Barang Jualan Yang Tidak Sah Diperjualbelikan
الجواب
Berusaha atau berkerja mencari rezeki yang halal merupakan satu tuntutan syara‘. Salah satu cara untuk mendapatkan rezeki yang halal ialah dengan cara berusaha atau berkerja melalui aktiviti berjual beli, ataupun disebut juga dengan istilah berniaga. Tetapi, jual beli yang bagaimana yang boleh menjana pendapatan atau rezeki yang halal itu?
Perlu diambil perhatian, walaupun aktiviti jual beli mampu menjana keuntungan, tetapi tidak semuanya boleh menjana pendapatan atau rezeki yang halal. Hanya aktiviti jual beli yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh syara‘ sahaja yang boleh menjana pendapatan atau rezeki yang halal. Salah satu perkara yang perlu diperhatikan untuk menjadikan jual beli itu dianggap sah di sisi syara‘ ialah dari segi jenis barang yang diperjualbelikan atau diperniagakan.
Islam menetapkan bahawa tidak semua jenis barang sah untuk diperjualbelikan atau diperniagakan. Di samping terdapat jenis barang yang sah diperjuabelikan terdapat juga jenis barang yang tidak sah diperjualbelikan sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh dalam bab muamalat. Terdapat beberapa syarat yang diletakkan yang mesti dipenuhi bagi sesuatu barang yang diperjualbelikan. Untuk itu adalah elok bagi kita khususnya bagi mereka yang menjalankan perniagaan mengetahui dan memahami dengan baik syarat-syarat tersebut.
Syarat-syarat Barang yang Diperjualbelikan
Setiap barang yang diperjualbelikan hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Sesuatu yang wujud.
Dalam jual beli, barang yang dijual hendaklah ia merupakan sesuatu yang wujud. Menjual sesuatu barang yang tidak wujud hukumnya adalah tidak sah. Sebagai contoh, menjual buah yang belum ada, menjual anak binatang yang belum wujud di dalam kandungan ibunya dan sebagainya. Hatta, menjual anak binatang yang sudah ada di dalam kandungan ibunya, atau menjual susu yang belum diperah daripada kantung susu binatang juga termasuk di dalam perkara menjual sesuatu yang tidak wujud.
Ini kerana menjual sesuatu yang belum wujud itu terkandung di dalamnya elemen ketidakjelasan atau disebut dalam istilah fiqh sebagai gharar. Gharar ialah sesuatu yang tidak jelas kepada orang yang berakad jual beli dan tidak jelas pula apakah kesudahannya. Apabila wujud elemen ketidakjelasan (gharar) dalam jual beli maka ia dilarang menurut hukum syara‘.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang jual beli dengan cara melempar batu (al-hashah) dan jual beli yang tidak jelas keadaannya (gharar). (Hadits riwayat Muslim)
2. Mempunyai nilai.
Elemen “mempunyai nilai dari pandangan syara‘” juga merupakan syarat yang mesti ada bagi sesuatu yang diperjualbelikan. Tidak sah suatu transaksi jual beli jika barang yang diperjualbelikan itu merupakan barang yang tidak mempunyai nilai di sisi syara‘. Apabila transaksi tersebut tidak sah maka bayaran yang diterima sebagai hasil jualan barang tersebut adalah dianggap sebagai mengambil harta orang lain secara bâthil.
Perlu diketahui, tidak semua benda atau barang mempunyai nilai di sisi syara‘ walaupun benda itu mempunyai nilai yang tinggi di pasaran. Jika begitu kedudukannya, apakah kriteria yang perlu ada bagi sesuatu benda atau barang sehinggakan ia boleh dianggap mempunyai nilai di sisi syara‘?
Salah satu kriteria yang mesti ada, hendaklah benda atau barang itu sesuatu yang suci. Sesuatu benda atau barang tidak dianggap mempunyai nilai di sisi syara‘ jika ia merupakan benda yang najis. Sebagai contoh, minuman arak. Walaupun adakalanya sebilangan jenis minuman arak mempunyai nilai yang tinggi di pasaran, tetapi menurut syara‘ ia termasuk barang yang tidak mempunyai nilai. Ini kerana ia adalah minuman yang diharamkan dan juga dianggap najis. Oleh itu, tidak sah menjual minuman arak kepada orang lain.
Contoh yang lain lagi bagi benda-benda yang dianggap najis ialah anjing, babi, kulit bangkai yang belum disamak, makanan yang bersumber daripada binatang yang tidak disembelih dan apa-apa sahaja benda yang dianggap najis oleh syara‘.
Perkara ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallâhu ‘anhu, sesungguhnya beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda pada tahun pembukaan Makkah:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah mengharamkan menjual arak, bangkai, babi dan patung berhala. Lalu dikatakan kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, bagaimana pandangan Tuan mengenai (menjual) lemak bangkai, kerana sesungguhnya lemak bangkai dapat digunakan untuk mengecat perahu, menyamak kulit dan digunakan oleh orang ramai untuk lampu mereka bernyala?” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Jangan (kamu jual lemak bangkai, menjualnya) adalah haram.” Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda ketika itu: “Semoga Allah melaknat Yahudi, sesungguhnya ketika Allah mengharamkan lemak bangkai, mereka mencairkannya, kemudian mereka menjualnya, lalu mereka memakan harganya (hasil jualannya).” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Mas‘ud al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menegah daripada hasil jualan anjing. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Begitu juga, tidak sah memperjualbelikan benda suci yang terkena najis yang tidak dapat disucikan seperti minuman jus buah yang bercampur dengan minuman arak. Akan tetapi, jika benda suci yang terkena najis itu boleh disucikan semula, seperti baju yang terkena najis yang boleh disucikan semula, maka hukumnya adalah sah untuk diperjualbelikannya.
Selain itu, kriteria yang mesti ada ialah hendaklah benda atau barang itu adalah sesuatu yang mempunyai manfaat di sisi syara‘. Sesuatu benda atau barang dianggap tidak mempunyai manfaat di sisi syara‘ adakalanya disebabkan kuantitinya terlalu sedikit seperti sebutir beras, sebutir gandum dan sebagainya, dan adakalanya juga disebabkan benda itu dianggap sesuatu yang remeh dan tidak mempunyai nilai seperti binatang semut, tikus, ular, burung gagak dan lain-lain lagi.
Alat-alat muzik yang diharamkan walaupun ia mempunyai nilai di pasaran, bahkan sesetengah jenis alat muzik dijual dengan harga yang mahal, juga dianggap sebagai harta yang tidak bernilai di sisi syara‘. Ini kerana alat-alat tersebut haram hukumnya untuk dimanfaatkan.
Oleh itu, tidak sah suatu transaksi jual beli jika barang yang diperjualbelikan itu merupakan barang atau benda yang najis atau yang tidak bermanfaat menurut pandangan syara‘.
3. Kebolehserahan barang jualan.
Antara syarat lain lagi bagi barang yang boleh diperjualbelikan ialah hendaklah barang tersebut boleh atau mampu diserahkan oleh penjual kepada pembeli. Ini adalah bagi memberi keyakinan kepada pembeli bahawa dia boleh mendapat atau menerima barang yang dijual sebagai tukaran kepada harga yang akan dibayarnya. Apabila barang yang dijual boleh atau mampu diserahkan oleh penjual kepada pembeli, maka yang demikian itu dapat mengelakkan daripada jual beli yang tidak jelas (gharar) yang ditegah oleh syara‘.
Tidak sah suatu transaksi jual beli jika barang yang diperjualbelikan itu merupakan barang yang tidak boleh diserahkan atau dipindah milik.
Kebolehserahan sesuatu barang adakalanya tidak dapat berlaku disebabkan halangan yang ditetapkan oleh syara‘ seperti menjual barang yang digadai. Tidak sah menjual barang gadaian yang berada di tangan penerima barang gadaian (al-murtahin) tanpa keizinannya.
Kebolehserahan sesuatu barang adakalanya juga tidak dapat berlaku disebabkan penjual sendiri tidak mampu menyerahkannya kepada pembeli seperti menjual burung yang berada di udara. Tidak sah menjual burung yang berada di udara, walaupun burung tersebut pada kebiasaannya akan pulang ke sarangnya. Sebagai contoh lagi, menjual ikan yang bebas berenang di sungai (bukan di dalam sangkar). Hukumnya adalah tidak sah. Ini kerana transaksi seperti ini terdapat di dalamnya elemen ketidakjelasan (gharar).
4. Hak milik penjual.
Untuk menjual sesuatu barangan kepada orang lain (pembeli), barang yang akan dijual itu hendaklah terdiri daripada barang yang dimiliki oleh penjual. Tidak sah hukumnya suatu transaksi jual beli jika barang yang dijual itu merupakan milik orang lain. Begitu juga, tidak sah hukumnya jika seseorang tampil menjualkan barang orang lain tanpa izin pemilik barang tersebut.
Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku datang berjumpa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka aku berkata: “Seorang lelaki datang kepadaku memintaku untuk menjual suatu barang yang belum aku miliki, apakah aku boleh membeli di pasar, kemudian aku menjualnya kepadanya?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Janganlah engkau menjual sesuatu yang belum engkau miliki.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Akan tetapi jika sekiranya seseorang menjual barang yang dimiliki oleh orang lain atas kapasitinya sebagai wakil yang dilantik oleh pemilik barang, ataupun atas kapasitinya sebagai wali kepada pemilik barang, maka hukum jual beli tersebut adalah sah. Ini kerana syara‘ telah memberinya kuasa untuk menjual barang tersebut bagi pihak pemilik barang.
Isu yang berkaitan dalam hal ini juga ialah hukum pembeli menjual barang yang telah dibeli sebelum berlaku serah terima (taqâbudh) barang tersebut daripada penjual. Sebagai contoh, si A membeli telefon bimbit daripada si B. Akan tetapi, sebelum si A menerima telefon bimbit tersebut daripada si B, si A menjualnya kepada si D. Dalam hal ini, transaksi di antara si A dan si D dihukumkan tidak sah walaupun si B sudah menerima bayaran daripada si A, dan walaupun si B memberi keizinan kepada si A untuk menjualnya kepada si D. Ini kerana pemilikan si A dalam hal ini belum dikira sempurna.
Ini adalah berdasarkan riwayat Hakim bin Hizam Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku melakukan penjualan yang banyak, maka apakah yang halal bagiku daripada apa yang diharamkan?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jangan engkau jual selagi engkau belum memilikinya. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
5. Sesuatu yang diketahui oleh penjual dan pembeli.
Antara lain syarat bagi barang jualan itu juga ialah barang tersebut hendaklah sesuatu yang diketahui atau dimaklumi oleh orang yang berakad jual beli.
Oleh itu, jika penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada tuan salah satu daripada dua helai baju ini”, ataupun penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada tuan seekor kambing daripada beberapa ekor kambing saya dalam kandang ini”, hukum jual beli seperti ini adalah tidak sah walaupun kedua-dua baju atau kambing-kambing tersebut mempunyai nilai yang sama.
Pembeli dalam hal ini tidak mengetahui dengan jelas baju atau kambing yang mana satu yang dijual kepadanya. Perkara ini boleh sahaja membawa kepada pertikaian dan pertelingkahan. Selain itu, di dalamnya terdapat elemen ketidakjelasan (gharar) tanpa keperluan, sedang jual beli yang terdapat di dalamnya gharar adalah dilarang oleh Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana hadits yang disebutkan terdahulu.
Tetapi tidaklah disyaratkan barang yang diperjualbelikan itu diketahui atau dimaklumi oleh orang yang berakad jual beli secara terperinci dari segenap sudut. Bahkan jika barang yang diperjualbelikan itu wujud di hadapan orang yang berakad jual beli dan disaksikan atau dilihat oleh mereka maka yang demikian itu dianggap sudah memadai. Dalam hal ini, sah jual beli walaupun penjual tidak menyebutkan mengenai berapa kadar (timbangan, sukatan atau sebagainya) barang tersebut dan mengenai sifat barang tersebut.
Sebagai contoh, penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada tuan baju ini (sambil penjual menunjuk kepada baju tersebut) dengan harga $15.00.” Sebagai contoh lagi, penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada tuan setompok / selonggok gandum ini dengan harga $5.00”. Akad jual beli dalam kedua-dua contoh ini hukumnya adalah sah kerana barang yang diperjualbelikan telah diketahui atau dimaklumi oleh orang yang berakad jual beli melalui penyaksian mereka terhadap barang tersebut.
Sebagai kesimpulan, antara hikmah di sebalik pengenaan syarat-syarat bagi barang yang diperjualbelikan menunjukkan Islam amat memelihara ketelusan dalam berjual beli. Tidak ada perkara yang boleh diselindungkan di antara penjual dan pembeli. Tidak boleh wujud ketidakjelasan (gharar) pada barang yang diperjualbelikan. Apabila wujud ketelusan di antara penjual dan pembeli maka prinsip at-tarâdhi (persetujuan kedua-dua belah pihak) yang dituntut dalam transaksi jualbeli dapat dicapai melaluinya.
Selain itu, sistem jual beli dalam Islam bukan setakat untuk meraih keuntungan tetapi juga bagi memelihara nilai-nilai akhlak yang murni. Oleh sebab itu, Islam melarang penjualan barang-barang yang diharamkan dan menganggapnya sebagai barang yang tidak mempunyai nilai.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15103
دليل الألوان
