Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Tadabbur Dan Tartîl: Sangat Dianjurkan Ketika Membaca Al-Qur’an

الجواب

Membaca al-Qur’an merupakan salah satu ibadat yang sangat dituntut oleh syara‘, sama ada membacanya di luar ataupun dalam sembahyang. Malahan, ganjaran yang dijanjikan kepada orang yang membaca al-Qur’an juga sangat hebat.

Ganjaran yang bakal diraih daripada membaca al-Qur’an amatlah besar dan telah disebutkan dalam banyak hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya ialah daripada ‘Abdullah ibn Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Siapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah (al-Qur’an), maka baginya satu kebaikan. Sedangkan satu kebaikan itu menyamai (akan diganda menjadi) sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan bahawa ‘alif, lâm, mîm’ itu satu huruf, akan tetapi ‘alif’ satu huruf, ‘lâm’ satu huruf dan ‘mîm’ satu huruf. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadits yang lain pula, diriwayatkan daripada Abu Umamah al- Bahiliy Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Bacalah oleh kamu al-Qur’an, sesungguhnya al-Qur’an akan mendatangimu pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada tuannya. (Hadits riwayat Muslim)

Membaca al-Qur’an pada waktu malam adalah antara waktu yang afdhal dan dianjurkan berbanding pada waktu siang. Pada malam hari, waktu yang afdhal ialah separuh akhir daripada malam berbanding separuh awal malam, semasa waktu sahur dan di antara waktu Maghrib dan ‘Isya’. Manakala pada siang hari pula, waktu yang afdhal adalah selepas Shubuh. Bagaimanapun membaca al-Qur’an pada mana-mana waktu selain waktu yang telah disebutkan tidaklah dihukumkan makruh.

Oleh itu, sangat wajar untuk kita memperbanyakkan membaca al-Qur’an lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Memperbanyakkan Membaca Al-Qur’an

Menyibukkan diri atau memenuhi masa yang terluang dengan membaca al-Qur’an adalah amalan yang dianjurkan oleh agama. Ini kerana membaca al-Qur’an itu adalah ibadat yang lebih utama sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Ibadat umatku yang paling afdhal adalah membaca al-Qur’an. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Dalam keghairahan kita memperbanyakkan membaca al-Qur’an itu perlu juga dijaga kesempurnaan bacaan al-Qur’an, baik dari segi hukum tajwid dan makhraj huruf, bahkan dituntut juga ketika membaca al-Qur’an dengan tadabbur dan tartîl.

Tadabbur Ketika Membaca Al-Qur’an

Apabila seseorang memulakan pembacaan al-Qur’an, hendaklah dirinya dalam keadaan khusyû‘. Maksud khusyû‘ di sini ialah merendah diri, melemparkan pandangan mata ke bumi dan merendahkan suara serta tenang atau diam segala anggota. Kemudian hendaklah dalam keadaan tawaduk dan tadabbur (menghayati dan merenung) ketika membaca ayat-ayat al-Qur’an. Inilah antara perkara yang dituntut, kerana dengan tadabbur ketika membaca al-Qur’an akan melapangkan dan menenangkan jiwa serta menerangkan hati.

Dalil mengenai tadabbur ketika membaca al-Qur’an sangat banyak, antaranya ialah firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Tidakkah mereka itu memperhatikan (dan memikirkan tentang) al- Qur’an? (Surah an-Nisâ’: 82)

Demikian juga anjuran apabila membaca al-Qur’an dalam sembahyang. Antara perkara-perkara yang disunatkan ketika membaca ayat-ayat al-Qur’an di dalam sembahyang ialah membacanya dengan tadabbur, iaitu merenung dan mengamati dengan menumpukan perhatian pada makna ayat-ayat yang dibaca. Bagaimanapun adalah memadai bagi orang yang membaca al-Qur’an itu untuk memahami makna ayat al-Qur’an secara rumusan (ijmâl) dan bukannya secara terperinci (tafshîl). Selain itu, membaca al-Qur’an dalam sembahyang dengan tadabbur juga merupakan antara cara atau jalan yang dianjurkan ke arah mencapai khusyû‘ dalam sembahyang.

Sesungguhnya orang yang membaca al-Qur’an dengan tadabbur, iaitu merenung dan memahami al-Qur’an adalah orang yang paling Allah Ta‘ala sukai pada bacaan al-Qur’annya. Anjuran tadabbur akan makna ayat al-Qur’an yang dibaca itu pula adalah bersesuaian menurut kemampuan seseorang.

Tartîl Ketika Membaca Al-Qur’an

Membaca al-Qur’an secara tartîl adalah sangat dituntut. Bacaan tartîl ialah membaca dengan perlahan (teratur) serta menyempurnakan setiap tempat keluar huruf tersebut dengan jelas. Membaca al-Qur’an dengan menyempurnakan sebutan setiap huruf-hurufnya dinamakan oleh ahli Qura’ sebagai bertajwid dalam bacaan al-Qur’an.

Ulama telah sepakat bahawa bacaan al-Qur’an secara tartîl adalah sangat dianjurkan berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirannya: Dan bacalah al-Qur’an dengan tartîl (teratur dan jelas). (Surah al-Muzammil: 4)

Menurut Imam ar-Razi Rahimahullâh, penggunaan perkataan tartîl dan pengulangannya dalam ayat di atas menguatkan lagi suruhan untuk membaca al- Qur’an secara tartîl. Oleh itu, ia adalah suatu perkara yang mesti dilaksanakan oleh para qâri’ (pembaca) al-Qur’an.

Bacaan secara tartîl juga telah tsabit daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ ketika ditanya kepadanya mengenai cara bacaan al-Qur’an Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Lalu beliau menyifatkan (meniru) bacaan Baginda, iaitu dengan bacaan yang jelas pada setiap huruf-hurufnya satu persatu.

Diceritakan oleh al-Hasan Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertemu dengan seorang lelaki yang sedang membaca satu ayat al-Qur’an lalu lelaki tersebut pun menangis. Lalu Baginda pun bersabda: “Adakah kamu tidak mendengar firman Allah Ta‘ala, َ ْ تِ رْ تً يال َ َ وِ رِ تْلُ الْ قَ رآن? Beginilah yang dinamakan (bacaan) tartîl.”

Oleh itu, bacalah al-Qur’an dalam keadaan tenang dan teratur (tartîl) serta tadabbur akan kandungan dan makna-makna al-Qur’an dan janganlah mempercepatkan atau bergegas-gegas membacanya.

Demikian juga, membaca al-Qur’an di dalam sembahyang disunatkan dengan bacaan tartîl, yakni membaca dengan perlahan (teratur) serta menyempurnakan setiap tempat keluar huruf tersebut dengan jelas. Sedangkan mempercepatkan bacaan secara keterlaluan adalah makruh serta dilarang.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memanjangkan bacaan ketika membaca al-Qur’an. Menurut beliau, apabila Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca basmalah, Baginda memanjangkan bacaan بسم هللا, kemudian memanjangkan bacaan الرمحن, kemudian memanjangkan bacaan الرحيم. Maksud Baginda memanjangkan bacaan ialah memanjangkan pada huruf madd dan huruf lin. Bagaimanapun Baginda tidak keterlaluan memanjangkan bacaan Baginda kerana bacaan yang sedemikian itu adalah dianggap mencuaikan bacaan serta dicela.

Selain itu, disebutkan juga cara bacaan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah Baginda membaca dengan berhenti dari satu ayat ke satu ayat yang lain.

Ketika membaca surah al-Fâtihah sebagai contoh, Baginda mulakan bacaan dengan basmalah dan berhenti, kemudian membaca ayat pertama dan berhenti, kemudian membaca ayat kedua dan berhenti dan seterusnya dengan cara yang disebutkan.

Perkara mengenai bacaan secara tartîl pernah ditanyakan kepada Mujahid Rahimahullâh mengenai dua orang lelaki yang sembahyang, salah seorang daripadanya membaca dua surah, iaitu surah al-Baqarah dan surah Âli ‘Imran, manakala yang seorang lagi membaca surah al-Baqarah sahaja, namun masa atau tempoh sembahyang kedua-duanya, ruku‘, sujud dan duduk mereka adalah sama. Lalu Mujahid Rahimahullâh pun menjawab bahawa dalam perkara ini lelaki yang membaca satu surah sahaja, iaitu surah al-Baqarah, adalah afdhal di antara kedua-duanya kerana bacaan al-Qur’an dalam sembahyangnya itu adalah secara tartîl.

Satu huruf yang dibacakan secara tartîl adalah afdhal berbanding dua huruf yang dibaca tanpa tartîl. Demikian juga separuh (setengah) surah yang dibaca secara tartîl adalah afdhal berbanding menghabiskan keseluruhan surah yang dibaca tanpa tartîl, melainkan dalam beberapa keadaan yang dituntut antaranya membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat. Menyempurnakan (menghabiskan) membaca keseluruhan surah al-Kahfi sekalipun dengan bacaan secara cepat, kerana untuk mencapai tuntutan sunat membacanya pada hari tersebut, adalah afdhal berbanding membaca hanya sebahagian besar surah al-Kahfi dengan bacaan tartîl.

Kebaikan Membaca Secara Tartîl

Antara kebaikan membaca al-Qur’an dengan tartîl ialah membantu dalam memahamkan al-Qur’an dan merenung (tadabbur) akan isi kandungan serta makna ayat-ayat al-Qur’an. Beginilah cara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri ketika membaca al-Qur’an. Oleh kerana itu, menurut ulama, bacaan tartîl digalakkan bagi orang a‘jamiy (selain daripada orang Arab) yang tidak faham akan makna ayat-ayat yang dibacanya kerana dengan cara ini akan lebih dekat membawanya kepada sifat bersopan-santun dan menghormati al-Qur’an serta mampu memberi kesan yang mendalam kepada hati.

Menurut al-Imam Muhammad ar-Razi Rahimahullâh ketika mentafsir Surah al- Muzammil ayat 4, tatkala Allah Ta‘ala memerintahkan Baginda untuk bangun dan sembahyang pada waktu malam, Baginda diperintahkan untuk membaca al-Qur’an dengan tartîl sehingga membolehkan hati merenung hakikat dan perincian ayat-ayat al-Qur’an yang dibacanya. Apabila sampai bacaan pada ayat yang mengingatkan dirinya akan Allah Ta‘ala, maka akan terasa kebesaran-Nya dan keagunganNya. Ketika sampai bacaan pada ayat mengenai janji pembalasan baik, maka akan membuahkan harapan dan pada janji pembalasan buruk pula akan melahirkan perasaan gentar.

Sebaliknya, membaca ayat-ayat al-Qur’an dengan cara yang cepat boleh menyebabkan orang yang membacanya tidak berpeluang untuk memahami makna ayat-ayat tersebut. Pada kebiasaannya, hati seseorang itu akan merasa bahagia apabila mengingati penciptanya Allah ‘Azza wa Jalla. Sesiapa yang merasa bahagia dengan sesuatu perkara, maka pasti dia suka untuk mengingati dan merenung perkara tersebut dan sesiapa yang suka akan sesuatu perkara, dia tidak akan segera atau cepat-cepat meninggalkannya atau melaluinya. Maka nyatalah, antara maksud daripada bacaan tartîl itu ialah menghadirkan hati dan mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala.

Sebagai kesimpulan, membaca al-Qur’an adalah suatu ibadat yang pastinya dijanjikan dengan ganjaran dan pahala yang hebat. Oleh itu sewajarnya bagi kita untuk memperbanyakkan membaca al-Qur’an lebih-lebih lagi di sepanjang bulan Ramadhan sepertimana yang dianjurkan.

Di samping memperbanyakkan bacaan al-Qur’an sebagai ibadat, adalah utama untuk kita membacanya secara tartîl (teratur) dan tadabbur sepertimana yang dianjurkan oleh agama. Alangkah beruntungnya jika kehebatan daripada membaca al-Qur’an itu dapat diraih, iaitu membacanya dengan tadabbur, mengamati, merenung dan menghayati isi kandungan dan makna ayat-ayat al-Qur’an, serta mampu membawa kita kepada satu peringkat yang lebih tinggi, iaitu mengenal dan memahami isi kandungan al-Qur’an dan mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14900

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص