Berdiam Diri, Ingat Akhirat: Tuntutan Ketika Mengiringi Jenazah
الجواب
Mengiringi jenazah sehingga ke perkuburan merupakan perkara yang amat digalakkan kepada golongan lelaki. Ia juga salah satu perkara yang termasuk dalam pengurusan jenazah yang dihukumkan fardhu Kifayah seperti juga memandikan, mengafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah. Ini kerana mengiringi jenazah termasuk hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Hak seorang Muslim ke atas seorang Muslim (yang lain) ada lima perkara, iaitu menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan mendo‘akan orang bersin. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hukum mengiringi jenazah bagi lelaki adalah sunat. Kelebihan mengiringi jenazah pula bukanlah suatu ganjaran yang kecil. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mengiringi jenazah seorang Muslim dengan penuh keimanan serta hanya mengharapkan pahala Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dan dia telah bersama jenazah itu daripada menyembahyangkannya sehingga selesai menguburkannya, maka dia pulang dengan membawa pahala sebanyak dua qîrâth: Setiap qîrâth menyamai bukit Uhud. Dan sesiapa menyembahyangkannya kemudian pulang sebelum jenazah dikebumikan, maka dia pulang dengan satu qîrâth. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Ganjaran sebanyak ‘dua qîrâth’ sebagaimana yang disebutkan dalam hadits di atas diperolehi apabila seseorang itu hadir menyembahyangkan jenazah seterusnya mengiringinya ke tanah perkuburan sehingga jenazah tersebut selamat dikebumikan.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menyaksikan jenazah sehingga turut menyembahyangkannya, maka baginya satu qîrâth. Sesiapa yang menyaksikannya sehingga jenazah itu dikebumikan, maka baginya dua qîrâth. Ditanyakan: “Apakah dua qîrâth itu?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Seperti dua bukit yang besar.” (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas memberi petunjuk kepada kita akan galakan menyembahyangkan jenazah dan mengiringinya ke perkuburan sehingga selesai ia dikebumikan. Orang-orang yang menyembahyangkan jenazah dan mengiringinya sehingga sempurna pengebumiannya akan mendapat ganjaran pahala dua qîrâth. Satu qîrâth diperolehi kerana menyembahyangkannya, sementara satu qîrâth lagi kerana mengiringi dan menghadiri pengebumiannya.
Manfaat Mengiringi Jenazah
Setiap perintah atau larangan dalam Islam mengandungi hikmah yang kadang-kadang tidak dapat dilihat mata kasar kita dan tidak dapat dicapai oleh minda dengan mudah kecuali apabila kita mendalami setiap tuntutan itu. Dalam perkara mengiringi jenazah ini, banyak manfaat yang boleh diperolehi daripadanya sehinggakan manfaat tersebut tidak hanya untuk si pelakunya atau kepada keluarga si mati, bahkan juga terhadap si mati itu sendiri. Antara manfaat yang boleh diperolehi daripada perbuatan mengiringi jenazah jika dilakukan dengan keikhlasan dan mengharapkan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah:
1. Mengingatkan kita kepada kematian yang pasti akan dialami semua orang.
2. Mendatangkan keinsafan dalam diri tentang Hari Akhirat.
3. Melaksanakan hak si mati sebagai saudara seagama kita sebagaimana yang disebut dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
4. Menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
5. Mengurangkan kesedihan keluarga si mati dengan kehadiran dan pemedulian orang-orang yang hadir menziarahi jenazah.
Dianjurkan Berdiam Ketika Mengiringi Jenazah
Perkara yang dianjurkan ketika mengiringi jenazah pula ialah mendiamkan diri sepanjang mengiring jenazah. Para ulama bersepakat bahawa makruh hukumnya meninggikan suara ketika mengiringi jenazah walaupun mengangkat suara untuk berzikir atau membaca al-Qur’an atau yang selain keduanya seperti berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, apatah lagi bercakap mengenai perkara-perkara keduniaan.
Apa yang dituntut ketika mengiringi jenazah itu adalah berdiam dan menyibukkan diri dengan bertafakkur tentang kematian dan yang berkaitan dengannya. Dengan berfikir di saat begini, dapatlah seseorang itu muhasabah diri dengan menjadikan kematian itu sebagai peringatan kepada dirinya, bahawa akan tiba saatnya pula untuk dia juga berada di tempat jenazah yang sedang diiringinya itu, di samping mengingatinya tentang Hari Akhirat.
Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:
Ertinya: Pendapat yang terpilih, bahkan yang betul adalah apa yang dilakukan oleh golongan salaf (salaf ash-shâlih)iaitu berdiam (tidak berkata-kata) ketika berjalan mengiringi jenazah. Tidak mengangkat suara dengan membaca al- Qur’an, tidak berzikir dan selain keduanya. Bahkan menyibukkan diri dengan berfikir tentang kematian dan perkara yang berkaitan dengannya.
Walau bagaimanapun seseorang itu tidak dilarang untuk membaca ayat-ayat al- Qur’an atau berzikir jika dituturkannya secara senyap, hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri sahaja.
Bolehkah Perempuan Mengiringi Jenazah?
Bagi perempuan, mengiringi jenazah sehingga ke perkuburan tidaklah digemari oleh syara‘. Walau bagaimanapun ia dihukumkan sebagai makruh dan tidaklah diharamkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Athiyah Radhiallâhu ‘anhâ, katanya:
Maksudnya: Kami dilarang untuk mengiring jenazah, namun tidaklah di‘azamkan (tidak ditekankan) ke atas kami. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya sangat banyak kelebihan yang tersirat dalam tuntutan mengiringi jenazah apalagi jika sudah turut serta dari awal pengurusannya sehingga ia dikebumikan. Selain menunaikan hak sesama Islam, perkara mengiringi jenazah sehingga selesai pengendaliannya ini menjadi satu motivasi dalam mengwujudkan keinsafan kita tentang kematian dan Hari Akhirat, seterusnya mengukuhkan lagi ketaqwaan dan keimanan kita terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang berkuasa menghidup dan mematikan makhluk-makhlukNya.
Ambillah i‘tibâr seolah-olah yang dimandikan dan yang diusung jenazahnya itu pula ialah kita, dengan demikian mendorong kita untuk menyediakan bekalan di akhirat kelak.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14611
دليل الألوان
