Menjaga Tertib Wudhu’ Ketika Bertayammum
الجواب
Tertib merupakan salah satu daripada rukun wudhu’. Ia bermaksud melakukan rukun-rukun wudhu’ dengan tersusun iaitu hendaklah mendahulukan membasuh muka berserta niat, kemudian membasuh kedua-dua tangan, diikuti dengan menyapu kepala dan diakhiri dengan membasuh kedua-dua kaki.
Jika dilakukan rukun-rukun wudhu’ itu bukan pada tempatnya seperti mendahulukan membasuh kaki daripada menyapu kepala, maka perbuatan membasuh kaki itu tidak dikira dan wajib diulang perbuatan membasuh kaki itu setelah menyapu kepala.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (sedang kamu berhadats kecil) maka (berwudhu’lah iaitu) basuhlah muka kamu dan kedua-dua tangan kamu hingga ke siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua-dua kaki kamu hingga ke buku lali. (Surah al-Mâ’idah: 6)
Ayat ini menunjukkan kewajipan berwudhu’ dengan membasuh anggota-anggota wudhu’ yang wajib dengan mengikut tertib iaitu mendahului membasuh muka, membasuh kedua-dua tangan, menyapu kepala dan membasuh kedua-dua kaki.
Adapun tayammum pula, menurut istilah syara‘ ialah menyampaikan tanah ke muka dan dua tangan sebagai ganti kepada wudhu’ dan mandi atau sebagai ganti kepada anggota wudhu’ dan anggota mandi dengan syarat-syarat tertentu.
Ia merupakan rukhshah atau keringanan bagi orang yang tidak boleh menggunakan air untuk berwudhu’ dan mandi kerana sakit atau kerana ketiadaan air atau kerana air yang ada itu diperlukan untuk menghilangkan dahaga.
Salah satu sebab untuk bertayammum itu adalah tidak boleh menggunakan air pada anggota wudhu’ kerana sakit sama ada anggota wudhu’ itu berbalut ataupun tidak. Oleh sebab itu, dituntut bertayammum sebagai ganti kepada anggota wudhu’ yang sakit itu.
Apa yang perlu dijelaskan di sini ialah cara berwudhu’ di samping melakukan tayammum bagi menggantikan anggota wudhu’ yang sakit. Adakah melakukan tayammum bagi anggota wudhu’ yang sakit itu perlu mengikut tertib wudhu’ ataupun tidak? Sebagai contoh, anggota wudhu’ yang sakit itu ialah tangan, adakah melakukan tayammum sebagai ganti membasuh tangan yang sakit itu setelah membasuh muka sebagaimana mengikut tertib wudhu’ ataupun bertayammum sebelum membasuh muka atau selepas membasuh kaki atau pada mana-mana tempat tanpa mengikut tertib wudhu’?
Bila Bertayammum Bagi Anggota Wudhu’ yang Sakit?
Apabila seseorang hendak mengangkat hadats kecil akan tetapi dia tidak boleh menggunakan air pada anggota wudhu’nya kerana sakit, dia dituntut untuk bertayammum sebagai ganti membasuh anggota wudhu’ yang sakit itu. Menurut pendapat yang ashah, wajib melakukan tayammum tersebut apabila tiba waktu giliran membasuh anggota yang sakit itu kerana menjaga tertib wudhu’.
Ini bererti jika seseorang itu tidak boleh menggunakan air pada mukanya maka wajib dia bertayammum sebelum membasuh kedua tangannya dengan air. Jika tidak boleh menggunakan air pada tangannya maka wajib dia bertayammum sebelum menyapu kepalanya dengan air. Jika tidak boleh menggunakan air pada keseluruhan kepalanya maka wajib dia bertayammum sebelum membasuh kedua-dua kakinya dengan air. Jika tidak boleh menggunakan air pada kakinya maka wajib dia bertayammum selepas menyapu kepalanya dengan air.
Sebagai contoh, jika keseluruhan kepala sakit maka diwajibkan tayammum sebagai ganti menyapu kepala yang sakit itu. Oleh itu, apabila berwudhu’ hendaklah terlebih dahulu membasuh muka dan kedua tangan dengan air. Kemudian barulah bertayammum sebagai ganti menyapu kepala yang sakit. Selepas itu membasuh kedua kaki dengan air.
Berbilang-bilang anggota wudhu’ yang sakit
Jika terdapat beberapa anggota wudhu’ yang tidak boleh terkena air maka bilangan tayammum yang wajib dilakukan adalah mengikut bilangan anggota wudhu’ yang sakit itu melainkan beberapa perkara yang akan dijelaskan kemudian iaitu keseluruhan anggota wudhu’ sakit dan berturut-turut atau kesemua anggota wudhu’ keseluruhannya sakit. Jika terdapat dua anggota wudhu’ yang sakit maka tayammum dilakukan sebanyak dua kali dan jika terdapat tiga anggota wudhu’ yang sakit maka tayammum dilakukan sebanyak tiga kali dan jika terdapat empat anggota wudhu’ yang sakit maka tayammum dilakukan sebanyak empat kali. Dalam perkara ini disyaratkan juga melakukan tayammum itu apabila tiba waktu giliran membasuh anggota yang sakit itu kerana menjaga tertib wudhu’.
Sebagai contoh, jika sebahagian muka, sebahagian tangan, keseluruhan kepala dan sebahagian kaki yang sakit maka diwajibkan empat kali tayammum. Oleh itu, apabila berwudhu’ hendaklah bertayammum sebagai ganti membasuh sebahagian muka yang sakit itu kemudian membasuh muka yang sihat dengan air. Selepas itu, bertayammum sebagai ganti membasuh sebahagian tangan yang sakit kemudian membasuh sebahagian tangan yang sihat. Selepas itu lagi, bertayammum sebagai ganti menyapu keseluruhan kepala yang sakit. Kemudian bertayammum sebagai ganti membasuh sebahagian kaki yang sakit lalu membasuh kaki yang sihat dengan air.
Anggota wudhu’ yang berturut-turut keseluruhannya sakit
Jika anggota wudhu’ yang berturut-turut itu keseluruhannya sakit seperti keseluruhan muka dan keseluruhan kedua tangan sakit, maka memadailah sekali tayammum bagi kedua-dua anggota tersebut kerana tuntutan tertib bagi muka dan kedua-dua tangan itu tidak lagi wajib disebabkan tuntutan membasuh keduanya dengan air tidak lagi dituntut. Demikian juga, jika keseluruhan kedua-dua tangan, keseluruhan kepala dan keseluruhan kedua-dua kaki sakit maka memadailah sekali tayammum bagi ketiga-tiga anggota tersebut.
Sebagai contoh, jika keseluruhan kedua-dua tangan, keseluruhan kepala dan keseluruhan kedua-dua kaki sakit maka diwajibkan sekali tayammum. Oleh itu, apabila berwudhu’, pertama sekali basuhlah muka dengan air. Kemudian bertayammum sekali sahaja sebagai ganti membasuh kedua-dua tangan, menyapu kepala dan membasuh kedua-dua kaki.
Ini berbeza keadaannya jika anggota-anggota wudhu’ yang sakit itu tidak berturut-turut atau tidak menyeluruh sakitnya. Sebagai contoh, keseluruhan muka dan keseluruhan kepala sakit, diwajibkan dua kali tayammum kerana kedudukan anggota muka dan kepala itu tidak berturut-turut. Contoh yang lain lagi, keseluruhan muka dan sebahagian tangan sakit, diwajibkan juga dua kali tayammum walaupun kedudukan anggota muka dan tangan itu berturut-turut akan tetapi anggota tangan tidak keseluruhannya sakit.
Anggota tangan kanan dan kiri itu umpama satu anggota wudhu’. Jika sebahagian tangan kanan sakit dan sebahagian tangan kiri sakit maka memadai sekali tayammum bagi anggota tangan kanan dan kiri itu. Demikian juga anggota kaki kanan dan kiri umpama satu anggota wudhu’. Walau bagaimanapun sunat dijadikan setiap anggota kanan dan kiri itu sebagai satu anggota wudhu’. Jika sebahagian tangan kanan sakit dan sebahagian tangan kiri sakit maka sunat bertayammum sebanyak dua kali. Sekali bagi anggota sebelah kanan dan sekali lagi bagi anggota sebelah kiri.
Adapun jika kesemua anggota wudhu’ iaitu muka, kedua-dua tangan, kepala dan kedua-dua kaki keseluruhannya sakit maka memadai sekali tayammum sahaja sebagai ganti membasuh kesemua anggota tersebut. Ini kerana tuntutan tertib bagi kesemua anggota itu tidak lagi wajib disebabkan tuntutan membasuh kesemuanya dengan air tidak lagi dituntut.
Demikian penjelasan mengenai kewajipan menjaga tertib wudhu’ apabila melakukan tayammum bagi anggota wudhu’ yang tidak boleh terkena air. Perkara ini perlu diketahui dan diambil perhatian terutama sekali bagi mereka yang mengalami sakit pada anggota wudhu’nya sehingga mewajibkannya untuk bertayammum sebagai ganti.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15183
دليل الألوان
