Cara Penggunaan Baki Wang Derma Dan Sumbangan
الجواب
Masyarakat kita di Negara Brunei Darussalam sememangnya sangat terkenal dengan sifat murah hati, sikap prihatin dan berlaku ihsân sesama anggota masyarakat dan tolong-menolong. Apa yang lebih ketara ialah mereka suka menderma dan memberi sumbangan, lebih-lebih lagi ke arah perkara-perkara yang berkebajikan, khususnya dalam perkara keagamaan dan kemanusiaan (insâniah), sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun harta benda.
Ada kalanya mendermakan sesuatu itu dilakukan secara spontan, iaitu seseorang akan menghulurkan atau menyerahkan sendiri wang secara langsung kepada penerimanya, sama ada penerima adalah individu yang dimaksudkan untuk menerima derma ataupun wakil kepada pihak yang dimaksudkan.
Namun bukanlah sesuatu yang asing kepada kita, terdapat juga inisiatif daripada pihak-pihak tertentu, iaitu sebagai pengelola atau penganjur, yang membuat kutipan wang derma daripada orang ramai atau kumpulan-kumpulan tertentu dengan menerangkan tujuan kutipan dibuat. Antaranya, seperti untuk majlis tahlîl dan do‘a selamat sekampung, majlis khatam al-Qur’an bagi murid-murid Tahun Enam, sumbangan hadiah bagi bakal-bakal haji tahun 1437/2016, derma kepada mangsa kebakaran di kampung yang terlibat dan seumpamanya. Dalam keadaan seperti ini, orang ramai akan menyerahkan wang derma tersebut kepada pihak pengelola untuk disalurkan dan digunakan sebagaimana niat dan tujuan penderma, sama ada untuk kegunaan majlis yang dimaksudkan ataupun diserahkan terus kepada penerimanya.
Dalam melimpahnya derma yang dihulurkan itu, sering kali juga timbul pertanyaan bagaimanakah tatacara sebenar pengurusan wang kutipan derma termasuklah bakinya untuk memastikan agar derma tersebut disalurkan dan diagihkan selaras dengan niat atau tujuan para penderma.
Hukum Bersedekah
Sedekah adalah suatu pemberian yang dimaksudkan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Secara umumnya, sedekah itu mengandungi makna sedekah wajib, iaitu zakat dan sedekah tathawwu‘ (sunat). Namun yang menjadi tumpuan penjelasan di sini ialah sedekah tathawwu‘ (sunat).
Bersedakah tathawwu‘ merupakan suatu amalan yang mulia dan hukumnya adalah sunat. Penerima sedekah tathawwu‘ itu adalah terdiri daripada sesiapa sahaja walaupun dia seorang yang kaya dan orang kafir.
Firman Allah Ta‘ala dalam al-Qur’an mengenai anjuran serta ganjaran bagi mereka yang menginfâqkan (menyumbangkan, membelanjakan atau mengeluarkan sebahagian wang, harta dan sebagainya untuk kebajikan) secara ikhlas pada jalan Allah, demi mendapatkan ganjaran pahala atau pulangan yang lebih besar dan hebat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Tafsirnya: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (dengan membelanjakan harta pada jalan Allah secara ikhlas), supaya Allah akan melipatgandakan baginya ganjaran yang berganda-ganda banyaknya? Dan Allah jualah yang menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya). Dan kepadaNya kamu semua dikembalikan. (Surah al-Baqarah: 245)
Terdapat banyak hadits yang menceritakan kelebihan dan ganjaran perbuatan bersedekah antaranya daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Seorang mu’min yang memberi makan saudara mu’min yang dalam kelaparan, Allah akan memberikannya makanan (mengenyangkannya) pada Hari Kiamat daripada buah-buahan syurga. Dan seorang mu’min yang memberi minum saudara mu’min yang dalam kehausan, Allah akan memberikannya minum (menghilangkan kehausannya) pada Hari Kiamat daripada sejenis minuman arak syurga. Dan seorang mu’min yang memberikan pakaian kepada saudara mu’min yang dalam keadaan telanjang (sama ada yang nampak auratnya ataupun keseluruhan anggotanya), Allah akan memberikannya pakaian berwarna hijau daripada pakaian syurga. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Anjuran ketika Bersedekah
Perkara yang afdhal dalam bersedekah ialah melakukannya secara sembunyi-sembunyi (tidak diketahui), bersedekah kepada kaum kerabat dan jiran tetangga, dan bersedekah pada bulan Ramadhan sebagaimana yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Bersedekah juga dituntut pada hari-hari yang mempunyai kelebihan (keistimewaan) dan dijanjikan ganjaran pahala yang besar seperti sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah dan pada dua Hari Raya. Demikian juga di tempat-tempat yang mulia seperti Makkah dan Madinah, pada waktu terjadi serangan, pada waktu haji dan bilamana terjadi kejadian-kejadian penting seperti gerhana, sakit dan musafir.
Menyentuh mengenai anjuran (afdhal) melakukan sedekah secara sembunyi-sembunyi, apabila perbuatan seorang yang bersedekah secara terang-terangan bakal menjadi contoh ikutan kepada yang lain, maka dalam keadaan seperti ini bersedekah secara terang-terangan itu adalah afdhal berbanding bersedekah secara sembunyi, dengan syarat tidak menyebabkan riya’ dan kemegahan (sum‘ah).
Selain itu, disunatkan membaca basmalah ketika menyerahkan atau memberi sesuatu sedekah kepada penerimanya. Ini kerana amalan bersedekah merupakan ibadat. Dari itu, disunatkan bagi mereka yang sangat menyukai amalan kebajikan, janganlah dia sunyi atau kosong daripada bersedekah walaupun satu hari dan walaupun dengan perkara (sedekah) yang sedikit atau kecil.
Pengelola Derma adalah Pemegang Amanah
Menyentuh mengenai wang derma yang dikutip berdasarkan inisiatif pihak tertentu, iaitu pengelola atau penganjur, daripada orang ramai atau kumpulan-kumpulan tertentu, pada kebiasaannya cara kutipannya dilakukan adalah dengan menugaskan individu tertentu (pengutip derma) untuk memberikan penjelasan mengenai tujuan kutipan dan perkara-perkara penting yang berkaitan dengannya. Kemudian pengutip derma tersebut akan menerima kutipan wang derma lalu menyerahkannya kepada seorang yang diamanahkan bagi tujuan pengumpulan dan penyimpanan hasil kutipan wang derma.
Sebagai pengelola atau penganjur derma, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian dan dijaga oleh pihak pengelola. Setiap kutipan derma yang dibuat mesti mempunyai tujuan yang sekurang-kurangnya menerangkan kepada para penderma tentang ke manakah kutipan derma tersebut hendak disalurkan atau diagihkan.
Pengelola derma juga merupakan seorang yang memegang amanah. Dalam menyalurkan atau mengagihkan sesuatu derma, pengelola derma sebagai pemegang amanah adalah wajib memelihara tujuan sesuatu derma itu dibuat yang merupakan niat para penderma.
Oleh itu, setiap derma yang hendak digunakan atau dibelanjakan oleh pemegang amanah derma atau pihak penganjur, hendaklah mengikut niat orang yang menderma atau mengikut tujuan derma itu dilakukan. Sayyidina ‘Umar ibnu al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan sebuah hadits bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda.
Maksudnya: Sesungguhnya (sahnya) amal perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap seseorang itu mendapat apa yang telah diniatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sekiranya tujuan kutipan wang derma adalah dengan tujuan hendak mengadakan majlis tahlîl dan do‘a arwah umpamanya, maka pengelola hanya akan membelanjakan wang kutipan derma itu bagi perkara yang berkenaan dengan majlis itu sahaja, tidak bagi perkara yang lain seperti membeli pinggan mangkuk atau sebagainya. Ini kerana apabila derma itu dihubungkan “atas nama majlis tahlîl dan do‘a arwah”, bermakna pada adatnya ia akan hanya dipakai untuk membiayai makan dan minum serta yang berkaitan dengannya sahaja, bukanlah untuk perkara-perkara lain yang tidak ada kaitan dengan majlis itu.
Oleh itu, adalah haram hukumnya mereka (pengelola) menyalurkan atau mengagihkan derma yang mereka kelolakan ke arah satu tujuan yang berlainan dengan tujuan asal sesuatu derma itu dibuat tanpa mendapat izin daripada kesemua para penderma yang menghulurkan derma tersebut, kerana perbuatan sedemikian dikira mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka.
Pengelola yang memegang amanah juga menerima ganjaran pahala yang setimpal. Daripada Abu Musa Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya seorang penyimpan harta yang Muslim lagi amanah yang melaksanakan - dan kemungkinan juga Baginda bersabda: “Yang memberikan” - apa yang diperintahkan kepadanya, maka dia (penyimpan harta) itu melaksanakan dengan sempurna lagi cukup dengan senang hati dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, (maka) dia (penyimpan harta) itu adalah termasuk juga salah seorang daripada dua orang yang bersedekah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Duit Derma yang Berbaki
Adakalanya setelah wang derma yang dikutip itu diagih-agihkan kepada penerima atau dibelanjakan bagi sesuatu majlis, wang derma tersebut masih berbaki atau mempunyai lebihan. Untuk menanganinya, pengelola perlu merangka cara penyelesaian yang terbaik dan yang pasti ia hendaklah menepati kehendak syara‘.
Seperti yang telah dijelaskan, pengelola derma merupakan pemegang amanah dan dia wajib memelihara tujuan sesuatu derma itu dibuat yang merupakan niat para penderma. Dalam perkara wang derma yang berbaki, maka tetaplah ia dalam kedudukan wang derma yang wajib dipelihara tujuan derma itu dibuat dan wajib dipelihara niat para penderma.
Secara umum, sebahagian derma mempunyai tujuan yang lebih khusus berbanding yang lainnya. Umpamanya kutipan derma sebagai sumbangan hadiah bagi bakal-bakal haji tahun 1437/2016 dan derma kepada mangsa kebakaran di kampung yang terlibat, adalah lebih khusus berbanding majlis tahlîl dan do‘a selamat sekampung dan majlis khatam al-Qur’an. Dalam erti kata lain, kutipan wang derma hanyalah bagi bakal-bakal haji untuk tahun yang disebutkan, iaitu bagi tahun 1437/2016 dan dalam bentuk hadiah ataupun sumbangan wang ringgit. Demikian juga halnya dengan kutipan derma mangsa kebakaran, ia adalah terhad untuk mangsa kebakaran di kampung terlibat.
Oleh yang demikian, baki atau lebihan kutipan derma umpama derma majlis tahlîl dan do‘a arwah sekampung dan majlis khatam al-Qur’an, bolehlah disimpan dan dianjakkan kepada majlis yang serupa di masa yang akan datang. Ini kerana, boleh kita jangkakan, besar kemungkinan majlis dengan tujuan yang serupa pasti akan diadakan atau diungkayahkan lagi pada masa akan datang.
Bagaimanapun jika baki atau lebihan derma majlis tahlîl atau do‘a arwah sekampung hendak disalurkan untuk tujuan-tujuan atau perkara lain, seperti membeli peralatan untuk diwakafkan ke surau, disedekahkan, membeli hadiah sebagai cenderamata untuk ahli jawatankuasa dan baki selebihnya lagi disedekahkan, maka perkara ini tidak boleh dilakukan melainkan setelah diminta keizinan terlebih dahulu daripada para penderma. Ini kerana pada adat kebiasaannya, jika derma disebut adalah untuk majlis tahlîl, maka ia hanyalah dibelanjakan untuk kegunaan majlis tersebut, khususnya menyediakan makan dan minum serta perkara yang berkaitan dengannya sahaja, seperti sewa tempat mengadakan majlis dan seumpamanya.
Manakala baki atau lebihan kutipan derma yang lebih khusus lagi, umpamanya derma untuk sumbangan hadiah untuk kakitangan sesuatu bahagian yang bakal menunaikan fardhu haji pada tahun 1437/2016, maka baki kutipan (derma) tersebut tidak boleh disalurkan atau diagihkan di majlis yang serupa di tahun-tahun yang akan datang. Sekiranya hendak dibuat demikian, pihak pengelola derma hendaklah terlebih dahulu memaklumkan kepada para penderma yang telah menghulurkan derma tersebut dengan tujuan meminta izin mereka dalam perkara ini. Ini kerana di dalam tujuan asal kutipan derma yang dibuat ada menyatakan bahawa derma tersebut akan dihadiahkan kepada bakal-bakal haji yang menunaikan haji pada tahun berkenaan, bukan jemaah haji di tahun-tahun yang akan datang.
Dalam perkara ini, lebihan wang kutipan derma tersebut juga tidak boleh diserahkan kepada mana-mana pihak kebajikan termasuk Baitul-Mal atau digunakan bagi menampung perbelanjaan makanan, peralatan atau penyelenggaraan majlis meraikan bakal-bakal haji, kerana ia menyalahi tujuan asal kutipan derma tersebut dibuat dan sekaligus menyalahi niat orang-orang yang telah menghulurkan derma.
Kesukaran Memberi Makluman kepada Para Penderma
Dalam perkara pengurusan baki derma untuk digunakan pada perkara-perkara lain daripada tujuan asal derma tersebut dibuat, masalah yang sering kali dihadapi oleh pengelola ialah proses memberi makluman kepada para penderma dan perkara yang lebih sukar bagi pihak pengelola ialah mendapatkan keizinan daripada kesemua mereka. Ini kerana sebahagian daripada penderma adalah individu yang tidak dikenali, tidak diketahui, tidak ditemui dan sebagainya. Oleh itu sebagai saranan kepada pengelola derma, umpamanya majlis tahlîl dan do‘a arwah sekampung, selain daripada menerangkan dengan jelas tujuan sesuatu derma itu dibuat, adalah perlu juga untuk memaklumkan kepada penderma ke mana dan bagaimana derma (kutipan) itu hendak disalurkan atau diagihkan termasuk bakinya. Umpamanya selain daripada perbelanjaan makanan dan minuman bagi majlis tahlîl tersebut, akan juga digunakan untuk derma kepada anak-anak yatim, fakir miskin atau lain-lain tujuan yang difikirkan munasabah oleh pengelola selama mana derma itu mendatangkan pahala kepada penderma.
Secara ringkasnya, pengelola derma, sebagai pemegang amanah, hendaklah melakukan tiga langkah berikut. Pertama, menerangkan dengan jelas kepada penderma mengenai tujuan wang derma dikutip, kepada siapa akan disalurkan atau bentuk majlis yang akan diadakan serta perkara-perkara lain yang penting untuk diketahui oleh penderma khususnya untuk niat dirinya menderma.
Kedua, semasa membuat kutipan, memaklumkan dan dalam masa yang sama mendapatkan keizinan daripada kesemua penderma mengenai cara penggunaan baki wang derma, jika ada, bakal digunakan, umpamanya disalurkan kepada perkara-perkara berkebajikan lain yang bersesuaian.
Ketiga, penggunaan wang derma adalah wajib disalurkan sebagaimana niat atau tujuan penderma. Oleh itu, hendaklah dipastikan bahawa wang derma itu disalurkan terhad kepada penggunaan tertentu sahaja sepenuhnya dan tidak pada perkara yang tiada kaitan dengan tujuan derma dibuat.
Mudah-mudahan dengan melakukan langkah-langkah di atas tidak akan timbul masalah berhubung dengan kesukaran mengurus baki atau lebihan wang kutipan derma menurut syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15111
دليل الألوان
