Jimâ‘ Di Siang Hari Ramadhan: Bila Tidak Dikenakan Kaffârah?
الجواب
Bulan Ramadhan merupakan sebaik-baik bulan. Ia dikhususkan dengan kemuliaan dan fadhilat yang tidak terdapat pada bulan yang lain. Kerana kelebihannya itu, ada perkara yang jika dilakukan di dalamnya dikira sebagai mencemar kesuciannya. Antaranya ialah melakukan jimâ‘ pada siang hari bulan Ramadhan. Akibat daripada mencemar kesucian bulan Ramadhan dengan jimâ‘ ini, maka orang yang melakukannya dikenakan kaffârah. Kaffârah ini diwajibkan dengan tujuan untuk menghapus atau menutup dosa yang dilakukannya sehingga tidak ada lagi pengaruhnya atau kesan dosa itu baik di dunia mahupun di akhirat.
Ia juga dikenakan sebagai hukuman atau denda kepadanya kerana melanggar ketetapan syara‘ dan menjadi peringatan supaya tidak akan mengulang kesalahan yang sama pada masa akan datang.
Apa yang mungkin kurang diketahui umum ialah tidak semua jimâ‘ yang dilakukan di siang hari Ramadhan itu mewajibkan kaffârah. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sangat adil lagi bijaksana dalam mengatur hukum. Kaffârah hanya akan dikenakan sekiranya ia memenuhi syarat dan kriteria yang telah ditetapkan. Sekiranya syarat dan kriteria itu tidak dipenuhi, maka kaffârah dengan sendirinya akan gugur daripada tanggungan orang tersebut.
Bila Jimâ‘ di Siang Hari Ramadhan Dikenakan Kaffârah?
Wajib membayar kaffârah serta ta‘zîr dan qadha’ ke atas orang mukallaf yang membatalkan puasa bulan Ramadhan dengan jimâ‘. Dengan perbuatan jimâ‘nya itu dia dikira telah mencemar kesucian bulan Ramadhan dan melakukan dosa terhadap puasanya. Ini dikenakan dengan syarat tidak ada syubhah yang boleh menolak daripada dikenakan kaffârah. Disyaratkan juga bahawa hendaklah jimâ‘ itu berlaku di antara anggota zakar yang asli dengan anggota faraj yang asli.
Perkara ini sama hukumnya sama ada jimâ‘ itu secara persetubuhan yang halal di antara suami isteri, ataupun secara zina. Begitu juga sama hukumnya sama ada ia dilakukan dengan cara tabi‘i ataupun di luar tabi‘i, misalnya melalui dubur perempuan ataupun lelaki, melalui faraj atau dubur binatang, ataupun menjimâ‘ mayat. Kesemuanya ini sama hukumnya walaupun dikerjakan dengan berlapik, sekalipun tidak menyebabkan inzâl (keluar air mani).
Perbuatan jimâ‘ yang menegah daripada sahnya ibadat puasa juga adalah sama hukumnya dengan membatalkan puasa dengan melakukan jimâ‘. Sebagai contoh, mereka yang sedang melakukan jimâ‘ ketika sahur lalu mereka terus melakukannya sedangkan mereka tahu bahawa waktu Shubuh sudah pun masuk. Perbuatan jimâ‘ dalam keadaan ini menyebabkan puasanya dikira tidak sah dan dia dikenakan kaffârah.
Kaffârah hanya dikenakan atas sebab membatalkan puasa Ramadhan yang dikerjakan secara tunai dengan melakukan jimâ‘. Adapun melakukan onani, bersentuh-sentuh, bercumbu-cumbu dan sebagainya tidak diwajibkan kaffârah walaupun ia dilakukan sehingga keluar air mani. Ini kerana nash kaffârah hanya dikenakan atas sebab membatalkan puasa Ramadhan dengan jimâ‘ semata-mata dan bukan atas sebab lain.
Siapa yang Wajib Membayar Kaffârah?
Kaffârah hanya wajib dibayar oleh lelaki mukallaf yang mewathi’ (menyetubuhi) sahaja. Dari itu, ia tidak dikenakan atas lelaki yang belum mukallaf serta tidak dikenakan atas perempuan atau lelaki yang diwathi’ (disetubuhi) oleh lelaki yang lain.
Apa Dia Kaffârah Melakukan Jimâ‘ di Siang Hari Puasa Ramadhan?
Kaffârah melakukan jimâ‘ di siang hari puasa Ramadhan ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Ketika kami duduk bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, datang seorang lelaki kepada Baginda lalu berkata: “Wahai Rasulullah, binasalah aku!” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kenapa dengan engkau?” Lelaki itu menjawab: “Aku telah menyetubuhi isteriku sedang aku dalam keadaan berpuasa (Ramadhan).” Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Adakah engkau mampu memerdekakan seorang hamba?” Lelaki itu menjawab: “Tidak”. Lalu Baginda bersabda: “Adakah engkau berdaya melakukan puasa dua bulan berturut-turut?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda lagi: “Adakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu berkata: “Ketika kami duduk dengan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam didatangi oleh seseorang bersamanya keranjang yang berisi di dalamnya tamar. Baginda bertanya: “Mana si penyoal tadi?” Maka lelaki itu menjawab: “Saya.” Lalu Baginda bersabda: “Ambil (tamar) ini dan sedekahkan….” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadits di atas, kaffârah kerana melakukan jimâ‘ di siang hari bulan Ramadhan ialah dengan memerdekakan seorang hamba sahaya. Jika tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak berdaya untuk berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin.
Satu kaffârah dikenakan pada setiap hari puasa yang batal atas sebab melakukan jimâ‘. Ini kerana satu hari ibadat puasa itu dikira sebagai ibadat yang berasingan di antara satu hari dengan hari yang lain. Ini bermaksud, sekiranya dia membatalkan dua hari puasa Ramadhan dengan jimâ‘, maka dia dikenakan dua kaffârah. Sekiranya dia membatalkan tiga hari puasa Ramadhan dengan jimâ‘, maka dia dikenakan tiga kaffârah dan begitulah seterusnya.
Sekiranya berulang jimâ‘ itu dalam sehari, misalnya dia melakukan jimâ‘ terhadap empat isterinya dalam satu siang hari puasa, maka dia hanya akan dikenakan satu kaffârah sahaja.
Bila Jimâ‘ di Siang Hari Ramadhan Tidak Dikenakan Kaffârah?
Tidak semua jimâ‘ yang dilakukan di siang hari Ramadhan dikenakan kaffârah. Terdapat keadaan di mana kaffârah tidak dikenakan atas sebab-sebab tertentu serta kewujudan syubhah yang menolak seseorang itu daripada dikenakan kaffârah.
Menurut syara‘, melakukan jimâ‘ pada siang hari Ramadhan tidak akan dikenakan kaffârah dalam keadaan-keadaan berikut:
1. Orang yang tidak batal puasanya kerana jimâ‘.
Menurut hukum asal, jimâ‘ di siang hari puasa merupakan salah satu perkara yang membatalkan puasa. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, ia tidak membatalkan puasa. Ini berlaku sekiranya jimâ‘ itu dilakukan dalam keadaan berikut:
i. Lupa dia sedang berpuasa. ii. Dia dipaksa untuk melakukan jimâ‘. iii. Jahil akan hukum haram melakukan jimâ‘ ketika berpuasa kerana dia baru masuk Islam ataupun jauh daripada ulama.
Dalam keadaan seperti di atas ini, jimâ‘ yang dilakukan tidak membatalkan puasa dan mereka juga tidak dikira berdosa melakukannya. Atas sebab itu, menurut ulama mazhab asy-Syafi‘i, jimâ‘ dalam keadaan sedemikian tidak dikenakan kaffârah. Bahkan kaffârah hanya dikenakan kepada mereka yang batal puasa mereka sekiranya mereka melakukan jimâ‘.
Berkenaan dengan keadaan yang ketiga (iii), iaitu jahil akan hukum haram melakukan jimâ‘ ketika berpuasa, sekiranya dia tahu akan keharaman melakukan jimâ‘ ketika berpuasa Ramadhan, akan tetapi:
i. Dia tidak tahu akan dikenakan kaffârah kerana melakukannya, atau ii. Dia tidak tahu bahawa perbuatan jimâ‘ itu membatalkan puasa.
Maka dalam kedua-dua keadaan di atas, dia tetap akan dikenakan kaffârah.
2. Membatalkan puasa orang lain dengan jimâ‘.
Adapun mereka yang tidak berpuasa, seperti orang yang sakit atau sedang musafir yang tidak berpuasa, sekiranya mereka ini membatalkan puasa orang lain dengan menjimâ‘ mereka, maka mereka (orang yang tidak berpuasa itu) tidak dikenakan kaffârah. Ini kerana jimâ‘ yang menyebabkan kaffârah itu adalah bagi orang yang membatalkan puasa dirinya sendiri dengan jimâ‘, bukan dikenakan kerana membatalkan puasa orang lain.
3. Memiliki rukhshah untuk tidak mengerjakan puasa.
Orang yang memiliki rukhshah atau keringanan untuk tidak mengerjakan puasa, contohnya orang yang musafir atau sakit, sekiranya mereka berpuasa, lalu mereka membatalkan puasa mereka itu dengan cara melakukan jimâ‘ atau zina, maka menurut ulama mereka tidak dikenakan kaffârah. Ini kerana orang yang sedang dalam keadaan musafir atau sakit itu diharuskan untuk berbuka. Maka keharusan berbuka itu menjadi syubhah yang menolak daripada dikenakan kaffârah.
Bagaimanapun, sekiranya seseorang yang bukan dalam keadaan musafir melakukan jimâ‘ pada siang hari Ramadhan, lalu dia memulakan safar (perjalanan atau pelayaran) selepas melakukan jimâ‘ itu, maka perbuatan ini tidak menggugurkan tanggungan kaffârah atasnya kerana safar yang baru dimulakan pada siang hari puasa tidak mengharuskan berbuka. Salah satu syarat yang mengharuskan orang yang dalam pelayaran berbuka puasa adalah perjalanan atau pelayarannya hendaklah bermula dan melewati perbatasan bandar, pekan atau kampung tempat tinggalnya sebelum terbit fajar shâdiq (sebelum masuk waktu Shubuh). Ini bererti ketika melakukan jimâ‘ itu dia masih lagi dalam kategori orang yang wajib atasnya puasa. Jadi jimâ‘ yang dilakukannya itu dikira satu perbuatan yang mencemar kesucian bulan Ramadhan. Oleh itu ia tidak memberi apa-apa kesan terhadap kewajipan kaffârah.
Sekiranya seseorang itu membatalkan puasanya dengan jimâ‘, kemudian dia safar dan sampai ke negara yang berlainan mathla‘ (berbeza tempat terbit anak bulan) pada hari yang sama, dan negara tersebut ketika itu sudah meraikan ‘Idul Fitri, maka dalam hal ini, dia terlepas daripada menanggung kaffârah kerana dengan berpindah ke negara tersebut pada hari yang sama, dia tidak lagi dalam keadaan wajib berpuasa kerana dia dikira telah menjadi ahli warga tempat dia safar itu.
Bagi lebih menjelaskan lagi perkara ini, sebagai contoh, seseorang membatalkan puasanya dengan jimâ‘ di Brunei, sedangkan Brunei pada waktu itu masih mengerjakan puasa Ramadhan yang ke-30. Setelah selesai jimâ‘, dia belayar pada siang yang sama ke Kuala Lumpur yang pada ketika itu sedang merayakan hari pertama Syawal dan dia terus menetap di sana pada hari tersebut. Maka dalam hal ini, dia terlepas daripada menanggung kaffârah kerana dengan berpindah ke Kuala Lumpur pada hari yang sama, dia dikira sebagai ahli warga tempat itu yang tidak lagi wajib atas mereka puasa.
Bagaimanapun, sekiranya dia kembali semula ke Brunei sebelum terbenam matahari pada hari yang sama, maka wajiblah atasnya kaffârah, kerana dalam keadaan ini dia masih dikira termasuk dalam hukum negara yang pertama yakni Brunei.
Sekiranya dia jatuh sakit setelah dia melakukan jimâ‘ pula, maka ini juga tidak menggugurkan tanggungan kaffârah daripadanya, disebabkan ketika dia mencemar kesucian bulan Ramadhan dengan melakukan jimâ‘ itu dia masih lagi dalam kategori orang yang wajib atasnya puasa. Ini kerana ketika melakukan jimâ‘ itu dia belum lagi jatuh sakit.
Begitu juga sekiranya seseorang itu murtad selepas dia melakukan jimâ‘ pada siang hari Ramadhan. Tanggungan kaffârah tidak gugur daripadanya. Ini kerana ketika melakukan jimâ‘ itu dia masih lagi dalam kategori orang yang wajib atasnya berpuasa. Di samping itu, perbuatan murtad itu sendiri tidak mengharuskan dia untuk berbuka. Oleh itu, ia tidak ada kesan apa-apa terhadap kewajipan kaffârah.
Bagaimanapun, sekiranya selepas dia melakukan jimâ‘ pada siang hari Ramadhan itu dia jatuh gila ataupun meninggal, walaupun dengan membunuh diri sepertimana pendapat Imam asy-Syarwani Rahimahullâh, maka gugurlah tanggungan kaffârah daripadanya.
4. Tersilap sangka bahawa sudah masuk waktu berbuka atau tersilap sangka bahawa waktu puasa belum bermula.
Sekiranya seseorang menyangka waktu berbuka sudah masuk, lalu dia melakukan jimâ‘, kemudian ternyata waktu Maghrib sebenarnya belum lagi masuk. Bermakna, jimâ‘nya itu berlaku dalam waktu mengerjakan puasa. Maka dalam keadaan ini dia tidak dikenakan kaffârah.
Begitu juga sekiranya dia menyangka bahawa waktu Shubuh belum lagi masuk, lalu dia melakukan jimâ‘, kemudian ternyata bahawa waktu Shubuh sebenarnya sudah pun masuk. Bermakna, jimâ‘nya itu berlaku dalam waktu mengerjakan puasa. Maka dalam keadaan ini juga dia tidak dikenakan kaffârah.
Jimâ‘ yang dilakukan dalam kedua-dua keadaan ini tidak mendatangkan dosa kerana dia tidak berniat dengan jimâ‘nya itu untuk mencemar kesucian bulan Ramadhan dan ini merupakan satu syubhah yang menolak dikenakan kaffârah. Bagaimanapun, menurut pendapat yang ashah, puasanya dikira batal kerana jimâ‘.
5. Melakukan jimâ‘ setelah batal puasa atas sebab lain.
Orang yang melakukan jimâ‘ setelah puasanya batal oleh sebab lain, umpamanya atas sebab mengeluarkan air mani dengan cara selain jimâ‘, atau atas sebab makan atau minum, atau atas sebab-sebab lain yang membatalkan puasa, kemudian setelah itu dia melakukan jimâ‘, maka tidak dikenakan kaffârah atasnya kerana nash wajib kaffârah hanya dikenakan atas sebab membatalkan puasa dengan jimâ‘ pada bulan Ramadhan semata-mata dan bukan atas sebab lainnya.
Sekiranya diiringi jimâ‘ itu dalam satu masa dengan perbuatan lain yang juga membatalkan puasa, misalnya ketika dia memulakan jimâ‘ itu dia juga makan dalam masa yang sama, maka menurut Imam asy-Syibramalissi Rahimahullâh, dalam keadaan ini dia juga tidak dikenakan kaffârah.
6. Melakukan jimâ‘ kerana menyangka puasanya sudah batal.
Orang yang melakukan jimâ‘ kerana menyangka puasanya sudah batal, padahal menurut syara‘ sebenarnya puasanya belum lagi batal, maka dia tidak dikenakan kaffârah.
Sebagai contoh, seseorang telah makan kerana terlupa, lalu dia menyangka bahawa puasanya sudah batal, kemudian dia melakukan jimâ‘ dengan tanggapan bahawa dirinya tidak lagi berpuasa. Dalam keadaan seperti ini, tidak wajib kaffârah atasnya. Bagaimanapun, menurut pendapat yang ashah, puasanya dikira batal kerana jimâ‘ tersebut.
Adapun sekiranya orang yang makan kerana terlupa itu menyangka bahawa puasanya tidak batal, kemudian dia melakukan jimâ‘, maka wajib atasnya kaffârah.
Salah satu contoh lagi ialah sekiranya pada siang hari puasa dia ragu adakah dia sudah berniat pada malam hari atau belum, lalu disebabkan keraguannya itu, dia pun melakukan jimâ‘. Lalu selepas itu, dia pun teringat bahawa dia sebenarnya sudah berniat pada malam hari. Maka dalam hal ini, tidak wajib kaffârah kerana wujudnya syubhah. Bagaimanapun, puasanya dikira batal.
Dalam keadaan di mana seseorang itu yakin dia telah terlupa untuk berniat puasa pada mana-mana bahagian waktu malam, maka dengan sendirinya tidak sah baginya melakukan ibadat puasa pada hari tersebut. Walaupun tidak berpuasa, dia tetap diwajibkan imsâk, iaitu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa pada siang hari tersebut. Sekiranya dalam keadaan imsâk ini dia melakukan jimâ‘, maka dia juga tidak dikenakan kaffârah kerana pada dasarnya dia tidak mengerjakan puasa pada hari tersebut.
7. Melakukan jimâ‘ ketika mengerjakan puasa di luar bulan Ramadhan.
Tidak wajib kaffârah ke atas mereka yang membatalkan puasa dengan jimâ‘ bagi puasa selain daripada dalam bulan Ramadhan. Maka sekiranya seseorang itu membatalkan puasanya dengan jimâ‘ ketika mengerjakan puasa sunat, puasa qadha’, puasa nazar atau puasa kaffârah, maka tidak wajib atasnya kaffârah. Ini kerana nash wajib kaffârah hanya dikenakan khusus pada puasa bulan Ramadhan semata-mata. Adapun pengkhususan bulan Ramadhan ini adalah kerana bulan Ramadhan adalah sebaik-baik bulan yang dikhususkan dengan kemuliaan dan fadhilat yang tidak terdapat pada bulan lainnya.
Demikian beberapa penjelasan mengenai persoalan kaffârah dan bila ia tidak dikenakan ke atas mereka yang melakukan jimâ‘ pada siang hari puasa Ramadhan. Mudahan-mudahan penjelasan ini menambahkan ilmu dan kefahaman kita mengenai ibadat puasa dan membantu kita untuk menjalani ibadat puasa dengan lebih baik dan sempurna.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15049
دليل الألوان
