Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة٠ مشاهدة

Larangan Memotong Rambut, Kuku, Bulu Dan Anggota Badan Bagi Orang Yang Berkorban

الجواب

Ibadat korban adalah syi‘ar yang perlu dipelihara oleh setiap orang Islam yang berkemampuan. Hukum melakukan ibadat korban itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang dituntut).

Salah satu perkara yang perlu dipelihara di dalam ibadat korban itu ialah menitikberatkan perkara-perkara yang disuruh dan dilarang di dalam ibadat tersebut. Ini termasuk adab dan perkara-perkara yang sunat dilakukan oleh orang yang hendak menunaikan ibadat korban.

Antara adab dan perkara yang disunatkan itu ialah tidak menghilangkan kuku dan rambut.

Para ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan larangan menghilangkan kuku dan rambut itu ialah:

1. Larangan menghilangkan atau membuang kuku dengan cara memotong, membelah, memecah atau selainnya.

2. Larangan menghilangkan atau membuang rambut dengan cara mencukur, menggunting, mencabut, membakar, menanggalkan dengan kapur ataupun selainnya sama ada rambut kepala, bulu ketiak, misai, janggut, bulu kemaluan atau bulu roma selainnya. Larangan tersebut juga termasuk membuang anggota badan yang lain.

Siapakah yang Dilarang Memotong Rambut, Kuku, Bulu dan Anggota Badan?

Larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan dianjurkan ke atas setiap orang Islam yang hendak menunaikan ibadat korban. Disunatkan ke atasnya untuk tidak memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badannya akan tetapi tidak diwajibkan ke atasnya untuk berbuat demikian.

Sementara itu, menurut pendapat yang shahîh hukum meninggalkan anjuran tersebut pula adalah makruh.

Bila Bermula Larangan Memotong Rambut, Kuku, Bulu dan Anggota Badan?

Terdapat beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menyebutkan tentang larangan memotong anggota zahir badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban itu antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila telah masuk hari-hari yang sepuluh (sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai binatang korban yang hendak dikorbankan, maka janganlah sekali-kali mengambil (memotong) rambut dan memotong kuku. (Hadits riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang ada sembelihan untuk disembelih (hendak dijadikan binatang korban), maka apabila telah tampak hilal Zulhijjah, janganlah dia sekali-kali mengambil (memotong) sesuatu pun daripada rambut dan kukunya, sehinggalah dia selesai menunaikan ibadat korban. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits-hadits di atas, jelas menunjukkan bahawa larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban itu adalah bermula sebaik sahaja tampak atau tsabit dilihat anak bulan Zulhijjah iaitu 1 Zulhijjah dan larangan tersebut berakhir sehingga orang itu selesai menunaikan ibadat korbannya.

Hikmah Larangan

Hikmah larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban ialah agar seluruh anggota tubuh orang yang menunaikan ibadat korban itu kekal lengkap sehingga mendapat jaminan bebas daripada api neraka.

Beberapa Permasalahan yang Berkaitan

1. Larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan adalah disunatkan ke atas orang yang hendak menunaikan ibadat korban tidak termasuk orang yang sedang berihram. Seseorang yang sudah berniat ihram, haram ke atasnya memotong kuku dan menghilangkan segala bulu-bulu yang tumbuh di badan dengan sengaja. 2. Setiap perkara yang diwajibkan memotong salah satu daripada anggota badan seperti hukuman potong tangan bagi pencuri dan khatan orang dewasa adalah terkecuali daripada larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan apabila hendak menunaikan ibadat korban.

3. Bagi orang yang menunaikan ibadat korban lebih daripada seekor binatang korban, hukum makruh memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan itu berakhir dengan selesai sembelihan pertama daripada binatang korbannya. Walau bagaimanapun, afdhal tidak memotongnya sehingga selesai semua binatang korbannya disembelih.

Demikian beberapa perkara mengenai larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban. Jelasnya, larangan tersebut bermula setelah masuk sahaja 1 haribulan Zulhijjah iaitu setelah tsabit kelihatan anak bulan Zulhijjah sehingga ibadat korban selesai dilakukan. Disunatkan ke atas orang yang hendak menunaikan ibadat korban untuk tidak memotong rambut, kuku, bulu-bulu yang tumbuh di badannya termasuk anggota badan yang zahir dan makruh jika berlaku sebaliknya

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14951

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص