Barang Pemberian: Tidak Boleh Daripada Bahan Yang Najis
الجواب
Amalan menghulurkan pemberian kepada orang lain terutama kepada golongan yang memerlukan adalah salah satu daripada perkara kebaikan yang digalakkan oleh syara‘. Dalam bahasa Arab, pemberian secara umum disebut sebagai ‘athiyyah. ‘Athiyyah atau pemberian merangkumi hibah, sedekah dan hadiah. Namun ketiga-tiga perkara tersebut adalah berbeza dari segi tujuan dan maksud seseorang ketika menyampaikannya kepada si penerima.
- Jika pemberian itu bukan bermaksud untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bukan sebagai penghargaan mahupun penghormatan kepada si penerima, maka ia dimaksudkan sebagai hibah.
- Jika pemberian itu dimaksudkan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ maka ia adalah sedekah.
- Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai penghormatan atau penghargaan, maka ia dinamakan hadiah.
Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa setiap sedekah dan hadiah itu adalah hibah, tetapi bukan semua hibah itu adalah sedekah atau hadiah.
Rukun hibah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:
1. Orang yang berakad (pemberi dan penerima) 2. Barang pemberian
3. Shîghah (lafaz îjâb dan qabûl)
Mengenai rukun ‘barang pemberian’, setiap benda yang diharuskan untuk dijual beli, maka harus juga untuk dijadikan sebagai pemberian. Bagi menentukan sesuatu barang itu boleh dijadikan sebagai barang pemberian hendaklah barang tersebut menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara‘. Syarat ‘barang pemberian’ hendaklah:
1. Barang itu sesuatu yang diketahui oleh si pemberi dan penerima.
2. Suci.
3. Dapat dimanfaatkan sebagaimana yang disyaratkan dalam perkara barang jual beli.
Barang yang Dijadikan Hibah Hendaklah Suci
Apa yang dimaksudkan dengan syarat ‘suci’ di atas ialah apa yang kosong daripada najis (tidak najis). Dalam perkara jual beli, tidak sah jual beli sesuatu yang najis atau yang bernajis sebagaimana berikut:
1. ‘Ain najis (benda): Seperti anjing, walaupun anjing yang dilatih untuk berburu dan seumpamanya, babi, arak, darah, tahi dan air kencing.
2. Sesuatu yang terkena najis dan kemudiannya tidak dapat disucikan umpamanya minyak yang terkena air kencing, susu bercampur sesuatu najis, air kopi bercampur darah atau yang seumpamanya.
Sebaliknya jika benda yang terkena najis itu dapat disucikan seperti baju yang terkena darah, maka ia sah dijual beli kerana baju tersebut masih dapat disucikan.
Syarat suci yang dikenakan ke atas barang pemberian adalah semuanya sama seperti syarat suci dalam perkara jual beli. Maka hendaklah barang-barang pemberian itu:
1. Bukan barang-barang najis seperti darah, bangkai, babi, anjing, arak dan sebagainya.
2. Tidak terkena atau mengandungi sesuatu yang berasal daripada benda yang najis seperti enzim babi atau titikan arak dan yang seumpamanya.
Jika barang yang hendak dijadikan pemberian itu terkena najis atau mengandungi sesuatu yang berasal daripada najis, hendaklah ia boleh disucikan seperti baju yang terkena tahi anjing dan dapat dihilangkan najis tersebut serta disertu, maka sah pemberian tersebut.
Hibah Berupa Makanan yang Berkemungkinan Mengandungi Bahan tidak Suci
Salah satu bentuk pemberian yang biasa dihulurkan kepada orang lain ialah pemberian berupa makanan sama ada makanan yang dimasak sendiri atau makanan yang dibeli di kedai-kedai. Dari segi syarat penyajian dan juga pemberian, makanan itu hendaklah merupakan sesuatu yang suci atau tidak mengandungi bahan-bahan yang tidak suci.
Untuk menjelaskan mengenai kedudukan makanan yang berkemungkinan mengandungi bahan yang tidak suci ini ialah umpamanya kek atau kuih-muih yang dibuat daripada bahan yang diragui kehalalannya atau apa yang diistilahkan sebagai syubhah.
Syubhah atau dalam bahasa Melayunya disebut keraguan atau kesangsian bermaksud:
1. Sesuatu yang tidak diyakini akan halal atau haramnya.
2. Sesuatu yang tidak diketahui adakah pada hakikatnya ia halal atau haram.
3. Sesuatu yang keadaannya seolah-olah tsabit atau pasti, tetapi sebenarnya tidak tsabit atau tidak pasti.
Prinsip Syara‘ Mengenai Syubhah
Jika pada asalnya sesuatu yang syubhah itu adalah halal dan kemudiannya timbul syak atau ragu pada haramnya, maka ia dikembalikan kepada hukum asalnya iaitu halal. Namun menjauhi diri daripada perkara syubhah dengan bersifat wara‘ merupakan sikap yang mulia.
Contoh: Produk biskut keluaran syarikat milik orang Islam yang mengandungi bahan-bahan suci seperti tepung, telur, minyak kelapa sawit, oat dan garam tetapi kita syak pada haramnya kerana kemungkinan ada bahan lain yang tidak dinyatakan dalam pemprosesan produk tersebut. Maka dalam hal ini, produk itu dianggap halal kerana yakin bahan yang disenaraikan adalah terdiri daripada bahan suci dan syarikat itu pula adalah milik orang Islam. Maka biskut tersebut boleh dijadikan pemberian tetapi tidak menjadikannya sebagai pemberian adalah lebih baik kerana kita sendiri ada syak terhadapnya.
Jika pada asalnya keadaan sesuatu yang syubhah itu adalah haram dan kemudiannya timbul syak dan ragu bahawa ia adalah halal, maka wajib dijauhi daripada melakukan syubhah sedemikian kerana menurut hukum asalnya iaitu haram.
Contoh: Daging lembu yang didatangkan dari negara lain untuk dijual di pasaraya-pasaraya tempatan dengan diberi logo ‘Halal’ yang diragui. Hukum asal daging tersebut adalah tidak halal dimakan melainkan ia jelas disembelih mengikut syara‘. Oleh kerana tidak jelas penyembelihannya atau siapa penyembelihnya, sekalipun terdapat logo tersebut yang boleh menimbulkan rasa syak kemungkinan halalnya, maka hukum daging tersebut dikembalikan kepada hukum asalnya iaitu haram dimakan dan ia tidak suci. Maka daging tersebut tidak boleh dijadikan pemberian sama sekali.
Melalui penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa menjaga diri daripada mengambil sesuatu yang syubhah adalah suatu yang dituntut. Begitu juga dalam konteks pemberian, jika pemberian yang berupa makanan atau minuman itu merupakan sesuatu yang diragui adakah ianya halal ataupun haram maka mengambil sikap untuk tidak memberikannya kepada orang lain adalah lebih baik walaupun pada asalnya ia adalah halal. Manakala jika barang pemberian yang berupa makanan atau minuman itu pada asalnya adalah haram, maka tidak boleh diberikan pada orang lain, kerana pemberian tersebut tidak menepati sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘ iaitu barang pemberian tersebut bukan terdiri daripada barang atau bahan yang suci.
Bolehkah Diberikan Makanan atau Minuman yang Syubhah kepada Orang Bukan Islam?
Merujuk kepada syarat dalam pemberian sebagaimana yang disebutkan terdahulu, semua pemberian termasuk makanan atau minuman itu, hendaklah daripada bahan yang suci. Maka dalam hal ini, barang yang ingin diberikan kepada orang lain, tidak kira sama ada si penerima itu orang Islam atau orang bukan Islam, hendaklah memenuhi syarat-syarat sah pemberian. Ini kerana perkara sah pemberian itu kembali pada barang pemberian itu sendiri dan bukan dilihat kepada siapa yang menerimanya, sama ada dia orang Islam atau bukan orang Islam.
Oleh yang demikian, pemberian kepada orang bukan Islam juga hendaklah terdiri daripada zat dan bahan-bahan yang suci.
Jika barang pemberian itu berlaku padanya syubhah, sesuatu yang pada asalnya adalah halal namun masih diragui kehalalannya kerana kemungkinan mengandungi atau bercampur dengan bahan yang najis, maka dalam hal ini adalah lebih baik tidak diberikan kepada orang lain termasuklah orang bukan Islam.
Sebagai kesimpulan, barang pemberian itu hendaklah dipastikan memenuhi syarat-syarat pemberian. Janganlah hendaknya seseorang memberikan pemberian yang langsung tidak memberi manfaat kepada si penerima dan juga terdiri daripada benda najis atau bahan-bahannya bersumberkan sesuatu yang najis.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14905
دليل الألوان
