Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Hadits Dha‘îf Dan Maudhû‘ Mengenai Kelebihan Bulan Rejab

الجواب

Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh mengikut kiraan taqwîm Hijriyyah. Ia merupakan bulan yang ditetapkan sebagai salah satu bulan yang dihormati. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan (qamariah) dalam kitab (ketetapan) Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Yang demikian itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya). (Surah at-Taubah: 36)

Menurut ulama tafsir bahawa empat bulan dihormati yang disebutkan oleh ayat di atas ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Menurut mereka lagi, maksud “حُرُم” (yang dihormati) itu ialah maksiat yang dilakukan di dalamnya mendatangkan dosa yang lebih besar, sementara ketaatan dan kebaikan yang dilakukan di dalamnya memperolehi ganjaran pahala yang lebih besar.

Orang-orang Arab amat menghormati dan mengagungkan bulan-bulan tersebut serta mengharamkan berlakunya pembunuhan di dalamnya sehinggakan jika salah seorang daripada mereka bertemu orang yang telah membunuh bapanya, anaknya atau saudaranya di bulan-bulan ini, orang yang membunuh itu tidak akan diganggu.

Beberapa Hadits Maudhû‘ (Palsu) Mengenai Kemuliaan Bulan Rejab

Memperkatakan berkenaan kemuliaan bulan Rejab, terdapat beberapa hadits yang menyatakan mengenainya. Hadits-hadits tersebut sebahagiannya dihukumkan sebagai dha‘îf (lemah), sebahagiannya lagi dihukumkan munkar dan ada juga yang dihukumkan sebagai maudhû‘ (palsu). Antara hadits-hadits tersebut ialah:

Maksudnya: Rejab bulan Allah, Sya‘ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.

Maksud “Rejab bulan Allah” ialah Allah mengharamkan melakukan pembunuhan di dalamnya.

Maksud “Sya‘ban bulanku” ialah kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam banyak melakukan ibadat puasa di dalamnya.

Sementara maksud “Ramadhan bulan umatku” pula ialah kerana banyaknya kebajikan yang boleh diraih oleh mereka pada bulan tersebut.

Hadits ini dikeluarkan oleh ad-Dailami daripada Anas dan Ibnu al-Jauzi dalam al- Maudhû‘ât daripada hadits Abu Sa‘id al-Khudri.

Ia juga dikeluarkan oleh Abu al-Fath bin Abu al-Fawaris dalam al-Amâli daripada al-Hasan al-Bashri secara mursal sebagaimana yang disebutkan oleh as-Suyuthi dalam al-Jâmi‘ ash-Shaghîr.

Asy-Syeikh ‘Ali bin Ahmad bin Muhammad al-‘Azizi asy-Syafi‘e dalam as-Sirâj al-Munîr Syarh al-Jâmi‘ ash-Shaghîr menjelaskan bahawa hadits tersebut adalah hadits dha‘îf. Demikian juga di dalam kitab al-Jâmi‘ ash-Shaghîr hadits tersebut diberi tanda dengan (ض) yang bermaksud hadits dha‘îf.

Selain itu, dalam riwayat yang lain, hadits: رَجَب ُ شَهْر ُ هللا ِ... (“Rejab adalah bulan Allah...) tidak diriwayatkan setakat itu sahaja, bahkan terdapat juga beberapa riwayat yang merangkaikannya dengan kelebihan-kelebihan amalan tertentu. Antara riwayat tersebut:

(1)

Maksudnya: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Barang siapa berpuasa bulan Rejab dengan iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dia berhak mendapat keredhaan Allah yang Maha Agung dan Dia menempatkannya di dalam Syurga al-Firdaus yang tertinggi...

(2)

Maksudnya: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Barang siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab, maka baginya pahala dua kali ganda dan timbangan tiap-tiap pahala itu seperti bukit-bukit dunia....

(3)

Maksudnya: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Lalu Rasulullah ditanya: “Wahai Rasulullah! Apa maknanya kata-kata Tuan ‘Rejab adalah bulan Allah’?” Baginda menjawab: “Kerana ia dikhususkan dengan keampunan Allah. Kemudian Baginda bersabda: “Janganlah kamu melupakan malam pertama bulan Rejab, kerana ianya dinamakan oleh para malaikat sebagai ar-raghâ’ib. Kemudian Baginda bersabda: “Tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis iaitu Khamis yang pertama pada bulan Rejab, kemudian dia mendirikan sembahyang di antara waktu ‘Isya’ dengan waktu sepertiga awal malam - yakni pada malam Jumaat - sebanyak dua belas rakaat, pada tiap-tiap rakaat dia membaca surah al-Fâtihah sekali, surah al-Qadr tiga kali dan surah al-Ikhlâsh dua belas kali, dia pisahkan tiap-tiap dua rakaat dengan satu salam, kemudian dia meminta kepada Allah akan hajatnya, maka Allah akan memperkenankan hajatnya itu…”

Ketiga-tiga hadits di atas (bilangan 1, 2 dan 3) dihukumkan oleh para ulama sebagai hadits maudhû‘ (palsu).

Puasa di Bulan Rejab

Antara bulan yang disunatkan berpuasa ialah bulan-bulan haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Oleh itu, Rejab termasuk antara bulan-bulan yang disunatkan berpuasa di dalamnya.

Dalil yang menunjukkan sunat berpuasa pada bulan Rejab itu, diriwayatkan daripada Mujibah al-Bahiliyyah daripada ayahnya atau bapa saudaranya berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya dia pernah mengadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Kemudian setelah dia pergi selepas setahun, dia mengadap pula Baginda, sedang perihal dan bentuk (badannya) sudah berubah. Lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah! Tidakkah Tuan mengenaliku?” Baginda bersabda: “Siapa awak?” Dia berkata: “Saya adalah al-Bahili yang datang mengadap Tuan pada tahun lalu.” Baginda bersabda: “Apa yang telah membuatmu berubah padahal engkau dahulu mempunyai bentuk (badan) yang bagus?” Dia berkata: “Saya tidak makan makanan kecuali di malam hari sejak berpisah dengan Tuan”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kenapa engkau menyeksa dirimu?” Selanjutnya Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan Sabar (Ramadhan) dan sehari setiap bulan”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku, sesungguhnya saya masih kuat”. Baginda bersabda: “Berpuasalah dua hari (setiap bulan)”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku”. Baginda bersabda: “Berpuasalah tiga hari (setiap bulan)”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku”. Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab) dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah!” Sambil Baginda bersabda itu Baginda memberi isyarat dengan tiga jari, digenggamnya keras kemudian dilepaskannya.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Imam an-Nawawi berkata: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan meninggalkan (setelah tiga hari) kerana menjadi kesusahan ke atasnya memperbanyakkan puasa sebagaimana tersebut di awal hadits. Adapun bagi sesiapa yang tidak menjadi kesusahan ke atasnya, maka berpuasa seluruhnya (di bulan-bulan haram) adalah satu fadhilat.”

Hadits-hadits Dha‘îf Mengenai Kelebihan Berpuasa di Bulan Rejab

Dalam memperkatakan kelebihan berpuasa di bulan Rejab, Imam Ibnu Hajar al- Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, salah seorang ulama besar dalam mazhab asy- Syafi‘e, menjelaskan bahawa memang banyak hadits maudhû‘ (palsu) yang diriwayatkan bagi menerangkan kelebihan berpuasa di bulan Rejab. Para ulama di kalangan kita dan selain mereka tidak meletakkan sandaran kepada hadits-hadits tersebut dalam berhujjah untuk menyatakan sunat berpuasa dalam bulan Rejab, mereka menjauhkan diri daripada berdalil dengan hadits-hadits tersebut. Bahkan mereka hanya meletakkan sandaran kepada hadits yang diriwayatkan daripada Mujibah al-Bahiliyyah yang disebutkan terdahulu dan hadits-hadits lainnya, seperti hadits:

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah sungai yang dipanggil Rejab, (airnya) lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa pada bulan Rejab nescaya Allah akan memberinya minum air sungai itu.” (Hadits riwayat al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu‘ab)

Dalam riwayat yang lain, daripada ‘Abdullah bin Sa‘id daripada bapanya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa berpuasa sehari dari bulan Rejab, ia umpama berpuasa setahun. Barang siapa berpuasa tujuh hari (dari bulan Rejab), maka ditutup baginya tujuh pintu Neraka Jahannam. Barang siapa berpuasa lapan hari (dari bulan Rejab), maka dibukakan baginya lapan pintu syurga. Barang siapa berpuasa sepuluh hari (dari bulan Rejab), maka dia tidak meminta sesuatu kepada Allah melainkan Allah mengurniakannya. Barang siapa berpuasa lima belas hari (dari bulan Rejab), maka penyeru dari langit akan berseru: “Sesungguhnya telah diampunkan bagimu apa yang telah lalu, maka mulakanlah amalanmu, kejahatan-kejahatanmu telah digantikan dengan kebajikan-kebajikan”. Dan barang siapa yang (berpuasa) lebih nescaya Allah akan melebihkan (pahalanya). (Hadits riwayat al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu‘ab)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami pernah ditanya mengenai status kedua-dua hadits di atas adakah dikategorikan dalam hadits maudhû‘ (palsu) ataupun tidak?

Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua hadits tersebut tidak dikategorikan dalam hadits maudhû‘ (palsu), bahkan hanya dihukumkan sebagai hadits dha‘îf (lemah). Oleh itu harus meriwayatkannya dan beramal dengannya dalam perkara menerangkan kelebihan-kelebihan sesuatu amalan (fadhâ’il al-a‘mâl).

Perkara yang sama juga pernah ditanya kepada Imam as-Suyuthi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dan beliau memberi jawapan yang serupa.

Beramal Dengan Hadits Dha‘îf

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menjelaskan, para ulama dalam kalangan ahli hadits, fuqahâ’ (ahli fiqh) dan selain mereka mengatakan: “Harus dan sunat beramal dengan hadits dha‘îf yang menerangkan kelebihan-kelebihan sesuatu amalan (fadhâ’il al-a‘mâl), hadits yang menggalakkan beramal (at-targhîb) dan hadits yang memberi peringatan (at-tarhîb) selama mana hadits tersebut tidak sampai kepada peringkat maudhû‘ (palsu).”

Akan tetapi dalam perkara hukum seperti perkara halal, haram, jual beli, nikah, thalaq dan sebagainya tidak boleh beramal melainkan jika berdasarkan kepada hadits shahîh atau hadits hasan. Kecuali dalam isu-isu untuk mengambil jalan berhati-hati, umpamanya apabila terdapat hadits dha‘îf yang menerangkan hukum makruh tentang sesetengah kegiatan jual beli atau pernikahan, maka sunat menghindari perkara tersebut akan tetapi tidak wajib menghindarinya.

Selain hadits maudhû‘, termasuk juga hadits yang tidak boleh dijadikan sebagai sandaran itu ialah hadits yang terlalu dha‘îf (sangat lemah). Oleh itu, untuk beramal dengan hadits dha‘îf hendaklah memenuhi dua syarat:

1. Terdapat prinsip syara‘ yang menyokong hadits tersebut, umpamanya hadits tersebut termasuk di dalam kaedah umum syara‘ (qâ‘idah kulliyyah).

2. Ketika beramal dengan hadits tersebut jangan beri‘tiqâd ia adalah tsabit, tetapi beramal setakat sebagai mengambil jalan berhati-hati.

Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Haitami juga menjelaskan, telah menjadi ketetapan secara ijmâ‘ bahawa hadits dha‘îf, mursal, munqathi‘, mu‘dhal dan mauqûf boleh beramal dengannya dalam perkara fadhâ’il al-a‘mâl. Tidak diragukan lagi bahawa puasa di bulan Rejab itu merupakan daripada perkara fadhâ’il al-a‘mâl. Maka dalam hal ini adalah memadai bersandar kepada hadits-hadits dha‘îf atau seumpamanya. Yang demikian itu tidak diingkari melainkan orang yang jahil yang tidak berpengetahuan. Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, memang terdapat banyak riwayat hadits yang memperkatakan kemuliaan bulan Rejab serta kelebihan beramal di dalam bulan tersebut, di mana sebahagiannya dikategorikan sebagai dha‘îf dan sebahagiannya lagi dikategorikan sebagai maudhû‘ dan sebagainya. Hadits-hadits dha‘îf masih boleh diamalkan kecuali yang maudhû‘ dan yang terlalu dha‘îf sebagaimana menurut pandangan ulama yang telah disebutkan terdahulu.

Hadits-hadits yang dikategorikan sebagai hadits maudhû‘ itu ialah antaranya:

1. Hadits yang bermaksud: “Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Barang siapa berpuasa bulan Rejab dengan iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dia berhak mendapat keredhaan Allah yang Maha Agung dan Dia menempatkannya di dalam syurga al-Firdaus yang tertinggi...”

2. Hadits yang bermaksud: “Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Barang siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab, maka baginya pahala dua kali ganda dan timbangan tiap-tiap pahala itu seperti bukit-bukit dunia…”

3. Hadits yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis iaitu Khamis yang pertama pada bulan Rejab, kemudian dia mendirikan sembahyang di antara waktu ‘Isya’ dengan waktu sepertiga awal malam - yakni pada malam Jumaat - sebanyak dua belas rakaat, pada tiap-tiap rakaat dia membaca surah al-Fâtihah sekali, surah al-Qadr tiga kali dan surah al-Ikhlâsh dua belas kali, dia pisahkan tiap-tiap dua rakaat dengan satu salam, kemudian dia meminta kepada Allah akan hajatnya, maka Allah akan memperkenankan hajatnya itu…”

Oleh itu, dalam hal ini adalah elok mengambil sikap berhati-hati dalam memilih dan beramal dengan hadits-hadits yang diriwayatkan supaya tidak terjebak dalam hadits-hadits yang dikatakan maudhû‘ (palsu) itu, di samping jangan ikut sedap menolak mentah-mentah, apatah lagi sampai mencerca hadits-hadits dha‘îf.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14639

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص