Takutlah Jangan Sampai Puasa Sekadar Lapar Dan Dahaga
الجواب
Ketika mengerjakan ibadat puasa, banyak perkara yang perlu dijaga bagi memastikan ibadat puasa kita menepati tuntutan syara‘ dan mengelakkannya daripada terkurang pahala ataupun terbatal.
Hakikat yang perlu kita fahami ialah ibadat puasa bukan sekadar mengawal kehendak perut dan syahwat semata-mata. Bahkan Allah Ta‘ala serta RasulNya juga memerintahkan kita supaya menjaga anggota-anggota kita yang lain daripada melakukan sesuatu yang madzmûmah (tercela) dan sia-sia. Inilah sebenarnya puasa yang sempurna dan yang dituntut daripada seorang Muslim.
Menjaga Daripada Perkara Madzmûmah Dan Sia-Sia
Puasa merupakan perisai seorang Muslim daripada azab api neraka. Ia juga benteng yang menghalang tuannya daripada melakukan perkara keji dan mungkar dengan menutup pintu-pintu syahwat yang merupakan jalan masuk syaitan menggoda manusia, sekaligus mendidiknya menjadi seorang Muslim yang sejati dan sempurna.
Bagi menghayati roh serta hikmah ibadat puasa, seorang Muslim itu selain dituntut supaya menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, bersetubuh dan sebagainya, dia juga dituntut supaya menahan diri daripada melakukan perkara madzmûmah kerana perkara madzmûmah ini akan merosakkan dan mengurangkan pahala ibadat puasa serta menghilangkan hikmah pensyariatannya.
Begitu juga sunat hukumnya orang yang berpuasa menahan diri daripada segala bentuk tuntutan syahwat atau keinginan yang tidak sesuai dan tidak selari dengan roh dan hikmah ibadat puasa sungguhpun perbuatan itu pada asalnya diharuskan pada waktu-waktu lain. Sebagai contoh, berlazat-lazat dengan menghidu dan menikmati harum-haruman serta lain-lain perbuatan yang mendatangkan keasyikan pada anggota tubuh badan atau yang mendatangkan keasyikan pada deria-deria sentuhan, penglihatan, pendengaran dan hiduan. Perbuatan seumpama itu, sungguhpun ia diharuskan pada waktu-waktu yang lain, akan tetapi ia makruh dilakukan ketika berpuasa kerana ia tidak sesuai dan tidak selari dengan hikmah pensyariatan ibadat puasa. Ini kerana antara rahsia dan maksud utama pensyariatan ibadat puasa ialah supaya orang yang berpuasa itu mempertingkatkan ketaqwaan serta melatih diri untuk tidak tewas dengan kemahuan hawa nafsu dan naluri berlazat-lazat yang melekakan. Dengan mengetepikan segala tuntutan-tuntutan yang melalaikan seumpama ini, dia boleh menumpukan waktu serta perhatiannya untuk mengerjakan amal ibadat sebanyak dan sesempurna mungkin.
Bagaimana Menjaga Anggota-Anggota Tubuh Badan Ketika Berpuasa?
Bagi meraih kesempurnaan ibadat puasa, Imam al-Ghazali Rahimahullâh telah memberikan beberapa garis pandu etika mengawal anggota tubuh badan daripada melakukan perkara-perkara yang tertegah ketika berpuasa seperti berikut:
1. Mengawal pandangan mata daripada melihat perkara-perkara yang keji, mungkar dan dibenci oleh syara‘. Begitu juga memeliharanya daripada memandang sesuatu yang sia-sia, seperti rancangan-rancangan hiburan yang melalaikan dan penuh dengan unsur-unsur maksiat yang akan menggelapkan dan memalingkan hati daripada mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
2. Memelihara lidah daripada mengeluarkan kata-kata keji dan kotor seperti berdusta, mengumpat, mengadu domba, menghina dan merendah-rendahkan orang lain, bertengkar, berbalah-balah dan sebagainya. Bahkan adalah lebih baik seseorang yang berpuasa itu lidahnya juga turut berpuasa jika tidak ada sesuatu yang baik untuk diucapkannya; iaitu dengan diam atau memperbanyakkan berzikir, membaca al-Qur’an dan yang seumpamanya.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Puasa itu adalah perisai, maka janganlah dia (orang yang berpuasa itu) mengeluarkan kata-kata keji dan janganlah dia berbuat perlakuan (orang-orang) jahil. Dan sekiranya seseorang mengajaknya bertengkar atau memaki hamun dan mencelanya, maka hendaklah dia mengatakan: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”, (katakanlah) sebanyak dua kali.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut ulama, puasa itu adalah perisai kerana ia bertindak sebagai penangkis atau benteng yang akan menyelamatkan tuannya daripada api neraka, menghalangnya daripada berbuat dosa dan menahannya daripada tunduk terhadap tuntutan syahwat dan hawa nafsu. Sementara maksud perlakuan orang-orang jahil dalam hadits ini pula ialah melakukan perkara bodoh, tidak elok dan tertegah.
Hadits ini bukanlah bermaksud bahawa perkara-perkara tersebut hanya ditegah ketika berpuasa sahaja, bahkan perkara-perkara tersebut juga haram dan dilarang pada waktu-waktu yang lain. Walau bagaimana pun tegahan daripada melakukannya ketika mengerjakan ibadat puasa adalah lebih diberatkan lagi manakala meninggalkannya pula adalah lebih dianjurkan kerana ia adalah salah satu daripada adab-adab puasa.
Ini menunjukkan bahawa celaan melakukan perkara madzmûmah ketika mengerjakan ibadat puasa adalah lebih besar di samping ia turut mengakibatkan kurang ataupun hilangnya pahala puasa. Mereka yang meninggalkannya pula, selain mendapat pahala kerana menunaikan tuntutan wajib meninggalkan perkara madzmûmah itu secara mutlak, dia juga akan turut mendapat pahala sunat kerana menjaga adab puasa.
3. Menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang dibenci dan ditegah oleh syara‘ seperti mendengar umpatan, kata-kata dusta, lucah, bentuk-bentuk nyanyian yang diharamkan dan melalaikan atau yang seumpamanya.
4. Menahan anggota-anggota yang lain daripada membuat dosa, seperti mengawal tangan dan kaki daripada melakukan perkara yang ditegah, menahan perut daripada memakan makanan dan minuman syubhah apatah lagi yang haram ketika berbuka, sahur dan lainnya.
5. Tidak memperbanyakkan makan sehingga terlalu kenyang ketika berbuka. Ini kerana memperbanyakkan makan ketika berbuka dengan pelbagai hidangan atau juadah setelah sepanjang hari berpuasa dan berjuang sehingga berjaya menakluki dan menewaskan hawa nafsu, akan menghilangkan roh ibadat puasa dan menyebabkan dia gagal mengambil pengajaran dan hikmah daripada pelaksanaan ibadat puasa itu. Ini juga menyukarkannya untuk memperbanyakkan amal ibadat di malam hari akibat perasaan malas dan rasa mengantuk kerana terlalu kenyang.
Imam al-Ghazali Rahimahullâh seterusnya menambah bahawa selepas berbuka, hendaklah hatinya gementar dengan perasaan penuh gerun bimbang seandainya puasanya tidak diterima atau hanya sekadar beroleh lapar dan dahaga. Begitu juga dia sepatutnya dengan penuh rasa kehambaan hendaklah sentiasa berharap agar puasanya itu diterima di samping mendapat segala ganjaran, hikmah dan rahsianya. Perasaan seumpama ini tidak seharusnya ada khusus ketika mengerjakan puasa Ramadhan sahaja, bahkan hendaklah ia wujud setiap kali selesai mengerjakan semua amal ibadat.
Adakah Melakukan Perbuatan Madzmûmah Membatalkan Puasa?
Kegagalan untuk mengawal diri daripada melakukan perkara maksiat dan madzmûmah yang haram ketika mengerjakan puasa, seperti berdusta, mengumpat, memandang yang haram dan sebagainya, sungguhpun hukumnya haram, akan tetapi ia tidaklah membatalkan puasa. Bagaimanapun, dia mendapat kerugian yang sangat besar kerana pahala puasanya menjadi kurang atau langsung tidak diberikan ganjaran apa-apa. Inilah yang dinamakan puasa orang yang tidak beroleh apa-apa selain daripada rasa lapar dan dahaga semata-mata. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berapa ramai orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa bahagian daripada puasanya selain daripada lapar. (Hadits riwayat Ibnu Majah) Sesungguhnya Allah Ta‘ala memberi amaran bahawa Dia tidak berkehendak atas seseorang itu untuk meninggalkan makan minumnya dan tidak akan memberikan ganjaran atas puasanya sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan keji dan mungkar. Jadi untuk mencapai matlamat memperolehi kesempurnaan ibadat puasa serta menikmati hikmah dan rahsianya, segala perkara madzmûmah mestilah dihindari.
Menurut Imam as-Subki Rahimahullâh, sekiranya orang itu melakukan perkara madzmûmah yang haram ketika berpuasa seperti mengumpat, lalu dia bertaubat selepas itu, taubatnya itu hanya dapat mengangkat dosa umpatan yang dilakukannya. Bagaimanapun, pahala puasa yang hilang atau terkurang kerananya tidak akan dapat diperolehi kembali.
Sesungguhnya tidak dinafikan bahawa untuk melaksanakan tuntutan mengawal diri daripada melakukan perkara madzmûmah mahupun sia-sia semasa mengerjakan ibadat puasa itu memerlukan usaha, kesungguhan dan nilai kesabaran yang tinggi apatah lagi sekiranya perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan baginya sebelum ini. Akan tetapi dengan berkat kesabaran, keikhlasan serta kesungguhan dalam melakukan ibadat puasa, dengan izin Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dia akan berjaya dan mampu melaksanakan tuntutan tersebut kerana inginkan ganjaran yang lebih dan berlipat ganda serta mengharap keredhaan Allah semata-mata.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14377
دليل الألوان
