Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية٠ مشاهدة

Persoalan Mengupah Orang Lain Dalam Perkara Ibadat

الجواب

Pendahuluan

Islam tidak melarang penganutnya meminta khidmat orang lain untuk membuat sesuatu kerja bagi manfaat atau kepentingan dirinya dengan dibayar upah kepada orang tersebut, asalkan kerja-kerja tersebut termasuk dalam lingkungan perkara-perkara yang diharuskan oleh syara‘. Umpamanya mengupah seseorang untuk membersihkan halaman rumah, menghantar barang ke satu tempat, merawat penyakit dan sebagainya.

Upah atau di dalam istilah fiqh dipanggil sebagai ujrah, ialah ganjaran yang diberikan kepada seseorang sebagai imbalan terhadap sesuatu kerja yang telah dilakukannya.

Apabila seseorang meminta khidmat kepada seorang yang lain dengan dibayar upah sebagai imbalan kepada khidmat yang telah diberikan, perbuatan meminta khidmat disertai dengan bayaran upah itu dipanggil sebagai isti’jâr.

Di dalam al-Qur’an al-Karim, Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Seorang daripada mereka berkata: “Wahai bapaku! Ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik orang yang bapa ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qashash: 26)

Hubungan kerja di antara orang yang mengupah (musta’jir) dengan orang yang diupah (ajîr) dalam konteks ini adalah diikat melalui satu kontrak atau akad yang dipanggil kontrak ijârah. Oleh sebab itu, sebelum orang yang diupah membuat kerja apa yang diminta oleh yang mengupah, persetujuan bersama perlu dicapai iaitu orang yang diupah bersetuju untuk dibayar dengan jumlah yang tertentu dan di pihak yang mengupah pula bersetuju dengan bentuk khidmat yang akan dibuat oleh orang yang diupah. Apabila persetujuan bersama dicapai maka termeterailah satu kontrak ijârah.

Contoh kontrak ijârah dalam konteks ini:

- Orang yang mengupah berkata: “Saya minta khidmat tuan untuk membersihkan halaman rumah saya dengan upah bayaran sebanyak $50.00.”

- Orang yang diupah berkata: “Saya setuju.”

Itu perihal mengupah orang lain dalam perkara yang diharuskan syara‘. Bagaimana pula dengan perihal mengupah orang lain dalam perkara ibadat, sama ada ibadat fardhu ‘Ain, ibadat sunat ataupun fardhu Kifayah?

Sebagai contoh:

- (A) berkata kepada (B): “Saya minta khidmat tuan untuk menghajikan bapa saya yang meninggal dunia dengan upah bayaran sebanyak $2,000.00.”

- (B) berkata kepada (A): “Saya setuju.”

Parameter Syara‘ dalam Isti’jâr

Sebelum dihuraikan jawapan bagi persoalan di atas elok disebutkan di sini mengenai satu parameter syara‘ yang membatasi perkara tersebut. Imam al- Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyebutkan parameter berkenaan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj dengan menyatakan:

Ertinya: Setiap ibadat yang pelaksanaannya dibenarkan oleh syara‘ untuk diwakilkan kepada orang lain, adalah dibenarkan juga untuk mengupahnya bagi melaksanakan ibadat tersebut. Sebaliknya setiap ibadat yang pelaksanaannya tidak dibenarkan oleh syara‘ untuk diwakilkan kepada orang lain, adalah tidak dibenarkan juga untuk mengupahnya bagi melaksanakan ibadat tersebut.

Mengupah Orang Lain untuk Melaksanakan Ibadat Fardhu ‘Ain 1. Mengupah Orang Lain untuk Melaksanakan Ibadat Sembahyang.

Ibadat sembahyang sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat merupakan ibadat badaniyyah (ibadat yang mesti dilaksanakan dengan tubuh badan semata-mata) yang tidak boleh diwakilkan kepada orang lain untuk melaksanakannya. Oleh itu, tidak sah bagi seseorang meminta khidmat orang lain untuk melaksanakan ibadat sembahyangnya, ataupun seseorang tampil menawarkan diri sendiri untuk melaksanakan ibadat sembahyang orang lain dengan dibayar imbalan upah.

Ini kerana tujuan ibadat badaniyyah disyariatkan adalah sebagai ujian atau dugaan kepada yang empunya badan yang mesti dilaksanakan dengan usaha dirinya dan perkara itu tidak akan terhasil jika dilaksanakan oleh orang lain.

2. Mengupah Orang Lain Untuk Melaksanakan Ibadat Puasa.

Ibadat puasa juga merupakan ibadat badaniyyah. Menurut para ulama, bagi orang yang masih hidup tidak boleh mewakilkan kepada orang lain untuk melaksanakan ibadat puasanya. Oleh itu, tidak sah bagi seseorang meminta khidmat orang lain untuk melaksanakan ibadat puasanya, ataupun seseorang tampil menawarkan diri sendiri untuk melaksanakan ibadat puasa orang lain dengan dibayar imbalan upah.

Alasannya juga sama seperti ibadat sembahyang di atas, iaitu ibadat puasa disyariatkan adalah sebagai ujian atau dugaan kepada yang empunya badan dan ibadat tersebut mesti dilaksanakan dengan usaha dirinya. Perkara itu tidak akan terhasil jika dilaksanakan oleh orang lain.

Manakala bagi orang yang sudah meninggal dunia, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ bahawa pendapat yang shahîh dan terpilih dalam perkara ini ialah sunat bagi wali si mati untuk melaksanakan qadha’ puasa bagi pihak si mati.

Ketetapan hukum ini adalah berdasarkan beberapa hadits yang shahîh, antaranya hadits riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya seorang perempuan telah datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, lalu berkata: “Sesungguhnya ibu saya telah meninggal dunia dan dia mempunyai qadha’ puasa sebulan.” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apa pendapat awak jika sekiranya dia mempunyai hutang, adakah awak akan melunaskannya?” Perempuan tersebut berkata: “Ya.” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Maka, hutang kepada Allah adalah lebih berhak lagi untuk dilunaskan.” (Hadits riwayat Muslim)

Selain wali, qadha’ puasa si mati boleh juga dilaksanakan oleh orang lain (orang asing) jika ada keizinan daripada pihak wali si mati.

Oleh itu, sah hukumnya jika sekiranya wali si mati meminta khidmat orang lain untuk melaksanakan qadha’ puasa si mati dengan dibayar upah.

3. Mengupah Orang Lain Untuk Melaksanakan Ibadat Zakat

Ibadat zakat termasuk dalam kategori ibadat mâliyyah (ibadat yang berkaitan harta). Seseorang yang hendak mengeluarkan zakat boleh dia mengeluarkan (menyerahkan) sendiri zakatnya itu kepada pihak yang berhak menerimanya ataupun berwakil kepada orang lain untuk menyerahkannya kepada yang berhak menerimanya.

Jika dia memilih untuk melantik wakil bagi mengeluarkan (menyerahkan) zakatnya, adalah harus jika dia mahu membayar upah kepada wakil yang dilantik itu sebagai imbalan atas tugas yang dilaksanakan oleh wakil tersebut.

4. Mengupah Orang Lain untuk Melaksanakan Ibadat Haji.

Fardhu haji merupakan ibadat yang memerlukan tenaga dan harta untuk menunaikannya. Sebab itu ia dikatakan sebagai ibadat badaniyyah (badan)

dan mâliyyah (harta). Ibadat ini juga tidak boleh diwakilkan kepada orang lain untuk dikerjakan jika seseorang itu berkuasa atau mempunyai keupayaan untuk melakukannya sendiri.

Namun jika dia tidak berupaya untuk melaksanakan sendiri ibadat tersebut disebabkan faktor tubuh badan yang sudah uzur dan sebagainya, tetapi mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya jika diwakilkan kepada orang lain, maka pelaksanaannya boleh diwakilkan kepada orang lain.

Ini adalah berdasarkan sebuah hadits shahîh daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau menceritakan bahawa semasa haji Wida‘, seorang wanita daripada Khats‘am bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kefardhuan Allah ke atas hambaNya dalam ibadat haji telah mendapati ayahku yang sudah tua yang tidak dapat duduk tetap di atas kenderaan, apakah aku boleh menghajikannya? Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Ya.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bahkan orang seperti ini jika dia mempunyai harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain bagi melaksanakan ibadat fardhu haji bagi dirinya hukumnya adalah wajib ke atasnya untuk mengupah orang tersebut. Ini kerana apa yang dikatakan sebagai “mampu” itu ada kalanya mampu dengan melaksanakannya sendiri, ada kalanya pula mampu dengan menggunakan harta dan orang seperti ini adalah dikategorikan sebagai orang yang mampu melaksanakannya dengan harta iaitu dengan mengupah orang lain.

Begitu juga halnya bagi orang yang mampu dan berupaya melaksanakannya sendiri ibadat tersebut tetapi meninggal dunia sebelum sempat menunaikannya, wajib ke atas ahli waris untuk melaksanakan ibadat haji bagi si mati dengan perbelanjaan yang diambil daripada harta peninggalannya.

Ini adalah berdasarkan riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa seorang wanita daripada Juhainah pernah datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu bertanya:

Maksudnya: Sesungguhnya emak saya telah bernazar untuk menunaikan haji tetapi belum sempat menunaikannya sehinggalah dia meninggal dunia, adakah aku boleh menghajikannya? Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ya, engkau hajikanlah untuk dia. Apa pendapat kamu jika sekiranya dia mempunyai hutang, adakah kamu akan melunaskannya? Lunaskanlah (hak) Allah, maka (hak) Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Ahli waris boleh menghajikan sendiri bagi pihak si mati ataupun meminta khidmat orang lain dengan dibayar upah untuk menghajikannya. Apabila ahli waris telah sempurna melaksanakan ibadat haji bagi si mati, sama ada mereka lakukannya sendiri atau mengupahkannya kepada orang lain, maka tertunailah tuntutan ibadat haji fardhu ke atas si mati.

Akan tetapi jika si mati tidak meninggalkan harta, tidak wajib ke atas ahli waris untuk melaksanakan ibadat haji yang tertanggung ke atas si mati.

Mengupah Orang Lain untuk Melaksanakan Ibadat Sunat dan Fardhu Kifayah

1. Mengupah Orang Lain untuk Mengajar Al-Qur’an.

Belajar al-Qur’an dan mengajarkannya kepada orang lain merupakan amalan yang mulia di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ini jelas sebagaimana tersebut dalam sebuah hadits shahîh, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Qur’an dan mengajarkannya kepada orang lain. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam aspek pembelajaran al-Qur’an adalah sah mengupah orang yang mahir dalam ilmu al-Qur’an untuk mengajarkannya.

Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa beberapa orang sahabat pernah datang berjumpa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan bertanya kepada Baginda tentang boleh atau tidak seseorang mengambil upah hasil membacakan ayat al-Qur’an. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjawab dengan bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya upah yang paling berhak kamu ambil ialah (hasil daripada bacaan) Kitâbullâh (al-Qur’an). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam hal meminta khidmat seseorang untuk mengajarkan al-Qur’an dengan dibayar upah, hendaklah ditentukan terlebih dahulu surah atau ayat-ayat al- Qur’an yang mana satu yang hendak diajarkan. Jika tidak, kontrak ijârah dalam hal ini boleh menjadi tidak sah sebagaimana menurut pendapat al-ashah (yang lebih shahîh).

Ataupun kalau tidak ditentukan dengan menentukan ayat atau surah tertentu, boleh juga ditentukan dengan menentukan tempoh masa pengajaran. Sebagai contoh, orang yang minta ajarkan al-Qur’an berkata: “Boleh tuan ajarkan saya membaca al-Qur’an dalam masa sebulan?” Orang yang mengajar berkata: “Ya, boleh.”

2. Mengupah Orang Lain untuk Membaca Al-Qur’an.

Mengupah seseorang untuk membaca al-Qur’an di sisi kubur dengan ditentukan tempoh masanya atau ditentukan berapa kadar ayat atau surah al- Qur’an yang diminta untuk dia membacanya hukumnya adalah harus. Ini kerana adanya manfaat dengan turunnya rahmat apabila dibacakan al-Qur’an dan manfaat bacaan itu akan kembali kepada orang yang di dalam kubur.

Dalam hal ini, tidak kira sama ada selepas bacaan al-Qur’an itu dibacakan do‘a untuk orang yang di dalam kubur ataupun tidak dan sama ada dihadiahkan pahala bacaan itu kepada orang yang di dalam kubur ataupun tidak.

3. Mengupah Orang Lain untuk Menyembelih Binatang Korban.

Salah satu amalan sunat yang boleh diwakilkan kepada orang lain untuk melaksanakannya ialah amalan menyembelih binatang korban. Malahan harus juga untuk memberi upah kepada wakil tersebut sebagai imbalan atas kerjanya menyembelih binatang korban dan mengagih-agihkan daging binatang tersebut kepada yang berhak.

Namun perlu diingat, upah tersebut tidak boleh diambil daripada sembelihan bintang korban tersebut. Ini kerana tidak harus hukumnya memberi kepada penyembelih binatang korban sesuatu daripada sembelihan binatang korban seperti daging, kulit atau sebagainya sebagai upah atau imbalan atas kerja penyembelihan yang dilakukannya. Akan tetapi jika diberikan kepadanya sebagai sedekah jika penyembelih itu miskin atau sebagai hadiah jika dia bukan orang miskin (bukan sebagai upah), hukumnya adalah harus.

4. Mengupah Orang Lain untuk Menguruskan Jenazah.

Apabila seorang Islam meninggal dunia, adalah menjadi fardhu Kifayah bagi orang-orang Islam yang hidup untuk menguruskan jenazahnya dengan sempurna dan selayaknya. Apabila disebut sebagai fardhu Kifayah, maknanya tanggungjawab pengurusan jenazah tersebut tidak akan terlepas ke atas orang-orang Islam sehinggalah ada sebahagian mereka tampil untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut.

Persoalannya, di samping pengurusan jenazah ini dikategorikan sebagai fardhu Kifayah, bolehkah pengurusan jenazah ini diupahkan kepada seseorang atau satu kumpulan untuk menyempurnakannya?

Sebagaimana yang sudah biasa diketahui bahawa pengurusan jenazah adalah merangkumi memandikannya, mengkafannya, menyembahyangkannya, menghantarnya ke tanah perkuburan dan menguburnya. Sebahagian urusan tersebut mempunyai hukum yang berbeza dengan sebahagian yang lain.

Dalam perkara menyembahyangkan jenazah, para ulama telah menyatakan bahawa urusan menyembahyangkan jenazah tidak boleh diminta orang lain untuk melakukannya dengan dibayar upah. Kedudukan hukumnya sama seperti sembahyang fardhu lima waktu.

Manakala dalam perkara memandikan, mengkafan, menghantar ke tanah perkuburan dan mengubur jenazah pula, adalah sah hukumnya mengupah orang lain untuk melaksanakannya. Ini adalah diqiyâskan kepada ‘âmil yang diberi bayaran atas kerjanya mengutip zakat. Bayaran yang diberikan kepada ‘âmil itu adalah dikira sebagai upah sebagaimana mengikut pendapat al-ashah (yang lebih shahîh). Oleh itu, sebagaimana ‘âmil (pengutip zakat) harus mengambil upah atas kerjanya mengutip zakat, maka begitu juga bagi orang yang menguruskan jenazah (selain menyembahyangkan jenazah) harus bagi mereka mengambil upah atas kerja menguruskan jenazah.

Kesimpulan

Apa yang dapat dibuat kesimpulan daripada penjelasan hukum berkaitan mengupah orang lain dalam perkara ibadat, bahawa keharusan adalah tertakluk kepada ruang-ruang yang dibenarkan oleh syara‘ untuk seseorang mewakilkan pelaksanaan ibadatnya kepada orang lain. Jika dibenarkan oleh syara‘ untuk diwakilkan, maka dibenarkan juga untuk dia mengupah orang lain bagi melaksanakannya. Jika tidak dibenarkan oleh syara‘, maka tidak dibenarkan juga dia mengupah orang lain untuk melaksanakannya.

Daripada beberapa jumlah jenis ibadat yang dibenarkan oleh syara‘ untuk mengupah orang lain bagi melaksanakannya sebagaimana yang telah dijelaskan dalam perbincangan ini, tidak semestinya ibadat-ibadat tersebut adalah ibadat yang berkaitan dengan harta. Bahkan sebilangannya adalah yang berkaitan dengan ibadat badaniyyah (ibadat yang mesti dilaksanakan dengan tubuh badan semata-mata).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15121

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص