Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Bagaimana Meletakkan Tangan Ketika Berdiri Dalam Sembahyang?

الجواب

Ibadat sembahyang merupakan ibadat yang menjadi rutin dalam kehidupan seharian seorang Muslim. Dalam sehari semalam, ada lima sembahyang fardhu yang wajib dikerjakan. Ini belum mengambil kira pelbagai sembahyang sunat yang boleh dikerjakan sepanjang hari bagi mereka yang hendak merebut kelebihannya.

Keadaan ibadat sembahyang yang menjadi rutin harian ini mungkin menjadikan sebahagian orang merasa selesa lalu menyangka bahawa sembahyang yang dikerjakannya sudah sempurna, sedangkan pada hakikatnya, masih banyak hukum dan permasalahan terperinci mengenai ibadat sembahyang yang perlu diketahui atau difahaminya betul-betul, antaranya dalam perkara sunat hai’ah. Perkara yang dimaksudkan ialah kaifiyyah atau cara meletakkan tangan ketika qiyâm, yakni ketika berdiri mengerjakan sembahyang.

Jika kita perhatikan di masjid-masjid, di kaca televisyen dan seumpamanya, berbagai macam dan cara yang dilakukan oleh orang yang bersembahyang dalam melaksanakan tuntutan ini. Ada yang meletakkan tangannya di bawah pusat, ada yang meletakkannya di atas dada, ada yang hanya melepaskan tangannya ke bawah dan sebagainya. Persoalannya, kaifiyyah manakah yang tepat menurut mazhab asy- Syafi‘i? Setakat manakah pula kesan dan kepentingan menunaikan tuntutan ini terhadap ibadat sembahyang yang dikerjakan?

Pendapat Mazhab Asy-Syafi‘i Mengenai Kaifiyyah Meletakkan Tangan ketika Qiyâm

Menurut mazhab asy-Syafi‘i, kaifiyyah meletakkan tangan ketika qiyâm yang disunatkan dan paling afdhal ialah dengan memenuhi kesemua tuntutan berikut:

1. Tangan kanan hendaklah diletakkan di atas tangan kiri. Ini adalah pendapat jumhûr ulama termasuk ramai daripada golongan sahabat, tâbi‘în dan lainnya.

2. Ini dilakukan dengan cara tapak tangan kanan serta jarinya menggenggam anggota-anggota berikut:

i. Bahagian tulang pada pergelangan yang selari dengan ibu jari tangan kiri.

ii. Sebahagian pergelangan tangan kiri. iii. Permulaan lengan kiri (bahagian lengan selepas pergelangan tangan kiri).

Ini berdasarkan hadits daripada Wa’il bin Hujur Radhiallâhu ‘anhu, beliau meriwayatkan:

Maksudnya: Aku memerhatikan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (untuk mengetahui) bagaimana Baginda mengerjakan sembahyang. Dia (Wa’il bin Hujur Radhiallâhu ‘anhu) berkata lagi: “Lalu aku melihat Baginda berdiri lalu bertakbîr dan mengangkat kedua-dua tangannya hingga sejajar dengan kedua-dua telinganya. Kemudian Baginda meletakkan tangan kanan Baginda di belakang tapak tangan kiri Baginda serta pergelangan (kiri) dan lengan (kiri) …” (Hadits riwayat Abu Daud, an-Nasa’i dan Ahmad)

Tuntutan ini dapat disempurnakan dengan cara tapak tangan kanan serta jarinya melingkari kawasan pergelangan tangan kiri. Ini adalah pendapat mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i dan merupakan kaifiyyah yang paling afdhal.

Manakala jari tangan kiri pula, menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam Nihâyah al-Muhtâj, hendaklah direnggangkan atau dibentangkan secara sederhana.

Adapun hikmah serta tujuan disyariatkan meletakkan tangan seumpama ini ketika qiyâm adalah untuk menahan kedua-dua tangan daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Di samping itu, melaksanakan kaifiyyah ini lebih cenderung untuk meraih kekhusyû‘an, serta lebih menunjukkan sifat tawâdhu‘, rendah hati serta rasa hina di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Sekiranya dia hanya meletakkan tangannya ke bawah maka hukumnya makruh sepertimana penpat yang dinukilkan daripada Imam al-Baghawi Rahimahullâh. Akan tetapi, menurut Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh, jika dalam keadaan tersebut dia mampu menahan diri daripada berbuat sia-sia, maka yang demikian itu tidak mengapa. Ini kerana tujuan meletakkan tangan seumpama ini ketika qiyâm adalah supaya menahan kedua-dua tangan daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Bagaimanapun, melaksanakannya sepertimana kaifiyyah yang disebutkkan di atas adalah lebih utama atas sebab ittibâ‘ (mencontohi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) serta sebab-sebab yang telah disebutkan tadi.

3. Meletakkan kedua-dua tangan kanan dan kiri di atas pusat dan di bawah dada dengan menyasarkannya sedikit ke arah sudut kiri.

Meletakkan kedua-dua tangan pada posisi ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ini kerana dengan meletakkan kedua-dua tangan pada posisi tersebut, ia berada di atas anggota manusia yang paling mulia iaitu hati, yang merupakan tempat tersematnya iman, niat dan keikhlasan. Pada kelazimannya, apabila seseorang itu ingin memelihara atau mempertahankan sesuatu yang terlalu bernilai bagi dirinya, dia akan meletakkan kedua-dua tangannya di atasnya. Maka perlakuan ini menggambarkan seolah-olah orang yang sedang bersembahyang itu sedang bersungguh-sungguh menjaga iman, niat dan keikhlasan yang terpateri di dalam hatinya.

Dalam kitab al-Hâwi al-Kabîr pula disebutkan bahawa hikmah berbuat demikian adalah kerana khusyû‘ tempatnya pada hati. Dari itu meletakkan tangan padanya lebih membantu mendatangkan rasa khusyû‘ berbanding meletakkannya pada posisi yang lain seperti meletakkannya di bawah pusat dan sebagainya.

Antara hikmahnya lagi sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Mawardi dan Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahumullâh, meletakkan tangan pada hati bertujuan mengingatkan orang yang bersembahyang supaya sentiasa mengawal hatinya agar tidak sibuk berfikir-fikir atau berangan-angan ketika bersembahyang. Ini adalah salah satu punca utama yang mengakibatkan kekhusyû‘an sukar diperolehi.

Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh, tuntutan ini bukanlah bermaksud kita dituntut untuk mencari tempat terletaknya hati dengan tepat. Tetapi adalah memadai meletakkannya secara anggaran sahaja.

Kaifiyyah yang disebutkan ini disunatkan sebagai ittibâ‘ yakni mengikuti dan mencontohi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdasarkan hadits-hadits yang meriwayatkan bahawasanya Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukannya dengan kaifiyyah yang disebutkan tadi dan mengajarkannya kepada para sahabat Baginda.

Kaifiyyah Meletakkan Tangan bagi Mereka yang tidak Dapat Mengerjakan Qiyâm

Kaifiyyah yang disebutkan sebelum ini sunat dilakukan ketika qiyâm jika dia mampu mengerjakan qiyâm. Bagaimana pula sekiranya dia tidak mampu mengerjakan qiyâm?

Sekiranya dia tidak mampu mengerjakan qiyâm, contohnya dia mengerjakan sembahyang secara duduk atau berbaring, maka adalah sunat juga dia meletakkan tangan sepertimana kaifiyyah yang dituntut kepada mereka yang mampu mengerjakan qiyâm.

Kaifiyyah Meletakkan Tangan ketika Qiyâm bagi Mereka yang Cacat Anggota Tangannya

Menurut Imam asy-Syaubari Rahimahullâh, sepertimana yang dinukilkan daripadanya oleh Imam al-Bijirmi Rahimahullâh dalam Tuhfah al-Habîb dan Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj, sekiranya seseorang itu terputus tangan kanannya dari kawasan pergelangan, maka diletakkannya hujung lengan kanan di atas tangan kirinya.

Adapun sekiranya kedua-dua tangannya terputus dari kawasan pergelangan, maka dia letakkan satu hujung lengan pada hujung lengan yang sebelah lagi. Dalam keadaan seperti ini, adalah dituntut untuknya meletakkan tangannya itu di bawah dada sepertimana keadaan mereka yang sejahtera tangannya.

Demikian beberapa penerangan mengenai kaifiyyah meletakkan tangan ketika qiyâm. Tuntutan ini, walaupun hanya dalam perkara sunat hai’ah yang jika ditinggalkan tidak menjejaskan sembahyang serta tidak perlu ditampung dengan sujud sahwi, ia tetap perlu ditunaikan sepertimana yang dituntut kerana selain mendapat pahala kerana mencontohi perlakuan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, ia juga membantu mendatangkan kekhusyû‘an dan lebih menunjukkan sikap tawâdhu‘ di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15008

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص