Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية٠ مشاهدة

Jangan Sekali-Kali Ambil Mudah Kewajipan Membayar Hutang!

الجواب

Perbuatan menzalimi hak sesama manusia merupakan satu perbuatan tercela yang sangat ditegah oleh syara‘. Seorang Muslim yang meyakini hari pembalasan semestinya berusaha menjauhi perbuatan seumpama itu kerana mengharapkan kesudahan yang baik di akhirat kelak. Pastinya dia mahu menemui Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam keadaan suci bersih, bebas daripada segala tuntutan yang belum selesai terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mahupun daripada tuntutan hak hamba-hambaNya.

Terdapat perbezaan jelas di antara tuntutan hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan tuntutan hak sesama manusia. Hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ boleh ditunaikan dengan mengerjakan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga maha Pengasih dan Penyayang di mana segala dosa, melainkan syirik, boleh diampunkanNya dengan cara bertaubat.

Berlainan halnya dengan tuntutan hak sesama manusia. Ini kerana hak tuntutan sesama manusia hanya dapat diselesaikan sesama mereka. Tambahan pula, manusia berbeza sifat di antara satu dengan yang lain, ada yang pemaaf dan ada pula yang sebaliknya. Mungkin dia boleh bermanis muka serta bergaul mesra dengan kita, padahal dalam hatinya masih bersarang api kemarahan, rasa benci dan sakit hati.

Bahana dan Bahayanya Cuai Membayar Hutang

Salah satu perkara yang dianggap sebagai kezaliman terhadap hak sesama manusia ialah perbuatan mengambil mudah dan memandang ringan kewajipan membayar hutang. Sama ada dia melengahkan membayar hutang sedangkan dia mampu membayarnya atau dia langsung tidak berusaha serta langsung tidak ada keinginan untuk melunaskan hutangnya itu. Kezaliman seumpama ini merupakan salah satu perkara yang menjejaskan keharmonian hidup berukhuwwah kerana ia merupakan antara punca utama berlakunya perseteruan termasuklah sesama rakan baik, saudara terdekat, bahkan sesama ahli keluarga sendiri.

Perbuatan mengambil mudah dan memandang ringan kewajipan membayar hutang bukan sahaja akan menyusahkan penghutang itu di dunia, bahkan akan mengheretnya kepada kesusahan yang tidak terperi di akhirat kelak sekiranya dia mati sebelum sempat melunaskan hutangnya. Antara bahaya dan kecaman terhadap orang yang mengambil mudah dan memandang ringan kewajipan membayar hutang itu ialah:

(i) Dosanya tidak akan diampunkan.

Orang yang mengabaikan kewajipan membayar hutang sedangkan dia mampu melunaskannya merupakan satu dosa yang tidak akan diampunkan walau bagaimana salih dan wara‘ sekalipun orang yang berhutang itu. Sehinggakan orang yang mati syahîd kerana berjihâd di jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang dijanjikan pengampunan dan ganjaran syurga pun tidak akan dapat melepaskannya daripada dosa menanggung hutang. Ini kerana urusan hutang bersangkut dengan hak sesama anak Adam.

Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdiri di hadapan para sahabat Baginda, lalu Baginda menyatakan bahawa sesungguhnya jihâd di jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan beriman denganNya adalah sebaik-baik amalan. Kemudian seorang sahabat bangkit lalu bertanya:

Maksudnya: Wahai Rasulullah! Adakah Tuan berpendapat bahawa jika aku terbunuh dalam jihâd pada jalan Allah, dosa-dosaku akan terhapus? Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda kepadanya: “Ya, (dosa-dosamu akan terhapus) sekiranya kamu terbunuh dalam jihâd pada jalan Allah dan kamu bersabar, ikhlas mengharapkan pahala, maju menghadapi musuh dan tidak lari berpaling dari medan jihâd.” Setelah itu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertanya sekali lagi: “Apa yang kamu katakan tadi?” Lalu sahabat itu tadi pun mengulangi pertanyaannya: “Adakah Tuan berpendapat bahawa jika aku terbunuh dalam jihâd pada jalan Allah dosa-dosaku akan terhapus?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun menjawab, “Ya, (dosa-dosamu akan terhapus) sekiranya kamu terbunuh dalam jihâd pada jalan Allah dan kamu bersabar, ikhlas mengharapkan pahala, maju menghadapi musuh dan tidak lari berpaling dari medan jihâd, kecuali (dosa mencuaikan membayar) hutang. Sesungguhnya Jibril menyatakan sedemikian kepadaku.” (Hadits riwayat Muslim) Dalam satu lagi riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Diampunkan bagi orang yang mati syahîd semua dosa, kecuali (dosa mencuaikan membayar) hutang. (Hadits riwayat Muslim)

