Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية٠ مشاهدة

Mengelakkan Riba Dalam Pertukaran Emas

الجواب

Emas adalah sejenis logam yang diciptakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia merupakan harta yang sangat berharga bagi manusia, menjadi kegemaran terutamanya kaum wanita sebagai perhiasan diri di samping lain-lain tujuan seperti menjadikannya harta simpanan mereka.

Warna kekuningan emas serta rekaannya dalam pelbagai bentuk baharu menjadi tarikan orang ramai. Tidak hairanlah mengapa seseorang itu sanggup berbelanja besar untuk memilikinya atau mengorbankan emas lama mereka sebagai pertukaran demi mendapatkan emas baharu dengan rekaan baharu.

Menyentuh mengenai pertukaran emas lama kepada emas baharu ini, pada kebiasaannya pekedai akan menilai terlebih dahulu emas lama itu sebelum pelanggan memilih emas baharu yang senilai dengan emas lama atau menambah harganya apabila nilai emas baharu itu lebih tinggi daripada nilai emas lama. Persoalannya adakah cara transaksi sebegini diharuskan oleh syara‘ ataupun sebaliknya?

Dalam keghairahan kita untuk memiliki emas baharu dengan rekaan baharu itu, perlulah berhati-hati kerana tanpa disedari dalam urusan jual beli emas itu boleh menyebabkan riba. Oleh itu eloklah dijelaskan terlebih dahulu pandangan syara‘ mengenai jual beli emas sebelum menjawab persoalan pertukaran emas lama kepada emas baharu.

Emas Harta Ribawi

Emas adalah salah satu daripada harta ribawi (harta yang boleh membawa kepada berlakunya riba) yang telah disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Apabila syarat dalam urusan pertukaran atau jual beli harta ribawi itu tidak dipatuhi nescaya jatuhlah ia kepada riba sama ada riba al-fadhl, riba al-yad atau riba an-nasa’, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin ash- Shamit Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam, serupa dengan serupa, sama dengan sama (serupa atau sama jumlah dan jenisnya), tunai dengan tunai (tidak bertangguh kedua-duanya). Adapun jika berlainan jenis-jenis ini (seperti emas dengan perak atau kurma dengan garam) maka berjual belilah kamu sebagaimana kamu mahu jika ia langsung (lani) dengan langsung (lani). (Hadits riwayat Muslim)

Jenis-Jenis Riba Dalam Jual Beli Emas

Berjual beli emas walaupun ia harus namun tidak dinafikan ia boleh menjadi haram apabila cara bermuamalatnya dengan cara riba. Riba dalam jual beli emas terbahagi kepada tiga jenis:

1. Riba al-fadhl: Iaitu jual beli harta ribawi daripada jenis yang sama dan salah satu pertukarannya berlebihan daripada yang lain. Sebagai contoh berjual beli emas 100 gram dengan emas 120 gram.

2. Riba al-yad: Iaitu jual beli harta ribawi (sama ada harta tersebut daripada satu jenis yang sama seperti jual beli emas dengan emas ataupun daripada jenis yang berbeza seperti jual beli emas dengan perak) dengan mengakhirkan atau menangguhkan qabdh (pemilikan atau penerimaan) kedua-dua pertukaran ataupun salah satunya. Sebagai contoh berjual beli emas dengan emas sedang pembeli atau penjual atau kedua-duanya menerima emas itu kemudian.

3. Riba an-nasa’: Iaitu jual beli harta ribawi (sama ada harta tersebut daripada satu jenis yang sama ataupun daripada jenis yang berbeza) dengan bertempoh. Sebagai contoh berjual beli emas pada hari ini dengan bayarannya di bulan hadapan.

Perbezaan di antara riba al-yad dan riba an-nasa’ ialah bahawa riba al-yad itu terjadi disebabkan kelambatan qabdh (pemilikan atau penerimaan) barang di dalam majlis akad sedangkan jual belinya itu adalah berbentuk langsung (lani) dan tidak disyaratkan dalam akad bahawa ia bertempoh atau bertangguh. Adapun riba an-nasa’ itu terjadi kerana disebutkan syarat bertempoh atau bertangguh di dalam akad.

Ketiga-tiga jenis riba ini adalah haram, sebagaimana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah mengingatkan supaya jangan berjual beli emas dengan emas secara riba (sama ada dalam bentuk atau jenis riba al-fadhl, riba al-yad atau riba an-nasa’), Baginda bersabda:

Maksudnya: Janganlah kamu berjual beli emas dengan emas kecuali sama jumlahnya serta janganlah kamu melebihi atau mengurangi sebahagiannya dari sebahagian yang lain. Dan janganlah kamu berjual beli perak dengan perak kecuali sama jumlahnya serta jangan melebihi atau mengurangi sebahagiannya dari sebahagian yang lain. Dan janganlah kamu berjual beli (emas perak) dengan sebahagian secara langsung (lani) dan sebahagian lagi ditangguhkan. (Hadits riwayat Muslim)

Syarat-syarat Jual Beli Emas

Syarat-syarat jual beli emas itu pula dibahagikan kepada dua bahagian:

1. Jual beli sejenis. Sebagai contoh, jual beli emas dengan emas. Dalam hal ini, jika serupa jenisnya emas dengan emas maka syarat-syarat bagi jual beli tersebut adalah seperti berikut:

i. Hendaklah sama jumlahnya seperti jual beli 100 gram emas dengan 100 gram emas. Jika tidak sama jumlahnya seperti jual beli 100 gram emas dengan 120 gram emas maka hukumnya adalah haram kerana termasuk dalam jenis riba al-fadhl.

ii. Hendaklah penyerahan kedua-dua emas itu secara langsung (lani) dan diterima sebelum penjual dan pembeli berpisah daripada majlis akad. Jika penyerahan kedua-dua emas ataupun salah satunya bertempoh atau bertangguh, dan penerimaan kedua-dua emas ataupun salah satunya terjadi setelah berpisah daripada majlis akad, maka hukumnya adalah haram kerana termasuk dalam jenis riba an-nasa’ dan al-yad.

2. Jual beli berbeza jenis tetapi mempunyai ‘illah riba yang sama (naqdiyyah). Sebagai contoh, jual beli emas dengan perak. ‘Illah riba bermaksud sebab riba iaitu sama ada naqdiyyah (emas dan perak) atau tha‘miyyah (makanan seperti gandum, beras dan lain-lain).

Jika jual beli emas dengan sesuatu yang berlainan jenisnya tetapi sama ‘illah ribanya iaitu perak, maka syarat bagi jual beli tersebut adalah seperti berikut:

i. Hendaklah penyerahan kedua-dua barang (emas dan perak) itu secara langsung (lani). Jika penyerahan kedua-duanya ataupun salah satunya bertempoh atau bertangguh maka hukumnya adalah haram kerana termasuk dalam jenis riba an-nasa’.

ii. Hendaklah kedua-dua barang itu diterima sebelum penjual dan pembeli berpisah. Jika penerimaan kedua-duanya ataupun salah satunya terjadi setelah berpisah daripada majlis akad, maka hukumnya adalah haram kerana termasuk dalam jenis riba al-yad.

Adapun jika ‘illah riba itu tidak sama seperti jual beli emas dengan beras, jual beli seperti ini tidaklah terikat dengan syarat-syarat tersebut iaitu sama jumlah, penyerahan kedua-dua barang secara langsung (lani) dan diterima sebelum penjual dan pembeli berpisah daripada majlis akad.

Perbezaan di antara kedua-dua bahagian ini ialah pada syarat bahawa jumlah timbangan emasnya hendaklah sama. Ia hanya disyaratkan pada jual beli emas dengan emas. Adapun jual beli emas dengan jenis yang lain adalah dibolehkan salah satunya melebihi berat timbangan yang lain, seperti jual beli 100 gram emas dengan 500 gram perak dengan syarat penyerahan dan penerimaannya dibuat secara langsung.

Pertukaran Emas Lama Kepada Emas Baharu

Transaksi pertukaran emas lama kepada emas baharu di kedai-kedai emas, pada kebiasaannya pekedai akan menilai harga terlebih dahulu emas lama yang hendak ditukar. Setelah dinilai harga, pelanggan diminta untuk memilih emas baharu mengikut nilaian harga emas lama atau menambah bayaran jika melebihi nilaian harga tersebut tanpa mengambil kira berat emas yang menjadi pertukaran itu.

Sebagai contoh, emas lama seberat 3 gram dinilai oleh pekedai dengan harga $90. Kemudian pelanggan akan memilih emas baharu yang senilai $90 tanpa mengira berat emas baharu tersebut sama ada ia sama berat, lebih berat atau lebih ringan timbangannya. Jika harga emas baharu itu melebihi $90, maka pelanggan diminta untuk menambah bayaran yang lebih itu.

Dalam contoh transaksi di atas, jika pertukaran emas lama dengan emas baharu itu tidak sama berat timbangannya seperti 3 gram emas lama dengan 2 gram emas baharu atau 3 gram emas lama dengan 4 gram emas baharu, maka hukumnya adalah haram kerana berat timbangannya berbeza dan ia termasuk dalam jenis riba al-fadhl.

Adapun jika pertukaran emas lama dengan emas baharu itu berat timbangannya sama seperti 3 gram emas lama dengan 3 gram emas baharu, maka tidaklah ia termasuk dalam jual beli riba kerana berat timbangannya adalah sama. Akan tetapi jika ada penambahan sebarang harga di samping penyerahan kedua-dua emas yang sama berat timbangannya itu, maka hukumnya adalah haram kerana ada penambahan harga dan ia termasuk dalam jenis riba al-fadhl. Sebagai contoh pertukaran rantai emas baharu seberat 5 gram dengan gelang emas lama seberat 5 gram berserta wang tambahan sebanyak $100.

Penyelesaian Bagi Transaksi Pertukaran Emas Lama Kepada Emas Baharu

Sebagai jalan keluar bagi mengelakkan transaksi yang mengandungi unsur riba dalam transaksi pertukaran emas lama dengan emas baharu di kedai-kedai emas pada masa ini (jika dia pekedai orang Islam), adalah disarankan untuk mengikut langkah-langkah berikut:

1. Setelah pekedai menilai emas lama milik pelanggan, hendaklah terlebih dahulu melakukan transaksi jual beli emas lama tersebut dengan harga yang dipersetujui. Iaitu pelanggan menyerahkan emas lama untuk dijual kepada pekedai. Kemudian pekedai menyerahkan wang secara langsung (lani) kepada pelanggan.

2. Setelah selesai urusan jual beli emas lama dengan penyerahan dan penerimaan kedua-dua barang transaksi, baharulah selepas itu dilaksanakan jual beli emas baharu dengan harga yang dipersetujui.

Dalam hal ini, hendaklah kedua-dua transaksi jual beli (1) dan (2) di atas dalam majlis akad yang berasingan dan janganlah ia dalam satu majlis akad yang sama. Ini kerana jika ia dilakukan dalam satu majlis akad yang sama maka ia termasuk dalam larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terhadap dua bentuk jual beli dalam satu transaksi. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang daripada dua bentuk jual beli dalam satu transaksi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Balasan dan Akibat Riba

Pemakan riba apabila dibangkitkan dari kubur pada Hari Kiamat nanti seperti orang gila dan seperti orang yang dirasuk syaitan, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Orang-orang yang memakan riba tidak akan dapat bangkit (dari kubur pada Hari Kiamat) melainkan seperti berdirinya orang-orang yang dirasuk syaitan (dengan keadaan terhuyung-hayang) kerana rasukan (syaitan) itu. (Surah al-Baqarah: 275)

Memakan riba termasuk dalam kategori dosa-dosa besar dan ia tergolong daripada tujuh perkara yang membinasakan. Ini kerana ia boleh menyebabkan orang yang memakan riba itu rosak dan binasa. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Kamu jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Orang bertanya: “Apakah ia wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan alasan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, melarikan diri daripada pertempuran dan menuduh berbuat zina terhadap wanita muhshan yang lalai daripada melakukan dosa lagi beriman. (Hadits riwayat Muslim)

Pemakan riba dilaknat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan pemakan riba jauh daripada mendapat rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini termasuk juga orang yang memberi makan riba, pencatit dan saksinya. Diriwayatkan daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat pemakan riba, pemberi makan riba, kedua-dua saksi dan pencatatnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Demikianlah penjelasan mengenai transaksi pertukaran emas lama dan emas baharu yang perlu kita ketahui. Sungguhpun transaksi yang diamalkan di kedai-kedai emas itu pada zahirnya seolah-olah seperti jual beli biasa yang tidak menyalahi kehendak-kehendak syara‘, namun pada hakikatnya ia boleh menyumbang kepada muamalat riba. Oleh itu, kita perlu berhati-hati khususnya dalam urusan jual beli emas ini agar kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang dilaknat oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14548

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص