Darah Nifâs Berhenti Seketika Di Dalam Tempoh Nifâs
الجواب
Darah nifâs adalah darah haidh yang terkumpul dan keluar dari rahim seorang perempuan setelah keseluruhan rahimnya kosong dengan melahirkan anak, sama ada berupa anak, berupa darah beku (‘alaqah) ataupun berupa seketul daging (mudhghah).
Tidak dinamakan darah nifâs, darah yang keluar sebelum kelahiran anak, umpamanya darah yang keluar ketika hamil; ataupun darah yang keluar ketika lahirnya anak atau bersama-sama anak; ataupun darah yang keluar di antara kelahiran anak kembar.
Tempoh Nifâs
Tempoh minimum (paling sedikit) nifâs ialah satu lahzhah atau satu detik dan tempoh maksimum (paling banyak) nifâs ialah 60 hari dan malamnya. Pada kebiasaannya, perempuan mengalami nifâs dalam tempoh 40 hari dan malamnya. Menurut kebiasaan juga, cara pengiraan permulaan tempoh nifâs ialah bermula daripada kelahiran anak, yakni terpisah dia daripada si ibu.
Sekiranya seseorang menghitung bahawa darah nifâs telah mencapai tempoh maksimum 60 hari, kemudian pada hari yang ke 61 darah masih lagi dapat dilihat, iaitu darah masih lagi keluar, maka penentuannya adalah sebagaimana berikut:
Pertama: Jika darah nifâs berhenti atau kering tepat 60 hari, sekalipun berhentinya itu hanya satu lahzhah atau detik, maka darah yang keluar lagi pada hari seterusnya itu adalah darah haidh jika cukup syarat-syarat.
Kedua: Jika darah nifâs keluar secara berterusan dari hari ke-60 sehingga ke hari ke-61 tanpa berhenti (terputus) atau kering, maka darah yang keluar lagi pada hari ke-61 dan selebihnya itu bukan lagi dinamakan darah nifâs, akan tetapi darah istihâdhah.
Darah nifâs yang telah melebihi tempoh maksimumnya 60 hari adalah dihukumkan sama seperti darah haidh yang melebihi tempoh maksimumnya 15 hari. Perempuan yang mengalami istihâdhah dinamakan mustahâdhah. Oleh itu, berjalanlah segala hukum mustahâdhah ke atas perempuan yang nifâsnya telah melebihi hadnya.
Perkara yang Dilarang ke atas Perempuan Nifâs
Perempuan yang mengalami nifâs dihukumkan sama seperti perempuan yang mengalami haidh, melainkan dalam beberapa perkara. Ulama telah sepakat (ijmâ‘) bahawa diharamkan ke atas perempuan yang mengalami nifâs perkara-perkara yang diharamkan kepada perempuan haidh, seperti sembahyang, puasa, thawaf, membaca al-Qur’an, menanggung dan menyentuh Mushhaf, tetap diam di dalam masjid, bersetubuh dan ditegah suami daripada berseronok-seronok (istimtâ‘) di antara kawasan pusat dan lutut isteri.
Apabila kering atau berhenti darah nifâs, diwajibkan ke atasnya perkara yang diwajibkan ke atas perempuan yang kering darah haidh, iaitu hendaklah dia mandi mengangkat hadats ataupun bertayammum, dalam keadaan tertentu bilamana disyariatkan ke atasnya untuk bertayammum.
Oleh itu, perempuan yang kering darah nifâsnya, apabila telah berlalu atau tamat suatu tempoh tertentu, yang menurut perkiraannya ataupun menurut kebiasaannya dalam tempoh tersebut darah nifâsnya itu sudah kering atau berhenti, maka wajib dia mandi mengangkat hadats. Ini kerana, tidak halal baginya untuk melakukan ibadat seperti sembahyang, menyentuh dan menanggung Mushhaf, bersetubuh dan selainnya, tidak termasuk puasa dan thalaq, sebelum dia mandi atau bertayammum.
Perempuan yang telah mandi mengangkat hadats kerana kering darah haidh atau darah nifâs ataupun bertayammum, maka suami boleh menyetubuhi isteri dan tidak dihukumkan makruh. Bagaimanapun sekiranya si isteri merasa takut atau bimbang darahnya akan keluar semula, maka adalah mustahabb, yakni disukai, supaya menahan atau mengelakkan diri daripada melakukan persetubuhan sebagai langkah berhati-hati.
Hukum Darah Nifâs yang Tertangguh
Dalam keadaan tertentu, ada kalanya perempuan yang melahirkan anak itu sama sekali tidak mengalami nifâs ataupun dia tidak mengalami nifâs dengan serta-merta selepas melahirkan, yakni darah nifâsnya tertangguh untuk suatu jangka masa atau tempoh tertentu.
Menurut hukum syara‘, seorang perempuan yang melahirkan anak dalam keadaan kering tanpa diikuti oleh darah nifâs sehingga habis tempoh 15 hari dari hari melahirkan, dianggap sebagai wilâdah (beranak) tanpa basah dan dia juga dihukumkan sebagai tidak mengalami nifâs menurut pendapat al-ashah. Dalam hal ini, diwajibkan ke atasnya mandi disebabkan wilâdah untuk dia mendirikan sembahyang apabila telah masuk waktu sembahyang dan selain sembahyang.
Manakala perempuan yang tidak mengalami nifâs dengan serta-merta selepas melahirkan, yakni tertangguh darah nifâsnya, keadaannya terbahagi dua. Penjelasan dan hukum mengenainya adalah sepertimana berikut: Pertama: Dia mendapati darah keluar setelah berlalu 15 hari atau lebih dari hari melahirkan, maka darah yang dilihat keluar itu bukan lagi dinamakan darah nifâs, akan tetapi ia adalah darah haidh dan dihukumkan dia sama sekali tidak mengalami nifâs.
Kedua: Dia mendapati darah keluar sebelum berlalu tempoh 15 hari dari hari melahirkan, maka darah yang keluar itu adalah darah nifâs.
Pengiraan Permulaan Tempoh Darah Nifâs yang Tertangguh
Cara pengiraan permulaan tempoh darah nifâs yang tertangguh keluarnya sebelum berlalu tempoh 15 hari dari hari melahirkan, sepertimana keadaan yang kedua yang disebutkan di atas, adalah seperti berikut:
1. Dari segi pengiraan permulaan tempoh nifâs, ia tetap bermula (dan dihitung) daripada kelahiran anak.
Oleh kerana darah nifâs tertangguh keluarnya, maka terdapat tempoh bersih )an-naqa’) di antara kelahiran anak sehingga dia melihat keluar darah nifâs. Tempoh bersih tersebut tetap dihitung termasuk di dalam jumlah 60 hari nifâs, sekalipun darah nifâsnya tidak keluar. Inilah pendapat al-mu‘tamad.
2. Dari segi hukum, iaitu berjalannya perkara-perkara yang dilarang atau sebaliknya terhadap perempuan yang mengalami nifâs, perempuan yang tertangguh darah nifâsnya itu dihukumkan sepertimana perempuan yang mengalami nifâs hanya bermula daripada dia melihat darah nifâs keluar.
Oleh yang demikian, di dalam tempoh bersih (an-naqa’) di antara kelahiran anak sehingga dia melihat darah nifâs keluar, perempuan yang tertangguh darah nifâsnya itu tetap (lâzim) dihukumkan seperti perempuan yang suci.
Oleh itu, wajib ke atasnya mandi wilâdah (kerana beranak). Dia juga diwajibkan mengerjakan sembahyang dan ibadat selainnya dalam tempoh bersih (an-naqa’) tersebut setelah mandi mengangkat hadats. Manakala sembahyang yang luput dalam tempoh bersih (an-naqa’) tersebut adalah wajib diqadha’.
Darah Nifâs Berhenti Seketika di dalam Tempoh Nifâs
Kadangkala perempuan yang masih di dalam tempoh nifâs, iaitu belum mencapai had maksimum nifâs 60 hari, mengalami situasi darah nifâsnya itu berhenti untuk satu jangka masa tertentu. Kemudian dia melihat darah keluar semula.
Perkara yang perlu diambil perhatian di sini ialah di dalam situasi yang disebutkan di atas; bermula daripada keluar darah nifâs yang pertama, kemudian darah nifâs berhenti seketika, kemudian diikuti oleh darah yang kedua sehinggalah darah tersebut kering atau berhenti, kesemuanya ini berlaku di dalam had tempoh nifâs dan tidak melebihi 60 hari.
Untuk memastikan hukum darah yang keluar semula di dalam tempoh nifâs, iaitu setelah darah nifâs berhenti seketika, terlebih dahulu hendaklah diperhatikan kepada jangka masa darah nifâs itu berhenti sebelum darah yang kedua keluar semula, sama ada dalam tempoh 15 hari atau lebih, ataupun kurang dari tempoh 15 hari. Penjelasannya adalah seperti berikut.
Pertama: Jika darah nifâs berhenti selama suatu tempoh kurang dari 15 hari, kemudian dia melihat darah keluar semula, maka darah yang keluar semula kali kedua itu dihukumkan sebagai darah nifâs. Manakala tempoh bersih (an-naqa’) yang kurang dari 15 hari di antara kedua-dua darah tersebut dihukumkan sebagai tempoh nifâs berdasarkan pandangan (qaul) as-sahab. Demikianlah pendapat al-mu‘tamad.
Sebagai contoh, seorang perempuan telah mengalami nifâs selama 30 hari, kemudian darah nifâsnya kering atau berhenti selama 10 hari. Setelah tempoh kering itu, dia melihat darah keluar semula. Darah yang keluar semula kali kedua itu adalah dikira sebagai darah nifâs.
Kedua: Jika darah nifâs berhenti selama 15 hari atau lebih, kemudian dia melihat darah keluar semula, darah yang keluar semula kali kedua itu dihukumkan sebagai darah haidh, jika cukup syarat-syarat haidh. Manakala tempoh bersih (an-naqa’) di antara kedua-dua darah tersebut (15 hari ataupun lebih) adalah dikira tempoh suci di antara darah nifâs dan darah haidh yang keluar selepas itu.
Sebagai contoh, seorang perempuan telah mengalami nifâs selama 30 hari, kemudian darah nifâsnya kering atau berhenti selama 15 hari atau lebih. Setelah tempoh kering itu, dia melihat darah keluar semula. Darah yang keluar semula kali kedua itu adalah darah haidh, sekalipun dia masih berada di dalam lingkungan tempoh maksimum nifâs, iaitu 60 hari.
Hukum Ibadat dalam Tempoh Bersih (An-Naqa’) yang Dihukumkan Sebagai Nifâs
Apabila berhadapan dengan darah nifâs yang berhenti seketika di dalam tempoh nifâs, persoalan yang mungkin timbul ialah bagaimana dengan kedudukan kewajipan ibadat dan perkara selainnya? Penjelasannya seperti berikut.
Sekiranya dia melihat darah nifâs berhenti atau kering, maka wajib ke atasnya mandi mengangkat hadats dan melaksanakan kewajipan lain seperti sembahyang dan puasa. Demikian juga, dia boleh melakukan thawaf, membaca al-Qur’an, memegang dan menanggung Mushhaf, i‘tikâf, bersetubuh dan selainnya sepertimana tiada larangan ke atas perempuan yang suci. Para ulama tidak ada percanggahan dalam perkara ini. Ini kerana pada ketika itu tidak diketahui adakah darahnya akan kembali semula ataupun berhenti (sudah kering).
Bagaimananapun sekiranya pada hari-hari seterusnya dia mendapati darah keluar semula, sepertimana dalam keadaan pertama di atas, maka menurut pandangan (qaul) as-sahab, ibadat yang dilaksanakannya dalam tempoh bersih (an-naqa’) itu adalah batal (tidak sah) serta wajib diqadha’, umpamanya puasa fardhu, jika ada.
Di dalam tempoh tersebut, sembahyang qadha’ yang dikerjakannya juga adalah tidak sah dan wajib diulang semula. Bagaimanapun sembahyang yang dikerjakannya secara tunai tidak wajib diqadha’, sekalipun dalam keadaan ini dihukumkan tidak sah. Ini kerana pada asalnya, sembahyang tunai itu telah dikerjakannya di dalam tempoh haidh, sedangkan di dalam tempoh haidh tidak diwajibkan ke atas perempuan haidh untuk menunaikan sembahyang fardhu.
Hukum puasa sunat yang dikerjakannya pula, adalah juga tidak sah, akan tetapi dia tetap memperolehi ganjaran pahala di atas niatnya melakukan ibadat tersebut sebagai suatu ketaatan. Bagaimanapun dia tidak memperolehi ganjaran pahala atas puasa sunat itu sendiri, disebabkan puasa sunat tersebut adalah tidak sah kerana dikerjakan di dalam tempoh haidh.
Di samping itu, perbuatan suami menyetubuhi isteri dalam tempoh bersih tersebut secara dasarnya tidak dibolehkan, bagaimanpun tidak dihukumkan berdosa disebabkan kejahilan atau tidak mengetahui dengan pasti akan keadaan darah nifâs, sama ada akan keluar semula ataupun tidak.
Manakala dalam keadaan yang kedua di atas, segala ibadat yang dilaksanakan dan selainnya adalah sah. Ini kerana tempoh bersih (an-naqa’) di antara kedua-dua darah tersebut dihukumkan sebagai tempoh suci.
Darah Nifâs Berhenti Setelah Mencapai 60 Hari
Seperti yang telah dijelaskan, tempoh maksimum darah nifâs ialah 60 hari dan malamnya. Oleh yang demikian, apabila perempuan yang bernifâs telah mencapai had nifâsnya 60 hari serta darah nifâsnya berhenti atau kering, maka dia dihukumkan suci daripada nifâs. Sekiranya dia melihat darah keluar semula selepas hari ke-60 itu, maka darah yang keluar semula kali kedua itu dihukumkan darah haidh, sekalipun darah nifâs itu berhenti atau putus hanya satu lahzhah atau detik. Manakala tempoh bersih di antara nifâs dan haidh yang selepasnya itu pula adalah tempoh suci.
Perbezaan Tempoh Suci di antara Darah Haidh dan Darah Nifâs
Tempoh suci di antara dua haidh adalah berbeza daripada tempoh suci di antara haidh dan nifâs (atau sebaliknya). Ini kerana tempoh suci di antara dua haidh hendaklah diselangi dengan tempoh suci sekurang-kurangnya 15 hari berturut-turut (secara berterusan). Manakala tempoh suci di antara haidh dan nifâs (atau sebaliknya) tidak disyaratkan diselangi dengan tempoh suci sebanyak 15 hari di antara kedua-duanya. Dengan erti kata lain, tempoh suci di antara haidh dan nifâs boleh sahaja kurang dari 15 hari.
Berikut adalah beberapa contoh bagi menjelaskan perkara di atas:
1. Seorang perempuan yang hamil mendapati dirinya baru suci daripada haidh, sebagaimana pendapat al-ashah bahawa perempuan hamil juga dihukumkan mengalami haidh apabila cukup syarat-syaratnya. Kemudian dalam tempoh sucinya cuma satu hari sahaja ataupun kurang daripada itu, dia melahirkan anak. Setelah kelahiran anaknya, dia melihat darah keluar lagi. Dalam keadaan ini, darah yang pertama ketika hamil itu adalah darah haidh dan darah yang kedua setelah kelahiran anaknya itu adalah darah nifâs. Manakala tempoh bersih di antara haidh ketika hamil dan nifâs itu, iaitu satu hari ataupun kurang, adalah tempoh suci. Dalam contoh ini adalah jelas bahawa tempoh suci di antara kering darah haidh dan permulaan keluar darah nifâs adalah kurang dari 15 hari.
2. Seorang perempuan yang telah mencapai tempoh maksimum nifâs 60 hari, kemudian dia suci daripada nifâs kerana darah nifâsnya kering atau berhenti. Dalam tempoh kurang dari 15 hari setelah dia suci daripada nifâsnya dia melihat darah keluar lagi. Dalam keadaan ini, darah yang kedua selepas kering darah nifâs itu adalah darah haidh. Manakala tempoh bersih di antara nifâs dan haidh, iaitu kurang dari 15 hari, adalah tempoh suci.
3. Seorang perempuan yang mengalami nifâs selama 59 hari, kemudian pada hari ke-60 dia suci (kering darah nifâsnya). Pada hari ke-61, jika dia melihat darah keluar semula, maka darah tersebut adalah darah haidh. Dalam contoh ini, tempoh suci di antara kedua-dua darah itu adalah satu hari ataupun kurang.
Sebagai kesimpulan, wajib ke atas perempuan untuk mempelajari, mengetahui dan memahami perkara yang diperlukannya mengenai darah haidh, nifâs dan istihâdhah lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang mengalami nifâs atau yang akan menghadapinya. Ini termasuklah hukum berkaitan darah nifâs yang tertangguh keluarnya, darah nifâs yang berhenti seketika semasa masih di dalam tempoh nifâs, iaitu 60 hari, darah yang keluar melebihi had nifâs, tempoh bersih, tempoh suci dan selainnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14974
دليل الألوان
