Hukum “Badiang” Di Sisi Syara‘
الجواب
Melahirkan anak merupakan satu pengorbanan besar seorang ibu. Bukan sahaja dia bertarung nyawa untuk memberikan peluang kehidupan kepada kandungannya, dia juga mungkin harus berhempas-pulas selepas itu untuk mengembalikan kesihatan serta keelokan fizikalnya yang serba sedikit telah berkurang atau mengalami perubahan sepanjang kehamilannya.
Pelbagai kaedah yang diusahakan oleh seorang ibu yang baru bersalin untuk memulihkan keadaan fizikalnya, sama ada dengan kaedah tradisional mahupun moden. Salah satu kaedah rawatan tradisi yang diamalkan sejak turun-temurun, dari satu generasi ke satu generasi hingga hari ini dalam masyarakat kita ialah amalan “badiang” (berdiang). Rawatan badiang ini, yang juga dikenali sebagai rawatan bersalai, biasanya diguna pakai oleh ibu-ibu yang baru bersalin semasa dalam tempoh pantang 40 hari. Sejak turun-temurun, kaedah rawatan ini dipercayai boleh merawat wanita yang baru lepas melahirkan anak.
Tujuan Badiang dan Manfaatnya
Pada kebiasaan masyarakat Brunei, amalan badiang selepas bersalin adalah salah satu rawatan untuk pemanasan badan. Rawatan memanaskan badan boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Kaedah yang menjadi tradisi di rantau ini, termasuk di Negara Brunei Darussalam ialah dengan menggunakan peralatan tradisional dan alami; seperti api yang dihasilkan dengan membakar kayu arang. Selain menggunakan kayu arang sebagai unggun api dalam rawatan badiang, kayu-kayu lain juga digunakan menurut kebiasaan sesuatu masyarakat. Kayu-kayu ini perlu dipilih daripada jenis yang baik dan tidak beracun agar asap yang keluar daripada hasil pembakaran kayu tidak memudharatkan kesihatan ibu dan anak.
Di zaman sekarang pula, alat pemanas badan atau pendiang boleh didapati dalam bentuk moden dan terkini yang dicipta lebih mesra pengguna seperti pendiang lampu yang menghasilkan sinar infra merah. Ia mudah digunakan dan menjimatkan masa dengan hanya memetik suis tenaga elektrik bagi mengeluarkan bahang panas, tanpa perlu bersusah payah menyalakan api dengan kayu dan mengeluarkan asap.
Rata-rata wanita zaman kini kebanyakannya lebih memilih untuk menggunakan alat seperti heater berbanding menggunakan cara tradisi iaitu mengunakan arang atau kayu. Selain lebih mudah, ia juga mungkin disebabkan faktor keselamatan kerana terdapat beberapa kes kemalangan yang pernah berlaku dalam pengamalan rawatan badiang secara tradisi. Antaranya kejadian kulit melecur kerana bahang api daripada arang yang dibakar, serta bahaya risiko keracunan karbon monoksida yang boleh berlaku akibat asap yang keluar daripada hasil pembakaran arang dan kayu. Bagaimanapun, rawatan badiang atau bersalai secara tradisi iaitu menggunakan arang atau kayu masih lagi diamalkan oleh sesetengah wanita.
Berdasarkan ilmu yang diperolehi melalui pengalaman pengamal rawatan badiang, rawatan memanaskan badan melalui badiang sangat berkesan dalam mendatangkan faedah-faedah berikut:
1. Melancarkan perjalanan darah. 2. Mengecutkan semula rahim setelah melahirkan anak. 3. Mengelakkan bisa urat, otot badan dan sakit pinggang, sehingga ia mempercepatkan kesembuhan. 4. Memiliki badan yang langsing.
Apa yang pasti, tujuan asal rawatan badiang selepas bersalin hanya untuk mengambil manfaat daripada bahang panas semata-mata dan tidak ada kaitan sama sekali dengan asap.
Hukum Badiang Menurut Syara‘
Memelihara nyawa merupakan salah satu maqâshid syarî‘ah yang lima selain memelihara agama, akal, harta dan keturunan. Salah satu jalan untuk memelihara nyawa ialah dengan berubat supaya mendapat kesembuhan daripada segala penyakit dan memulihkan atau mengembalikan kesihatan. Bahkah ia boleh menjadi wajib dalam keadaan-keadaan tertentu. Hal ini ada disebutkan dalam resolusi yang dikeluarkan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dalam sidangnya yang ketujuh di Jeddah pada 7-12 Zulkaedah 1412 bersamaan 9-14 Mei 1992, yang antara lain menyatakan:
“Hukum berubat berbeza mengikut keadaan dan individu: Adakala ia menjadi wajib apabila meninggalkan berubat itu boleh membinasakan nyawa atau salah satu anggota atau melumpuhkan diri atau penyakit berjangkit yang merbahaya. Ia menjadi sunat jika meninggalkan berubat itu boleh melemahkan badan dan tidak sampai kepada keadaan yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi harus jika keadaannya tidak termasuk dalam kedua-dua keadaan yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi makruh jika sesuatu rawatan itu ditakuti boleh mengakibatkan timbulnya penyakit-penyakit yang lebih merumitkan daripada penyakit yang ingin dihilangkan.”
Bagi seorang manusia, kesihatan merupakan satu ni‘mat yang tidak ternilai. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri mengiktiraf bahawa nikmat kesihatan merupakan nikmat terbesar selepas ni‘mat iman. Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Mohonlah kepada Allah keampunan dan kesihatan. Sesungguhnya, selepas kurniaan keyakinan (iman), tidak ada pemberian yang lebih baik terhadap seseorang selain kurniaan kesihatan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)
Maksud hadits di atas, di samping keampunan, kesihatan merupakan kurniaan kedua terbesar terhadap seseorang selepas kurniaan iman. Kerana itulah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menganjurkan umatnya supaya sentiasa berusaha dan memohon ni‘mat kesihatan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Dari itu jelas sekali bahawa merawat penyakit dan mengekalkan kesihatan itu adalah satu tuntutan Islam. Ini dengan syarat bahawa tidak ada dipraktikkan atau dikaitkan apa-apa unsur yang bertentangan dengan syariat Islam dalam menjalankan rawatan tersebut.
Bagaimanapun, sekiranya rawatan tersebut melibatkan sesuatu yang bertentangan dengan syara‘, seperti terdapat unsur-unsur tahyul, syirik dan seumpamanya, maka kaedah perubatan itu adalah ditegah dan dinilai haram di sisi syara‘. Abu ad- Darda’ Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan yang haram. (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam permasalahan membuat rawatan selepas bersalin dengan kaedah badiang ini, hadits di atas menjadi sukat-sukat (ukuran) adakah ia dibenarkan oleh syara‘ ataupun sebaliknya.
Jika dilihat pada tujuan asal pengamalan rawatan badiang selepas bersalin, ia sebenarnya hanya mengambil manfaat daripada bahang panas bagi merawat wanita yang baru lepas melahirkan anak dan tidak ada kena-mengena dengan asap. Dari itu, kaedah ini pada dasarnya diharuskan syara‘ kerana menurut penggunaan asalnya, ia tidak mengandungi apa-apa unsur syirik mahupun apa-apa unsur yang bertentangan dengan aqidah serta ajaran Islam.
Walau bagaimanapun, sekiranya dikaitkan amalan badiang ini dengan unsur syirik; seperti menggunakan api diang dan asapnya untuk pemujaan jin, maka perbuatan sedemikian adalah haram dan bertentangan dengan aqidah Islam.
Perbuatan memuja jin merupakan satu perbuatan yang boleh membawa syirik kerana ia bererti mempercayai ada kuasa lain selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang mampu memberi dan menolak kemudharatan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau menyembah selain daripada Allah, apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) mendatangkan mudharat kepadamu, sebab jika engkau lakukan yang sedemikian itu, maka sesungguhnya engkau termasuk daripada orang-orang yang zalim. (Surah Yunus: 106)
Perbuatan syirik bererti menyekutukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan menyeru atau menyembah selain Dia. Syirik merupakan dosa besar yang paling besar. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: … Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. (Surah an-Nisâ’: 48)
Demikian penjelasan mengenai hukum badiang di sisi syara‘. Kesimpulannya, sekiranya ia diamalkan sepertimana tujuan asalnya, iaitu untuk mengambil manfaat daripada rawatan memanaskan badan, maka hukumnya adalah harus. Bagaimanapun, sekiranya ia mengandungi unsur-unsur syirik seperti mengaitkannya dengan kepercayaan bahawa asapnya adalah untuk pemujaan jin, maka kepercayaan sedemikian adalah salah dan bertentangan dengan aqidah Islam.
Selain berawas-awas supaya amalan badiang itu tidak dikaitkan dengan unsur-unsur yang menyalahi syara‘, perlu juga diperhatikan aspek keselamatan dalam mempraktikkannya kerana amalan badiang secara tradisional terutamanya, terdedah kepada berbagai macam bahaya dan kemudharatan. Maka sayugia diambil langkah berhati-hati dengan menerapkan unsur-unsur keselamatan. Antaranya dengan memerhatikan tempat peralatan badiang itu diletakkan supaya kejadian melecur atau kebakaran tidak berlaku. Begitu juga dengan memilih arang atau kayu daripada jenis yang baik dan tidak beracun di samping tidak menjalankan rawatan tersebut pada ruang yang tertutup bagi mengelakkan keracunan karbon monoksida yang terhasil daripada pembakaran arang dan seumpamanya.
Sekiranya tidak pasti dengan aspek keselamatan ini, maka sebagai irsyâd, adalah lebih selamat untuk menggunakan alternatif lain dengan menjalankan rawatan badiang melalui kaedah moden iaitu menggunakan heater dan seumpamanya kerana ia lebih mudah dan selamat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15168
دليل الألوان
