Rambut Gugur Ketika Dalam Ihram Haji Dan Umrah
الجواب
Antara perkara yang dituntut ke atas setiap orang yang menunaikan ibadat haji dan umrah ialah ihram. Ihram bermaksud berniat pada melakukan haji atau umrah atau kedua-duanya sekali.
Meninggalkan ihram sudah tentu mengakibatkan ibadat haji atau umrah sia-sia kerana ihram merupakan salah satu rukun haji dan umrah. Jika salah satu rukun tidak terpenuhi, ibadat haji atau umrah seseorang itu menjadi tidak sah.
Apabila seseorang itu dalam ihram haji atau umrah, terdapat beberapa perbuatan yang sebelumnya halal menjadi haram sebaik sahaja berniat ihram sehinggalah tahallul dilaksanakan.
Salah satu perkara yang dilarang ketika berihram ialah menghilangkan rambut dari kepala atau dari mana-mana juga bahagian anggota badan.
Maksud Menghilangkan Rambut
Maksud menghilangkan rambut ialah membuang rambut yang tumbuh di bahagian kepala manusia atau selainnya seperti janggut atau bulu yang tumbuh di muka, badan atau anggota badan yang lain walaupun sedikit sama ada dengan mencabut, menanggalkan, memendekkan, menggunting, membakar, memakan atau meminum ubat yang boleh menggugurkan rambut atau apa jua cara sekalipun perbuatan yang boleh menghilangkan rambut atau bulu daripada badan.
Hukum Menghilangkan Rambut Ketika Ihram
Hukum menghilangkan rambut ketika dalam ihram sama ada dengan mencukur atau yang seumpamanya adalah haram dan berdosa ke atas setiap lelaki dan yang selainnya. Larangan tersebut adalah jelas sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk tujuan bertahallul) sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. (Surah al-Baqarah: 196)
Di samping itu, wajib ke atas penjaga anak kecil yang sedang ihram menghalang rambut anak tersebut daripada dicukur, digunting atau yang seumpamanya. Haram ke atas penjaga itu membiarkan rambut anak tersebut dicukur atau yang seumpamanya.
Beberapa Permasalahan Dan Kedudukan Rambut Gugur Ketika Dalam Ihram
1. Membuang, mencukur rambut atau yang seumpamanya dengan sengaja.
Jika rambut gugur disebabkan oleh perbuatan yang disengajakan seperti mencukur, menggunting, mencabut dan seumpamanya ketika sedang berihram tanpa sebarang uzur syar‘i dan dia tahu akan keharaman perbuatan tersebut serta tidak pula dalam keadaan terpaksa, maka hukum melakukannya adalah haram dan berdosa serta diwajibkan fidyah.
Disebutkan di dalam kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa perkara yang disyaratkan dalam keharaman melakukan larangan-larangan semasa berihram itu ialah sengaja melakukannya, tahu akan keharamannya dan bukan di dalam keadaan terpaksa untuk melakukannya.
2. Membuang rambut disebabkan adanya keuzuran syara‘.
Harus mencukur mencabut rambut atau yang seumpamanya jika ia dilakukan kerana adanya keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘, umpamanya mencukur rambut disebabkan banyak kutu atau luka-luka yang menyakitkan. Perbuatan tersebut tidak berdosa tetapi tetap dikenakan fidyah sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Jika sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya semasa dalam ihram itu), maka wajiblah ke atasnya membayar fidyah iaitu dengan berpuasa atau memberi sedekah atau menyembelih binatang (sebagai dam). (Surah al-Baqarah: 196)
Di dalam hadits pula, diriwayatkan daripada Ka‘ab bin ‘Ujrah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Telah datang kepadaku Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika perjanjian Hudaibiyyah (kami dalam ihram), aku menyalakan api di bawah kawah sedang kutu-kutu berkeliaran di mukaku, lalu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya: “Adakah kutu-kutu itu mengganggumu?” Aku menjawab: “Ya”. Baginda kemudian bersabda: “Cukurlah rambutmu dan tunaikanlah puasa sebanyak tiga hari atau berilah makan enam orang miskin atau sembelihlah seekor kambing.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Membuang rambut dan bulu yang ada di sekitar mata.
Harus dan tidak diharamkan mencabut bulu yang menyakitkan yang tumbuh di dalam atau di tengah-tengah kelopak mata dan harus memotong rambut atau bulu kening yang terlalu panjang sehingga menutup atau menghalang pandangan mata tanpa diwajibkan fidyah.
4. Rambut dan bulu yang gugur bersama kulit kepala atau jari.
Tidak diwajibkan fidyah bagi rambut yang gugur bersama kepingan kulit kepala yang terpotong akibat dari perbuatan menggaru kepala, sama ada dilakukan dengan sengaja ataupun tidak atas alasan ia hanya mengikut kulit kepala tersebut dan bukan dengan tujuan untuk membuang rambut. Perbuatan sengaja melakukannya itu tidak menghalang alasan tersebut.
5. Orang yang berihram mencukur rambut orang berihram yang lain.
Haram ke atas orang yang berihram mencukur rambut orang berihram yang lain sebelum dirinya sendiri bertahallul sekalipun dengan keizinan orang yang dicukur itu.
Ulama sepakat mengatakan bahawa tidak diharuskan bagi orang yang berihram mencukur rambut orang berihram yang lain. Jika berlaku yang demikian itu, maka kewajipan fidyah itu tertanggung ke atas orang yang dicukur dan orang yang mencukur diwajibkan ke atasnya memberi makan setengah gantang daripada makanan atau bijirin.
Adapun jika perbuatan mencukur rambut itu dilakukan tanpa keizinan orang yang dicukur, sedang orang yang dicukur itu mampu untuk menghalangnya, maka fidyah itu tertanggung ke atas orang yang dicukur itu. Ini kerana dia mampu untuk menghalangnya dan perlakuan membiarkan itu merupakan suatu kecuaian iaitu dengan mempermudah-mudahkan apa yang telah disyariatkan.
Sebaliknya jika dilakukan tanpa keizinan orang yang dicukur dan dia tidak mampu untuk menghalangnya daripada berlaku, umpamanya kerana tidur, dipaksa, terpaksa, pengsan atau tidak mukallaf seperti kanak-kanak belum mumayyiz, maka kewajipan fidyah tertanggung ke atas orang yang mencukur.
6. Orang yang berihram mencukur rambut orang yang tidak berihram.
Harus bagi orang sedang ihram mencukur rambut orang yang tidak berihram kerana manfaatnya diperolehi orang yang tidak berihram dan ia bukan suatu larangan. Tidak ada sebarang fidyah diwajibkan ke atas kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka.
Akan tetapi jika dilakukan juga tanpa keizinan orang yang tidak berihram itu, maka orang berihram itu menanggung dosa.
7. Orang lain mencukur rambut orang yang berihram.
Jika orang lain mencukur rambut orang yang berihram dengan keizinan orang yang berihram itu sebelum lagi waktu tahallul maka kewajipan fidyah tertanggung ke atas orang berihram yang dicukur rambutnya itu.
Demikian juga tertanggung ke atas diri orang yang berihram itu fidyah, walaupun tanpa keizinannya kerana seorang lain telah mencukur rambutnya sedang dia mampu untuk menghalang rambutnya itu daripada dicukur.
Berlainan pula, jika seseorang itu tidak mampu menghalang rambutnya daripada dicukur umpamanya kerana tidur, dipaksa, terpaksa, pengsan atau tidak mukallaf seperti kanak-kanak belum mumayyiz, maka kewajipan fidyah tertanggung ke atas orang yang mencukur.
Adapun dalam perkara jika seseorang (B), sama ada sedang berihram ataupun tidak, yang telah disuruh oleh seorang yang lain (A), sama ada sedang berihram ataupun tidak, untuk mencukur rambut orang yang sedang berihram (C) dan dia (C) hanya berdiam diri padahal dia mampu untuk menghalangnya, maka wajib ke atasnya (C) fidyah.
Jika dia (C) tidak mampu untuk menghalangnya, maka kewajipan fidyah itu tertanggung ke atas orang yang menyuruh (A) dengan syarat orang yang disuruh (B) itu melakukan perbuatan tersebut dalam keadaan dia (B) jahil, terpaksa atau dia (B) merupakan orang asing yang percaya kepada kewajipan mentaati pemerintah. Jika dia (B) melakukan perbuatan tersebut sedang dia tidak di dalam keadaan sedemikian, maka kewajipan fidyah itu tertanggung ke atasnya (B). 8. Menyikat rambut dan menggaru kepala.
Makruh menyikat rambut bagi orang yang sedang berihram kerana risiko rambut gugur atau tercabut disebabkan perbuatan tersebut amat besar dan haram pula hukumnya menyikat rambut jika dia yakin rambutnya akan gugur atau tercabut disebabkan perbuatan tersebut.
Adapun menggaru atau menggosok kepala dengan kuku semasa berihram hukumnya adalah makruh dan tidak pula dihukumkan makruh jika menggosoknya menggunakan bahagian dalam hujung jari tangan. Selain itu tidak makruh bagi orang yang berihram menggaru badannya.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, tidak ada percanggahan pendapat di kalangan ulama mengenai keharusan menggaru kepala ketika ihram akan tetapi perkara itu dibuat biarlah dengan cara yang elok dan lembut agar rambut tidak mudah tercabut.
Jika seseorang yakin rambutnya telah gugur atau tercabut disebabkan menyikat rambut atau menggaru kepala, maka diwajibkan ke atasnya fidyah.
Akan tetapi jika dia syak atau ragu sama ada rambutnya telah gugur sebelum menyikat rambut atau menggaru kepala ataupun gugur dan tercabut disebabkan perbuatan menyikat atau menggaru itu, maka menurut pendapat ashah (yang lebih shahîh), tidak diwajibkan fidyah ke atasnya kerana kebarangkalian yang tidak pasti.
9. Rambut gugur ketika berwudhu’.
Jika seseorang yang sedang atau selesai berwudhu’ mendapati ada rambut gugur dan yakin bahawa rambut itu adalah rambutnya yang gugur disebabkan dia menggosok kepalanya, maka dia tidak berdosa kerana perbuatan tersebut tidak disengajakan tetapi wajib ke atasnya fidyah. Jika dia mendapati ada rambut yang gugur atau tercabut dan dia tidak yakin bahawa rambut tersebut adalah gugur disebabkan perbuatannya menggosok kepalanya semasa berwudhu’, maka dia tidak berdosa dan tidak wajib ke atasnya fidyah.
10. Mendapati rambut melekat pada serkup kepala.
Sekiranya seorang perempuan yang sedang berihram mendapati ada rambut melekat pada serkup kepalanya, maka tidak diwajibkan ke atasnya fidyah kerana dia tidak sengaja dan tidak bertujuan untuk menggugurkan rambutnya.
Fidyah Yang Wajib Ditunaikan
Fidyah yang diwajibkan ke atas orang yang melanggar larangan membuang atau mencabut rambutnya atau yang seumpamanya adalah termasuk dalam bahagian dam takhyîr dan taqdîr.
Takhyîr bermaksud boleh memilih mana-mana fidyah yang ditetapkan oleh syara‘. Sementara taqdîr pula bermaksud kadar fidyah yang sudah ditentukan syara‘.
Fidyah penuh itu ialah seperti berikut:
1. Menyembelih seekor kambing.
2. Memberi makan enam orang miskin termasuk fakir tiga gantang gandum atau beras atau seumpamanya dengan setiap seorang setengah gantang.
3. Berpuasa tiga hari walaupun tidak berturut-turut.
Orang yang diwajibkan ke atasnya fidyah wajib membayarnya dengan memilih salah satu daripada tiga jenis fidyah di atas.
Diwajibkan fidyah penuh itu ke atas mereka yang gugur tiga helai rambut atau setengah daripada tiap satunya dalam satu masa atau satu tempat.
Yang dimaksudkan dalam satu masa itu ialah perihal rambut gugur secara serentak atau berlaku dalam satu kejadian atau dalam tempoh jarak waktu yang sangat singkat.
Manakala yang dimaksudkan dengan satu tempat itu pula ialah rambut yang gugur dari bahagian anggota badan yang sama. Tidak dikatakan satu tempat jika sehelai rambut gugur dari kepala, sehelai dari janggut dan sehelai dari tangan.
Jika lebih daripada tiga helai rambut atau seluruh rambut di kepala atau badan dicukur, dicabut atau yang seumpamanya dalam satu masa, memadai fidyah itu dengan kiraan fidyah bagi tiga helai rambut gugur iaitu tidak perlu mengasingkan setiap tiga helai rambut daripada seluruh rambut itu untuk satu fidyah kerana ia dikira satu perbuatan sahaja.
Adapun jika rambut gugur secara berasingan (tidak sekaligus iaitu pada tiga tempat atau pada tempat yang sama tetapi berlainan waktu), maka wajib dibayar fidyah itu mengikut ketetapan hukum setiap satu helai rambut itu satu mudd (cupak) makanan gandum atau yang seumpamanya.
Menurut pendapat al-azhhar iaitu pendapat yang râjih daripada pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, diwajibkan bagi setengah helai, sehelai atau satu setengah helai rambut itu satu mudd makanan dan dua mudd bagi dua helai atau dua setengah helai rambut yang gugur.
Dam atau fidyah itu hendaklah ditunaikan di Tanah Haram dan bagi mereka yang memilih untuk berpuasa, dibolehkan melakukan puasa itu secara berselang hari (tidak berturut-turut).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14410
دليل الألوان
