Nilai Sariqah Dan Kaitannya Dengan Hukuman Hadd
الجواب
Sariqah atau mencuri bermaksud mengambil atau memindah dengan bersembunyi-sembunyi harta alih daripada hirz atau milikan tuan yang empunya harta itu tanpa pengetahuan dan persetujuannya, dilakukan dengan niat untuk menghilangkan harta tersebut daripada kawalan atau milikan tuannya itu.
Adapun maksud hirz dalam definisi sariqah di atas ialah penjagaan atau tempat penyimpanan sesuatu harta menurut kesesuaiannya berdasarkan hukum syara‘, di mana dengan menjaga atau menyimpan harta dalam hirz itu pemilik harta itu tidak dikira sebagai cuai dalam menjaga hartanya.
Hukuman bagi jenayah sariqah dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah yang diwartakan pada 16 Zulhijah 1434 Hijrah bersamaan 22 Oktober 2013 Masihi ialah hukuman hadd potong tangan kanan pada sendi pergelangannya bagi kesalahan pertama dan hukuman hadd potong kaki kiri sehingga ke buku lali bagi kesalahan kedua. Manakala bagi kesalahan ketiga serta berikutnya pula akan dihukum secara ta‘zîr iaitu penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun.
Hukuman hadd ke atas pesalah jenayah sariqah ini wajib dijalankan kerana ia merupakan hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta perintahNya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Adapun orang lelaki dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah (pergelangan) tangan (kanan) mereka sebagai balasan terhadap apa yang mereka telah lakukan dan sebagai seksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Mâ‘idah: 38)
Hukuman hadd bagi jenayah sariqah ini dilaksanakan dengan penuh berhemah bagi mengajar, menta‘dîb, mendidik serta bagi membanteras jenayah sariqah, sekaligus menolak segala kerosakan serta kesan buruk yang berlaku akibat perbuatan jenayah itu. Pelaksanaan hukuman hadd ini juga boleh memberikan pengajaran kepada pencuri supaya tidak lagi melakukannya sekaligus memberikan peringatan kepada orang lain supaya jangan sekali-kali melakukannya.
Walau bagaimanapun, hukuman hadd tidak sekali-kali dijalankan secara sembarangan atau selarah-larahnya. Ia tertakluk kepada beberapa peraturan, sukat-sukat (garis panduan) serta pensyaratan yang sangat ketat lagi teliti. Salah satu syarat yang perlu dipenuhi bagi pentsabitan hukuman hadd ini ialah nilai harta benda sariqah itu hendaklah mencapai nishâb.
Nishâb ataupun nilai sariqah yang dikenakan hukuman hadd sepertimana yang termaktub dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah ialah satu dinar, iaitu 4.25 gram emas ataupun nilainya dalam mata wang tempatan pada masa kesalahan sariqah dilakukan. Jadi jika harga pasaran satu gram emas ialah 80 ringgit Brunei, maka kadar nishâb bagi sariqah yang dikenakan hukuman hadd dalam matawang Brunei Darussalam adalah 340 ringgit Brunei.
Dalam perkara nishâb bagi nilai sariqah ini, beberapa perkara perlu diambil perhatian dan dipertimbangkan dengan teliti, yang akan menentukan sama ada hukuman hadd boleh ditsabitkan ke atas pelaku sariqah atau sebaliknya. Jika kita merujuk kepada pandangan para ulama dalam mazhab asy-Syafi‘e, antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah:
1. Harta benda sariqah dinilai berdasarkan nilai harta benda tersebut pada ketika sariqah dilakukan.
Dalam kaedah penentuan sama ada nilai sariqah mencapai nishâb ataupun sebaliknya, jumlah nilai sariqah itu adalah dinilai berdasarkan nilai harta benda sariqah pada ketika sariqah dilakukan daripada hirz.
Oleh itu, jika ketika sariqah itu dilakukan nilai harta benda sariqah itu adalah satu dinar, maka hukuman hadd akan dikenakan kepada pencuri itu walaupun setelah sariqah selesai dilakukan nilai harta benda sariqah itu turun daripada nilai asalnya iaitu menjadi kurang dari satu dinar. Dalam hal ini, tidak ada perbezaan sama ada nilai sariqah itu berkurang kerana perbuatan si pencuri itu sendiri, ataupun kerana turunnya harga pasaran harta benda sariqah itu.
Salah satu contoh nilai sariqah berkurang kerana perbuatan si pencuri itu sendiri ialah umpamanya pencuri itu mencuri sesuatu yang bernilai satu dinar, kemudian setelah mencurinya, dia lalu memakan sebahagian hasil sariqahnya itu. Maka dengan sendirinya, ini telah mengurangkan nilai sariqahnya itu daripada nilai asalnya pada ketika pencuri itu melakukan sariqah. Jadi dalam hal ini, walaupun nilai sariqah itu berkurang kerana dimakan oleh pencuri itu, hukuman hadd tetap akan dikenakan ke atasnya kerana ketika sariqah dilakukan nilai harta benda sariqah tersebut adalah satu dinar.
Berbeza halnya jika ketika sariqah dilakukan, nilai harta benda sariqah itu tidak sampai satu dinar, iaitu tidak sampai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd. Dalam hal ini, hukuman hadd tidak akan dikenakan walaupun nilai harta benda sariqah itu bertambah mencapai nilai satu dinar setelah sariqah selesai dilakukan.
2. Tidak disyaratkan pengetahuan pencuri tentang nilai curiannya.
Dalam pentsabitan hukuman hadd dalam jenayah sariqah, tidak disyaratkan sama ada si pencuri itu mengetahui ataupun tidak bahawa nilai curiannya itu telah mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd. Jadi selagimana nilai curiannya mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd, maka hukuman hadd tetap akan ditsabitkan ke atasnya, tanpa dibezakan sama ada dia tahu ataupun tidak akan nilai curiannya itu.
Sekiranya pencuri itu bermaksud untuk mencuri sesuatu yang pada sangkaannya kurang daripada nishâb, iaitu kurang daripada nilai satu dinar, lalu dia secara tersilap ataupun secara tidak sengaja terambil nilai yang mencapai nishâb, maka hukuman hadd tetap akan ditsabitkan ke atasnya kerana dia dikirakan telah mengambil nilai yang mencapai nishâb daripada hirznya dengan niat untuk melakukan sariqah. Sebagai contoh, seorang pencuri mencuri sehelai baju yang lusuh yang nilainya tidak seberapa, akan tetapi tanpa pengetahuannya, dalam kocek baju yang lusuh itu terdapat wang ataupun sesuatu benda yang nilainya satu dinar. Maka dalam hal ini, hukuman hadd ditsabitkan ke atasnya walaupun dia tidak mengetahui tentang wang ataupun benda yang berada dalam kocek baju tersebut ketika dia mencuri baju itu.
Adapun jika pencuri itu mencuri sesuatu yang pada sangkaannya mencapai nishâb, lalu setelah melakukan sariqah ternyata nilai curiannya itu tidak mencapai nishâb, contohnya seorang yang mencuri peti yang pada sangkaannya berisi harta mencapai nilai satu dinar, lalu setelah selesai melakukan sariqah, ternyata peti itu kosong tidak berisi, maka hukuman hadd tidak boleh ditsabitkan ke atasnya.
3. Nilai sariqah yang mencapai nishâb bagi pentsabitan hukuman hadd adalah bagi hasil satu kali sariqah.
Bagi mentsabitkan hukuman hadd, hendaklah jumlah nilai curiannya itu mencapai nishâb dalam satu kali sariqah. Maka jumlah hasil curiannya yang pertama, tidak akan dicampur dengan hasil jumlah curiannya yang kedua serta seterusnya.
Jadi sekiranya seorang pencuri itu telah berulang kali melakukan sariqah, tetapi hasil setiap satu kali curiannya itu tidak mencapai nishâb, misalnya setiap kali melakukan sariqah, dia hanya mencuri nilai setengah dinar, maka hukuman hadd tidak akan ditsabitkan ke atasnya, walaupun jika dicampurkan jumlah hasil keseluruhan setiap sariqah yang dilakukannya itu ia mencapai ataupun melebihi nishâb. Ini kerana salah satu syarat bagi mentsabitkan hukuman hadd, hendaklah jumlah nilai curiannya itu mencapai nishâb dalam satu kali sariqah.
4. Hasil sariqah yang nilainya mencapai nishâb itu adalah bagi setiap seorang pelaku sariqah
Nilai sariqah yang mencapai nishâb yang mewajibkan pentsabitan hukuman hadd hanya diambil kira jika nilai satu dinar itu dimiliki oleh setiap seorang pelaku sariqah. Maka jika ada dua orang pelaku sariqah yang bersekutu melakukan sariqah dan nilai keseluruhannya adalah satu dinar, lalu harta sariqah itu dibahagi dua, iaitu setengah dinar tiap seorang, maka hukuman hadd tidak akan dikenakan kerana bahagian tiap seorang tidak mencapai nishâb.
Adapun jika dua orang pelaku sariqah bersekutu memasuki atau mencerobohi hirz dan bekerjasama melakukan sariqah yang nilainya mencapai dua kali nishâb dan tiap seorang daripada mereka masing-masing memperolehi satu nishâb iaitu nilai satu dinar hasil daripada sariqah tersebut, maka hukuman hadd tsabit ke atas kedua-dua orang pencuri itu kerana tiap seorang daripada mereka itu dikirakan telah mencuri nilai satu nishâb. Maka dalam hal ini, tidak ada beza sama ada tiap seorang daripada dua orang pencuri yang bersekutu itu melakukan pemindahan harta sariqah dengan nilai yang sama daripada hirznya, ataupun salah seorang daripada pencuri tersebut hanya memindahkan sebilangan kecil sahaja daripada harta sariqah itu, iaitu tidak sampai satu nishâb, manakala bakinya dipindahkan oleh yang seorang lagi. Ini kerana tiap seorang daripada mereka dikirakan telah bersekutu dalam melakukan sariqah yang bernilai dua kali nishâb tersebut.
5. Harta benda sariqah yang sampai nishâb itu diiktiraf mempunyai nilai dari segi syara‘.
Tidak semua harta benda itu mempunyai nilai dari segi syara‘ walaupun dalam pasaran harganya mencecah ribuan mahupun jutaan ringgit. Dalam perkara jenayah sariqah, hukuman hadd tidak akan dikenakan kecuali jika harta benda sariqah yang mencapai nishâb itu diiktiraf mempunyai nilai dari segi syara‘.
Maka dari itu, jika barang sariqah itu tidak mempunyai nilai atau tidak berharga dari segi syara‘, umpamanya arak, babi, anjing, kulit bangkai yang belum disamak dan yang seumpamanya, maka hukuman hadd tidak dikenakan ke atas pencuri tersebut. Ini kerana semua harta yang telah disebutkan itu bukannya harta dan tidak ada nilainya dari segi syara‘ walaupun dalam pasaran harga barang sariqah tersebut mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd.
Adapun jika seseorang itu mencuri arak yang disimpan dalam sebuah bekas dan nilai bekas itu mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd, maka hukuman hadd ditsabitkan ke atas pencuri tersebut kerana nilai bekas arak itu.
Termasuk juga dalam kategori tidak bernilai dan tidak berharga dari segi syara‘ ini ialah setiap alat hiburan yang melalaikan seperti peralatan muzik yang ditegah oleh syara‘ umpamanya gambus dan serunai, begitu juga segala alat-alat maksiat seperti salib, berhala, buku-buku lucah, buku-buku sihir dan sebagainya. Jadi jika benda-benda seperti ini yang dicuri, maka hukuman hadd tidak dikenakan ke atas pencuri itu walaupun pemilik membelinya dengan harga ribuan ringgit. Ini kerana dari segi syara‘, benda-benda tersebut tidak bernilai dan tidak berharga.
Berbeza halnya jika pecahan atau bahagian tertentu daripada benda-benda seperti gambus atau buku-buku maksiat itu mempunyai nilai dari segi syara‘ setelah ia dipecahkan, dipatahkan atau dirosakkan. Jika pencuri itu, misalnya memecahkan gambus itu, lalu dia mencuri beberapa bahagian berharga daripada pecahan bekas gambus itu dengan niat untuk mencuri semata-mata, dan bahagian yang dicurinya itu mencapai nishâb sariqah yang mewajibkan hukuman hadd, maka hukuman hadd dikenakan ke atas pencuri itu kerana dia dikira telah mengambil nilai yang mencapai nishâb daripada hirznya dengan niat atau tujuan melakukan sariqah.
6. Tidak disyaratkan pencuri melakukan sariqah terhadap nilai yang sampai nishâb itu dengan menggunakan tangan.
Tidak disyaratkan dalam pentsabitan hukuman hadd bahawa sariqah itu mesti dilakukan dengan tangan. Apa sahaja teknik atau kaifiyyah perbuatan dengan niat mencuri sesuatu harta benda daripada hirznya adalah dikenakan hukuman hadd selagi nilai sariqah itu mencapai nishâb.
Maka sekiranya seseorang itu menebuk sesuatu bekas untuk mengeluarkan sesuatu yang bernilai darinya dengan niat untuk melakukan sariqah, umpamanya dia menebuk bekas yang berisi gandum atau berisi minyak, atau mengoyak kocek untuk menjatuhkan atau mengeluarkan benda yang berada di dalamnya, maka jika benda-benda sariqah tersebut mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd, hukuman hadd akan dikenakan ke atasnya kerana dia telah mengambil atau mengeluarkan nilai yang mencapai nishâb daripada hirz atau tempat simpanannya dengan niat untuk melakukan sariqah.
Begitu juga jika pencuri itu memasuki hirz, umpamanya rumah yang berkunci, lalu melemparkan harta curiannya itu keluar rumah, ataupun dia berdiri di luar hirz lalu memasukkan tangannya ataupun apa sahaja peralatan seperti kayu dan sebagainya untuk mengambil harta benda yang berada dalam hirz itu, maka semua ini adalah juga dikenakan hukuman hadd jika nilai harta benda sariqah itu mencapai nishâb.
Demikian juga halnya sekiranya seorang mukallaf menebuk hirz lalu memerintahkan atau memperalatkan kanak-kanak yang belum mumayyiz ataupun orang gila untuk mengeluarkan harta benda daripada hirz tersebut. Dalam hal ini, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, jika nilai sariqah yang dikeluarkan oleh kanak-kanak ataupun orang gila yang diperalatkan itu mencapai nishâb yang mewajibkan hukuman hadd, tsabitlah hukuman hadd ke atas orang mukallaf yang menyuruh itu. Bagaimanapun, kanak-kanak ataupun orang gila itu tidak dikenakan hukuman hadd kerana mereka hanya dijadikan sebagai ‘alat curian’ baginya semata-mata.
Demikian beberapa penerangan tentang permasalahan nishâb sariqah dan hubungannya dengan pentsabitan hukuman hadd. Sepertimana yang jelas kepada kita, hukuman hadd tidak akan dijalankan sewenang-wenangnya. Hukuman hadd tertakluk kepada peraturan dan pensyaratan yang sangat ketat. Sekiranya syarat itu tidak dipenuhi, ataupun terdapat elemen syubhah dalam kes sariqah itu, maka dengan sendirinya hukuman hadd tidak akan dilaksanakan. Namun, ini bukan bererti penjenayah itu terlepas begitu sahaja daripada hukuman, sebaliknya kes itu akan diselesaikan secara ta‘zîr.
Nyata sekali bahawa Kanun Hukuman Jenayah Syar‘iah adalah ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang sangat adil lagi teliti. Sangkaan golongan jahil dan kurang beriman bahawa hukuman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu kejam adalah salah dan tidak berasas sama sekali. Walhal tujuan hukuman hadd bukanlah kerana dendam, geram atau melepaskan kemarahan ke atas pencuri, tetapi ia dijalankan dengan penuh hemah demi menegakkan keadilan dan lebih berbentuk ta‘dîb, pengajaran dan peringatan, semata-mata bagi menjaga kemashlahatan sejagat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14599
دليل الألوان
