiq tertinggal daripada imam bukan kerana keuzuran.
Jika makmum muwâfiq yang tertinggal daripada imam bukan kerana keuzuran seperti makmum sengaja melambat-lambatkan bacaan surah al- Fâtihah maka wajib dia menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah asalkan dia tidak tertinggal daripada imam dua rukun fi‘li, sama ada rukun fi‘li yang panjang (berdiri [qiyâm], ruku‘, sujud dan duduk tasyahhud akhir) atau rukun fi‘li yang pendek (i‘tidâl dan duduk di antara dua sujud). Jika makmum tertinggal daripada imam dua rukun fi‘li dengan sengaja maka batallah sembahyang makmum itu.
Sebagai contoh makmum lambat pada satu rukun fi‘li yang panjang dan satu rukun fi‘li yang pendek:
Makmum masih berdiri membaca surah al-Fâtihah sedang imam sudah mula melakukan sujud pertama. Maka dalam hal ini makmum tertinggal mengikut imam pada ruku‘ dan i‘tidâl.
• Makmum muwâfiq yang tertinggal oleh imam disebabkan keuzuran
Jika makmum muwâfiq yang tertinggal oleh imam disebabkan keuzuran seperti lambat membaca surah al-Fâtihah kerana kurang lancar, atau imam terlalu cepat membacanya, maka dia hendaklah menyempurnakan juga bacaan surah al-Fâtihah asalkan dia tidak tertinggal oleh imam tiga rukun fi‘li yang panjang.
Jika makmum muwâfiq itu terlambat mengikut imam sehingga tiga rukun fi‘li yang panjang maka hendaklah dia terus mengikut perbuatan sembahyang imam dan setelah imam selesai memberi salam hendaklah dia berdiri lagi bagi mengganti rakaat yang dia terlambat itu.
Sebagai contoh makmum masih berdiri pada rakaat pertama membaca surah al-Fâtihah kerana bacaannya kurang lancar sedang imam sudah mula berdiri pada rakaat kedua, makmum terlambat pada rukun yang panjang iaitu ruku‘, sujud pertama dan sujud kedua.
Maka dalam hal ini, tidaklah perlu makmum menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah dan rukun yang tertinggal itu bahkan hendaklah dia terus mengikut imam yang sedang berdiri pada rakaat kedua. Setelah imam selesai memberi salam, makmum hendaklah bangkit semula bagi menggantikan rakaat yang dia terlambat itu.
Bacaan Surah Al-Fâtihah Bagi Makmum Masbûq
Makmum masbûq dikira menyempati rakaat imam apabila makmum tersebut sempat melakukan ruku‘ serta thuma’ninah bersama imam. Jika makmum masbûq tidak sempat ruku‘ serta thuma’ninah bersama imam, maka dia tidak dikira menyempati rakaat imam dan hendaklah makmum itu berdiri untuk mengganti rakaat yang tidak dikira itu setelah imam memberi salam.
Dalam perkara ini adakah makmum masbûq tersebut perlu menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah ataupun tidak? Oleh itu dihuraikan beberapa keadaan makmum masbûq seperti berikut:
1. Makmum masbûq baru memulakan sembahyang sedang imam hampir melakukan ruku‘.
Dalam keadaan ini, makmum tersebut disunatkan tidak membaca perkara-perkara sunat selepas takbîratul-ihrâm iaitu do‘a al-iftitâh dan at-ta‘awwudz bahkan dia terus sahaja membaca surah al-Fâtihah selepas takbîratul-ihrâm melainkan jika dia menyangka dapat menyempati imam apabila dia membaca perkara sunat itu.
Jika imam itu mula melakukan ruku‘, maka hendaklah makmum masbûq itu memutuskan bacaan surah al-Fâtihah dan terus mengikut imam melakukan ruku‘.
Adapun jika makmum itu meneruskan juga bacaan surah al-Fâtihah sehingga imam mula bangkit melakukan i‘tidâl maka tidaklah dikira dia menyempati rakaat imam malah menjadi batal sembahyangnya jika imam mula melakukan sujud kerana terlambat mengikut imam pada dua rukun fi‘li.
Jika makmum masbûq itu tidak sempat membaca surah al-Fâtihah kerana membaca do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz selepas takbîratul-ihrâm sedang imam mula melakukan ruku‘ maka hendaklah dia membaca surah al-Fâtihah sekadar banyak huruf do‘a al- iftitâh atau at-ta‘awwudz yang telah dibacanya. Setelah dia membaca kadar surah al-Fâtihah yang wajib itu baharulah dia melakukan ruku‘ bersama imam.
Jika makmum tersebut tidak membaca surah al-Fâtihah sekadar banyak huruf do‘a al- iftitâh atau at-ta‘awwudz yang telah dibacanya dan dia terus sahaja melakukan ruku‘ bersama imam, maka tidaklah sah sembahyang makmum itu kerana tertinggal kadar bacaan surah al-Fâtihah yang wajib.
2. Imam mula melakukan ruku‘ sedangkan makmum baru hendak memulakan sembahyang
Dalam keadaan ini, makmum hendaklah mengangkat takbîratul-ihrâm tanpa membaca surah al-Fâtihah. Kemudian bertakbîr sekali lagi untuk melakukan ruku‘ bersama imam. Jika makmum tersebut sempat melakukan ruku‘ dan thuma’ninah bersama imam maka dikiralah dia menyempati rakaat imam. Jika dia tidak sempat melakukan ruku‘ dan thuma’ninah bersama imam maka dia tidak dikira menyempati rakaat imam dan hendaklah dia berdiri selepas imam memberi salam untuk mengganti rakaat yang tidak dikira itu.
3. Imam melakukan sujud sedang makmum baru memulakan sembahyang
Dalam hal ini, makmum hendaklah mengangkat takbîratul-ihrâm tanpa membaca surah al-Fâtihah. Kemudian bertakbîr sekali lagi untuk melakukan sujud bersama imam. Oleh kerana makmum tersebut tidak dikira menyempati rakaat imam maka hendaklah dia berdiri selepas imam memberi salam untuk mengganti rakaat yang tidak dikira itu.
Demikianlah beberapa persoalan mengenai kewajipan makmum membaca surah al-Fâtihah. Perkara ini amat penting diketahui supaya tidak berlaku kesalahan dalam ibadat sembahyang yang kadang-kadang dianggap selama ini betul tetapi salah dan boleh menyebabkan sembahyang tidak sah atau menjadi batal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14362
دليل الألوان
