Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Pertembungan Waktu Sembahyang Dengan Waktu Hidangan

الجواب

Rasa lapar atau dahaga boleh menyebabkan seseorang merasa tidak tenang dan kurang selesa, apatah lagi pada ketika itu makanan atau minuman sudah tersedia. Ini menyebabkan sesetengah orang tidak mampu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa sahaja perkara yang dilakukannya, hatta dalam perkara ibadat sekalipun, kerana teringat akan makanan atau minuman yang sudah tersedia itu. Sekiranya waktu hidangan itu bertembung pula dengan waktu sembahyang, pastinya dalam keadaan lapar atau dahaga seseorang itu akan menghadapi dilema sama ada untuk mendahulukan tuntutan sembahyang ataupun memenuhi keperluan makan dan minum terlebih dahulu kerana khuatir tidak dapat mengerjakan sembahyang dengan kekhusyû‘an yang sempurna.

Pertembungan di antara waktu hidangan dengan waktu sembahyang ini merupakan satu perkara yang lumrah terjadi. Mungkin ia tidak mendatangkan masalah bagi sebahagian orang. Akan tetapi, ia boleh mendatangkan beban bagi mereka yang pada ketika itu sedang lapar atau dahaga lalu berhajat terhadap suatu makanan atau minuman yang ketika itu sudah tersedia. Bagi orang yang seperti ini, adakah perlu dia mendahulukan tuntutan mengerjakan sembahyang atau dia menjamah makanan atau minuman itu terlebih dahulu?

Hukum Mengerjakan Sembahyang Ketika Hidangan Sudah Tersedia

Islam merupakan agama yang mengiktiraf keperluan dan naluri manusia. Atas sebab itulah keperluan seseorang untuk memenuhi hajat makan dan minum ketika lapar bukanlah suatu yang dicela. Dalam waktu yang sama, Islam juga tidak sekali-kali memberi kelonggaran untuk meremehkan tuntutan sembahyang dan menunaikannya sambil lewa sahaja. Kerana itulah menurut ulama, kita dimakruhkan daripada menunaikan sembahyang dalam apa jua keadaan yang boleh menjejaskan kekhusyû‘an ketika mengerjakannya.

Mengenai persoalan hukum mengerjakan sembahyang ketika makanan atau minuman sudah tersedia ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sudahpun memberikan petunjuk mengenainya sepertimana yang disebut dalam beberapa buah hadits. Antaranya sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Apabila makan malam sudah dihidangkan, maka dahulukanlah memakan hidangan itu sebelum kamu mengerjakan sembahyang Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah dari makan malam kamu itu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ pula meriwayatkan bahawasanya Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu sedang menikmati makanan, maka janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai memenuhi hajatnya daripada makanan tersebut, walaupun ketika itu sembahyang jemaah sudahpun didirikan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam Shahîh Muslim pula diceritakan bahawa salah seorang faqîh terbesar zaman tâbi‘în iaitu al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar ash-Shiddiq Rahimahullâh telah dihidangkan makanan oleh ibu saudaranya ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ. Setelah melihat makanan tersebut, al-Qasim Rahimahullâh lantas bangun untuk mengerjakan sembahyang, akan tetapi ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menghalangnya. Lalu ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menceritakan kepadanya bahawa beliau telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak sempurna sembahyang apabila makanan sudah sedia dihidangkan dan tidak juga sempurna sembahyang ketika seseorang itu sedang menahan daripada dua benda kotor (air kecil dan air besar). (Hadits riwayat Muslim)

Hadits-hadits di atas menjadi dasar bahawa makruh hukumnya mengerjakan sembahyang ketika makanan atau minuman sudah tersedia sedangkan orang tersebut cenderung atau berhajat untuk menjamah makanan atau minuman tersebut. Ini adalah pendapat jumhûr ulama mazhab asy-Syafi‘i. Ini kerana dalam keadaan sedemikian, fikiran, perasaan dan tumpuannya boleh terganggu dan ini mungkin menyebabkan dia tidak khusyû‘ mengerjakan sembahyang atau tidak mampu mengerjakannya dalam keadaan khusyû‘ yang sempurna.

Sekiranya seseorang itu tidak berhajat atau tidak cenderung terhadap makanan atau minuman yang sudah tersedia itu, maka tidak makruh atasnya untuk mengerjakan sembahyang terlebih dahulu.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, dikecualikan juga dalam perkara ini orang yang mengerjakan puasa. Maka tidak makruh orang yang sedang berpuasa untuk mengerjakan sembahyang tanpa menjamah makanan atau minuman yang sudah tersedia itu. Ini kerana orang yang sedang berpuasa sememangnya ditegah daripada makan dan minum. Jadi pada kebiasaannya, makanan atau minuman tersebut tidak akan mengganggu fikiran, perasaan dan tumpuannya. Bagaimanapun, sekiranya dia terganggu juga kerana hidangan tersebut, maka sunat dia berpindah daripada tempat makanan atau minuman itu dihidangkan.

Adapun maksud “makanan” dalam hadits-hadits di atas merangkumi apa sahaja hidangan sama ada makanan atau minuman yang halal.

Begitu juga maksud hidangan dalam hadits-hadits di atas bukanlah khusus untuk makan malam sahaja. Bahkan ia merangkumi semua hidangan yang boleh menjadi gangguan terhadap kekhusyû‘an seseorang sama ada makan tengahari, makan malam dan lainnya.

Hukum makruh ini khusus dalam keadaan di mana waktu sembahyang masih panjang. Ini bermaksud, sekiranya baki waktu sembahyang masih lagi panjang dan ketika itu makanan atau minuman sudah tersedia, lalu dia mengerjakan sembahyang terlebih dahulu sedangkan dia cenderung atau berhajat terhadap makanan atau minuman tersebut, maka yang demikian itu makruh hukumnya kerana ia menghilangkan atau mengurangkan rasa khusyû‘ ketika sembahyang.

Akan tetapi, menurut jumhûr ulama, sekiranya dia mengerjakan juga sembahyang dalam keadaan tersebut, iaitu dalam keadaan kekhusyû‘annya terjejas kerana teringat akan makanan atau minuman yang sudah tersedia itu, sembahyangnya tetap dikira sah. Bagaimanapun, dalam keadaan ini sunat dia mengulang (i‘âdah) sembahyangnya.

Maka dari itu, apabila seseorang itu menghadapi perkara ini, disunatkan dia makan atau minum terlebih dahulu dan menangguhkan sembahyang sehingga dia selesai memenuhi hajatnya. Ini bagi tidak menjejaskan kekhusyû‘annya dalam sembahyang. Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, ini menunjukkan bahawa fadhilat kehadiran hati dan rasa khusyû‘ ketika mengerjakan sembahyang itu adalah lebih utama daripada fadhilat mengerjakan sembahyang di awal waktu.

Berbeza halnya sekiranya waktu sembahyang sudah sempit, di mana sekiranya dia menjamah makanan atau minuman tersebut terlebih dahulu, dia akan terluput mengerjakan sembahyang berkenaan. Maka dalam hal ini, wajib dia mengerjakan sembahyang terlebih dahulu walaupun dalam keadaan dia teringatkan hidangan tersebut. Ini adalah bagi menjaga waktu sembahyang agar tidak luput, kerana terluput mengerjakan sembahyang itu lebih berat daripada tidak khusyû‘ ketika mengerjakannya. Dalam keadaan ini, menurut jumhûr, sunat dia mengulang (i‘âdah) sembahyangnya.

Hukum Mengerjakan Sembahyang Ketika Hidangan akan Disediakan

Bagi seseorang yang sedang lapar dan berhajat terhadap makanan atau minuman dan dia mengetahui bahawa makanan atau minuman akan dihidangkan tidak lama lagi, maka menurut satu pendapat yang dinukil daripada Ibnu Daqiq al-‘Id Rahimahullâh, makruh baginya mengerjakan sembahyang ketika itu bagi mengelakkan kekhusyû‘annya daripada terganggu. Bahkan sunat baginya untuk menunggu makanan dan minuman itu disediakan dan memenuhi hajatnya terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang. Dengan syarat bahawa perbuatannya menunggu makanan dan minuman yang akan dihidangkan itu tidak menyebabkan luput waktu sembahyang.

Kadar Hidangan yang Boleh Diambil Sebelum Mengerjakan Sembahyang

Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa makruh atas orang yang sedang lapar untuk mengerjakan sembahyang sekiranya dia cenderung atau berhajat untuk menjamah makanan atau minuman yang sudah tersedia atau yang akan dihidangkan tidak lama lagi. Bahkan dia disunatkan untuk memenuhi hajat makan dan minumnya terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang sekiranya waktu sembahyang masih lagi panjang. Ini supaya dia mampu mengerjakan sembahyang dalam keadaan khusyû‘ yang sempurna.

Berkenaan kadar makanan atau minuman yang boleh diambil sebelum mengerjakan sembahyang pula, adakah yang dituntut itu ialah mengambil sesuap dua makanan atau seteguk dua minuman dalam kadar mengisi kekosongan perut terlebih dahulu dan menyambung makan dan minum setelah selesai sembahyang? Atau dia boleh makan dan minum sehingga dia sempurna memenuhi hajatnya kemudian baru dia mengerjakan sembahyang?

Menurut ulama, hadits-hadits yang telah disebutkan sebelum ini dengan jelas menganjurkan ke atas seseorang yang sedang lapar, sekiranya dia cenderung atau berhajat untuk menjamah makanan atau minuman yang sudah tersedia atau yang akan dihidangkan itu supaya memenuhi hajatnya hingga selesai. Setelah selesai dia memenuhi hajatnya, barulah dia mengerjakan sembahyang.

Maksudnya di sini, syara‘ membenarkannya untuk makan dan minum terlebih dahulu sehingga selesai. Kemudian barulah dia mengerjakan sembahyang. Bukanlah bermaksud dia hanya dibenarkan untuk mengambil satu atau dua suap sahaja untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaganya itu. Bahkan dia boleh makan dan minum sehingga terpenuhi hajatnya.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu yakin dia boleh mengerjakan sembahyang dengan kekhusyû‘an yang sempurna dengan mengambil beberapa suap atau beberapa teguk sahaja untuk menghilangkan rasa lapar atau dahaganya sebelum dia mengerjakan sembahyang, maka yang demikian itu tidaklah menjadi kesalahan dan luputlah hukum makruh itu sepertimana yang dinukilkan daripada Imam al-Asnawi Rahimahullâh.

Ini dalam keadaan di mana waktu sembahyang masih lagi panjang dan mengizinkannya untuk menjamah makanan dan minuman tersebut sehingga selesai hajatnya. Bagaimanapun, sekiranya baki waktu sembahyang tidak terlalu panjang, sekira-kira dia hanya ada waktu yang mencukupi untuk menjamah beberapa suap sekadar mengisi kekosongan perutnya semata-mata, maka dalam keadaan seumpama ini hanya kadar tersebut yang dituntut untuk diambil kemudian hendaklah dia segera mengerjakan sembahyang dan menyambung makan dan minum setelah selesai sembahyang.

Demikian penjelasan hukum mengenai pertembungan waktu sembahyang dengan waktu hidangan. Apa yang dapat difahami ialah makruh hukumnya mengerjakan sembahyang dalam apa jua keadaan yang menjejaskan kekhusyû‘an. Salah satu keadaan tersebut ialah ketika seseorang yang lapar atau dahaga merasa cenderung atau berhajat terhadap makanan atau minuman yang sudah tersedia atau tidak lama lagi akan dihidangkan, sedangkan waktu sembahyang masih lagi panjang. Dalam keadaan seperti ini, hendaklah dia makan atau minum terlebih dahulu supaya kekhusyû‘an mengerjakan sembahyang tidak terjejas.

Hukum ini bukanlah bermaksud Islam mendahulukan hak seorang hamba terhadap hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bukan pula bermaksud makan minum itu lebih penting daripada sembahyang. Bahkan sebenarnya hukum ini disyariatkan semata-mata bagi menjaga hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ supaya ibadat sembahyang itu dikerjakan dalam keadaan sempurna hati, akal serta seluruh jiwa raga.

Sebagai irsyâd, bagi mengelakkan perkara seperti ini terjadi, adalah elok sekiranya jadual atau rutin makan dan minum itu diatur dan disesuaikan supaya tidak bertembung dengan awal waktu sembahyang. Ini satu perkara yang boleh diusahakan memandangkan waktu sembahyang boleh diketahui lebih awal dengan merujuk taqwîm waktu sembahyang dan seumpamanya. Dengan perancangan lebih awal seumpama ini, perkara pertembungan waktu sembahyang dengan waktu hidangan dapat dielakkan dan sembahyang dapat dikerjakan pada awal waktu dalam keadaan khusyû‘ yang sempurna.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15239

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص