Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات٠ مشاهدة

Siapa Boleh Menerima Manfaat Waqaf?

الجواب

Waqaf dalam Islam adalah satu amalan mulia kerana orang yang melaksanakannya berjaya membelanjakan hartanya bagi tujuan membantu atau memudahkan orang lain, selain berusaha mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Amat jelas dinyatakan di dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawa keistimewaan amalan berwaqaf ini ialah ganjaran pahala itu tetap berterusan diterima oleh si pewaqaf selama mana harta atau benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan masih dimanfaatkan oleh orang lain walaupun si pewaqaf itu sudah meninggal dunia.

Di Negara Brunei Darussalam pula, berwaqaf sudah mula menjadi amalan yang giat diusahakan oleh pelbagai pihak, sama ada individu yang berwaqaf atau kumpulan individu yang berwaqaf atas nama sesebuah organisasi atau jabatan kepada pihak-pihak tertentu bagi meraikan tuntutan agama berkaitan perkara kebajikan dan ‘amr ma‘rûf. Berwaqaf al-Qur’an, tanah untuk tapak masjid atau tapak sekolah, rumah atau buku-buku, merupakan antara contoh waqaf yang sering didengar. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa agensi kerajaan mahupun swasta yang menawarkan pakej barangan berupa buku, kerusi roda, permaidani sembahyang dan yang seumpamanya di samping menawarkan kemudahan untuk menyerahkan kepada pihak yang akan menerima, semata-mata bertujuan untuk memudahkan orang ramai berwaqaf.

Dalam hal penerima manfaat waqaf, ia bergantung kepada niat atau shîghah (lafaz) pewaqaf itu sendiri sama ada penerima manfaat waqaf itu ditentukannya secara khusus atau tidak ditentukan, hanya dinyatakannya secara kategori umum. Namun yang pasti, tidak kira penerimanya itu ditentukan secara khusus atau tidak, terdapat syarat yang perlu dipatuhi agar maksud waqaf itu boleh direalisasikannya sebagaimana yang digariskan oleh syara‘.

Maksud Waqaf Menurut Syara‘

Dari segi syara‘, waqaf bermaksud menahan sesuatu harta yang boleh dimanfaatkan dalam keadaan harta tersebut tetap kekal fizikalnya, di mana pewaqaf memutuskan hak tasharrufnya terhadap benda atau barang yang diwaqafkannya, untuk dikhususkan manfaatnya kepada pihak penerima yang diharuskan dan tsabit kewujudannya.

Maksud pewaqaf menahan sesuatu harta miliknya dengan memutuskan hak tasharrufnya terhadap harta tersebut ialah pewaqaf memberhentikan haknya terhadap harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, hibah, gadai, wasiat dan pusaka.

Secara dasarnya berwaqaf dalam Islam ialah:

1. Menahan sesuatu harta atau benda yang diwaqafkan dan hanya boleh diambil manfaat daripadanya oleh penerima manfaat waqaf atau oleh orang awam, mengikut niat orang yang berwaqaf.

2. Pemilikan harta waqaf berpindah daripada tuan punya harta atau benda yang diwaqafkan itu kepada milik Allah Ta‘ala. Untuk berwaqaf pula, pewaqaf perlu berlafaz umpamanya dia berkata: “Saya waqafkan bangunan ini untuk dijadikan sekolah”.

Syarat Penerima Manfaat Waqaf

Rukun waqaf ada empat, iaitu:

1. Pewaqaf (orang yang berwaqaf). 2. Barang yang diwaqaf. 3. Penerima waqaf. 4. Sighah (lafaz waqaf).

Maksud penerima waqaf adalah orang yang menerima manfaat barang yang diwaqafkan. Penerima manfaat waqaf dibahagikan kepada dua, iaitu:

1. Penerima manfaat waqaf yang ditentukan. 2. Penerima manfaat waqaf yang tidak ditentukan.

Pertama: Penerima manfaat waqaf yang ditentukan.

Penerima manfaat waqaf yang ditentukan ada dua:

i. Individu dengan ditentukan nama. Contohnya pewaqaf berkata: “Saya waqafkan barang ini kepada si Fulan”.

ii. Kumpulan yang ditentukan sama ada dengan disebut:

- Nama-nama orang yang ditentukan. Contohnya pewaqaf berkata: “Saya berwaqaf barang ini kepada si Fulan, si Fulan dan si Fulan”.

- Ataupun dengan disebut sifat orang-orang yang ditentukan. Contohnya pewaqaf berkata: “Saya berwaqaf barang ini kepada anak-anak si Fulan yang fakir.

Adapun syarat penerima manfaat waqaf sama ada individu mahupun kumpulan yang ditentukan ini hendaklah dia atau mereka itu boleh memiliki manfaat waqaf tersebut ketika pewaqaf melafazkan sighah waqafnya.

Oleh yang demikian, tidak sah seseorang berwaqaf kepada pihak yang tidak wujud seperti seseorang berwaqaf barang kepada masjid: “Aku berwaqaf ini untuk masjid itu”, sedangkan masjid tersebut tidak wujud atau baru hendak dibina. Begitu juga tidak sah berwaqaf kepada seseorang yang tidak wujud seperti seseorang berwaqaf kepada anaknya: “Aku berwaqaf ini kepada anak-anakku”, sedangkan dia tidak mempunyai anak. Ataupun dia berwaqaf kepada anaknya yang belum lahir. Sebagai contoh: “Aku berwaqaf ini kepada anakku yang akan lahir”. Ataupun dia berwaqaf kepada anak-anaknya yang fakir: “Aku berwaqaf ini kepada anak-anakku yang fakir”, sedangkan dia tidak mempunyai anak-anak yang dalam keadaan fakir. Walau bagaimanapun, jika anak-anaknya fakir atau sebahagian daripada mereka ada yang fakir, maka sah waqaf tersebut dan diserahkan kepada siapa yang fakir dalam kalangan mereka.

Begitu juga tidak sah seseorang berwaqaf kepada dirinya sendiri kerana tiada faedah baginya untuk melakukan sedemikian (berwaqaf untuk dirinya sendiri). Akan tetapi jika dia berwaqaf, umpamanya, kepada orang-orang fakir ataupun kepada golongan ulama, kemudian selepas itu dia menjadi salah seorang daripada orang-orang fakir itu atau salah seorang daripada golongan ulama itu, maka sah waqafnya itu dan dia pula boleh menerima sama manfaat daripada waqaf tersebut kerana tujuannya berwaqaf adalah untuk kumpulan bukan untuk dirinya sendiri. Begitu juga jika seseorang berwaqaf dengan berkata: “Aku berwaqaf buku-buku ini untuk bacaan kaum Muslimin”. Dalam hal ini dia juga boleh turut membaca buku yang diwaqafkannya itu kerana dia juga adalah salah seorang daripada mereka.

Menyebut mengenai pemilikan manfaat barang yang diwaqaf, tidak sah seseorang berwaqaf kepada janin atau kepada orang yang sudah mati, kerana kedua-duanya tidak boleh memiliki manfaat waqaf.

Selain itu tidak sah juga seseorang berwaqaf kepada orang yang tidak diketahuinya seperti seseorang berwaqaf kepada seseorang yang tidak ditentukannya atau berwaqaf kepada orang yang dipilih atau ditentukan oleh orang lain, sedangkan pewaqaf tidak mengetahui siapa penerima waqaf itu. Ini kerana waqaf adalah pemilikan yang perlu disegerakan pemilikannya kepada penerima manfaat waqaf. Maka ini tidak akan berlaku jika penerima manfaat waqaf tidak diketahui.

Sama juga halnya jika pewaqaf tidak menentukan salah satu di antara dua pihak penerima manfaat waqaf. Sebagai contoh, seseorang berwaqaf kepada salah seorang daripada dua lelaki atau salah sebuah daripada dua masjid (tanpa menyebut nama salah satu daripada kedua-duanya). Maka yang sedemikian tidak sah waqafnya kerana waqaf adalah pemilikan yang tidak bertangguh dan wajib ditentukan pemiliknya (penerima manfaat waqaf).

Dalam perkara penerima waqaf ini juga, sah seorang Muslim berwaqaf kepada orang dzimmi (orang bukan Islam yang mendapat perlindungan dan tinggal di negara Islam) yang ditentukannya. Begitu juga, sah hukumnya waqaf orang dzimmi kepada orang dzimmi lain yang ditentukannya, seperti juga dalam hukum pemberian sedekah sunat kepada mereka. Dengan syarat, waqafnya itu bukan bermaksud untuk membantu atau menolong kepada perkara maksiat dan hendaklah ia merupakan sesuatu yang boleh mereka miliki atau mereka manfaatkan. Oleh sebab itu, berwaqaf al-Qur’an atau kitab-kitab ilmu syara‘ kepada mereka maka adalah ditegah.

Begitu juga sah waqaf seseorang kepada kafir mu‘âhad (orang bukan Islam yang membuat perjanjian damai dengan orang Islam) atau kafir musta’man (orang bukan Islam yang masuk ke negara Islam untuk bekerja dan mendapatkan jaminan keamanan daripada pemerintah Islam) selama mana mereka berada di negara Islam. Ini kerana hukum waqaf bagi mereka ini sama seperti orang dzimmi.

Walau bagaimanapun, tidak sah seseorang berwaqaf kepada kafir harbi (orang bukan Islam yang memerangi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya) dan orang murtad (orang yang keluar daripada agama Islam), kerana mereka ini tidak diakui dalam keadaan kedua-duanya berterusan sedemikian.

Kedua: Penerima manfaat waqaf yang tidak ditentukan.

Penerima manfaat waqaf yang tidak ditentukan ialah penerima yang hanya dinamakan mengikut kategori seperti berwaqaf kepada masjid-masjid, orang-orang fakir, para ulama, para penuntut ilmu, orang-orang miskin, orang-orang yang mengerjakan haji, para mujâhidîn, para guru dan yang selainnya.

Disyaratkan berwaqaf kepada pihak yang ditentukan melalui kategori ini hendaklah ia bukan untuk perkara maksiat atau perkara yang membawa kepada keburukan. Ini kerana waqaf disyariatkan bertujuan menolong ke arah kebaikan bukan sebaliknya dan paling utama tujuan waqaf itu disyariatkan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Berwaqaf kepada pihak-pihak yang jelas di dalamnya bentuk qurbah (mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) seperti berwaqaf kepada masjid-masjid, orang-orang fakir, para ulama, ahli qurâ’ (pembaca-pembaca al- Qur’an), para guru, untuk (fasilitas) Ka‘bah, untuk hospital-hospital atau jambatan-jambatan, untuk keperluan pengkafanan mayat, bantuan para penggali kubur dan para penggapai (yang memandikan mayat) dan yang seumpamanya hukumnya adalah sah. Berwaqaf kepada pihak-pihak seperti di atas amat digalakkan dan pewaqafnya akan diberi ganjaran dan pahala kerana waqafnya itu.

Adapun berwaqaf kepada pihak-pihak yang tidak jelas di dalamnya bentuk qurbah juga dibolehkan selama mana waqaf tersebut bukan untuk perkara maksiat, seperti seseorang berwaqaf kepada orang-orang kaya atau berwaqaf kepada orang-orang dzimmi. Ini kerana waqaf itu adalah pemilikan manfaat waqaf dan mereka ini (orang kaya atau orang dzimmi) adalah dalam kalangan orang-orang yang boleh memiliki (manfaat waqaf) sebagaimana juga bersedekah kepada mereka ini adalah dibolehkan.

Namun yang jelas, tidak sah berwaqaf untuk perkara maksiat seperti seseorang berwaqaf senjata kepada orang-orang yang menimbulkan huru-hara dalam kalangan awam dan yang seumpamanya. Kesimpulannya, pewaqaf boleh sahaja berwaqaf dengan cara menentukan penerima manfaat waqaf atau berwaqaf dengan tidak menentukan sesiapa tetapi hanya dengan menyebutkan golongan sasaran yang akan menerima manfaat waqafnya. Dalam perkara menentukan penerima waqaf, hendaklah dipastikan bahawa penerima manfaat waqaf itu wujud dan mampu memiliki manfaat daripada barang yang diwaqafkan kepadanya. Begitu juga, waqaf tersebut disumbangkan bukan untuk perkara maksiat sama ada penerimanya ditentukan ataupun tidak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15107

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص