Azan Dan Iqâmah Bagi Munfarid
الجواب
Melaungkan azan apabila masuk waktu sembahyang fardhu lima waktu serta melaungkan iqâmah ketika hendak menunaikannya hukumnya sunat. Ada pula sebahagian ulama yang mengatakan hukumnya fardhu Kifayah kerana ia salah satu perkara yang menzahirkan syi‘âr Islam dan mengabaikan kedua-duanya bererti meremehkan agama.
Azan dan iqâmah hanya dilaungkan untuk sembahyang fardhu lima waktu sahaja termasuk sembahyang fardhu Jumaat. Adapun sembahyang-sembahyang sunat, sembahyang jenazah, sembahyang yang dinazarkan serta lainnya tidak disyariatkan azan dan iqâmah, bahkan makruh hukumnya.
Bagi mereka yang sembahyang secara berjemaah, azan dan iqâmah merupakan satu tuntutan sunat Kifayah. Ini satu perkara yang jelas dan diketahui umum. Apa yang menjadi persoalan di sini ialah bagaimana pula kedudukan azan dan iqâmah bagi munfarid iaitu orang yang bersembahyang sendirian? Adakah munfarid juga dituntut untuk melaungkan azan dan iqâmah sepertimana halnya ia dituntut dalam sembahyang jemaah?
Hukum Azan dan Iqâmah Bagi Munfarid Serta Persoalannya
Pada dasarnya, menurut qaul jadîd dalam mazhab asy-Syafi‘i, orang yang bersembahyang sendirian yakni munfarid disunatkan secara sunat ‘Ain untuk menlaungkan azan dan iqâmah. Walau bagaimanapun, dalam beberapa keadaan, kaifiyyah serta tuntutannya tidak sama dengan azan dan iqâmah yang dilaungkan untuk sembahyang jemaah.
Terdapat beberapa perbincangan hukum dan persoalan khusus bagi permasalahan azan dan iqâmah bagi seorang munfarid. Ini sepertimana berikut:
1. Hukum azan dan iqâmah bagi munfarid.
Sunat ke atas munfarid secara sunat ‘Ain untuk melaungkan azan serta iqâmah walaupun azan sudah dilaungkan sebelum itu oleh orang lain dan dia sendiri telah mendengar azan tersebut. Ini tidak ada beza sama ada munfarid itu hendak mengerjakan sembahyang dalam bangunan ataupun tempat terbuka seperti padang pasir dan sebagainya.
2. Kadar suara ketika melaungkan azan dan iqâmah bagi munfarid
(i) Bagi seorang munfarid, sekiranya dia tidak mahu mengeraskan suaranya ketika melaungkan azan, maka adalah memadai untuk dia melaungkannya dalam kadar yang dapat didengar oleh telinganya sendiri sahaja. Dengan yang demikian, dia dikira sudah menunaikan tuntutan melaungkan azan dan mendapat pahala sunat melaungkan azan.
Ini berbeza dengan azan ketika sembahyang jemaah yang disyaratkan padanya untuk dilaungkan dengan suara keras supaya ia dapat didengar oleh para jemaah. Ini bertujuan bagi mengumumkan masuk waktu supaya para jemaah mengetahui bahawa tidak lama lagi sembahyang jemaah akan dikerjakan.
(ii) Walaupun dikira memadai bagi seorang munfarid untuk melaungkan azan dalam kadar yang hanya dapat didengar oleh telinganya sendiri sahaja, akan tetapi menurut ulama adalah disunatkan dan lebih dituntut atas munfarid untuk mengeraskan suaranya lebih daripada kadar yang hanya dapat didengar olehnya sendiri.
Tuntutan sunat mengeraskan suara ketika azan ini dikira sudah memadai dan memenuhi tuntutan bagi munfarid sekiranya kadar suara azannya itu melebihi sedikit daripada kadar yang dapat didengar olehnya sendiri. Adapun bagi munfarid yang hendak melaksanakan tuntutan yang lebih sempurna pula, maka dia disunatkan untuk mengeraskan suaranya ketika azan semampu yang boleh, asalkan tidak menimbulkan masyaqqah atau menyusahkan dirinya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al- Khudri Radhiallâhu ‘anhu yang secara umum menganjurkan ke atas sesiapa sahaja yang melaungkan azan supaya mengeraskan suaranya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada satu pun jin, manusia atau sesuatu yang mendengar laungan gema dan cakupan suara seorang mu’adzdzin melainkan masing-masing mereka itu akan bersaksi untuk kebaikan diri mu’adzdzin tersebut pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
(iii) Bagi iqâmah pula, adalah juga memadai atas munfarid untuk iqâmah dalam kadar yang dapat didengar oleh telinganya sendiri sahaja.
Ini juga berbeza dengan iqâmah ketika sembahyang jemaah yang disyaratkan jahr iaitu dengan suara yang keras. Bagaimanapun, dalam sembahyang jemaah, iqâmah disyaratkan supaya lebih rendah daripada azan.
3. Hukum dan kaifiyyah azan bagi munfarid ketika bersembahyang di masjid, surau dan seumpamanya
(i) Sekiranya seorang munfarid hendak mengerjakan sembahyang di masjid, surau atau tempat-tempat lain yang sudah dilaungkan azan padanya dan sudah dikerjakan sembahyang jemaah padanya sebelum itu, maka munfarid itu tidak disunatkan mengeraskan suara ketika azan. Tidak ada beza dalam hal ini sama ada jemaah itu sudah beredar atau belum.
Begitu juga munfarid tidak disunatkan mengeraskan suara ketika azan sekiranya di tempat seperti masjid dan sebagainya itu terdapat mereka yang sudah mengerjakan secara seorang diri sembahyang fardhu yang hendak dikerjakan oleh munfarid itu.
Sebaliknya, apabila berada di masjid serta tempat-tempat lain yang sudah dilaungkan azan dan dikerjakan sembahyang padanya itu, munfarid disunatkan untuk tidak mengangkat suara ketika azan.
Sebagai contoh, seseorang pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang fardhu Shubuh. Ketika dia sampai ke masjid tersebut, azan Shubuh sudah dilaungkan oleh mu’adzdzin masjid berkenaan dan sembahyang fardhu Shubuh pun sudah dikerjakan secara berjemaah atau secara bersendirian oleh sebilangan jemaah. Maka dalam hal ini, sekiranya orang itu hendak mengerjakan sembahyang secara bersendirian, maka disunatkan ke atasnya azan tanpa mengangkat suara.
Adapun sebab kenapa munfarid tidak disunatkan untuk mengangkat suara ketika menlaungkan azan pada tempat dan keadaan seumpama ini ialah kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan terhadap orang lain. Kekeliruan yang boleh timbul antaranya:
(a) Dikhuatiri orang yang mendengarnya menyangka bahawa telah masuk waktu sembahyang yang berikutnya.
(b) Dikhuatiri mereka boleh menyangka bahawa sembahyang yang telah mereka kerjakan sebelum itu tidak sah kerana dikerjakan sebelum masuk waktunya. Ini kerana mereka menyangka bahawa azan bagi sembahyang yang sudah selesai mereka kerjakan itu baru sahaja dilaungkan oleh munfarid tersebut.
(ii) Sekiranya seseorang itu pergi ke masjid atau surau dan sebagainya yang sudah dilaungkan azan padanya, lalu dia hendak mengerjakan sembahyang seorang diri di tempat tersebut sedangkan ketika itu jemaah lain masih menunggu sembahyang didirikan secara berjemaah, maka tidak disunatkan atasnya untuk azan. Ini kerana azan yang sudah dilaungkan di tempat tersebut sebelum itu sudah memadai baginya.
(iii) Begitu juga halnya sekiranya seseorang itu mendengar azan di suatu masjid atau surau contohnya, lalu disebabkan azan yang didengarnya itu dia pergi ke masjid atau surau tersebut untuk mendirikan sembahyang. Maka dalam hal ini dia tidak lagi dituntut untuk melaungkan azan walaupun dia mengerjakan sembahyang secara bersendirian kerana azan yang dilaungkan sebelum itu sudah memadai baginya. Ini kerana dengan menghadirkan diri ke masjid atau surau berkenaan, dia dikira telah menyahut seruan azan tersebut. Berbeza pula halnya jika dia pergi ke masjid atau surau itu bukan kerana menyahut seruan azan yang dilaungkan oleh mu’adzdzin di masjid atau surau berkenaan. Sebagai contoh, seseorang mengetahui bahawa sembahyang fardhu Maghrib sudah masuk waktunya kerana melihat matahari terbenam, lalu dia pergi ke suatu masjid untuk mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib secara bersendirian sedangkan dia sendiri tidak mendengar azan Maghrib yang dilaungkan di masjid tersebut sebelum itu. Maka dalam hal ini, sunat dia mendirikan azan.
4. Azan dan iqâmah bagi munfarid yang mengerjakan sembahyang qadha’.
(i) Disunatkan iqâmah ke atas munfarid yang hendak mengerjakan qadha’ sembahyang fardhu lima waktu kerana ia dianggap sebagai iftitâh atau pembukaan bagi sembahyang.
(ii) Berkenaan azan pula, terdapat perbezaan pendapat dalam mazhab asy- Syafi‘i di antara qaul qadîm dan qaul jadîd. Menurut qaul jadîd, azan tidak dituntut ketika mengerjakan sembahyang qadha’ fardhu lima waktu kerana waktunya sudah berlalu. Sebaliknya menurut qaul qadîm pula, azan tetap disunatkan bagi sembahyang qadha’ fardhu lima waktu.
Bagaimanapun, jumhûr ulama asy-Syafi‘i lebih cenderung untuk memilih qaul qadîm iaitu sunat melaungkan azan ke atas mereka yang hendak mengerjakan sembahyang qadha’ fardhu lima waktu sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian.
Ini kerana menurut pendapat yang ashah, azan merupakan hak bagi sembahyang fardhu lima waktu, maka ia tetap disunatkan sama ada dikerjakan dalam waktu mahupun di luar waktu. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Kaum musyrikin telah mempersibukkan (mengganggu) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada menunaikan empat sembahyang fardhu ketika peperangan Khandaq sehinggalah berlalu – sebagaimana yang dikehendaki Allah – sebahagian waktu malam.
Lantas Baginda mengarahkan Bilal (supaya melaungkan azan), lalu beliau pun melaungkan azan. Selepas itu, beliau melaungkan iqâmah lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur. Kemudian beliau melaungkan iqâmah lagi lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar. Kemudian beliau melaungkan iqâmah lagi lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. Kemudian beliau melaungkan iqâmah lagi lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ahmad)
5. Azan dan iqâmah bagi munfarid perempuan.
(i) Berbeza dengan lelaki, orang perempuan tidak disunatkan azan sama ada bagi sembahyang secara bersendirian atau secara berjemaah di kalangan jemaah perempuan, sekalipun azan itu dilakukan dengan suara yang perlahan.
Walaupun azan pada dasarnya tidak disunatkan atas perempuan, sekiranya perempuan itu azan untuk dirinya sendiri dalam kadar yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri atau untuk jemaah sesama perempuan yang hanya dapat didengar di kalangan mereka, maka hukumnya tidak makruh bahkan adalah harus. Bagaimanapun, perempuan itu tidak mendapat pahala sunat kerana melaungkan azan. Akan tetapi, sekiranya dia mengangkat suaranya lebih daripada kadar tersebut, maka makruh hukumnya.
Dalam perkara ini, disyaratkan ke atas perempuan itu untuk tidak meniatkan azan tersebut sebagai azan syar‘i. Ini kerana menurut syara‘, perempuan bukanlah ahli untuk melaungkan azan, maka dengan sendirinya azan yang didirikannya itu hanya sebagai dzikrullâh semata-mata. Jika dia meniatkannya sebagai azan syar‘i atau sebagai satu ibadat, maka hukumnya adalah haram.
(ii) Berbeza halnya jika seorang perempuan azan untuk jemaah lelaki atau khuntsâ. Menurut syara‘, tidak sah azan seorang perempuan bagi jemaah lelaki atau khuntsâ, bahkan berdosa kerana lelaki dan khuntsâ haram memandangnya. Ini kerana perbuatannya melaungkan azan itu boleh menyebabkan pandangan mereka tertumpu kepadanya. Perkara ini boleh berlaku kerana orang yang mendengar azan disunatkan untuk melihat orang yang azan. Tidak syak lagi perkara ini boleh menimbulkan fitnah. Di samping itu, azan dianggap sebagai tugas dan syi‘âr yang hanya khusus bagi lelaki semata-mata.
Begitu juga sekiranya seorang perempuan meninggikan suaranya untuk azan di hadapan lelaki asing (ajnabi) yang bukan mahramnya, sekalipun ketika itu dia bersama mahramnya, maka haram hukumnya. Begitu juga haram jika perempuan itu meninggikan suaranya untuk azan di hadapan jemaah perempuan dengan adanya lelaki asing (ajnabi).
(iii) Adapun iqâmah pula adalah disunatkan bagi perempuan ketika sembahyang sendirian dalam kadar suara yang hanya dapat didengar oleh dirinya sahaja. Begitu juga seorang perempuan disunatkan melaungkan iqâmah dalam jemaah yang didirikan sesama perempuan sahaja dengan suara yang rendah iaitu dalam kadar suara yang hanya dapat didengar oleh sesama mereka.
Sebaliknya, sekiranya seorang perempuan iqâmah bagi lelaki atau khuntsâ, maka iqâmah tersebut tidak sah.
Secara ringkasnya, perempuan hanya boleh mendirikan iqâmah untuk dirinya sendiri dan dia juga boleh melaungkan iqâmah ke atas jemaah perempuan sahaja dengan suara yang rendah. Namun adalah ditegah seorang perempuan melaungkan iqâmah ke atas khuntsâ atau ke atas jemaah lelaki.
Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum-hakam dan permasalahan azan dan iqâmah bagi munfarid. Mudahan-mudahan penjelasan ini mampu menambahkan ilmu dan memantapkan amal kita terutama dalam perkara menunaikan dan memelihara tuntutan azan dan iqâmah yang merupakan keistimewaan khusus umat Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15259
دليل الألوان
