Jimatkan Air Ketika Berwudhu’
الجواب
Air merupakan satu ni‘mat kurniaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang menjadi asas kehidupan kepada semua makhluk yang hidup di bumi ini. Tidak kira manusia, binatang ataupun tumbuh-tumbuhan semuanya tidak akan dapat hidup tanpa air. Khusus bagi manusia, air bukan sahaja merupakan keperluan asasi dalam kehidupan seharian, tetapi juga berkait rapat dengan perkara-perkara ibadat.
Kepentingan air jelas terasa pada waktu ia sukar diperolehi. Bayangkan sahaja kesukaran yang berlaku setiap kali bekalan air ditutup atau dengan sebab-sebab lain seperti kemarau, paip air rosak dan yang seumpamanya. Rutin kehidupan harian seseorang pasti akan terjejas. Bagaimana seseorang itu mandi, berwudhu’, beristinjâ’, memasak dan sebagainya tanpa air? Sama ada sedar ataupun tidak, kita seakan kurang menghargai ni‘mat air kerana buat masa ini, ia masih mudah diperolehi. Akibat kurang menghargai ni‘mat air ini, terdapat sebilangan orang yang membazirkan air dengan menggunakannya lebih daripada kadar yang diperlukan. Antara waktu yang banyak berlaku pembaziran air ialah ketika mengambil wudhu’.
Menurut statistik, sepertimana yang disampaikan dalam khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh negara pada 22 April 2011, pengguna air di Negara Brunei Darussalam adalah antara yang tertinggi di rantau ini. Ini satu statistik yang sangat membimbangkan dan mendukacitakan kita.
Kadar Penggunaan Air untuk Berwudhu’ Menurut Sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam
Terdapat beberapa riwayat tentang kadar penggunaan air yang digunakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika Baginda berwudhu’. Antaranya:
1. Riwayat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan kadar dua pertiga (⅔) mud air.
Dua pertiga mud air adalah kadar yang paling sedikit tentang air wudhu’ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat, antaranya ‘Abdullah bin Zaid dan Ummu ‘Umarah binti Ka‘ab al-Anshari Radhiallâhu ‘anhum.
Salah satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan kadar dua pertiga mud air ialah sepertimana sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ummu ‘Umarah binti Ka‘ab al-Anshari Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam hendak berwudhu’, lalu Baginda dibawakan dengan bejana yang berisi air dalam kadar dua pertiga mud. (Hadits riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i)
2. Riwayat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan kadar satu mud air.
Adapun riwayat yang memberitakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan kadar satu mud air atau yang sebanding dengannya pula diriwayatkan dengan beberapa lafaz sukatan yang berlainan daripada beberapa orang sahabat, antaranya:
i. Satu mud:
Diriwayatkan daripada Anas, Safinah, ‘Aisyah dan Jabir Radhiallâhu ‘anhum.
Salah satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan kadar satu mud air ialah sepertimana sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan satu mud air... (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
ii. Dua rithl:
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ dengan bejana yang muatnya menampung dua rithl air.... (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Menurut satu pendapat, dua rithl ini adalah bersamaan dengan kadar satu mud. iii. Satu makkûk:
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mandi dengan lima makkûk air dan Baginda berwudhu’ dengan satu makkûk air. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, berkemungkinan makkûk ini adalah sama dengan mud.
Menurut riwayat-riwayat ini, kadar air wudhu’ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh para sahabat adalah satu mud atau dua pertiga mud.
Adapun kadar satu mud itu adalah satu perempat shâ‘. Ini bersamaan dengan satu, satu pertiga (1⅓) rithl Baghdadi atau dua rithl menurut pendapat sesetengah ulama. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, satu, satu pertiga (1⅓) rithl Baghdadi adalah pendapat yang masyhûr dan tepat. Kadar berkenaan adalah lebih kurang sekitar 0.567 hingga 0.7 liter atau 567 hingga 700 mililiter.
Adakah Disyaratkan Kadar Tertentu Penggunaan Air Dalam Berwudhu’?
Riwayat-riwayat mengenai wudhu’ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam jelas menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sangat berjimat dalam menggunakan air. Bagaimanapun, adakah kadar-kadar dalam riwayat tersebut berbentuk tahdîd (perlu diikut kadarnya) ataupun sekadar petunjuk serta saranan supaya tidak membazirkan air?
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata bahawa berdasarkan ijmâ‘, tidak disyaratkan kadar tertentu penggunaan air ketika berwudhu’. Selagimana ia adalah kadar yang mencukupi bagi setiap anggota, maka yang demikian itu adalah memadai walau berapa pun kadarnya. Sungguhpun demikian, menurut Imam asy- Syafi‘e dan al-Ashhâb Rahimahumullâh, mustahabb (disunatkan) air wudhu’ itu tidak kurang daripada kadar satu mud bagi orang yang memiliki tubuh badan yang sederhana. Syeikh al-Banjari Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Sabîl al- Muhtadîn: “Dan sunat bahawa jangan kurang air mandi itu daripada satu shâ‘ dan air wudhu’ daripada satu mud pada tubuh orang yang sederhana kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah ia mandi dengan satu shâ‘ daripada air dan mengambil wudhu’ dengan satu mud daripadanya. Adapun orang yang tidak sederhana tubuhnya maka hendaklah dikuranginya atau ditambahinya daripada yang demikian itu dengan yang patut dengan hal tubuhnya.”
Adapun kadar-kadar yang disebutkan dalam riwayat-riwayat berkenaan, menurut Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâh adalah sebagai taqrîb (kiraan kurang lebih) semata-mata dan bukannya tahdîd.
Ini bererti bahawa kadar menggunakan air untuk berwudhu’ adalah mengikut kadar yang cukup untuk membasuh anggota-anggota wudhu’. Ini bermaksud ia tertakluk kepada keadaan fizikal tubuh badan masing-masing, sama ada kadar air yang mencukupi itu adalah satu mud atau kurang daripada satu mud. Bahkan tidak ada tegahan jika kadar air yang cukup untuk membasuh anggota-anggota wudhu’ itu lebih daripada kadar satu mud dan kadar lebih daripada satu mud itu tidak membawa kepada pembaziran atau kadar kurang daripada satu mud itu tidak menyebabkan tidak tertunai tuntutan wajib.
Maka sungguhpun tidak disyaratkan kadar tertentu penggunaan air wudhu’, namun riwayat-riwayat ini memberi penjelasan mengenai didikan serta saranan supaya sentiasa berjimat dalam menggunakan air dan menggunakannya dalam kadar yang diperlukan sahaja ketika berwudhu’. Di samping itu, ia juga merupakan tegahan daripada melakukan pembaziran. Bagaimanapun, jika mampu mengikut kadar air sepertimana yang disebutkan dalam hadits-hadits berkenaan, maka yang demikian itu adalah lebih baik sebagai mencontohi (ittibâ‘) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Membazir Air Suatu Perbuatan yang Ditegah Syara‘
Ulama sepakat mengatakan bahawa membazir air merupakan suatu perbuatan yang ditegah walaupun pada ketika itu air banyak dan mudah diperolehi. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, pendapat yang azhhar mengenai hukum tegahan ini adalah makruh.
Bagaimanapun, tegahan ini tidak boleh sekali-kali diambil ringan kerana sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘e, antaranya Imam al-Baghawi dan Imam al- Mutawalli Rahimahullâh menyatakan bahawa hukumnya adalah haram. Tambahan lagi, sifat membazir secara umumnya adalah satu sifat yang dicela oleh Islam. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak menyukai orang-orang yang membazir dan berlebih-lebihan sepertimana FirmanNya:
Tafsirnya: …dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-An‘âm: 141)
Orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Isrâ’ ayat 27:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya. (Surah al-Isrâ’: 27)
Imam ash-Shan‘ani Rahimahullâh berkata: “Dan telahpun dimaklumi larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada membazirkan air serta perkhabaran Baginda bahawa akan muncul kaum yang berlebih-lebihan dalam berwudhu’. Maka barang siapa yang melampaui kadar yang sudah mencukupi menurut syara‘, maka dia dengan sendirinya telah melakukan pembaziran, maka yang demikian itu adalah haram.”
Adapun perkhabaran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang dimaksudkan oleh Imam ash-Shan‘ani Rahimahullâh tentang kemunculan kaum yang berlebih-lebihan dalam berwudhu’ itu ialah sebuah hadits riwayat ‘Abdullah bin al- Mughaffal Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya akan ada daripada golongan umat ini kaum yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berlebih-lebihan dalam berdo‘a. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun yang dimaksudkan dengan ‘berlebih-lebihan dalam bersuci’ ialah membazir air ketika berwudhu’ melebihi daripada kadar yang diperlukan. Manakala yang dimaksudkan dengan ‘berlebih-lebihan dalam berdo‘a’ pula ialah seperti mereka-reka do‘a yang tidak ada asal serta sumbernya dalam syara‘. Islam sangat prihatin dalam menjaga keperluan dan mashlahat manusia. Oleh kerana itu, disebabkan pentingnya air kepada manusia, Islam menganjurkan supaya menjimatkan air sekalipun dalam berwudhu’. Ia disarankan supaya penggunaannya menurut kadar yang diperlukan sahaja. Jadi sahutlah seruan syariat dan contohilah sebaik-baik qudwah iaitu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Melihat kepada senario semasa, mengambil air wudhu’ pada zaman sekarang menggunakan paip air, tidak kira sama ada yang disediakan di masjid, di rumah, di pejabat dan sebagainya.
Berwudhu’ menggunakan paip air bukanlah halangan untuk menyahut seruan syariat serta petunjuk Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ketika berwudhu’, elakkan membuka paip air sehingga airnya keluar deras atau ‘suak-suak’, memadailah membuka paip air dalam kadar yang munasabah dan difikirkan perlu sahaja.
Oleh yang demikian, masjid boleh juga berperanan dengan mereka bentuk supaya pengaliran air (kederasannya) yang keluar daripada pili-pili paip air yang ada di tempat-tempat berwudhu’ di masjid-masjid dapat dihadkan pengalirannya sekira-kira yang difikirkan munasabah sesuai dengan amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini sesuai sepertimana yang disebutkan sebelum ini supaya maksud menjimatkan penggunaan air semasa berwudhu’ dapat dicapai.
Pendidikan pada peringkat awal adalah sangat penting bagi menanamkan serta membudayakan sikap menjimatkan air semasa berwudhu’ khususnya bagi golongan kanak-kanak, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Peranan sekolah-sekolah agama adalah sangat besar dalam merealisasikan tujuan ini. Oleh itu, tenaga-tenaga pendidik di sekolah-sekolah agama, selain perlu bermula dengan diri sendiri supaya menjadi contoh dan ikutan terbaik, mereka juga hendaklah berusaha menanamkan budaya menjimatkan air semasa berwudhu’ pada diri kanak-kanak melalui latihan amali dan sebagainya. Ini kerana pendidikan pada peringkat awal seperti di sekolah-sekolah agama ini merupakan platform terbaik dan terpenting bagi mendidik generasi baru kerana mereka ini sangat mudah dibentuk. Didikan pada peringkat ini sangat kuat kesan dan pengaruhnya kepada kanak-kanak kerana ia secara semula jadinya akan menjadi teras dalam pembentukan syakhshiyyah kanak-kanak tersebut.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14647
دليل الألوان
