Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة٠ مشاهدة

Berihram: Sebagai Wajib Haji, Wajib Umrah Dan Tanda Penghormatan Terhadap Kota Suci

الجواب

Mengerjakan haji ke Makkah merupakan rukun Islam yang kelima dan terakhir. Tuntutan mengerjakan haji dan umrah ke Makkah merupakan dua kewajipan (fardhu) bagi setiap Muslim. Bagaimanapun pada dasarnya, syara‘ tidak mewajibkan haji dan umrah itu dengan wajib ‘Aini melainkan hanya sekali sahaja dalam seumur hidup. Kadangkala kewajipan mengerjakan kedua-dua haji dan umrah ini lebih daripada sekali (jika sudah ditunaikan yang wajib) bukan kerana tuntutan asal syara‘, akan tetapi kedua-duanya menjadi wajib disebabkan oleh nazar, qadha’ dan sebagainya.

Pada kebiasaannya, para jemaah yang pergi ke Makkah adalah dengan tujuan untuk melakukan nusuk, sama ada haji ataupun umrah. Secara umumnya, mereka ini telah bersedia lebih awal dan mempersiapkan keperluan diri khususnya dari segi ilmu pengetahuan mengenai tuntutan dan larangan sepanjang menjalani ibadat haji atau umrah. Antara perkara yang paling awal dilalui ialah berihram di mîqât.

Terdapat juga golongan yang masuk ke Makkah dengan tujuan lain daripada ibadat seperti bertugas, berniaga dan seumpamanya. Selain itu, kadangkala mereka yang tujuan asalnya bukan untuk beribadat, akan tetapi setelah berada di Makkah atau berhampiran Makkah, timbul keinginannya untuk melakukan nusuk (haji atau umrah). Memandangkan tujuan asalnya ke Makkah bukan untuk nusuk, maka apakah masih terdapat sebarang tuntutan terhadapnya, khususnya perkara berihram di mîqât? Berikut adalah penjelasan mengenainya.

Rukun dan Wajib Haji serta Umrah

Secara ringkas mengenai rukun haji dan umrah, rukun yang pertama ialah berihram, yakni berniat melakukan ibadat tersebut. Manakala wajib haji dan umrah antaranya ialah berihram di mîqât.

Menyentuh mengenai bab haji dan umrah, istilah ‘rukun’ bermaksud perkara-perkara yang mesti dilakukan, sekiranya tidak dilakukan, ibadat haji atau umrah adalah tidak sah. Manakala istilah ‘wajib’ bermaksud perkara-perkara yang mesti dilakukan, sekiranya tidak dilakukan, ibadat haji atau umrah tetap sah akan tetapi wajib ke atas orang yang meninggalkan perkara-perkara tersebut membayar dam. Bagaimanapun meninggalkan wajib haji atau umrah tanpa sebarang keuzuran adalah dikira berdosa.

Mîqât Zamâni Haji dan Umrah

Mîqât haji dan umrah terbahagi kepada dua, iaitu mîqât zamâni dan mîqât makâni. Mîqât zamâni dan mîqât makâni membawa maksud yang tersendiri.

Tempoh atau waktu yang ditetapkan untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah dinamakan mîqât zamâni. Mîqât zamâni bagi mengerjakan ibadat haji ke Makkah terbatas hanya pada tiga bulan sahaja, iaitu bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah, bermula 1 Syawal sehinggalah 10 Zulhijjah. Dinamakan juga bulan-bulan ini sebagai bulan haji.

Mîqât zamâni untuk mengerjakan umrah pula adalah sepanjang tahun tanpa batas tertentu. Akan tetapi sungguhpun mîqât zamâni bagi umrah adalah sepanjang tahun, kadangkala seseorang tertegah daripada melakukan umrah kerana sebab-sebab tertentu, seperti sedang berihram mengerjakan haji atau sedang berihram mengerjakan umrah (yang lain).

Mîqât Makâni Haji dan Umrah

Tempat dan batas yang ditetapkan untuk mula berihram dan sah berihram bagi tujuan mengerjakan ibadat haji atau umrah dinamakan mîqât makâni. Mereka yang tujuannya ke Makkah dengan niat mengerjakan haji atau umrah pula datang dari negeri yang berbeza di seluruh pelosok dunia. Penduduk negeri yang berbeza ini masing-masing mempunyai mîqât yang tertentu yang kadangkala berlainan daripada mîqât penduduk negeri lain. Umpamanya, mîqât bagi penduduk yang datang dari negeri selain Makkah adalah berbeza mengikut negeri masing-masing. Menurut syara‘, adalah wajib ke atas orang yang hendak menunaikan haji dan umrah untuk berihram di mîqât atau perbatasan yang ditentukan mengikut dari arah mana dia datang.

Penentuan dan panduan mîqât bagi orang yang hendak ke Makkah untuk menunaikan haji dan umrah adalah berdasarkan apa yang telah ditentukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ beliau berkata:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menentukan had (mîqât) bagi penduduk Madinah ialah Dzal Hulaifah, bagi penduduk Syam ialah al-Juhfah, bagi penduduk Najd ialah Qarn al-Manazil, bagi penduduk Yaman ialah Yalamlam. Tempat-tempat ini adalah had (mîqât) bagi penduduk dari negeri-negeri yang disebutkan dan demikianlah juga had (mîqât) bagi sesiapa (penduduk negeri lain) yang tiba ke had (mîqât) tersebut (dari negeri tempat tinggal mereka) yang hendak menunaikan ibadat haji dan umrah. Dan sesiapa yang (tempat tinggalnya) dalam kawasan (mîqât-mîqât) itu (yakni berada dalam kawasan antara mîqât dan Makkah), maka (mîqâtnya) adalah di mana (tempat) dia berada (mula timbul niat untuk melakukan nusuk), sehinggakan penduduk Makkah (yang hendak menunaikan haji, maka mîqâtnya) adalah Makkah (sendiri). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Mîqât yang telah disebutkan di atas telahpun disepakati (ijmâ‘) oleh ulama. Secara ringkas, berdasarkan hadits di atas, berikut ialah huraian fuqahâ’ mengenai mîqât makâni bagi orang yang hendak mengerjakan haji dan umrah.

Mîqât Haji Orang yang Bukan Berada di Makkah

Mîqât haji bagi mereka yang masuk ke Makkah dari negerinya sendiri, selain Makkah, adalah seperti berikut:

1. Dzul Hulaifah adalah mîqât haji bagi mereka yang masuk ke Makkah dari Madinah, sama ada dia penduduk Madinah ataupun bukan. Dzul Hulaifah merupakan mîqât yang paling jauh jaraknya dari Makkah berbanding mîqât yang lain. Pada masa ini mîqât ini lebih dikenali dengan Bi’r ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu. Menurut as-Subki, bagi mereka yang memulakan ihramnya dari mîqât ini, perkara yang afdhal ialah untuk berihram di masjid yang Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersembahyang di dalamnya dan berihram padanya.

2. Al-Juhfah, sebuah kampung yang besar di antara Madinah dan Makkah, adalah mîqât haji bagi mereka yang masuk ke Makkah dari Negeri Syam (melalui laluan Tabuk), Mesir, Maghribi atau seumpamanya.

3. Yalamlam adalah mîqât haji bagi mereka yang masuk ke Makkah dari Tihamah Yaman (melalui laut), Jeddah atau seumpamanya.

4. Qarn al-Manazil adalah mîqât haji bagi mereka yang masuk ke Makkah dari Najd Yaman, Najd Hijaz atau seumpamanya.

5. Dzat al-‘Irq adalah mîqât haji bagi mereka yang masuk ke Makkah dari arah timur seperti Iraq, Khurasan atau seumpamanya.

Menurut syara‘, adalah wajib ke atas orang yang masuk ke Makkah, sama ada dari negeri atau arah yang disebutkan, untuk berihram di mîqât yang ditentukan sepertimana dinyatakan di atas.

Mîqât Umrah Orang yang Bukan Berada di Makkah

Seseorang yang hendak mengerjakan umrah sedangkan dia bukan berada di Makkah atau Tanah Haram, maka mîqât umrah baginya adalah sepertimana mîqât haji yang telah dijelaskan di atas, iaitu mengikut jalan yang dilaluinya. Dari itu dapat difahami, Dzul Hulaifah, al-Juhfah, Yalamlam, Qarn al-Manazil atau Dzat al-‘Irq adalah juga mîqât bagi mereka yang hendak menunaikan umrah.

Dalil dalam perkara ini adalah riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Ertinya: Tempat-tempat ini adalah had (mîqât) bagi penduduk dari negeri-negeri yang disebutkan dan demikianlah juga had (mîqât) bagi sesiapa (penduduk negeri lain) yang tiba ke had (mîqât) tersebut (dari negeri tempat tinggal mereka) yang hendak menunaikan ibadat haji dan umrah.

Perlu diketahui bahawa mîqât yang disebutkan ini adalah bagi mereka yang hendak mengerjakan haji atau umrah dan mereka masuk ke Makkah dari arah atau melalui negeri yang disebutkan, sama ada mereka adalah penduduk negeri itu ataupun bukan. Dengan erti kata lain, inilah juga penentuan dan panduan mîqât haji dan umrah bagi penduduk negeri lain yang masuk ke Makkah dari negeri-negeri yang disebutkan di atas, sungguhpun dia bukan penduduk negeri tersebut.

Mîqât-mîqât yang telah disebutkan adalah tempat-tempat yang ditentukan bagi tujuan berihram dan ia bukanlah batasan bagi Tanah Haram. Bahkan mîqât-mîqât ini adalah Tanah Halal. Adapun pada masa ini had atau sempadan kawasan Tanah Haram Makkah dari arah yang berlainan telahpun dikenali (masyhur) dan boleh diketahui dengan memerhatikan papan-papan tanda atau pemberitahuan di dalam bahasa Arab dan juga bahasa asing.

Mîqât Haji bagi Penduduk Makkah Termasuk Tanah Haram

Mîqât haji bagi penduduk Makkah adalah berdasarkan riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Ertinya: Dan sesiapa yang (tempat tinggalnya) dalam kawasan (mîqât-mîqât) itu (yakni berada dalam kawasan antara mîqât dan Makkah), maka (mîqâtnya) adalah mana (tempat) dia berada (mula timbul niat untuk melakukan nusuk), sehinggakan penduduk Makkah (yang hendak menunaikan haji, maka mîqâtnya) adalah Makkah (sendiri). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, mereka yang sedang berada di Makkah dan hendak mengerjakan haji, sama ada dia adalah daripada penduduk Makkah sendiri ataupun dia bukan penduduk Makkah, maka mîqât haji baginya adalah dalam kawasan Makkah sendiri tanpa percanggahan ulama dalam perkara ini. Dengan erti kata lain, jika seseorang yang sedang berada di Makkah dan hendak menunaikan haji, maka mîqât hajinya adalah tempat atau lokasi dia berada. Dia juga tidak dituntut untuk keluar dari Makkah menuju ke mîqât tertentu atau mîqât yang paling jauh dari Makkah bagi tujuan berniat ihram.

Mîqât Umrah bagi Penduduk Makkah

Seseorang yang hendak mengerjakan umrah dan dia sedang berada di Makkah, sama ada dia adalah penduduk Makkah sendiri ataupun bukan penduduk Makkah, maka mîqât umrah baginya adalah Tanah Halal. Tanah Halal yang dimaksudkan adalah kawasan atau tempat di luar dari perbatasan Tanah Haram Makkah umpamanya at-Tan‘im.

Kawasan Tanah Haram Makkah pula merupakan kawasan di antara Ka‘bah dan suatu batas atau tempat yang tertentu di sekitar Makkah, umpamanya batas Tanah Haram Makkah dari arah Madinah adalah at-Tan‘im (pada masa ini dikenali sebagai masjid ‘Aisyah). Maka kawasan di antara Ka‘bah (Makkah) dan at-Tan‘im adalah kawasan Tanah Haram. Bagaimanapun at-Tan‘im itu sendiri adalah Tanah Halal.

Selain itu, lokasi atau tempat yang masih dalam kawasan Tanah Haram; dari arah Yaman ialah Adhat Libn, dari arah Jeddah ialah Munqathiq al-A‘syasy, iaitu di hujung atau penjuru al-Hudaibiyah, al-Ji‘ranah, dari arah Iraq ialah Tsaniyyah, iaitu Jabal Muqaththa‘ dan dari arah Ta’if ialah ‘Arafah, iaitu di lembah Namirah. Bagaimanapun pada masa ini, perbatasan Tanah Haram Makkah dari semua arah boleh diketahui kerana telah diberikan tanda yang jelas, seperti papan tanda, agar mudah dilihat serta difahami oleh orang ramai, yang tertera nama tempat tersebut dan ditulis dalam bahasa Arab dan juga asing.

Oleh yang demikian, wajib ke atas orang yang berada di Makkah untuk keluar ke Tanah Halal untuk ber umrah. Memadai dia memilih mana-mana mîqât daripada Tanah Halal dan keluar ke mîqât tersebut, sekalipun dia melangkah keluar ke Tanah Halal itu dengan cuma satu langkah sahaja.

Dalil dalam perkara ini adalah perbuatan atau amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila Baginda menghantar Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ dan saudara lelakinya ‘Abdul Rahman Radhiallâhu ‘anhu ke Tan‘im untuk mengerjakan umrah setelah ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ selesai daripada mengerjakan haji.

Bagaimanapun Tanah Halal yang paling afdhal untuk berihram umrah adalah Ji‘ranah dengan dalil bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri telah berihram umrah di Ji‘ranah.

Mîqât Haji bagi Penduduk di dalam Kawasan di antara Mîqât dan Makkah

Mereka yang hendak mengerjakan haji dan kediamannya berada dalam kawasan di antara mîqât dan Makkah (di luar Makkah tetapi masih dalam perbatasan mîqât), seperti penduduk Jeddah, maka mîqâtnya adalah pada lokasi di mana dia berada pada ketika itu seperti tempat kediaman, kampung atau khemah bagi orang Badawi. Para ulama tidak ada perselisihan pendapat dalam perkara ini.

Dalil dalam perkara ini adalah sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ yang maksudnya: “Dan sesiapa yang (tempat tinggalnya) dalam kawasan (mîqât-mîqât) itu (yakni berada dalam kawasan antara mîqât dan Makkah), maka (mîqâtnya) adalah di mana (tempat) dia berada (mula timbul niat untuk melakukan nusuk)…”

Oleh yang demikian, apabila dia hendak memulakan pelayaran atau perjalanan menuju ke Makkah untuk menunaikan haji, hendaklah dia berihram daripada lokasi di mana dia berada dan janganlah dia keluar dari rumah, kampung atau seumpamanya menuju ke Makkah tanpa berniat ihram.

Tuntutan Berihram bagi Sesiapa yang Masuk ke Makkah dengan Niat Nusuk (Ibadat Haji atau Umrah)

Pada kelazimannya, tujuan utama orang yang datang atau masuk ke Makkah, khususnya pada bulan haji, adalah dengan niat melakukan ibadat haji termasuk juga umrah. Manakala pada waktu selain daripada bulan haji, pada kebiasaannya adalah untuk melakukan umrah. Selain itu, terdapat juga di kalangan mereka yang masuk ke Makkah bukan dengan niat untuk melakukan ibadat haji ataupun umrah, umpamanya atas urusan pekerjaan, perniagaan, berziarah dan selainnya, ataupun dia hanya masuk di sekitar kawasan Tanah Haram sahaja. Malahan terdapat juga segelintir daripada golongan kedua ini yang tujuan asal masuk ke Makkah bukan dengan niat untuk melakukan ibadat haji ataupun umrah, akan tetapi apabila sudah berada di Makkah, timbul keinginannya untuk melakukan ibadat tersebut.

Ulama sepakat mengatakan bahawa mereka yang tujuannya masuk ke Makkah dengan niat untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah, apabila dia tiba di mîqât yang telah ditentukan, diwajibkan ke atasnya untuk memakai ihram dan berniat ihram haji atau umrah di mîqât dan tidak boleh dia merentasinya (melintasinya) atau melaluinya tanpa berihram. Malahan adalah haram baginya merentasi (melintasi) mîqât tanpa berihram menurut kesepakatan ulama. Berniat ihram juga dibolehkan (dilakukan) lebih awal lagi, iaitu sebelum melalui atau melintasi mîqât tersebut sebagai langkah berjaga-jaga (berhati-hati) agar jangan sampai seseorang yang berniat nusuk itu melimpasi (merentasi) suatu mîqât dalam keadaan dia tidak berniat ihram.

Tuntutan ber ihram di mîqât dengan tujuan untuk masuk ke Makkah kerana nusuk, selain daripada perkara wajib haji dan umrah, ia juga merupakan sebagai satu tanda penghormatan terhadap Kota Suci Makkah.

Beberapa Permasalahan Berkaitan Berihram di Mîqât

Daripada penjelasan di atas, telahpun diketahui perkara berkaitan mîqât. Selain itu, hukum berihram di mîqât adalah perkara wajib haji dan umrah yang mesti dilaksanakan. Berikut dibawakan beberapa permasalahan berkaitan berihram di mîqât.

1. Di manakah afdhal berniat ihram, daripada negeri sendiri atau di mîqât?

Penduduk yang berada di luar kawasan mîqât adalah harus baginya untuk berniat ihram lebih awal lagi, iaitu sebelum tiba di mîqât sekalipun dia berniat ihram dari negerinya. Namun menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, yang afdhalnya ialah berniat ihram haji apabila sudah hampir tiba di mîqât berbanding berniat ihram dari negerinya atau kampung halamannya, sekalipun bagi mereka yang datang dari negeri yang berdekatan umpamanya penduduk Madinah al-Munawwarah.

Adalah dimaklumi, setelah berniat ihram di mîqât, maka bermulalah pantang larang ihram sehinggalah dia selesai menyempurnakan hajinya. Sekiranya seseorang itu berniat ihram dari negerinya, ditakuti dirinya tidak terpelihara daripada melakukan atau melanggar pantang larang dalam berihram. Berbanding sekiranya dia berniat ihram di mîqât, pastinya akan mengurangkan berlakunya pelanggaran terhadap tuntutan ibadat, kerana telah dimaklumi bahawa untuk menjaga perkara-perkara wajib (pantang larang) ihram itu sangatlah berat.

Amalan berniat ihram di mîqât itu bertepatan dengan amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri yang disebutkan dalam sebuah hadits shahîh bahawa Baginda telah menangguhkan berniat ihram haji sehinggalah tiba di Dzul Hulaifah (Bir ‘Ali) dan bukannya berniat ihram di Madinah, dan Baginda juga pernah berniat ihram umrah di mîqât (Tanah Halal), iaitu Hudaibiyah.

Bagaimanapun terdapat pengecualian dalam perkara afdhal berniat ihram di mîqât berbanding di negeri sendiri. Antaranya ialah bagi penduduk Baitul Maqdis adalah afdhal bagi mereka berniat ihram di Baitul Maqdis kerana terdapat nash (dalil) mengenainya. Begitu juga orang yang bernazar untuk berniat ihram di negerinya, maka wajib dia menunaikan sepertimana yang dinazarkannya, dengan syarat-syarat tertentu.

Selain itu, perkara yang afdhal dilakukan apabila berihram di mîqât ialah mula berniat ihram pada awal mîqât, iaitu pada lokasi atau kedudukan yang paling jauh dari Makkah, melainkan pada lokasi Dzul Hulaifah. Ini kerana, di Dzul Hulaifah terdapat sebuah masjid dan afdhal untuk mula berihram di masjid tersebut kerana ittibâ‘ (mengikut sunnah dan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam).

2. Adakah wajib berniat ihram di mîqât bagi orang yang masuk ke Makkah bukan untuk menunaikan ibadat haji atau umrah?

Secara ringkas, golongan ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu orang yang tidak berulang kali masuk ke Makkah dan orang yang berulang kali masuk ke Makkah.

i. Tidak berulang-kali masuk ke Makkah.

Mereka yang hanya sekali sahaja, tidak berulang kali, masuk ke Makkah akan tetapi bukan dengan niat untuk beribadat, tetapi untuk tujuan yang lain seperti kerana tujuan berziarah, berniaga, sebagai utusan (bertugas), ataupun seperti penduduk Makkah sendiri yang masuk semula ke Makkah sekembalinya dari pelayarannya dan mereka yang seumpamanya, maka mereka ini hanya disunatkan (tetap digalakkan) untuk berniat ihram haji atau berniat ihram umrah (di mîqât) sebagai tanda penghormatan terhadap Kota Suci Makkah.

Menurut asy-Syarwani, adalah disunatkan untuk berihram haji di mîqât bagi mereka yang bertujuan masuk ke Makkah akan tetapi bukan dengan niat nusuk, sekiranya ketika dia masuk ke Makkah itu adalah bertepatan dengan bulan haji, iaitu mulai 1 Syawal sehinggalah 10 Zulhijjah, dan dia boleh menyempati melaksanakan ibadat haji serta menyempurnakannya (dalam jangka masa itu), sekalipun mereka itu merupakan penduduk Makkah. Sekiranya mereka berada di luar daripada bulan haji pula, mereka tetap disunatkan masuk ke Makkah dengan berniat ihram di mîqât bagi melakukan umrah.

ii. Berulang kali masuk ke Makkah.

Mereka yang kerap atau berulang kali masuk ke Makkah akan tetapi bukan dengan niat untuk beribadat, seperti orang yang membawa air, petugas yang membawa dan menghantar persuratan atau orang yang masuk ke Makkah dari Tanah Haram, disunatkan (tetap digalakkan) ke atas mereka ini untuk berniat ihram haji ataupun berniat ihram umrah di mîqât. Ini kerana mewajibkan berihram akan mendatangkan kesusahan (kesukaran) disebabkan kekerapan dan berulang kali melakukan ihram, menjaga pantang-larang dalam berihram serta tuntutan-tuntutan lain setiap kali hendak masuk ke Makkah.

3. Adakah wajib berniat ihram sekiranya tempat tujuan hanyalah ke kawasan tanah haram?

Mereka yang tempat tujuannya adalah Tanah Haram dan bukan bertujuan untuk masuk ke Makkah, maka hukumnya adalah seperti hukum orang yang masuk ke Makkah seperti yang dijelaskan di atas. Ini kerana sebahagian daripada ulama mengatakan bahawa orang yang masuk ke Tanah Haram itu mengambil hukum yang sama sepertimana hukum orang yang masuk ke Makkah.

Oleh yang demikian, sunat (tetap digalakkan) baginya, untuk berihram di mîqât sungguhpun tujuannya masuk ke Tanah Haram itu hanya sekali (tidak berulang kali) dengan tujuan seperti berniaga, ziarah, melawat orang sakit dan sebagainya. Sama ada dia datang (berasal) dari tempat yang berhampiran dengan Tanah Haram ataupun jauh daripadanya.

4. Timbul keinginan untuk melakukan ibadat setelah merentasi mîqât atau setelah masuk ke Tanah Haram, di manakah mîqât untuk berniat ihram?

Seseorang yang merentasi (melimpasi) mana-mana mîqât menuju ke Makkah tetapi tidak berniat untuk melakukan nusuk, bagaimanapun setelah merentasi (melimpasi) atau melalui mîqât tersebut (tanpa berihram), timbul keinginannya untuk melakukan nusuk. Dalam keadaan seperti ini, mîqât baginya adalah di tempat di mana dia berada, yakni pada tempat dia mula berkeinginan (timbul niat) untuk melakukan ibadat haji atau umrah. Dalam erti kata lain, dia tidak dituntut untuk kembali semula ke mîqât untuk berniat ihram. Inilah yang dinamakan sebagai mîqât al-‘anwi atau mîqât al-irâdi. Sesetengah kitab menyebutkannya sebagai mîqât al-ma‘nawi. Perkara ini adalah berdasarkan dalil daripada riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ sepertimana yang disebutkan sebelum ini.

Demikian juga seorang yang melintasi atau melalui mîqât dan tujuannya bukan untuk masuk ke Tanah Haram, umpamanya tujuannya adalah kawasan di antara mîqât dan Tanah Haram seperti Jeddah, dan bukan dengan niat untuk melakukan nusuk, bagaimanapun setelah merentasi mîqât timbul keinginannya untuk melakukan nusuk, maka mîqâtnya adalah di tempat di mana dia mula berkeinginan (berniat) untuk nusuk itu. Dalam keadaan ini, perkara dam (denda) tidak berbangkit kerana dam hanya dilaksanakan bagi orang yang telah berniat melakukan nusuk lalu dia melintasi mîqât tanpa berihram dan dia juga tidak kembali semula ke mîqât untuk berniat ihram sama ada disebabkan suatu keuzuran ataupun selainnya. 5. Timbul keinginan untuk melakukan ibadat setelah masuk ke Makkah atau Tanah Haram, dimanakah berniat ihram?

Seseorang yang menuju ke Makkah akan tetapi bukan dengan niat untuk melakukan nusuk, lalu dia pun merentasi atau melalui mîqât tanpa berihram. Bagaimanapun setelah dia tiba di Makkah, timbul keinginannya untuk melakukan nusuk, maka dalam keadaan seperti ini mîqâtnya adalah mîqât ahli Makkah. Oleh yang demikian, mîqât yang akan ditujunya adalah tertakluk sama ada dia hendak melakukan haji atau umrah. Jika dia hendak melakukan haji, maka mîqâtnya adalah di Makkah sendiri. Manakala jika dia hendak melakukan umrah, maka mîqâtnya adalah di Tanah Halal.

6. Merentasi (melintasi) mîqât tanpa berniat ihram dengan tidak disengajakan.

Secara dasarnya, mereka yang berniat untuk melakukan ibadat haji atau umrah, maka berniat ihram yakni berniat melakukan ibadat haji atau umrah di mîqât adalah perkara yang wajib dilaksanakan olehnya. Sebaliknya, meninggalkan berniat ihram di mîqât bererti meninggalkan salah satu kewajipan haji dan umrah.

Sekiranya seseorang itu menuju ke Makkah dengan niat untuk melakukan nusuk (haji dan umrah) akan tetapi dia tidak berniat ihram di mîqât dengan tidak disengajakan, sama ada kerana lupa, jahil, lalai, (orang yang) tidur atau (orang yang) tiada keahlian untuk ibadat seperti orang yang pengsan, maka dalam keadaan seperti yang disebutkan ini meninggalkan berniat ihram di mîqât tidak dihukumkan berdosa. Ini kerana dia meninggalkan berniat di mîqât itu bukan disengajakan tetapi adalah disebabkan lupa atau jahil dan seumpamanya. Apa yang perlu dilakukannya ialah wajib ke atasnya untuk kembali semula ke mîqât dan berniat ihram di mîqât tersebut atau berniat ihram di mîqât selainnya yang seumpama (sama) jaraknya. Dengan perbuatannya kembali semula ke mîqât untuk berniat ihram di mîqât, maka dia tidak dikenakan dam. Tuntutan kembali semula ke mîqât itu dikerjakan adalah bagi melaksanakan perkara yang wajib yang ditinggalkannya tanpa sengaja dan untuk menebus kecuaiannya.

Seorang yang menuju ke Makkah, sekiranya setelah melintasi mîqât tanpa berniat ihram lalu dia berniat ihram di dalam kawasan mîqât, dan setelah itu dia kembali semula ke mîqât dalam keadaan dia belum mengerjakan apa-apa perbuatan haji atau umrah, maka dia juga tidak dikenakan dam (digugurkan) menurut pendapat al-ashah.

Berbeza hukumnya sekiranya dia tidak kembali semula ke mîqât untuk berniat ihram, umpamanya kerana kesempitan (kesuntukan) masa, perjalanan yang tidak selamat, atau disebabkan keuzuran seperti sakit yang membebankan atau takut tertinggal daripada rombongan, maka dalam keadaan seperti ini dia dikenakan (diwajibkan membayar) dam.

Sebagai kesimpulan, berniat ihram merupakan rukun haji dan umrah, manakala berniat ihram di mîqât merupakan perkara wajib yang mesti dilaksanakan oleh mereka yang tujuannya masuk ke Makkah dengan niat untuk mengerjakan nusuk, sama ada haji atau umrah. Ulama sepakat mengatakan sesiapa yang tujuannya masuk ke Makkah dengan niat untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah, maka apabila dia tiba di mîqât yang telah ditentukan, diwajibkan ke atasnya untuk berniat ihram di mîqât dan tidak boleh dia merentasi atau melaluinya tanpa berihram. Manakala mereka yang masuk ke Makkah bukan dengan niat untuk melakukan nusuk akan tetapi disebabkan hajat, mereka tetap disunatkan untuk berihram di mîqât, sama ada hajat mereka itu menghendaki mereka untuk kerap masuk ke Makkah ataupun tidak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15074

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص