Masbûq Ketika Sembahyang Fardhu Jumaat
الجواب
Islam menggalakkan para jemaah fardhu Jumaat untuk datang lebih awal ke masjid bagi mengambil tempat duduk masing-masing dan menunggu waktu sembahyang didirikan. Perkara ini disunatkan kepada mereka, kecuali imam dan orang uzur yang sukar baginya datang awal ke masjid.
Waktu yang dituntut untuk datang awal ke masjid itu bermula di awal siang iaitu terbit fajar shâdiq sebagaimana waktu bermula mandi sunat sembahyang fardhu Jumaat. Orang yang datang awal ke masjid akan dicatat oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala yang besar, sebagaimana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi junub kemudian dia pergi (awal pagi untuk mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat) nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor unta; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang kedua nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor lembu; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang ketiga nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor kibasy yang bertanduk; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang keempat nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor ayam; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang kelima nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah sebiji telur. Apabila imam keluar (menaiki mimbar) maka malaikat hadir untuk mendengar zikir (khutbah). (Hadits riwayat Muslim)
Hadits ini jelas menunjukkan galakan supaya datang awal ke masjid untuk mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat dan menjelaskan kelebihan-kelebihan yang diperolehi mengikut peringkat waktu dia datang dan hadir ke masjid daripada sebesar ganjarannya sama seperti bersedekah seekor unta sehingga ganjarannya hanya bersedekah sebiji telur.
Alangkah ruginya sesiapa yang datang lewat ke masjid, apatah lagi jika dia datang sewaktu imam menaiki mimbar, kerana malaikat tidak lagi mencatat kehadiran mereka yang datang lewat dan terlepas peluang mereka untuk meraih ganjaran pahala datang awal ke masjid.
Terdapat sebilangan orang yang bukan setakat lewat datang ke masjid bahkan mereka juga hanya sempat masbûq dalam berjemaah sembahyang fardhu Jumaat. Persoalannya apakah kedudukan sembahyang fardhu Jumaat bagi makmum yang masbûq ini?
Makmum yang Masbûq dalam Sembahyang Fardhu Jumaat
Masbûq ialah makmum yang tidak sempat bersama imam dengan masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah dengan kadar bacaan yang sederhana cepat. Adapun muwâfiq pula ialah makmum yang sempat bersama imam dengan masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah dengan kadar bacaan yang sederhana cepat.
Kedudukan sembahyang fardhu Jumaat bagi makmum yang masbûq sama ada dia dikira mendapat sembahyang fardhu Jumaat atau sebaliknya, dilihat pada tiga keadaan berikut:
1. Sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat pertama.
Makmum yang masbûq, jika dia sempat melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat pertama sehingga selesai memberi salam, maka sembahyang fardhu Jumaatnya dikira dan makmum itu tidak perlu lagi bangkit semula setelah imam selesai memberi salam untuk mengganti rakaat yang pertama itu. Ini kerana dia dikira menyempati rakaat pertama bersama imam.
2. Tidak sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat pertama.
Makmum yang masbûq, jika dia tidak sempat melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat pertama namun dia sempat bersama imam pada rakaat kedua, maka tidak dikira dia menyempati rakaat pertama bersama imam. Oleh itu, hendaklah dia bangkit semula setelah imam selesai memberi salam bagi mengganti rakaat pertama yang tidak dikira itu.
Walau bagaimanapun, sembahyang fardhu Jumaat bagi makmum tersebut adalah dikira kerana dia sempat bersama imam satu rakaat terakhir itu, akan tetapi tidak mendapat pahala yang sempurna. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendapat satu rakaat daripada sembahyang Jumaat maka dia mendapati sembahyang itu. (Hadits riwayat al-Hakim)
Hadits yang lain lagi, diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendapat satu rakaat daripada sembahyang Jumaat maka hendaklah dia menambah satu rakaat yang lain lagi. (Hadits riwayat al-Hakim)
Sungguhpun makmum itu sempat bersama imam satu rakaat dan dikira sembahyang fardhu Jumaatnya namun dengan syarat bilangan 40 orang jemaah hendaklah berkekalan sehingga sempurna satu rakaat makmum yang masbûq itu.
3. Tidak sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat kedua.
Makmum yang masbûq, jika dia tidak sempat bersama imam pada rakaat pertama malah dia juga tidak sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat kedua, maka tidak dikira dia memperolehi sembahyang fardhu Jumaat itu kerana dia tidak sempat walau satu rakaat pun bersama imam. Maka hendaklah dia bangkit semula setelah imam selesai memberi salam dengan melakukan sembahyang fardhu Zhuhur sebanyak empat rakaat.
Menurut pendapat yang ashah, makmum yang tidak sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam pada rakaat kedua itu, wajib dia berniat sembahyang fardhu Jumaat ketika mengikut imam dan tidak perlu dia berniat sembahyang fardhu Zhuhur apabila dia bangkit setelah imam selesai memberi salam.
Sebagai contoh:
Imam mula melakukan sujud pertama pada rakaat kedua sedang makmum baru hendak mula sembahyang. Dalam keadaan ini hendaklah makmum mengangkat takbiratul-ihrâm berserta niat sembahyang fardhu Jumaat dengan mengikut imam. Setelah itu dia terus mengangkat takbîr lagi untuk melakukan sujud pertama bersama imam. Kemudian makmum bangkit semula setelah imam selesai memberi salam untuk menyempurnakan sembahyang fardhu Zhuhur sebanyak empat rakaat tanpa berniat semula.
Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum orang yang masbûq ketika mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat yang perlu diketahui. Amat rugi orang-orang yang datang lewat ke masjid pada hari Jumaat kerana tidak memperolehi ganjaran pahala orang-orang yang datang awal ke masjid, malah lebih rugi lagi apabila tergolong orang-orang yang tidak dikira sembahyang fardhu Jumaatnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14847
دليل الألوان
