Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Rawatan Dan Pemeriksaan Gigi: Adakah Membatalkan Puasa?

الجواب

Mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan gigi atau rawatan kerana kesakitan yang disebabkan gigi rosak atau berlubang tidak terkecuali turut berlaku semasa seseorang sedang menjalani ibadat puasa.

Rawatan tersebut setentunya akan melibatkan mulut dan kawasan sekitarnya seperti rongga mulut dan kerongkong. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada ia menjejaskan atau membatalkan puasa seseorang memandangkan salah satu daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga melalui lubang yang terbuka dengan sengaja.

Rongga Mulut

Rongga mulut itu terbahagi kepada had zahir dan had batin. Had zahir mulut itu ialah dari tempat keluar (makhraj) sebutan huruf ‘ح’ (ha’ muhmalah) hingga ke atas mulut termasuk makhraj huruf ‘خ’ (ha’ mu‘jamah). Manakala had batin mulut itu ialah dari tempat keluar (makhraj) sebutan huruf ‘ء’ (hamzah) atau ‘ﻫ’ (ha’ marbûthah) hingga ke bawah (kerongkong).

Perkara yang dikatakan membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu yang dimasukkan ke dalam mulut sehingga ke had batin iaitu tempat keluar (makhraj) sebutan huruf ‘ء’ dan ‘ﻫ’.

Rawatan Dan Pemeriksaan Pergigian Semasa Berpuasa

Hukum sah atau tidak sahnya puasa orang yang menjalani rawatan pergigian itu dilihat kepada beberapa keadaan seperti berikut:

1. Jika rawatan dan pemeriksaan gigi itu hanya melibatkan had zahir atau tidak sampai kepada had batin seperti yang telah dijelaskan, maka puasa seseorang itu adalah sah dan tidak batal.

Sebagai contoh, darah atau air yang dimasukkan ke dalam had zahir mulut itu dikeluarkan atau disedut dengan sesuatu seperti suction (penyedut cecair iaitu alat untuk memindahkan cecair melalui satu tiub untuk dibuang).

2. Jika rawatan dan pemeriksaan gigi itu melibatkan sampai kepada had batin, maka puasa seseorang itu menjadi batal.

Sebagai contoh, darah atau air yang dimasukkan ke dalam mulut itu ditelan (dengan sengaja) sehingga masuk ke had batin mulut adalah membatalkan puasa.

3. Rawatan dan pemeriksaan gigi yang memerlukan suntikan pada gusi tidak membatalkan puasa kerana suntikan itu tidak melalui dan tidak sampai kepada rongga yang terbuka walaupun terasa kesan suntikan itu pada kerongkong disebabkan ia menyerap masuk melalui liang pori atau isi gusi.

4. Menelan air liur yang bersih dan tidak bercampur dengan najis atau benda asing tidak membatalkan puasa. Tetapi jika air liur itu bercampur dengan najis seperti darah atau benda asing yang suci, maka puasa menjadi batal.

Sebagai contoh, menelan air liur yang bercampur dengan darah daripada gusi dan mulut yang belum lagi dibersihkan tetap membatalkan puasa sekalipun air liur itu kembali memutih atau bersih seperti sebelumnya. Begitu juga batal puasa jika menelan air liur yang berubah sifatnya disebabkan benda asing yang suci. Umpamanya, menelan air liur yang bercampur dengan logam yang digunakan untuk menampal gigi sekiranya logam tersebut menyebabkan air liur tersebut berubah sifat seperti berubah warna.

5. Jika seseorang berkumur-kumur kerana ada tujuan yang dibenarkan oleh syara‘, umpamanya berkumur-kumur kerana hendak menghilangkan najis seperti darah yang ada di dalam mulut kesan daripada rawatan yang dijalani dan secara tidak sengaja air sampai ke dalam rongga had batin mulut, maka perkara itu tidaklah membatalkan puasanya.

6. Tidak batal puasa sekiranya semasa rawatan, terdapat kesan darah atau lebihan logam yang digunakan untuk menampal gigi bercampur bersama air liur lalu masuk ke batin mulut tanpa disengajakan dan sukar untuk diasingkan serta diludahkan kerana ia bukan dikira sebagai kecuaian.

Jika seseorang itu menelannya dengan sengaja sedang dia mampu untuk memisahkannya daripada air liur maka puasanya menjadi batal.

Jelasnya, rawatan atau pemeriksaan gigi seperti mencabut, menampal dan membersih gigi apabila dilakukan dengan mengikut dan mengambil kira syarat dan ketentuan sebagaimana yang dinyatakan di atas tidak membatalkan puasa kerana ia hanya melibatkan bahagian zahir rongga mulut sahaja.

Resolusi Majlis Majma‘ Fiqh Islam yang dikeluarkan dalam persidangannya yang ke-10 di Jeddah mengenai “perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam bidang perubatan” menyebutkan bahawa tidak dianggap dalam perkara membatalkan puasa; mengorek, mencabut, membersihkan, memberus gigi atau bersiwak jika dapat dihindari daripada tertelan apa yang mengalir ke dalam kerongkong.

Dari sudut yang lain pula, sekiranya rawatan dan pemeriksaan pergigian itu menurut doktor boleh memudharatkan orang yang berpuasa, maka dia dikategorikan sebagai orang yang sakit dan harus berbuka puasa, akan tetapi wajib dia mengqadha’ puasanya pada hari lain. Jika orang yang berpuasa itu dapat menahan kesakitannya atau kesakitan yang ringan dan tidak membawa kepada kesusahan, maka dalam hal ini tidak harus baginya berbuka puasa.

Sebagai langkah berjaga-jaga adalah disarankan supaya benda-benda yang terkumpul ketika menjalani pemeriksaan dan rawatan pergigian seperti air liur, kahak atau darah hendaklah sentiasa dibuang atau disedut dengan alat perubatan yang disediakan seperti suction.

Menjaga rongga-rongga anggota badan yang dikategorikan sebagai rongga terbuka daripada dimasuki oleh benda-benda yang membatalkan puasa adalah wajib. Oleh kerana itu, mendedahkan rongga-rongga tersebut kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa adalah makruh dan perlu dielakkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14388

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص