Bolehkah Berniat Taqarrub Ketika Melakukan Perkara Mubâh?
الجواب
Dalam Islam, niat merupakan satu perkara penting sebagai pembeza amalan seseorang, sama ada untuk ibadat, untuk mendapat ganjaran pahala atau untuk melaksanakan perbuatan semata-mata. Niat merupakan tempat tumpuan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pada diri hambaNya sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak melihat pada jasad kamu atau pada rupa paras kamu, melainkan yang dipandangNya adalah hati kamu – dan (Baginda) mengisyaratkan jari-jari Baginda ke arah dada. (Hadits riwayat Muslim)
Letak niat adalah di dalam hati kerana hakikat niat itu adalah maksud atau keinginan. Letak maksud atau keinginan itu adalah di dalam hati. Namun melafazkannya pula adalah sunat. Ini kerana pada hakikatnya akal, pengetahuan, kecenderungan, kebencian dan kepercayaan juga terletak di dalam hati. Yang demikian itu, niat dianggap salah satu daripada perbuatan (yang dilahirkan dari) hati.
Para ulama fiqh termasuk ulama Syafi‘iyyah menetapkan niat sebagai keutamaan sama ada ia menjadi rukun atau syarat sah dalam melaksanakan satu-satu ibadat. Dalam perbuatan-perbuatan mubâh pula, niat tidaklah disyaratkan seperti makan, minum, tidur dan yang seumpamanya. Akan tetapi, persoalannya adakah boleh seseorang itu berniat taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) ketika melakukan perbuatan-perbuatan mubâh?
Pengertian Niat
Banyak ta‘rîf diberikan berkaitan niat. Namun daripada ta‘rîf yang diberikan itu ia tetap memberi makna: Tujuan, maksud atau keinginan. Menurut para ulama, niat itu adalah ketetapan hati untuk menghasilkan satu perbuatan secara sungguh-sungguh.
Para ulama Syafi‘iyyah menta‘rîfkan niat sebagai memaksudkan sesuatu seiring dengan perbuatannya.
Di dalam kitab al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah disebutkan bahawa niat ada dua jenis, iaitu:
1. Niat at-taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ), iaitu niat yang digandingkan dengan perbuatan. Orang yang berniat taqarrub ini hendaklah berlaku ikhlas semata-mata kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Contohnya seseorang memberi makanan kepada jirannya dengan tujuan bersedekah.
2. Niat at-tamyîz (membezakan), iaitu niat yang menentukan maksud lafaz atau perbuatan yang boleh membawa banyak maksud; membezakan antara adat (kebiasaan) dan ibadat. Contohnya seseorang duduk di masjid berniat sama ada dia duduk untuk berehat atau untuk beri‘tikâf. Membezakan antara satu ibadat dengan ibadat yang selainnya, contohnya seseorang hendak melakukan sembahyang berniat sama ada hendak melakukan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat.
Bolehkah Berniat Taqarrub Ketika Melakukan Perkara Mubâh?
Imam al-Ghazali Rahimahullâh menjelaskan bahawa amalan yang berhubung dengan niat itu terbahagi kepada tiga bahagian; maksiat, amal taat dan mubâh.
i. Amal maksiat.
Amal maksiat tidak boleh berubah kedudukannya daripada amal maksiat kepada amal taat dengan hanya menambah niat melakukan ketaatan semata-mata. Contohnya, seseorang mencuri untuk niat bersedekah kepada orang lain dari hasil curian atau seseorang hendak membina masjid dengan wang haram.
ii. Amal taat.
Amal taat itu berkaitan dengan niat dalam syarat sahnya dan dalam berlipat ganda pahalanya. Asas amalan yang sah itu, hendaklah seseorang itu meniatkan melakukan amal semata-mata sebagai ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, tidak menyimpang kepada yang selainNya. Sekiranya perbuatan taat itu disertai dengan niat untuk riya’, maka ia berubah menjadi perkara maksiat.
Dalam hal pahala berlipat ganda pula, ia terhasil dengan memperbanyakkan niat ketika melakukan amal tersebut. Setiap satu niat, maka ganjarannya adalah dengan satu pahala yang berasingan. Sebagai contoh beri‘tikâf di masjid. i‘tikâf adalah amal ketaatan. Ketika seseorang beri‘tikâf di dalam masjid, dia boleh memperbanyakkan atau mempelbagaikan niatnya di samping niat untuk beri‘tikâf sehingga dengan itu pahalanya menjadi berlipat ganda hanya dengan satu perbuatan iaitu beriktikaf. Antara perkara yang boleh diniatkannya:
a. Beri‘tiqâd bahawa masjid adalah rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sesiapa yang masuk ke dalamnya adalah sebagai tetamu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
b. Berniat menunggu satu sembahyang sehingga masuk sembahyang yang lain dan ini jelas semua masanya tertumpu dalam melaksanakan sembahyang secara berterusan.
c. Berniat memusatkan segala perhatian kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan memfokus jiwanya untuk memikirkan hanya pada urusan-urusan akhirat semata-mata serta menolak segala gangguan yang boleh memesong perhatian daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
d. Berniat melapangkan masa untuk berzikir kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau untuk mendengar nasihat-nasihat untuk mengingat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
e. Berniat untuk meninggalkan maksiat kerana malu kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan malu untuk melakukannya di dalam rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Demikianlah contoh bagaimana cara memperbanyakkan atau mempelbagaikan niat untuk mencapai pahala berlipat ganda.
iii. Amal Mubâh.
Seseorang tidak perlu berniat untuk melakukan perkara mubâh (yang diharuskan) seperti makan, minum, memakai pakaian dan yang seumpamanya. Namun jika perbuatan itu disertai dengan niat, maka ia akan dinilai sesuai dengan niatnya itu.
Setiap amal mubâh boleh disertai dengan niat sama ada satu niat atau banyak, untuk menjadikan amal itu suatu amal qurbah (amal yang mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala). Seseorang akan mendapat pahala jika perbuatan mubâh dilakukannya dengan disertai niat mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Contohnya, seseorang makan dengan niat untuk memberinya kekuatan beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka perbuatan makannya itu adalah satu ketaatan dan baginya pahala untuk itu.
Contoh yang lain pula, seseorang memakai haruman adalah mubâh (harus) apabila dia hendak meni‘mati wangi minyak harum atau untuk menimbulkan kegembiraan di hati dengan memakai minyak harum. Namun jika dia meniatkan dengan niat-niat hasanah (kebaikan), maka dia mendapat pahala dengan niat-niat qurbah itu seperti meniatkan untuk mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang memakai haruman pada hari Jumaat dan meniatkan untuk mengagungkan rumah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana memasukinya (adalah lebih baik) dengan bau yang menyenangkan. Begitu juga jika diniatkannya untuk memberi kewangian kepada orang-orang di sekelilingnya sehingga mereka suka dengan kewangian tersebut.
Sebahagian para ulama salaf berkata: “Aku gemar menyertakan niat baik pada setiap sesuatu sehingga dalam makanku, minumku, tidurku serta ketika masukku ke dalam bilik air.
Semua perbuatan mubâh boleh disertakan dengan niat taqarrub iaitu niat mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Oleh itu, sesiapa makan dengan meniatkan demi menguatkan badan untuk beribadat atau menggauli isteri dengan meniatkan untuk memelihara agamanya atau untuk menyenangkan hati isterinya atau untuk mendapat anak salih yang meneruskan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sesudah dirinya, maka dia melakukan ketaatan kerana makannya atau kerana nikahnya (persetubuhannya itu). Dengan itu dia mendapat pahala kerana niat tersebut.
Pemurahnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap hamba-hambaNya sehinggakan manusia boleh sahaja mendapat pahala dengan perbuatan yang biasa-biasa dilakukan sehari-hari. Pahala bagi perbuatan-perbuatan mubâh ini boleh kita dapat dengan berniat mendekatkan diri kepadaNya ketika melakukan perbuatan tersebut.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15292
دليل الألوان
