Segeralah Mengqadha’ Puasa Ramadhan Yang Terluput
الجواب
Berlalu bulan Ramadhan bukan bermakna patahnya harapan dan semangat bagi para pencari redha Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Segala amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan boleh sahaja dilanjutkan hingga pada bulan-bulan selepasnya. Amalan membaca al-Qur’an, bersedekah, membantu keperluan anak yatim dan sebagainya janganlah terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadhan. Ganjaran pahalanya tetap ada, walau gandaan pahala atau ganjarannya tidaklah menyamai seperti di bulan Ramadhan.
Namun antara semua perkara yang tidak boleh diabaikan apabila berlalunya bulan Ramadhan adalah untuk melunaskan sejumlah puasa Ramadhan yang terluput jangan sampai datang pula bulan Ramadhan tahun yang seterusnya sehingga menyebabkan seseorang itu terpaksa mengeluarkan fidyah kerana kelalaiannya dalam mengqadha’ puasa Ramadhan yang ditinggalkannya.
Mengqadha’ Puasa Ramadhan Satu Kewajipan
Puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib diqadha’ sebanyak hari yang ditinggalkan tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran syara‘.
Puasa yang ditinggalkan disebabkan keuzuran syara‘ seperti perempuan yang didatangi haidh atau disebabkan sakit tidaklah wajib diqadha’ dengan segera. Walau bagaimanapun sunat baginya mengqadha’ dengan segera kerana perkara ini lebih baik sebagai tujuan berjaga-jaga dan berhati-hati.
Perlulah diingat adalah berdosa hukumnya bagi orang yang melengah-lengahkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga masuk ke bulan Ramadhan yang baru tanpa keuzuran yang menyebabkan dia tidak dapat mengqadha’nya seperti sakit yang berpanjangan. Selain itu adalah harus baginya melakukan qadha’ puasa itu dengan berselang-seli harinya. Namun begitu sunat baginya mengqadha’ hari puasa yang ditinggalkannya secara berturut-turut.
Manakala bagi orang yang berbuka puasa dengan sengaja tanpa keuzuran syara‘ adalah diwajibkan mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu dengan segera kerana sesiapa yang berbuka puasa dengan sengaja adalah fâsiq dan wajib ke atasnya bertaubat dengan segera untuk melepaskan dirinya daripada kefâsiqan itu. Tidaklah sah taubatnya itu melainkan jika dia mengqadha’ kesemua puasa yang ditinggalkannya dengan sengaja itu. Jika dia melengah-lengahkan qadha’ puasa itu tanpa keuzuran, nescaya dia berterusan dalam kefâsiqan. Berterusan dalam kefâsiqan itu merupakan suatu dosa.
Hari-Hari Yang Dibolehkan Mengqadha’ Puasa Ramadhan
Puasa qadha’ bulan Ramadhan harus dikerjakan pada bila-bila masa sahaja dan tiada hari yang menjadikannya makruh untuk dikerjakan. Waktu yang ditegah untuk mengerjakan puasa qadha’ hanyalah pada hari-hari yang diharamkan berpuasa. Hari-hari yang disebutkan makruh berpuasa di dalam kitab-kitab fiqh hanyalah untuk puasa sunat sahaja seperti melakukan puasa sunat pada hari Sabtu semata-mata atau pada hari Ahad semata-mata.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh adalah harus mengqadha’ puasa Ramadhan pada sepanjang tahun kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu pada bulan Ramadhan, pada dua Hari Raya iaitu hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha dan pada hari-hari tasyrîq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Adapun bagi sebilangan orang yang keliru mengenai mengqadha’ puasa pada hari Syak; tidaklah ada halangan melakukan puasa qadha’ pada hari tersebut, begitu juga dengan puasa wajib yang lain seperti puasa kaffârah dan puasa nazar.
Bolehkah Melakukan Puasa Sunat Jika Puasa Qadha’ Belum Dilunaskan?
Menurut para ulama Syafi‘iyyah, tidak harus bahkan haram bagi orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran syar‘i mengerjakan puasa-puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha’ puasa yang tertinggal itu.
Puasa-puasa sunat hanya boleh dilakukan oleh orang yang mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan juga dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti perempuan haidh dan nifâs, musafir yang diharuskan berbuka atau orang sakit.
Bolehkah Puasa Qadha’ Disatukan Dengan Puasa Sunat?
Bagi orang yang tidak berpuasa disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ sebagaimana di atas, maka diberikan peluang bagi mereka untuk mengqadha’
puasa seterusnya mendapatkan pahala sunat dengan melakukan kedua-dua puasa (puasa qadha’ dan puasa sunat) sekaligus seperti melakukan puasa qadha’ di samping puasa sunat enam di bulan Syawal.
Cara melakukan kedua-dua puasa itu sekaligus ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat berkenaan dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali iaitu ganjaran puasa qadha’ dan ganjaran puasa sunat.
Ibnu Hajar al-Haitami Radhiallâhu ‘anhu dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib dengan katanya:
Ertinya: Jika diniatkan kedua-duanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau dia berniat salah satunya maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.
Oleh yang demikian orang yang berniat puasa wajib hendaklah dia berniat juga puasa sunat jika dia ingin mendapat ganjaran pahala kedua-duanya. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.
Sebagai kesimpulan, segeralah lunaskan puasa Ramadhan yang terluput sama ada ditinggalkan secara sengaja atau kerana keuzuran syar‘i kerana menyegerakan mengqadha’ puasa akan mengelakkan kita daripada melalaikan qadha’ puasa. Jangan sampai terjadi kita tidak sempat mengqadha’nya. Akibatnya, bukan sahaja kerugian harta kerana mengeluarkan fidyah, bahkan dosa juga ditimpakan kerana mengabaikan suruhan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14399
دليل الألوان
