Persetubuhan Sesama Jenis: Pengundang Laknat Dan Azab
الجواب
Hubungan sejenis sama ada di antara lelaki sesama lelaki (gay) ataupun di antara perempuan sesama perempuan (lesbian) bukanlah sesuatu yang baharu. Perkara yang melanggar fitrah lagi menjijikkan ini sebenarnya sudah lama mencemarkan moral dan ketamadunan manusia. Dalam al-Qur’an, ada diceritakan bagaimana suatu kaum telah diazab dengan azab yang sangat dahsyat atas perlakuan luar tabi‘i ini.
Persetubuhan sesama jenis termasuk dalam kategori zina. Ia adalah satu amalan yang sangat keji, terlaknat dan terkutuk. Ia juga merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar dan pengharamannya adalah lebih berat dan lebih buruk daripada zina. Jika zina merupakan dosa besar yang ketiga paling besar selepas jenayah syirik dan bunuh, jadi bagaimana pula berat serta buruknya jenayah persetubuhan sesama jenis ini yang dikira lebih besar daripada jenayah zina itu sendiri?
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an ada menceritakan perihal kaum Nabi Luth ‘Alaihissalâm yang mengamalkan persetubuhan sesama jenis ini serta akibat yang telah ditimpakan ke atas mereka sebagai pengajaran kepada yang lain supaya tidak mengikut jejak langkah mereka. FirmanNya:
Tafsirnya: Dan (Kami juga telah mengutus) Nabi Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya: “Mengapa kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas. (Surah al-A‘râf: 80-81)
Dalam ayat di atas, perbuatan liwat (persetubuhan sesama jenis di antara lelaki) digelarkan sebagai “al-fâhisyah” yang bermaksud “perbuatan yang keji”. Ini tidak syak lagi menunjukkan bahawa ia adalah haram dan wajib dijauhi kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memerintahkan supaya menjauhi segala perkara-perkara “al-fâhisyah” dalam semua jenis serta rupa bentuknya sepertimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: …dan janganlah kamu mendekati perbuatan keji sama ada yang terang mahupun yang tersembunyi… (Surah al-An‘âm: 151)
Keharamannya menjadi semakin jelas lagi kerana dalam ayat tersebut Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mengutuk dan menggelar mereka sebagai “kaum yang melampaui batas”.
Akibat daripada perbuatan mereka yang jijik, terkutuk dan melampaui batas itu, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mengazab pelakunya, iaitu kaum Nabi Luth ‘Alaihissalâm dengan suatu azab yang tidak pernah ditimpakan ke atas kaum yang lain sebelum itu. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka mereka pun dibinasakan oleh satu tempikan suara yang kuat (yang menggoncangkan bumi) ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (diterbalikkan) dan Kami menghujani atas mereka dengan batu-batu daripada tanah yang terbakar. 74)-ijr: 73H-(Surah al
Manakala perbuatan sihâq (persetubuhan sesama jenis di antara perempuan) pula, juga dikategorikan ulama dalam kategori zina dan para fuqahâ’ tidak berselisih pendapat mengenai keharamannya. Sihâq juga merupakan dosa besar sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya az-Zawâjir.
Perbuatan sihâq juga tergolong dalam perkara “al-fâhisyah” yang bermaksud “perbuatan yang keji”. Ini sepertimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat berikut:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) daripada kalangan perempuan-perempuan kamu, maka hendaklah kamu mendatangkan atas mereka empat orang saksi lelaki di antara kamu. Lalu apabila mereka telah memberikan kesaksian maka kurunglah mereka (perempuan-perempuan yang berzina itu) dalam rumah sehingga mereka menemui ajal atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (daripada hukuman itu). (Surah an-Nisâ’: 15)
Syeikh Abu Hayyan al-Andalusi Rahimahullâh menukilkan dalam kitab al-Bahr al- Muhîth fi at-Tafsîr, bahawa beberapa ulama tafsir, antaranya Mujahid Rahimahullâh berpendapat perkataan “al-fâhisyah” dalam ayat tersebut bermaksud sihâq.
Hukuman Bagi Jenayah Persetubuhan Sesama Lelaki
Menurut peruntukan dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah, 2013, bab: 82 (1), yang telah diwartakan pada 22 Oktober 2013 Masehi bersamaan 16 Zulhijjah 1434 Hijrah, hukuman bagi perbuatan liwat adalah sama dengan perbuatan zina. Bab berkenaan menyebut:
“Mana-mana orang yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukkan bagi kesalahan zina.”
Menurut akta ini, pesalah liwat, yang dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahâdah sekurang-kurangnya empat orang syâhid atau saksi menurut hukum syara‘, jika tsabit kesalahan dikenakan hukuman hadd sepertimana hukuman hadd jenayah zina, iaitu:
(a) Jika ia muhsan, direjam sehingga mati dengan disaksikan sekumpulan orang Islam; atau
(b) Jika dia ghairu muhsan, disebat 100 sebatan dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam dan dihukum penjara selama tempoh satu tahun.
Hukuman bagi pesalah liwat ini adalah sama dengan hukuman hadd bagi pesalah zina. Ia berdasarkan pendapat masyhûr dalam mazhab asy-Syafi‘e, iaitu hukuman rejam bagi pesalah yang sudah bernikah dan hukuman sebatan serta taghrîb (pemulauan bagi tempoh satu tahun) bagi pesalah yang belum bernikah. Perkara ini tsabit daripada nash dan ijmâ‘.
Hukuman Bagi Jenayah Persetubuhan Sesama Perempuan
Berlainan pula halnya dengan hukuman bagi jenayah sihâq. Walaupun sihâq juga dikategorikan sebagai perbuatan zina, ia tidak dikenakan hukuman hadd zina sepertimana yang dikenakan ke atas pelaku jenayah liwat. Ini kerana hadd zina hanya khusus dikenakan ke atas pasangan yang melakukan jimâ‘ sama ada melalui faraj atau dubur, sedangkan persetubuhan sesama jenis dalam perlakuan sihâq tidak melibatkan sebarang jimâ‘. Dalam erti kata lain, tidak ada “ilâj” dalam perlakuan sihâq.
Adapun maksud “ilâj” di sini ialah memasukkan seluruh hasyafah (kepala zakar) atau kadarnya, walaupun dengan memakai hâ’il (lapik) ke dalam qubûl atau dubur sekira-kira dengannya wajib mandi junub. Jadi dalam perlakuan sihâq, ilâj tidak berlaku kerana pelaku sihâq yakni perempuan tidak memiliki zakar.
Disyaratkan juga bahawa zakar dalam permasalahan ini adalah zakar yang asli dan yang bersambung dengan tubuh manusia, yakni bukan yang putus ataupun zakar binatang. Oleh itu, jika yang dimasukkan dalam perlakuan liwat atau sihâq itu bukan zakar, ataupun hanya zakar buatan, atau yang sudah putus atau zakar binatang, maka hukuman hadd tidak akan dikenakan.
Disebabkan ketiadaan berlaku ilâj dalam persetubuhan sihâq ini, maka perbuatan seorang perempuan melakukan persetubuhan sesama jenis dengan perempuan lain tidak dikenakan hadd zina, sebaliknya hukuman ta‘zîr wajib dijatuhi sebagai pengajaran kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan maksiat tersebut serta sebagai pengajaran kepada yang lain supaya jangan sekali-kali melakukannya.
Hukuman bagi jenayah sihâq ini ada diperuntukkan dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah, 2013, bab: 92 (1) dan (2), yang berbunyi:
(1) Mana-mana perempuan Islam yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $40,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun, disebat tidak melebihi 40 sebatan atau gabungan mana-mana dua hukuman tersebut.
(2) Mana-mana perempuan bukan Islam yang melakukan musahaqah dengan perempuan Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $40,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun, disebat tidak melebihi 40 sebatan atau gabungan mana-mana dua hukuman tersebut.
Dalam peruntukan di atas, “musâhaqah” bermakna apa-apa kegiatan fizikal di antara perempuan dengan perempuan yang akan terjumlah kepada perbuatan seksual jika ia dilakukan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan, selain ilâj.
Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, bahawa persetubuhan sesama jenis merupakan satu perlakuan yang melampau dengan norma akhlak manusia. Bukan sahaja ia berlawanan dengan hukum syara‘, bahkan ia juga bersalahan dengan fitrah manusia. Ia perbuatan yang meruntun sifat malu, mencalar maruah serta mengundang laknat dan azab.
Menurut Imam Ibnu Sirin Rahimahullâh, hanya babi dan keldai sahaja yang tergamak mendatangi kaum sejenisnya. Ini bermakna sesiapa sahaja yang terlibat dalam gejala ini sebenarnya lebih buruk dan lebih hina daripada binatang, bahkan lebih buruk dan lebih hina daripada babi serta keldai itu sendiri. Ini kerana binatang tidak memiliki akal, tidak memiliki iman dan tidak memiliki pegangan agama yang mampu memimpin, membimbing serta menunjukkan kepadanya perkara yang baik dan yang buruk. Sedangkan manusia, bukan sahaja diciptakan memiliki akal, bahkan juga dikurniakan bimbingan syariat yang memimpin dan memandu mereka ke arah jalan yang benar dan menjauhkan mereka daripada kesesatan dan kegelapan. Maka dari itu, tidaklah menghairankan bahawa persetubuhan sesama jenis ini bukan sahaja diharamkan dan dikutuk dalam agama Islam, bahkan juga diharamkan dan dikutuk dalam agama-agama lain.
Secara fitrahnya, seorang lelaki mempunyai kecenderungan kepada wanita dan begitu juga sebaliknya. Jika fitrah aturan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ini ditentang dan disalahi, tidak syak lagi ia pasti akan membawa kehancuran kepada kehidupan serta merosak tamadun manusia kerana setiap ketentuan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan fitrah kejadian yang diciptakanNya adalah yang terbaik dan satu-satunya jalan yang lurus dan selamat.
Maka jauhilah perlakuan jijik ini, jangan mengundang laknat dan azab. Ambillah i‘tibâr daripada kisah kaum Nabi Luth ‘Alaihissalâm yang telah ditimpakan azab yang sangat pedih akibat daripada perbuatan mereka yang melampaui batas itu. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan mereka yang sentiasa mendapat rahmat serta hidayahNya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14604
دليل الألوان
