Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah: Kurang Kefahaman Punca Pertikaian
الجواب
Negara Brunei Darussalam telahpun menguatkuasakan fasa pertama pelaksanaan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah pada 1hb Mei 2014. Alhamdulillâh, peristiwa bersejarah ini telah diisytiharkan sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 30hb April 2014.
Tidak syak lagi ia merupakan rahmat dan ni‘mat yang besar bagi Negara Brunei Darussalam. Sungguhpun begitu, pada saat pengisytiharannya malah sebelum itu lagi, telah muncul golongan-golongan yang mempertikai pelaksanaan hukuman ini. Apa yang menghairankan dan amat menyedihkan, sebahagian golongan yang mempertikai itu termasuk daripada kalangan orang Islam sendiri.
Mereka bukan sahaja mendakwa hukuman kanun ini tidak sesuai dilaksanakan pada zaman ini malah mereka juga mengatakan ia adalah hukuman zaman kuno. Lebih dahsyat lagi, mereka mendakwa hukuman ini zalim dan tidak adil. Antara mereka ada yang merasa takut apabila hukuman ini dilaksanakan kononnya ramailah orang akan kudung atau tidak bertangan, orang akan mati dihukum bunuh, direjam dan disebat. Demikian juga sebahagian mereka bimbang tidak akan ada pelancong datang melawat, ekonomi akan merosot dan bermacam-macam lagi alasan dan andaian yang mereka luahkan, semata-mata mengikut akal dan logik mereka sendiri. Sebenarnya cakap-cakap dan dakwaan-dakwaan begini timbul berpunca daripada kurangnya kefahaman mereka mengenai hukuman ini. Mereka mempertikai hukuman ini dengan tidak berbekalkan ilmu yang mendalam mengenainya, bahkan mereka hanya mengikut akal dan logik serta mengambil pendapat daripada orang-orang yang bukan ahlinya sehingga menimbulkan dakwaan dan takwilan yang bermacam-macam.
Di manakah letaknya iman kita kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, Rasul dan kitabNya? Bukankah undang-undang ini kepunyaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana disebut oleh al-Qur’an mahupun melalui hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam?
Orang yang beriman tidak akan mengingkari apa yang diturunkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada RasulNya malah mereka akan patuh mentaatinya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Rasulullah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan begitu juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan di antara seorang dengan yang lain daripada rasul-rasulNya.” Mereka berkata lagi: “Kami dengar dan kami taat (suruhan Engkau). (Kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami dan kepadaMu jualah tempat kembali.” (Surah al-Baqarah: 285)
Ingatlah, akibat orang yang tidak mengakui hukum-hukum Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu boleh merosakkan aqidah dan membawa kepada kekufuran.
Hukum Allah Itu Adil
Ketahuilah bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu Maha Adil dan Dia meletakkan hukumNya dengan adil. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak menghukum hamba-hambaNya melainkan hanya kepada orang yang berbuat dosa. Allah sama sekali tidak menzalimi hambaNya malahan merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesiapa yang mengerjakan amalan salih maka (faedahnya) untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka mudharatnya akan menimpa dirinya sendiri, dan Tuhanmu sekali-kali tidak berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. (Surah Fushshilat: 46)
Hukum Allah Itu Sesuai Sepanjang Zaman
Sesungguhnya hukum Allah itu sesuai untuk sepanjang zaman, dari zaman dahulu hingga sekarang malah sesuai pada bila-bila masa. Contohnya hukuman sebat, ia juga masih terpakai dalam undang-undang sivil di zaman sekarang akan tetapi cara sebatan dan kesannya adalah jauh berbeza daripada sebatan dalam hukuman jenayah Islam.
Sebatan dalam undang-undang sivil bermatlamat untuk menghukum pesalah semata-mata dengan sebatan yang keras dan memeritkan sehingga menyebabkan pesalah menderita sepanjang hayat.
Ini berbeza dengan sebatan yang dilaksanakan dalam hukuman jenayah Islam, ia bermatlamat untuk membersihkan rohani, mengasuh dan mendidik pesalah dan juga masyarakat. Cara sebatannya pula tidak menyeksakan sepertimana sebatan undang-undang sivil. Ia dilakukan dengan sebatan sederhana dengan cara mengangkat tangan perlahan-lahan dan tidak mengangkatnya tinggi sehingga ke paras kepala.
Apa yang ingin disentuh di sini, hukuman sebat itu masih juga diterima pada zaman ini sungguhpun pelaksanaannya berbeza dengan hukum Allah. Persoalannya mengapa sebatan dalam hukum Allah itu dipertikai kesesuaiannya walhal ia jauh lebih rasional berbanding sebatan dalam undang-undang sivil yang hanya semata-mata menghukum dan menyeksa pesalah? Jelaslah bahawa sebatan dalam hukum Allah itu sesuai di sepanjang zaman. Demikianlah juga dengan lain-lain hukuman. Ia diletakkan dengan kebijaksanaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang Maha Tinggi IlmuNya.
Hikmah Pensyariatan Undang-Undang Jenayah Syar‘iah
Sungguhpun pada Hari Kiamat nanti Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjanjikan azab dan balasan ke atas orang-orang yang berbuat dosa, namun ia tidak menghalang manusia daripada melakukan kemudharatan terhadap kepentingan individu dan masyarakat dalam kehidupan di dunia. Oleh itu, disyariatkan hukuman bagi menjamin kesejahteraan manusia di setiap zaman dan tempat sehinggalah jenayah dan perbuatan yang merosakkan di muka bumi ini yang sukar untuk diperbaiki melainkan dengan cara dihukum dapat dibendung.
Cuba kita perhatikan dan amat-amati jenayah curi contohnya, betapa mangsa curi itu bersusah payah membanting tulang pada siang dan malam untuk mendapatkan rezeki bagi menyara hidup diri dan keluarga, di samping memenuhi keperluan yang lain seperti membaiki rumah, membeli kenderaan, ubat-ubatan dan keperluan sekolah anak-anak serta menabung untuk keperluan masa hadapan, keperluan menunaikan haji, melakukan amal jâriah dan sebagainya. Tiba-tiba pencuri datang mengambil hak mangsa lalu terputuslah niat dan tujuan murni mereka dalam menyalurkan pendapatan mereka itu.
Dalam jenayah curi, bukan sahaja harta mangsa diambil malahan juga harta benda mereka yang lain turut binasa dan kadang-kadang membawa kepada pertumpahan darah serta kehormatan dicabuli. Ia juga menyebabkan kemunduran, bencana dan menggugat keamanan negara.
Jenayah curi itu adalah umpama anggota yang rosak dalam tubuh badan masyarakat yang wajib dihapuskan. Oleh itu, di sinilah hikmatnya Islam mensyariatkan hukuman potong terhadap anggota badan yang membantu perbuatan curi iaitu tangan yang mencapai sesuatu yang dicuri dan kaki yang pergi menuju ke tempat curi. Hukuman ini bukan sahaja membersihkan rohani, mendidik dan menginsafkan pesalah bahkan juga ia menghalang sesiapa sahaja daripada melakukan jenayah tersebut dan akhirnya hidup pun amanlah daripada ancaman-ancaman jenayah curi.
Prosedur Hukum Allah Itu Kemas
Hukuman-hukuman ini tidaklah dilaksanakan selagi belum memenuhi prosedur pentsabitan dan pembuktiannya yang tertentu. Ia sangat kemas lagi berhati-hati dalam menangani sesuatu kes. Contohnya dalam kes curi, banyak sudut yang perlu dinilai sebelum menjatuhi hukuman seperti jumlah yang dicuri, tempat menyimpan atau cara disimpan benda yang dicuri. Begitu juga dalam kes zina, seperti mesti ada empat orang saksi yang ‘âdil dan mereka ini tidak boleh bercanggah dalam memberi keterangan masing-masing. Namun kedua-dua kes ini tidak akan terlepas daripada hukuman ta‘zîr.
Demikian juga dengan jenayah-jenayah yang lain, ia ditangani dengan teliti sebelum menjatuhi hukuman sebagaimana dalam undang-undang sivil yang memerlukan adanya pentsabitan dan pembuktian yang kukuh. Malahan dalam prosedur pentsabitan dan pembuktian dalam hukum Allah itu jauh lebih kemas, teliti dan halus berbanding undang-undang sivil. Tahap pembuktian untuk menjatuhkan hukuman mestilah mencapai tahap yakin. Tidak memadai jika hanya mencapai tahap melampaui keraguan munasabah.
Dalam hukum Allah, saksi yang ‘âdil dan tidak fâsiq adalah menjadi kemestian. Pada lazimnya sifat ‘âdil ini datangnya daripada orang-orang yang beriman. Ini kerana dengan iman itulah mereka tidak melakukan maksiat dan boleh diharap amanah mereka. Ini berbeza dengan undang-undang sivil yang tidak mengambil kira tentang saksi yang ‘âdil. Ia boleh sahaja daripada sebarang orang walaupun kanak-kanak dan orang bukan Islam.
Betapa hukum Allah itu cukup sempurna, kemas dan teliti. Siapakah kita untuk mempertikaikan hukum Allah Ta‘ala. Siapakah kita berbanding dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang Maha Luas IlmuNya.
Apa yang penting, kita hendaklah berhati-hati dan jangan sewenang-wenangnya mempertikai hukum Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini kerana ia boleh merosakkan aqidah dan membawa kepada kekufuran. Fahamilah dan pelajarilah hukum-hukum Allah ini dan bertanyalah kepada orang yang benar-benar tahu dan mahir mengenainya agar diri tidak terpesong dari jalan yang benar.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14596
دليل الألوان
