Kelebihan Meluangkan Lebih Masa Berzikir Dan Berdo‘a Selepas Sembahyang
الجواب
Amalan pergi ke masjid dan menjadikannya sebagai suatu kelaziman merupakan suatu amalan yang disunatkan serta digalakkan dalam Islam. Oleh itu, melatih dan membiasakan diri pergi ke masjid merupakan suatu langkah yang terpuji dan bakal memperolehi hasil yang bermanfaat serta ganjaran pahala yang besar.
Disebutkan dalam kitab I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid, setelah masuk ke dalam masjid, disunatkan untuk membiasakan atau melatih diri supaya duduk (menanti) lebih lama di dalam masjid kerana ia merupakan suatu amalan bagi menghidupkan dan meng‘imârahkan tempat sembahyang, iaitu masjid. Dalam perkara ini, perbuatan atau amalan seseorang yang pergi ke masjid (lebih awal) sambil menantikan masuk waktu sembahyang, kemudian mengerjakan sembahyang pada waktunya sejurus masuk waktu sembahyang merupakan perkara yang paling sempurna.
Menyentuh mengenai anjuran untuk duduk (menanti) lebih lama di masjid, terdapat perkara-perkara yang disunatkan dan dianjurkan untuk dilaksanakan setelah selesai sembahyang di masjid serta ganjarannya supaya seorang yang tiada sebarang keuzuran tidak bergegas-gegas atau terburu-buru untuk segera beredar dari tempat sembahyangnya sejurus dia atau imamnya selesai memberi salam dalam sembahyang.
Berzikir dan Berdo‘a
Menurut fuqahâ’, antara perkara yang disunatkan untuk dilakukan setelah sembahyang fardhu bagi munfarid, iaitu orang yang sembahyang bersendirian termasuklah juga imam dan ma’mum dalam sembahyang berjemaah, ialah beristighfâr, berzikir dan berdo‘a. Malahan disunatkan memperbanyakkan zikir dan do‘a selepas sembahyang. Berdo‘a selepas sembahyang merupakan antara do‘a yang mustajâb (dikabulkan).
Oleh itu setelah selesai mengerjakan sembahyang fardhu, janganlah berkata-kata atau diselangi dengan perkataan atau percakapan yang lain selain daripada zikir, do‘a dan ayat-ayat al-Qur’an.
Tuntutan berzikir dan berdo‘a juga tidak luput walaupun setelah melakukan sembahyang sunat rawâtib. Bagaimanapun perkara yang afdhal ialah mendahulukan berzikir dan berdo‘a setelah selesai sembahyang fardhu kemudian melakukan sembahyang sunat rawâtib melainkan dalam beberapa keadaan tertentu.
Tuntutan sunat berzikir setelah sembahyang fardhu adalah berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri. Bagaimanapun, hadits-hadits yang diriwayatkan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengenai berzikir selepas sembahyang mengaitkan dan mengkhususkan tuntutan berzikir dilaksanakan selepas sembahyang fardhu.
Demikian juga, tuntutan sunat berdo‘a selepas sembahyang adalah berdasarkan hadits-hadits yang wârid daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Bagaimanapun, tuntutan berdo‘a selepas sembahyang tidak terbatas selepas sembahyang fardhu sahaja, malahan amalan berdo‘a juga dituntut setelah selesai daripada sembahyang-sembahyang sunat.
Zikir dan do‘a-do‘a selepas sembahyang yang afdhal dipilih dan dibaca ialah zikir-zikir dan do‘a-do‘a yang ma’tsûr, iaitu yang telah dibaca atau diamalkan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri. Dalam sembahyang berjemaah, imam hendaklah meringkaskan (tidak memanjangkan) bacaan zikir dan do‘anya dengan kehadiran ma’mum atau jemaah. Imam boleh (berhak) memanjangkan (dan menyambung) bacaan zikir dan do‘anya jika dia mahu setelah ma’mum berdiri dan beredar. Adapun jemaah (ma’mum) dan munfarid disunatkan memperbanyakkan, iaitu memanjangkan, zikir dan memperbanyakkan do‘a selepas sembahyang fardhu dengan mengharapkan agar do‘anya diterima dan dikabulkan.
Selain itu, disunatkan bagi munfarid dan ma’mum untuk menghadap qiblat ketika berzikir dan membaca do‘a. Manakala imam yang masih duduk di tempat sembahyangnya, sunat mengubah posisinya dengan menghalakan bahagian kanan badannya ke arah ma’mum, manakala bahagian kiri imam pula menghala ke arah qiblat atau mihrab. Perbuatan sedemikian adalah ittibâ‘, iaitu mengikut sunnah dan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Inilah posisi yang afdhal bagi imam ketika berzikir atau membaca do‘a menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh.
Berpindah atau Beredar setelah Selesai Sembahyang
Sunat bagi imam, termasuklah ma’mum dan juga munfarid, beredar dari tempat sembahyangnya sekiranya tidak ada jemaah khuntsâ atau perempuan di belakang. Sekiranya terdapat jemaah perempuan di belakang, imam dan juga ma’mum lelaki duduk seketika sehinggalah jemaah perempuan beredar untuk mengelakkan terjadinya percampuran di antara lelaki dan perempuan yang membawa kepada kerosakan (keburukan). Dalam keadaan seperti ini, disunatkan bagi jemaah perempuan untuk segera beredar selepas sembahyang.
Disunatkan supaya ma’mum atau jemaah lelaki tidak beredar atau berpindah dari tempat sembahyangnya ke tempat lain sehinggalah imam berdiri atau berpindah dari tempat sembahyang imam. Dengan erti kata lain, disunatkan bagi ma’mum atau jemaah lelaki untuk tetap duduk di tempat sembahyangnya seketika sehinggalah imam berdiri dari tempat sembahyang imam. Malahan adalah makruh hukumnya ma’mum beredar dari masjid mendahului imamnya tanpa sebarang keuzuran.
Di dalam kitab Busyrâ al-Karîm telah disebutkan bahawa terdapat dua perkara mengapa ma’mum dituntut supaya tetap duduk (menanti) untuk seketika dan tidak terus beredar dari tempat sembahyang atau masjid setelah imam selesai memberi salam dalam sembahyang.
Pertama: Supaya ma’mum tidak beredar atau keluar mendahului imamnya. Keadaan seperti ini juga menunjukkan seolah-olah ma’mum dalam keadaan tergesa-gesa atau bergegas-gegas dalam perkara ibadat. Perbuatan ma’mum beredar atau keluar mendahului imam juga mengakibatkan ma’mum tersebut membelakangi imam yang sedang menghadapkan dan menghalakan pandangannya kepada para ma’mum
Kedua: Tetaplah ma’mum duduk (menanti) untuk seketika di tempatnya itu kerana ada kemungkinan imam mengingati sesuatu yang dia telah lupa (dalam sembahyangnya), maka dalam keadaan seperti ini ma’mum mempunyai kesempatan untuk mengikut imam tersebut dan menyempurnakan sembahyang ma’mum.
Hendak Mengerjakan Sembahyang yang Lain
Menurut ulama, seseorang yang hendak mengerjakan sembahyang sunat setelah sembahyang fardhu atau sebaliknya mengerjakan sembahyang fardhu setelah sembahyang sunat adalah disunatkan supaya memisahkan di antara dua sembahyang tersebut, sama ada dengan percakapan ataupun dengan berpindah. Yang dimaksudkan dengan berpindah ialah berpindah dari tempat dia mengerjakan sembahyang yang pertama ke tempat lain.
Seorang yang telah selesai daripada sembahyang fardhu di masjid dan tidak berniat i‘tikâf (dalam masjid), kemudian dia hendak mengerjakan sembahyang sunat yang lain, iaitu yang tidak disunatkan berjemaah, adalah sunat hukumnya, malahan afdhal baginya untuk mengerjakan sembahyang sunat tersebut di rumahnya. Bagaimanapun sekiranya dia tidak pulang ke rumahnya dan hendak mengerjakan sembahyang sunat di masjid, maka sunat baginya berpindah sedikit dari tempat sembahyangnya ke tempat atau bahagian lain dalam masjid untuk mengerjakan sembahyang sunat tersebut.
Demikian juga, adalah memadai jika sembahyang yang pertama dan sembahyang kedua dan yang seterusnya dipisahkan dengan percakapan, sekalipun yang tidak difahami, ataupun dengan mengucapkan lafaz yang boleh membatalkan sembahyang. Ini termasuklah zikir seperti bertasbîh, berdehem yang membatalkan sembahyang atau membaca ayat al-Qur’an.
Kelebihan Duduk Menanti di dalam Masjid
Seorang yang telah memenuhi tuntutan melakukan perkara-perkara yang sunat selepas sembahyang seperti berzikir, berdo‘a, mendahulukan imam beredar sebelum ma’mum beredar atau melakukan sembahyang sunat, sudah setentunya mendapat kelebihan pahala. Namun bagaimana pula hukumnya jika selepas melakukan perkara-perkara di atas dia masih mahu meluangkan masa untuk duduk lebih lama lagi di dalam surau atau masjid?
Menurut syara‘ seorang yang duduk dalam masjid dalam keadaan tidak berhadats dengan tujuan untuk melaksanakan ibadat, beri‘tikâf, membaca al-Qur’an, mengajar ilmu, menuntut atau mempelajari ilmu, mendengar nasihat dan ceramah, kerana menunggu waktu sembahyang (yang berikutnya) dan seumpamanya, adalah dihukumkan sunat (mustahabb). Bagaimanapun sekiranya seseorang itu duduk di dalam masjid bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang disebutkan, maka hukumnya adalah tetap diharuskan.
Anjuran dan ganjaran pahala seseorang yang duduk di masjid menunggu waktu sembahyang berikutnya untuk melakukan sembahyang secara berjemaah adalah berdasarkan hadits Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Para malaikat memohonkan keampunan ke atas setiap daripada kamu selama mana (dia) tetap (duduk) di tempat sembahyangnya (di dalam masjid), selama mana dia tidak berhadats. (Para malaikat berkata): “Ya Allah, ampunkanlah baginya (dosanya), ya Allah, rahmatilah dia.” Sentiasalah (dikira) seseorang daripada kamu (memperolehi ganjaran pahala) sembahyang selama mana (dia masih menunggu) sembahyang dan tiada (suatu perkara) yang (boleh) menghalangnya untuk pulang (beredar) kepada keluarganya melainkan sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadits ini menjelaskan bahawa sesiapa yang duduk di dalam masjid dan dalam keadaan suci (tidak berhadats) kerana menunggu untuk sembahyang berjemaah (atau waktu sembahyang berikutnya), antara kelebihannya ialah para malaikat sentiasa mendo‘akannya dengan keampunan dan rahmat. Selain itu, sepanjang masa dia berada di dalam masjid, dia diberikan ganjaran pahala secara berterusan (sepanjang masa) umpama ganjaran pahala orang yang mengerjakan sembahyang. Bagaimanapun sekiranya dia mengubah niatnya atau mengongsikan (menyatukan) niatnya duduk menanti dalam masjid itu bersama perkara-perkara lain, maka terputuslah ganjaran pahala, iaitu pahala umpama mengerjakan sembahyang, seperti yang disebutkan dalam hadits di atas.
Menurut Ibnu Baththal, sungguhpun perkara yang dituntut di dalam hadits ketika duduk di dalam masjid ialah dalam keadaan suci daripada hadats (qubul dan dubur), akan tetapi Ibnu Baththal juga mengertikannya daripada sudut yang lebih utama, iaitu suci daripada keburukan tangan dan lidah dengan menjauhkan diri serta menjaga lidah daripada perbuatan dan percakapan yang tidak baik.
Menurut Ibnu Baththal lagi sesiapa yang banyak dosanya dan mahu untuk mengurangkannya, maka gunakanlah dan rebutlah peluang ini, iaitu dengan cara hendaklah dia duduk di tempat sembahyangnya (dan tidak segera beredar) setelah selesai daripada sembahyang supaya dia memperolehi do‘a dan permohonan keampunan para malaikat bagi dirinya. Dalam masa yang sama, apa yang diharapkannya ialah agar permohonan keampunan dan rahmat tersebut diterima dan dikabulkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti dalam firmanNya:
Tafsirnya: … dan mereka tidak dapat memberi syafaat (pada Hari Kiamat) melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah… (Surah al-Anbiyâ’: 28)
Kelebihan Duduk Selepas Sembahyang Fardhu Shubuh
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh di dalam kitabnya al-Adzkâr, semulia-mulia waktu berzikir pada siang hari ialah selepas sembahyang fardhu Shubuh.
Antara zikir yang dituntut dibaca selepas sembahyang fardhu Shubuh (Fajar) ialah bertahlîl sebanyak sepuluh kali. Demikian juga pada sembahyang fardhu ‘Ashar dan Maghrib kerana telah wârid hadits mengenainya, malahan pada kesemua sembahyang fardhu. Tuntutan membacanya adalah sejurus selesai sembahyang fardhu Shubuh sebelum bergerak atau berpindah ke tempat lain malahan dalam keadaan dia masih duduk tahiyyat akhir.
Menurut sebahagian ulama muta’akhkhirîn, sesiapa yang selesai daripada sembahyang fardhu Shubuh berjemaah dan mahu berzikir sehingga terbit matahari, maka tidak disunatkan baginya berpindah. Dengan erti kata lain, hendaklah seseorang itu tetap duduk di tempat sembahyangnya berzikir mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan yang seumpamanya.
Dalil dalam perkara ini, telah tsabit bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berterusan duduk di tempat sembahyang Baginda setelah selesai daripada sembahyang fardhu Shubuh sehinggalah terbit matahari kemudian Baginda mendirikan sembahyang dua rakaat.
Ganjaran bagi mereka yang duduk berzikir selepas sembahyang fardhu Shubuh sehingga terbit matahari adalah seperti melakukan satu haji dan satu umrah. Dalam sebuah riwayat daripada Anas Radhiallâhu ‘ahnu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang sembahyang Fajar (Shubuh) berjemaah kemudian dia duduk berzikir mengingati Allah sehingga terbit matahari, kemudian dia sembahyang dua rakaat (setelah terbit matahari) adalah baginya ganjaran seperti (mengerjakan) satu haji dan satu umrah. Menurut Anas, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “(Baginya haji dan umrah yang) sempurna, sempurna, sempurna.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Selain itu, antara amalan sunat yang dianjurkan selepas sembahyang fardhu Shubuh, khususnya pada Shubuh hari Jumaat, ialah disunatkan membaca surah al- Kahfi dan beberapa surah lain daripada al-Qur’an. Disunatkan juga memperbanyakkan bacaan surah al-Kahfi pada malam Jumaat dan siang harinya paling kurang sebanyak tiga kali. Bagaimanapun membaca surah al-Kahfi pada siang hari Jumaat adalah sangat dituntut dan waktu yang afdhal adalah pada waktu Shubuh kerana cara ini bermaksud menyegerakan pelaksanaan amalan sunat dan menjaganya daripada diabaikan atau ditinggalkan.
Sebagai kesimpulan, selesai memberi salam dalam sembahyang, pastikanlah agar imam, jemaah ataupun orang yang sembahyang secara bersendirian (munfarid) meluangkan masa untuk berterusan duduk di tempat sembahyangnya dan janganlah dia terburu-buru untuk beredar atau meninggalkan tempat sembahyangnya sekiranya tiada sebarang keuzuran. Ini kerana terdapat perkara-perkara yang disunatkan untuk dilakukan selepas sembahyang, antaranya ialah beristighfâr, berzikir dan berdo‘a.
Setelah memenuhi tuntutan beristighfâr, berzikir dan berdo‘a selepas sembahyang, sesiapa yang masih mahu meluangkan masanya untuk duduk lebih lama lagi di dalam masjid, maka masa yang dihabiskan di dalam masjid bukanlah sia-sia. Ini kerana menurut syara‘, seseorang yang duduk menanti di dalam masjid dengan tujuan beri‘tikâf dalam masjid, kerana menunggu masuk waktu sembahyang yang berikutnya, melaksanakan ibadat lain seperti sembahyang dan membaca al-Qur’an, mendapatkan atau mengajarkan ilmu dan seumpamanya, maka hukumnya adalah sunat dan sudah setentunya mempunyai kelebihan dan mendapat ganjaran pahala.
Perkara yang menjadi keutamaan ialah semasa tempoh berada di masjid hendaklah memastikan diri dalam keadaan suci (tidak berhadats) sepertimana yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Peluang untuk memperolehi kelebihan dan ganjaran daripada anjuran duduk lebih lama di masjid selepas sembahyang, lebih-lebih lagi selepas sembahyang fardhu Shubuh sehingga terbit matahari, perlu direbut dan tidak disia-siakan. Ini kerana ganjaran yang dijanjikan sepertimana dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah sangat hebat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15156
دليل الألوان
