Di Mana Tempat Tinggal Bagi Isteri Yang Berkabung?
الجواب
Ketika berlaku perpisahan di antara suami dan isteri, sama ada perpisahan itu berupa perceraian dan seumpamanya, ataupun perpisahan yang berupa kematian suami atau isteri, Islam sebagai agama yang lengkap sempurna telah pun menggariskan hukum tertentu serta perkara yang wajib dilakukan dan yang ditinggalkan. Penetapan dan ketentuan sesuatu hukum itu pastinya mempunyai hikmah tersendiri, sama ada hikmah tersebut dapat dikenal pasti secara jelas ataupun tidak, disebabkan keterbatasan akal manusia untuk menyelaminya.
Khusus dalam membincangkan perpisahan yang berlaku kerana kematian suami, maka isteri yang ditinggalkan wajib memenuhi tuntutan syara‘, iaitu diwajibkan ke atas isteri itu ber‘iddah dan juga berihdâd (berkabung).
Hukum Ber‘iddah kerana Kematian Suami
‘Iddah berasal daripada perkataan bahasa Arab. ‘Iddah dari segi bahasa bermaksud bilangan, iaitu menghitung qurû’ dan bulan. Manakala dari segi syara‘ pula bermaksud satu jangka masa yang ditetapkan bagi seorang wanita yang telah diceraikan suami untuk menunggu bagi memastikan rahimnya bersih daripada kehamilan atau sebagai menunaikan tuntutan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau untuk menzahirkan rasa kesedihan bagi isteri yang bercerai kerana kematian suami.
Dalil Syara‘ Mengenai ‘Iddah kerana Kematian Suami
Ketetapan ke atas isteri untuk menjalani ‘iddah kerana kematian suami dan tempoh masa ber‘iddah adalah berdasarkan al-Qur’an dan hadits. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber‘iddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa ‘iddahnya, maka tidaklah ada dosa ke atas kamu (wali-wali) mengenai apa yang mereka lakukan terhadap diri mereka (seperti berhias dan menerima pinangan) menurut cara yang patut. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Baqarah: 234)
Berdasarkan ayat di atas, tempoh ‘iddah bagi isteri yang kematian suami yang tidak mengandung (hamil) adalah empat bulan sepuluh hari dan malamnya. Tempoh ‘iddah tersebut bermula sejurus kematian suaminya.
Jika seorang isteri itu sedang menjalani ‘iddah thalaq raj‘i kemudian suaminya meninggal dunia, maka gugur ‘iddah thalaq raj‘i itu dan berpindah ‘iddah tersebut kepada ‘iddah kematian suami, iaitu empat bulan sepuluh hari. Tempohnya bermula dari waktu suaminya meninggal dunia, kerana isteri yang dalam ‘iddah thalaq raj‘i masih ada ikatan suami isteri dan masih berhak menerima peninggalan harta waris suaminya.
Berlainan keadaannya, jika isteri sedang dalam ‘iddah thalaq bâ’in, seperti isteri yang diceraikan dengan thalaq tiga, kemudian suaminya meninggal dunia, maka isteri tetap menjalani ‘iddah thalaq bâ’in tersebut dan isteri tidak perlu berpindah kepada ‘iddah kematian suami, kerana isteri tidak lagi ada ikatan terhadap suami dan tidak berhak dalam peninggalan harta waris suami.
Manakala tempoh ‘iddah bagi isteri yang mengandung dan kematian suami berakhir sehingga dia melahirkan anak dalam kandungannya dengan syarat anak dalam kandungan itu adalah daripada nasab keturunan suaminya yang meninggal dunia. Dalil dalam perkara ini antaranya adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala.
Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan yang mengandung tempoh ‘iddahnya adalah sehingga melahirkan kandungan mereka. (Surah ath-Thalâq: 4)
Dalam sebuah riwayat diceritakan bahawa Subai‘ah al-Aslamiyyah telah melahirkan anak yang di dalam kandungannya setelah berlalu setengah bulan (lima belas hari) daripada hari kematian suaminya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu bersabda kepada Subai‘ah:
Maksudnya: Sesungguhnya engkau telah halal (untuk bernikah), maka nikahilah sesiapa yang engkau mahu. )Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada hadits ini dapat difahami bahawa ‘iddah isteri hamil yang kematian suami telah pun berakhir sejurus dengan kelahiran anak dalam kandungannya. Andaikata tempoh ‘iddah, iaitu dengan kelahiran anak itu, lebih pendek daripada empat bulan sepuluh hari, maka tidak perlu dia berpindah kepada tempoh yang lebih panjang, iaitu tempoh empat bulan sepuluh hari.
Tempoh Ihdâd
Seperti yang telah dijelaskan, isteri yang kematian suami diwajibkan untuk ber‘iddah. Tambahan daripada itu, isteri yang kematian suami juga diwajibkan berihdâd (berkabung) kerana kematian suaminya selama tempoh ber‘iddah itu. Dari itu, isteri yang kematian suami dan dia tidak mengandung (hamil) ketika kematian tersebut adalah diwajibkan baginya berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Manakala isteri yang mengandung (hamil) diwajibkan berkabung sehingga dia melahirkan anak dalam kandungannya dengan syarat anak tersebut adalah daripada nasab keturunan suaminya yang meninggal dunia.
Ihdâd secara ringkas bererti meninggalkan perbuatan berhias pada tubuh badan termasuk muka, seperti memakai pakaian tertentu yang dilarang memakainya khusus ketika menjalani ihdâd, menggunakan, memasang dan memakai perhiasan seperti emas, perak dan mutiara pada tubuh badan dan berwangi-wangian pada tubuh badan dan pakaian. Bagaimanapun sesuatu perbuatan atau amalan yang tujuannya untuk membersihkan diri tidaklah termasuk sebagai berhias yang dilarang ketika berkabung.
Isteri yang diwajibkan berkabung ialah isteri yang sempurna (kâmilah) yang tahu akan ketetapan hukum syara‘ tentang kewajipan berkabung dan juga isteri yang tidak kâmilah, umpamanya isteri yang masih kecil dan isteri yang kurang akalnya. Isteri yang masih kecil dan isteri yang kurang akalnya yang kematian suami, diwajibkan ke atas wali isteri tersebut untuk memastikan mauliahnya itu berkabung kerana kematian suami, serta menegahnya daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah sepertimana yang ditegah ke atas perempuan (isteri) lain ketika berkabung.
Sandaran dalil dalam perkara ini antaranya ialah sebuah riwayat daripada Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda mengenai tempoh berkabung kerana kematian suami dan selain suami:
Maksudnya: Tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat melakukan ihdâd (berkabung) atas mayat (kematian seseorang) melebihi tiga hari, kecuali (berkabung) atas suaminya (yang meninggal dunia, iaitu) selama empat bulan sepuluh hari. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di atas merupakan satu larangan ke atas perempuan untuk berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan atas kematian suaminya sendiri. Kemudian disebutkan bahawa tempoh berkabung kerana kematian suami adalah selama empat bulan sepuluh hari. Oleh itu, ulama telah sepakat (ijmâ‘) bahawa suruhan atau perintah berkabung selama tempoh ini menunjukkan hukum isteri berkabung kerana kematian suaminya adalah wajib.
Penyediaan Tempat Tinggal Sepanjang Berkabung
Semasa berihdâd (berkabung), di samping larangan-larangan tertentu yang wajib dihindari oleh isteri yang kematian suaminya seperti berhias dan berwangi-wangian, terdapat juga beberapa perkara yang diwajibkan ke atas isteri mematuhinya sepanjang berkabung. Antaranya ialah tetap tinggal di rumah yang disediakan oleh suami ketika berlakunya perpisahan (kematian).
Ini kerana menurut pendapat al-azhhar, perempuan (isteri) yang kematian suami dan tidak berlaku nusyûz adalah diwajibkan untuk disediakan tempat tinggal sehinggalah berakhir tempoh ‘iddahnya serta diperuntukkan bayaran tempat tinggal atau rumah tersebut. Peruntukan bayaran tersebut pula diambil daripada harta pusaka (suami) sekiranya ada. Malahan peruntukan bayaran untuk tempat tinggal atau rumah daripada harta pusaka suami untuk isteri yang berkabung adalah didahulukan berbanding hutang-hutang yang masih tertanggung ke atas suami.
Apa yang dimaksudkan dengan rumah atau tempat tinggal di sini ialah suami mempunyai hak (mustahiq) ke atas rumah itu, sama ada rumah itu dimiliki atau disewa oleh suami, ataupun rumah yang dipinjamkan atau diwasiatkan kepadanya serta rumah kediaman tersebut adalah layak (bersesuaian) bagi isteri.
Kewajipan menyediakan tempat tinggal bagi isteri yang kematian suami agar dia tinggal di dalamnya sepanjang tempoh menjalani ‘iddah, iaitu tempoh berkabung, adalah sama seperti kewajipan menyediakan tempat tinggal bagi isteri yang ber‘iddah kerana perceraian. Isteri yang ber‘iddah adalah diwajibkan menjalani tempoh ‘iddahnya ketika berlakunya perpisahan (perceraian) di antaranya dan suaminya di tempat atau rumah kediaman yang disediakan oleh suami.
Dalil dalam perkara ini adalah berdasarkan sebuah riwayat bahawa suami kepada Furai‘ah binti Malik, iaitu saudara perempuan kepada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, telah terbunuh. Furai‘ah bertanya dan meminta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adakah boleh dia pulang kepada ahli keluarganya (Furai‘ah) daripada Bani Khudrah. Furai‘ah juga menyatakan bahawa suaminya itu tidak meninggalkan tempat tinggal atau rumah yang dimiliki sendiri oleh suami serta tiada nafkah bagi dirinya.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberi keizinan kepadanya untuk pulang kepada ahli keluarganya. Apabila mendapat keizinan tersebut, Furai‘ah pun beredar (meninggalkan Baginda) sehinggalah dia tiba di satu kawasan halaman atau berdekatan masjid, terdengar olehnya dia dipanggil oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Baginda bertanya sekali lagi akan keadaan Furai‘ah, lalu dia menceritakan semula mengenai kisah suaminya itu. Lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: Tetaplah kamu tinggal di rumahmu (di tempat engkau berada) sehingga selesai tempoh ‘iddah yang telah ditetapkan syara‘ ke atasmu. Furai‘ah berkata: “Aku ber‘iddah (dengan ‘iddah isteri yang kematian suami) di dalam rumah tersebut selama 4 bulan sepuluh hari.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Dalam hadits di atas, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberikan keizinan kepada Furai‘ah untuk tetap tinggal dalam rumah yang dia berada semasa suaminya meninggal dunia sedangkan rumah tersebut adalah milik orang lain. Besar kemungkinan Baginda memerintahkan sedemikian kerana Baginda mendapat tahu bahawa pemiliknya telah bermurah hati membenarkannya.
Berpindah atau Keluar dari Rumah Kediaman semasa Berkabung
Suami yang mempunyai hak atas sesebuah rumah kediaman ketika dia meninggal dunia, seperti rumah yang dimilikinya, atau suami masih mempunyai hak atas manfaat rumah yang disewa, yang dipinjamkan atau diwasiatkan kepadanya dan rumah tersebut layak dan boleh didiami oleh isteri, maka hendaklah isteri tetap tinggal di rumah tersebut sehingga berakhir tempoh ‘iddahnya. Dari itu, isteri tidak boleh keluar atau berpindah dari rumah kediaman tersebut dengan keputusannya sendiri ataupun dengan bermuafakat atau membuat persetujuan yang membolehkan isteri berpindah dari rumah tersebut. Begitu juga, ahli waris suami atau selainnya tidak boleh mengeluarkan isteri yang sedang berihdâd (berkabung) dari rumah tersebut melainkan kerana suatu keuzuran atau sebab. Firman Allah Ta‘ala dalam perkara ini.
Tafsirnya: Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah tempat kediaman mereka dan janganlah pula mereka keluar (sehingga selesai ‘iddah mereka) kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan demikianlah hukum-hakam Allah (maka janganlah kamu melanggarnya). Dan sesiapa yang melanggar hukum-hakam Allah itu maka sesungguhnya dia telah menganiaya dirinya sendiri. (Patuhilah hukum-hakam itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan sesudah itu sesuatu perkara (yang lain). (Surah ath-Thalâq: 1)
Sekiranya semasa berlaku perpisahan disebabkan kematian suami, isteri sedang berada di suatu tempat atau rumah kediaman yang suaminya tidak memberi keizinan kepada isteri untuk berada di situ, umpamanya isteri telah berpindah dari rumahnya yang pertama ke rumah yang kedua sedangkan suami tidak memberi keizinan kepada isteri untuk tinggal di rumah kedua itu, maka hendaklah isteri kembali semula ke rumah yang pertama tadi untuk ber‘iddah dan berkabung di rumah yang pertama. Malahan dihukumkan isteri sebagai derhaka sekiranya tetap berada di rumah yang kedua.
Sebaliknya, sekiranya perpindahan isteri ke rumah yang kedua itu telah mendapat keizinan daripada suami, lalu setelah itu berlaku perpisahan (kematian suami), maka isteri tersebut wajib ber‘iddah dan berkabung di rumah yang kedua, sekalipun rumah tersebut adalah lebih jauh berbanding rumah yang pertama.
Isteri yang sedang ber‘iddah kematian suami adalah dibolehkan untuk keluar pada siang hari dan juga pada malam hari kerana hajat untuk memenuhi keperluan seharian bagi dirinya dan juga anak-anaknya, lebih-lebih lagi jika tiada sesiapa yang boleh mempedulikan dan melaksanakan perkara ini bagi si isteri, dengan syarat-syarat tertentu dan mengikut adat kebiasaan. Demikian juga, harus dia keluar dari rumah ke rumah jiran yang berdekatan untuk berbual-bual dan seumpamanya mengikut kadar adat atau kebiasaan. Bagaimanapun isteri dilarang untuk keluar dari rumah kediaman dan meninggalkannya terus, umpamanya dia keluar dan tidak kembali semula pada waktu malam, melainkan dengan sebab-sebab tertentu. Begitu juga, dilarang ke atasnya untuk tinggal di tempat lain seperti bermalam di rumah jiran perempuan, kerana perbuatan ini merupakan dosa besar.
Selain daripada itu, dalam keadaan dharurat, umpamanya dikhuatiri atau ditakuti atas diri isteri tersebut, ke atas anaknya atau ke atas harta, sekalipun harta tersebut adalah milik orang lain yang diamanahkan kepada isteri, akan berlaku kebinasaan, seperti keruntuhan, ditenggelami air, pencuri atau ditakuti terjadi syak atau tohmah atas diri isteri itu sekiranya dia berterusan tinggal di dalam rumah tersebut, maka adalah harus bagi isteri untuk berpindah dari rumah kediaman tersebut disebabkan keadaan dharurat. Bahkan diwajibkan isteri berpindah ke tempat lain jika diyakini terjadi fitnah, umpamanya ke atas kehormatan isteri.
Demikian juga, dalam keadaan isteri tidak boleh tetap atau tidak boleh berterusan tinggal di rumah tersebut, seperti rumah yang terikat dengan gadaian dan telah pun dijual disebabkan hutang yang tidak boleh dilunaskan (dibayar), sedangkan pembeli rumah tersebut tidak redha untuk si isteri tinggal di dalamnya dengan harga sewa yang sebanding (mitsli), iaitu suatu kadar yang dibuat penilaiannya oleh pakar atau ahli. Dalam keadaan seperti ini, si isteri dibolehkan berpindah dari rumah tersebut ke tempat lain.
Menurut pendapat al-mu‘tamad, sekiranya isteri berpindah dari rumah kediaman kepada rumah yang lain, maka wajib dia berpindah ke tempat yang paling dekat dengan rumah yang sedia ada pada masa itu dan ditegah dia berpindah kepada rumah yang lebih jauh dengan adanya rumah yang lebih dekat.
Suami tidak Meninggalkan/Mempunyai Harta Pusaka
Dalam keadaan suami tidak meninggalkan sebarang harta pusaka, tidak wajib bagi isteri disediakan tempat tinggal. Bagaimanapun sekiranya ahli waris (pewaris) ataupun selain ahli waris bertabarru‘ atau bermurah hati menyediakan tempat tinggal, maka isteri yang ber‘iddah wajib menerimanya (tawaran tabarru‘). Ini kerana tujuan ahli waris bertabarru‘ dalam bentuk tempat tinggal adalah untuk menjaga benih suami yang meninggal dunia jika terjadi kehamilan.
Sekiranya tiada harta pusaka dan tiada sesiapa yang bertabarru‘ menawarkan tempat tinggal, maka isteri tersebut boleh tinggal di mana sahaja mengikut kehendaknya. Bagaimanapun adalah sunat bagi sultan, qadhi atau imam memberikan isteri tersebut dan memperuntukkan tempat tinggal daripada Baitul- Mal, kerana menjaganya daripada tohmahan (dicurigai).
Mengabaikan dan Meninggalkan Berkabung (Ihdâd)
Seorang isteri yang mukallaf, sempurna (kâmilah) dan mengetahui hukum kewajipan berihdâd (berkabung), mengabaikan dan meninggalkan berkabung yang telah diwajibkan dan ditetapkan oleh syara‘ ke atasnya, sama ada mengabaikan keseluruhan tempoh berkabung (tidak menjalani ihdâd) atau sebahagiannya, umpamanya isteri meninggalkan rumah kediaman yang wajib didiaminya tanpa sebarang keuzuran, adalah telah melakukan dosa besar dan dihukumkan berdosa. Sungguhpun demikian, tempoh berkabung bagi isteri yang meninggalkan atau mengabaikan perintah berkabung tetap akan tamat atau berakhir mengikut tempoh yang ditetapkan dan dia berdosa disebabkan mengabaikan perintah berkabung. Isteri yang kurang sempurna (nâqishah) seperti isteri yang masih kecil dan yang kurang sempurna akalnya (gila), wali adalah diwajibkan untuk memastikan isteri tersebut berkabung serta dihukumkan walinya berdosa jika isteri tersebut mengabaikan berkabung sedangkan wali tidak menegahnya.
Dalam situasi yang lain, sekiranya isteri meninggalkan berkabung dengan tidak disengajakan, seperti isteri yang tidak mengetahui mengenai kematian suami dan khabar mengenainya hanya sampai kepada isteri ketika telah berlalu tempoh berkabungnya tanpa si isteri berkabung, iaitu setelah berlalu empat bulan sepuluh hari dari hari kematian suaminya, maka tempoh berkabungnya telah pun tamat dan berakhir tanpa perlu memulakan yang baharu atau menggantikannya.
Kesimpulannya, menurut fuqahâ’, seorang isteri yang kematian suami wajib diperuntukkan baginya tempat tinggal sepanjang tempoh ‘iddah dan berkabung (ihdâd) berdasarkan hadits shahîh. Ini kerana penyediaan tempat tinggal adalah ketentuan (haq) Allah Ta‘ala. Sekiranya semasa berlakunya perpisahan di antara isteri dengan suaminya, yakni semasa kematian suami, isteri tinggal di rumah milik suaminya, maka hendaklah isteri tetap atau berterusan tinggal di rumah tersebut sepanjang tempoh ‘iddahnya dan tempoh berkabung. Oleh itu, isteri tidak boleh berpindah dari rumah tersebut, sama ada dengan keputusan atau kehendaknya sendiri ataupun dia dipindahkan keluar oleh ahli waris ataupun dengan persetujuan terdahulu di antara isteri dan suami atau ahli waris atau selainnya, melainkan atas sebab-sebab tertentu yang digariskan oleh syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15082
دليل الألوان
