Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Kesalahan Tidak Menunaikan Sembahyang Jumaat

الجواب

Kesedaran mengenai hukum yang berkaitan dengan agama perlu sentiasa dipertingkatkan. Penetapan hukum sepertimana disebutkan dalam al-Qur’an dan Sunnah, walaupun dihuraikan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka pada dasarnya adalah merupakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Kita sebagai hambaNya wajib patuh dan taat kepada hukum yang telah pun ditetapkan itu.

Negara Brunei Darussalam amat peka dan sangat mengambil berat terhadap kepentingan agama. Ini jelas terbukti apabila negara menetapkan hukuman-hukuman kesalahan berkaitan agama diperundangkan melalui Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 dan Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah- Mahkamah Kadi Penggal 77.

Kesalahan-kesalahan yang dimaksudkan itu termasuklah kesalahan-kesalahan am bagi kesalahan orang yang tidak menunaikan sembahyang.

Kewajipan Sembahyang Jumaat

Hukum menunaikan sembahyang Jumaat adalah wajib kepada setiap orang Islam yang mukallaf (sudah bâligh dan berakal), merdeka, lelaki dan bermukim. Ini jelas sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an, firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu‘ah: 9)

Sesungguhnya Allah Ta‘ala memerintahkan umat Islam berkumpul pada hari Jumaat untuk menunaikan sembahyang Jumaat sebagaimana disebutkan dalam firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Jumu‘ah di atas “segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat)”.

Maksud ‘segeralah pergi ke masjid’ itu bukanlah bererti mempercepatkan pergerakan kaki untuk pergi ke masjid, tetapi ia bermaksud menyegerakan niat, hati dan keinginan pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Perkara inilah yang disebut ulama dalam kitab-kitab tafsir.

Hukum Meninggalkan Sembahyang Jumaat

Meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa sehingga sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali akan dicap hatinya sebagai orang munâfiq. Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu al-Ja‘di adh-Dhamriy Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali (berturut-turut) nescaya Allah akan mencap hatinya, dan menjadikan hatinya itu seperti hati orang munâfiq. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)

Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa ada uzur syar‘i hukumnya adalah berdosa besar, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicapkan oleh Allah sebagai hati orang munâfiq.

Kesalahan Tidak Menunaikan Sembahyang Jumaat Diwartakan

Kesalahan meninggalkan sembahyang Jumaat telahpun diwartakan di dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 di bawah kesalahan-kesalahan am. Jika ada sesiapa tidak menunaikan sembahyang Jumaat tanpa keuzuran boleh dikenakan hukuman. Ini jelas sepertimana disebutkan dalam perintah tersebut:

“Mana-mana lelaki yang mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dengan tiada uzur syar‘i atau dengan tiada alasan-alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $200 bagi kesalahan pertama, dikenakan suatu denda tidak melebihi $300 bagi kesalahan kedua, dan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1000 bagi kesalahan ketiga atau berikutnya.” (Buku Warta Kerajaan)

Mengadakan hukuman bagi orang yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat sebagaimana yang disebutkan di atas adalah supaya umat Islam di Negara Brunei Darussalam akan sentiasa mendukung perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di samping memuliakan hari Jumaat itu sendiri. Keprihatinan kerajaan Negara Brunei Darussalam akan kepentingan agama dengan mengambil langkah mewartakan beberapa hukuman-hukuman tertentu adalah semata-mata membuka jalan dan mendorong umat Islam di negara ini supaya sentiasa taat dan patuh melaksanakan dan menjalankan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menjauhi laranganNya.

Kita rasa bersyukur di atas keprihatinan kerajaan mengenai hukuman-hukuman yang berkaitan dengan agama Islam seperti hukuman denda bagi orang yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat dan seterusnya mengambil langkah menutup semua premis perniagaan bagi memberi ruang kepada orang Islam untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Perkara ini disambut baik dan mendapat kerjasama daripada pemilik-pemilik premis perniagaan yang bukan sahaja terdiri daripada kalangan orang Islam malah juga pemilik-pemilik yang bukan daripada orang Islam.

Ini juga adalah selari dengan larangan berjual beli ketika sembahyang Jumaat, kerana umat Islam diperintahkan supaya bersegera untuk pergi mengerjakan sembahyang Jumaat dan meninggalkan jual beli dan kerja-kerja yang lain.

Hukum Berjual Beli pada Hari Jumaat

Perintah meninggalkan jual beli apabila bermula waktu untuk menunaikan sembahyang Jumaat adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baru tiba) atau (mendengar) suatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad: “Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik daripada hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik Pemberi rezeki. (Surah al-Jumu‘ah: 11)

Ayat ini diturunkan ketika Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sedang berkhutbah, kemudian datanglah kafilah dari Syam membawa barang dagangan, sehingga para jemaah sembahyang Jumaat meninggalkan Baginda Shallallâhu ‘alalihi wa sallam yang sedang berkhutbah. Bertitik tolak daripada kejadian tersebut, maka turunlah ayat ini.

Terdapat perbezaan hukum berjual beli pada hari Jumaat khususnya ketika hendak menunaikan sembahyang Jumaat. Perbezaan ini adalah mengikut keadaan masa tertentu, secara ringkasnya adalah seperti berikut:

1. Haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang Jumaat sehingga selesai sembahyang Jumaat. Maksud haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang Jumaat itu adalah bagi mereka yang belum berada di Masjid. Adapun mereka yang sudah berada di Masjid dan melakukan jual beli di dalamnya adalah makruh.

2. Makruh berjual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang Jumaat kerana waktu itu sudah masuk waktu wajib dan perbuatannya leka dengan urusan jual beli itu seumpama perbuatan melengah-lengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang Jumaat.

3. Harus melakukan urusan jual beli sebelum tergelincir matahari.

Begitulah secara ringkas hukum berjual beli ketika hendak menunaikan sembahyang Jumaat, manakala setelah selesai menunaikan sembahyang Jumaat, hukum berjual beli adalah harus.

Tetapi perlu diingat bahawa hukum haram dan makruh itu tidaklah terbatas kepada perkara jual beli sahaja malahan termasuk juga segala perkara yang melekakan daripada bersegera pergi mengerjakan sembahyang Jumaat.

Keuzuran Mengharuskan Meninggalkan Sembahyang Jumaat

Sembahyang Jumaat itu hukumnya wajib, namun seseorang itu diharuskan meninggalkan sembahyang Jumaat disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘.

Antara keuzuran syar‘i itu ialah:

1. Sakit yang menghalangi untuk pergi sembahyang berjemaah ke masjid, sama ada jika dia pergi ke masjid akan menambahkan lagi sakit itu atau melambatkan sembuh. Adapun sakit biasa seperti sakit kepala, gigi dan demam ringan tidaklah dikira sebagai uzur yang mengharuskan tidak bersembahyang Jumaat.

2. Orang musafir yang sedang dalam pelayaran yang diharuskan, selama mana dia tidak berniat untuk bermuqîm atau menetap pada sesuatu tempat dalam tempoh empat hari atau lebih.

Akan tetapi, perlu diingat bahawa tidak harus memulakan pelayaran sebelum tergelincir matahari di antara waktu terbit fajar hari Jumaat hingga tergelincir matahari melainkan setelah menunaikan sembahyang Jumaat. Namun adalah harus membuat pelayaran pada waktu tersebut jika sekiranya sembahyang Jumaat boleh atau sempat dilakukan di tempat yang dituju atau di tengah perjalanan.

Lebih-lebih lagi tidak harus yakni haram memulakan pelayaran setelah tergelincir matahari kerana setelah tergelincir matahari itulah bermulanya kewajipan untuk pergi ke masjid menunaikan sembahyang Jumaat. Jika dia meneruskan juga memulakan pelayaran setelah tergelincir matahari, maka tidak ada baginya rukhshah yakni keringanan hukum, umpamanya keringanan berbuka puasa ketika dalam pelayaran, mengqashar atau memendekkan sembahyang dan sebagainya kerana pelayarannya itu dikira sebagai pelayaran maksiat. Melainkan jika dia belayar setelah berlalu atau luput waktu menunaikan sembahyang Jumaat kerana awal pelayarannya yang diharuskan untuk mengambil rukhshah itu dikira setelah berlalunya perkara maksiat yang dilakukannya itu iaitu mulai setelah berlalu ataupun luput waktu sembahyang Jumaat.

3. Orang yang dipenjara, direman atau ditahan. Orang seperti ini dianggap sebagai orang yang mempunyai keuzuran.

4. Sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk. Tidaklah disyaratkan orang yang menguruskan jenazah itu terdiri daripada ahli keluarganya seperti anaknya dan saudaranya. Adapun orang yang hadir, selain daripada orang yang menguruskan jenazah itu, bukanlah dikira orang yang mempunyai keuzuran untuk meninggalkan sembahyang Jumaat.

Bagi orang yang ada keuzuran syar‘i sepertimana disebutkan sebelum ini dan menyangka keuzurannya itu akan hilang, maka adalah disunatkan supaya melambatkan sembahyang Zhuhur sehingga ia berputus harapan untuk pergi ke masjid mengerjakan sembahyang Jumaat kerana keuzurannya itu boleh hilang dan dia dapat menunaikan sembahyang Jumaat itu. Namun jika dia bersembahyang Zhuhur di awal waktu kemudian hilang keuzurannya itu, tidaklah wajib ke atasnya sembahyang Jumaat lagi.

Oleh yang demikian, perlu diambil perhatian bahawa walaupun tindakan meninggalkan sembahyang Jumaat, merupakan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman denda di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 sepertimana disebutkan sebelum ini, namun denda tersebut tidak sebanding bahkan jauh berbeza dengan dosa sebenar orang yang meninggalkan sembahyang Jumaat sebagaimana disebutkan dalam hadits Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Apabila seseorang itu “dicap hati sebagai orang munâfiq” maka hatinya telah terlindung daripada cahaya kebesaran Allah yang Maha Agung, sehingga dia tidak mengenal lagi hak-hak ketuhanan Allah. Seseorang hamba tidak akan mencapai kemuliaan, kebahagiaan dan keberuntungan di dunia dan di akhirat, melainkan setelah mendirikannya, melazimkan diri dengan mengerjakannya serta senantiasa memeliharanya dengan baik. Malah tidak ada keselamatan, dan tidak ada pertolongan daripada azab dan kemurkaan Allah Ta‘ala, melainkan dengan mendirikan kewajipan itu serta memeliharanya.

Sememangnya tiada seorangpun yang mahu “dicapkan hati sebagai orang munâfiq”. Oleh itu, tunaikanlah sembahyang Jumaat atas dasar satu kewajipan sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an.

Perlu diingat bahawa hukum menunaikan sembahyang Jumaat itu tetap wajib, sekalipun perintah menunaikan sembahyang Jumaat itu tidak diwartakan, samalah juga dengan hukum sembahyang fardhu lima waktu adalah wajib. Jangan pula disebabkan sembahyang fardhu lima waktu tidak diwartakan sebagai satu kesalahan dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, maka kita tidak menunaikannya.

Jelasnya, setiap suruhan dan larangan agama mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Maka umat Islam diperintahkan berkumpul untuk menunaikan sembahyang Jumaat kerana hari tersebut mempunyai banyak hikmah dan kelebihan; antaranya ialah pada hari Jumaat inilah langit dan bumi diciptakan, pada hari Jumaat ini juga Nabi Adam diciptakan, pada hari Jumaat ini juga Nabi Adam dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga, pada hari Jumaat ini juga berlakunya Hari Kiamat dan pada hari Jumaat ini juga terdapat satu saat, jika kita memohon kepada Allah Ta‘ala pada saat itu akan kebaikan nescaya diperkenankanNya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14662

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص