Puasa Pesakit Buasir
الجواب
Puasa itu wajib bagi setiap orang Islam yang mukallaf sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 183)
Namun bagi orang sakit, terdapat kelonggaran jika dia menunaikan ibadat puasa itu menyebabkannya tidak terdaya untuk menunaikan puasa atau puasanya itu akan mendatangkan mudharat atau melambatkan kesembuhan. Kelonggaran berpuasa bagi orang sakit ini disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka, jika dia berbuka), maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)
Sungguhpun begitu, dalam keadaan sakit ada juga orang yang ingin meneruskan puasanya kerana ingin meraih keampunan selain pahala daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di samping menghidupkan Ramadhan sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Penyakit buasir adalah antara penyakit yang dihidapi oleh sebahagian orang. Penyakit buasir ini terjadi di bahagian dubur. Ia terjadi bila saluran urat darah mengembang dan bengkak di sekitar dubur.
Jenis Buasir
Buasir atau hemorrhoids boleh dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu buasir dalaman dan buasir luaran. Buasir dalaman adalah apabila buasir bermula dari dalam saluran dubur. Sementara buasir luaran pula berasal dari kawasan sekeliling lubang dubur.
• Buasir dalaman.
Buasir dalaman ini tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum (bahagian usus besar yang paling bawah). Buasir dalaman tidak berbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang tertekan, teregang dan kadangkala ia boleh pecah dan menyebabkannya berdarah.
• Buasir luaran.
Buasir luaran ini selalu mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir ini tersepit (bekalan darah akan terputus), bekuan darah akan terjadi di dalamnya menyebabkan ia terasa amat sakit.
Apabila sahaja salur darah vena rektum teregang dan terjadinya buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun dengan tekanan atau bebanan yang lebih ringan.
Tahap Buasir
Buasir boleh dibahagikan kepada empat tahap:
Tahap 1: Buasir hanya berdarah saja, tetapi tidak terkeluar dari dubur.
Tahap 2: Buasir terkeluar dan boleh masuk dengan sendirinya, sama ada berdarah atau tidak.
Tahap 3: Buasir terkeluar dan perlu ditolak semula ke dalam dengan jari, sama ada berdarah atau tidak.
Tahap 4: Buasir terkeluar dan tidak boleh langsung dimasukkan semula.
Persoalannya bagaimana kedudukan puasa orang yang menghidap penyakit buasir, apabila buasir itu terkeluar dari duburnya sehingga terpaksa dimasukkan semula ke dalam?
Sebagaimana yang diketahui, antara perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka daripada bahagian tubuh manusia sama ada rongga itu mempunyai kuasa memproses makanan atau ubat ataupun tidak, termasuklah juga rongga dubur.
Sehingga dalam perkara beristinjâ’ atau bersuci pada tempat rongga dubur juga hendaklah berhati-hati semasa sedang berpuasa kerana perbuatan demikian boleh membatalkan puasa jika memasukkan jari atau sesuatu benda seperti air ke dalam rongga dubur atau melebihi had yang diwajibkan beristinja’ atau bersuci.
Adakah perbuatan sedemikian juga dikira membatalkan puasa bagi orang yang menghidap penyakit buasir?
Puasa Bagi Pesakit Buasir
Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan sama ada bagi orang yang ingin meneruskan ataupun tidak meneruskan puasanya kerana terdapat perbezaan bentuk rawatan yang diberikan mengikut tahap penyakit buasir itu sendiri.
Ada yang hanya menggunakan krim bagi mengecutkan buasirnya, ada juga dengan memasukkan kembali buasir yang terkeluar dari dubur itu di samping memakan ubat yang diberikan, dan ada juga dengan memasukkan alat atau ubat ke dalam dubur pesakit.
Secara umumnya, jika puasa itu akan mendatangkan mudharat kepada dirinya, menambahkan sakitnya, melambatkan kesembuhan sakitnya atau puasa itu akan mengekalkan sakitnya, maka harus baginya berbuka puasa Ramadhan tetapi wajib atasnya qadha’. Begitulah juga hukumnya jika puasa itu menghalang dirinya daripada mendapat manfaat perubatan atau rawatan yang boleh menghilangkan sakitnya.
Namun bagi sebilangan orang, walaupun dia menghidap penyakit buasir, tetapi dia ingin meneruskan puasanya kerana masih berdaya dan mampu mengurangkan kesakitan buasirnya dengan hanya menggunakan krim di luaran dubur. Dalam hal ini dia boleh meneruskan puasanya itu.
Melainkan jika rawatan yang dibuat itu dengan menggunakan alat atau ubat yang dimasukkan ke dalam dubur untuk mengurangkan sakit yang dialaminya, maka batal puasanya dan wajib dia mengqadha’ puasanya itu. Ini adalah kerana antara perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka daripada bahagian tubuh manusia sama ada rongga itu mempunyai kuasa memproses makanan atau ubat ataupun tidak, termasuklah juga rongga dubur.
Berlainan halnya jika buasir itu bengkak dan terkeluar daripada dubur, kemudian masuk semula sama ada buasir itu masuk sendiri ke dalam dubur ataupun dimasukkan dengan menggunakan jari kerana dharurat maka perbuatan sedemikian itu tidak membatalkan puasa.
Perkara ini dijelaskan dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib:
Ertinya: Jika memasukkan buasir yang terkeluar (itu semula) ke dalam rongga duburnya dengan jarinya maka tidaklah dikira dia berbuka (puasa) dengan berbuat demikian sebagaimana dishahîhkan oleh al-Baghawi kerana dharurat melakukannya. (Kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib: 6/436)
Maka jelaslah bahawa memasukkan buasir yang terkeluar dari dubur sama ada masuk dengan sendirinya ataupun dimasukkan dengan jari kerana dharurat tidaklah membatalkan puasa.
Demikianlah penjelasan mengenai kedudukan puasa orang yang menghidap penyakit buasir yang perlu difahami supaya pesakit berkenaan akan terus berpuasa melainkan jika ia mendatangkan mudharat ke atasnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14496
دليل الألوان