(ii) Risiko menjadi ahli neraka kerana hilang amal kebajikan dan dibebankan tanggungan dosa

Seseorang yang mati sebelum dia sempat melunaskan hutangnya akan berhadapan dimasukkan ke dalam api neraka. Ini kerana sebagai ganti hutangnya itu, segala kebajikan yang dilakukannya akan diberikan kepada pemiutang dan jika belum mencukupi pula, segala dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh pemiutang itu akan dipindahkan kepada penghutang tersebut. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang ada berlaku zalim terhadap saudaranya (yang berupa kezaliman terhadap) kehormatan atau sesuatu (apapun), maka hendaklah dia membebaskan diri daripadanya di dunia sebelum datang hari di mana tidak ada dinar dan tidak ada dirham (Hari Kiamat). (Pada Hari Kiamat itu) seandainya dia memiliki amal salih maka akan diambil daripadanya (untuk diberikan kepada pemilik hak) menurut kadar kezaliman yang dilakukannya. Dan sekiranya dia tidak memiliki kebajikan, maka akan diambil pula keburukan si pemilik hak dan dibebankan tanggungjawabnya kepadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Maksud hadits ini ialah sesiapa sahaja yang ada berlaku zalim kepada seseorang dalam apa perkara sekalipun, sama ada kezaliman terhadap tubuh badan, harta benda dan sebagainya, maka hendaklah dia segera menebus dirinya daripada segala kezaliman yang telah dilakukannya itu.

Iaitu dengan cara menunaikan hak tersebut sesegeranya kepada pihak yang dizalimi dengan membayar hutang, mengembalikan sesuatu yang diambil, menuntut kemaafan dan sebagainya.

Jika ini tidak dilaksanakan di dunia, maka pada Hari Akhirat kelak, amal kebajikannya di dunia akan diberikan kepada orang yang dizaliminya bagi menampung dan mengimbangi nilai kezalimannya itu. Jika tidak ada amal kebajikannya, maka keburukan orang yang dizalimi itu pula akan ditanggung oleh orang yang berlaku zalim itu menurut kadar kezalimannya.

(iii) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam Enggan menyembahyangkan jenazah orang yang mati menanggung hutang.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diriwayatkan pernah menolak untuk menyembahyangkan jenazah orang mati yang masih menanggung hutang sehingga dilunaskan hutangnya terlebih dahulu ataupun ditanggung hutangnya itu oleh orang lain.

Jenazah yang disembahyangkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan dido‘akan oleh Baginda pastinya beroleh kelebihan kerana sembahyang dan do‘a Baginda merupakan satu syafaat yang besar bagi diri orang yang disembahyangkan. Sungguhpun begitu, dalam hal orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang, Baginda enggan menyembahyangkannya. Ini kerana hutang bersangkut dengan hak sesama anak Adam yang tidak dapat diselesaikan atau dimaafkan dengan cara taubat atau memohon pengampunan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Kisah ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Seorang lelaki telah meninggal dunia, lalu kami pun memandikannya, memberikannya wangian dan mengkafaninya. Kemudian kami membawanya mendatangi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam supaya Baginda menyembahyangkannya. Lalu kami mengatakan: “Tolong Tuan sembahyangkan atasnya (jenazah ini).” Maka Baginda melangkah mendekatinya lalu bersabda: “Adakah dia ini masih mempunyai hutang?” Kami menjawab, “(Ya ada), sebanyak dua dinar.” Baginda kemudian beredar (tanpa menyembahyangkannya). Abu Qatadah kemudian bersetuju untuk menanggung hutang dua dinar itu lalu kami pun mendatanginya. Abu Qatadah pun berkata, “Hutangnya dua dinar itu menjadi tanggunganku.” Lantas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun bersabda: “Adakah (hutang si mati itu) menjadi tanggunganmu dan si mati ini bebas daripada hutangnya itu?” Dia (Abu Qatadah) menjawab: “Ya.” Setelah itu Baginda pun menyembahyangkannya. Pada keesokan harinya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertanya: “Bagaimana hal dua dinar itu?” Maka dia (Abu Qatadah) menjawab: “(Belum lagi), bukankah dia baru sahaja meninggal dunia kelmarin?” Pada keesokan harinya (Abu Qatadah) kembali semula kepada Baginda dan berkata: “Aku telah melunaskannya.”

Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun bersabda: “Sekarang engkau telah membuat kulitnya merasa dingin.” (Hadits riwayat Ahmad)

Kita renung dan perhatikan hadits ini. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukan bertanya tentang banyak atau sedikitnya amal ibadat si mati, akan tetapi Baginda bertanya adakah si mati memiliki hutang terhadap orang lain. Ini jelas menunjukkan betapa Baginda sangat risau dan prihatin akan perkara hutang ini. Hutang berhubung kait dengan hak sesama anak Adam dan perlu diselesaikan di antara kedua-dua pihak penghutang dan pemiutang. Taubat, do‘a dan sebagainya tidak akan memainkan apa-apa peranan terhadap dosa menzalimi hak sesama anak Adam.

Perhatikan juga bagaimana Abu Qatadah yang telah berkesudian untuk menanggung hutang si mati itu tetap sahaja diperingatkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam supaya segera melunaskan hutang si mati. Ini menunjukkan bahawa jaminan Abu Qatadah untuk menanggung hutang si mati sebenarnya belum mencukupi untuk menyelamatkan si mati itu daripada kesusahan kubur. Bahkan si mati hanya terlepas daripada kesusahan kubur setelah Abu Qatadah sempurna menyelesaikan tanggungan si mati itu.

Adapun keengganan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk menyembahyangkan jenazah orang yang mati dalam keadaan menanggung hutang bukanlah bermaksud haram disembahyangkan jenazahnya. Akan tetapi, menurut ulama, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berbuat demikian sebagai amaran supaya tidak menzalimi hak sesama manusia dengan melengah-lengahkan membayar hutang. Perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu juga bertujuan bagi menganjurkan para sahabat supaya segera melunaskan hutang semasa masih hidup supaya sesudah mati nanti Baginda tidak menolak untuk menyembahyangkan jenazah mereka.

(iv) Sentiasa Hidup Dalam Kehinaan Dan Keresahan.

Tanggungan hutang menimbulkan rasa kehinaan dan keresahan sepanjang hari. Seorang yang beriman dan bertanggungjawab pastinya tidak mampu menjalani hidup dengan tenteram apatah lagi apabila terfikir seandainya dia mati sebelum terlunas segala hutang piutangnya. Pastinya dia merasa risau memikirkan bagaimanakah nasibnya nanti di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang ilmu dan pengadilanNya meliputi setiap sesuatu.

Bebanan hutang menjadikan dunia terasa sempit. Rasa malu terhadap pemiutang akan menjadikan dirinya terasa sangat kerdil dan hina. Perasaan ini adakalanya mendorong dia supaya mengelak daripada bertembung dengan pemiutang kerana malu, takut dan kurang selesa berhadapan dengan pemiutang.

Berdosakah Melengahkan Membayar Hutang Setelah Mampu?

Orang yang berhutang, jika dia belum mampu untuk membayar hutangnya, dia tidak berdosa. Akan tetapi, sebagai adab serta menjaga hubungan baik bersama pemiutang yang telah berkesudian membantunya atas dasar ihsan, simpati dan persaudaraan, wajarlah dijelaskan dengan elok dari masa ke semasa supaya pemiutang tidak tertunggu-tunggu dan tidak membangkitkan kemarahannya.

Walau bagaimanapun, sekiranya orang itu sudah mampu dan dalam keadaaan senang, maka hendaklah dia melunaskan hutangnya sesegera mungkin.

Bagaimana pula keadaannya sekiranya orang yang sudah mampu dan dalam keadaaan senang itu masih juga melengahkan daripada membayar hutangnya? Para ulama membezakan dalam keadaan ini sama ada pemiutang ada menuntut hutang tersebut ataupun belum.

Sekiranya pemiutang sudah menuntut ataupun waktu tempoh pembayaran yang disepakati antara kedua-duanya sudah tiba, maka dengan sendirinya penghutang yang mampu membayar itu wajib membayar sesegera mungkin.

Berkenaan hal ini Imam asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan wajib bagi yang diluaskan rezekinya (dalam keadaan senang) untuk melunasi segera (hutangnya) sesuai dengan kemampuan jika diminta (oleh pemiutang), berdasarkan sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

“Penundaan pembayaraan hutang oleh seorang yang mampu (tanpa apa-apa keuzuran) adalah satu kezaliman”. Ini karena tidak dikatakan “dia menundanya” kecuali setelah dia (pemiutang) menuntutnya, lalu si penghutang menolaknya (tidak mahu melunaskan hutangnya) … Adapun sebelum berlaku tuntutan (hutang), maka pelunasan (segera) belum wajib …

Jelas di sini bahawa orang yang mampu melunaskan hutangnya, lalu dia menunda-nundanya sedangkan pemiutang sudah melakukan tuntutan, maka yang demikian itu dianggap satu kezaliman dan satu perbuatan haram yang mendatangkan dosa.

Selain mendatangkan dosa, pelakunya juga dihukumkan fâsiq sepertimana pendapat jumhûr. Ini kerana perbuatan tidak memberikan hak seseorang setelah dituntut dinilai sebagai berbuat zalim dan menyerupai perbuatan merampas yang dianggap sebagai kabîrah (dosa besar).

Sekiranya belum dituntut pula, maka berdasarkan kata-kata Imam asy-Syarbini Rahimahullâh tadi, penghutang tidak berdosa sekiranya dia belum membayar dengan segera. Ini kerana menurutnya, kezaliman itu hanya dinilai berlaku setelah tuannya menuntut hutang tersebut.

Imam Ibnu Hajar as-‘Asqalani Rahimahullâh dalam Fath al-Bâri juga menyatakan bahawa sekiranya belum dituntut, maka penghutang itu tidak dihukumkan fâsiq dan belum dinilai sebagai berlaku zalim.

Sebahagian ulama pula, antaranya Imam Ahmad ad-Dardir Rahimahullâh, seorang ulama besar mazhab al-Maliki, berpendapat bahawa sekiranya penghutang yang sudah mampu membayar dan dalam keadaaan senang itu masih juga melengahkan daripada membayar hutangnya tanpa sebarang uzur syar‘i, maka dia dinilai sebagai zalim dan menanggung dosa walaupun tuannya belum melakukan tuntutan. Ini kerana, mungkin tuannya itu belum menuntut kerana malu atau takut untuk menuntut hutangnya. Menurutnya, malu atau takut untuk menuntut ini sama keadaannya dengan ‘menuntut’.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, maka sewajarnyalah orang yang berhutang segera melunaskan hutangnya sekalipun belum dituntut. Walaupun sebahagian ulama berpendapat bahawa hutang belum wajib dilunaskan sekiranya belum dituntut, akan tetapi perlu juga diambil kira pendapat yang mewajibkan melunaskan hutang bagi yang sudah mampu walaupun belum dituntut. Ini sebagai jalan keluar daripada khilâf ulama.

Tambahan lagi, perbuatan melengahkan hutang sesudah mampu itu, walaupun belum dituntut oleh pemiutang merupakan perbuatan yang tidak mengenang budi pemiutang yang sanggup mengeluarkan hartanya untuk membantu meringankan beban dan kesusahan yang dihadapi penghutang. Sewajarnya perbuatan mulia si pemiutang itu sekurang-kurangnya dibalas dengan menjaga dan menghormati haknya sebagai seorang manusia yang telah berbuat baik kepadanya.

Adapun orang kaya yang tidak mampu membayar hutangnya kerana hartanya hilang atau atas sebab lain, maka dia boleh menunda membayar hutangnya sehingga dia mampu. Dalam keadaan ini, dia tidak dinilai sebagai berlaku zalim dan tidak dinilai berdosa ataupun fâsiq.

Begitu juga orang yang tidak mampu membayar hutangnya. Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, dia tidak dikira melakukan kezaliman.

Kenapa Terhimpit dengan Tanggungan Hutang?

Banyak perkara yang boleh menjadi penyebab kenapa seseorang itu dilimpahi tanggungan hutang sehingga akhirnya dia sendiri tidak mampu membayarnya atau keberatan melunaskannya walaupun sebenarnya dia mempunyai kemampuan. Antaranya:

(i) Kurang iman, kurang pengetahuan agama dan kurang taat mengikut syariat.

(ii) Terlalu terikut-ikut dengan trend semasa.

(iii) Terlalu banyak berhutang walaupun untuk perkara-perkara yang tidak penting dan tidak diperlukan.

(iv) Berhutang bagi tujuan bermewah-mewah atau suka menunjukkan kemewahan.

(v) Suka melengah-lengahkan membayar hutang sedangkan dia sudah mampu melunaskannya.

(vi) Hutang yang bertindih-tindih sedangkan hutang-hutang yang sebelumnya belum lagi selesai dilunaskan.

(vii) Berhutang dalam kadar yang dia sendiri tidak yakin akan mampu melunaskannya kembali.

(viii) Berhutang untuk perkara-perkara haram dan tertegah.

(ix) Kurang bijak dalam mengatur perbelanjaan serta kurang bijak menilai yang mana lebih utama.

Adab-Adab Supaya Dipermudahkan Melunaskan Hutang Serta Tidak Terhimpit dengan Tanggungan Hutang

(i) Hendaklah berhutang dengan niat yang baik berserta iringan azam untuk melunaskannya sesegera mungkin.

Orang yang memiliki azam untuk melunaskan hutangnya ketika berhutang lalu dia tidak mampu melunaskannya tidak dikeji syara‘. Bahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sendiri menjamin untuk melunaskan hutangnya. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang mengambil harta manusia dengan niat untuk mengembalikannya, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan membantunya untuk melunaskannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Maksud hadits di atas ialah barang siapa yang mengambil harta manusia dengan apa-apa cara muamalat yang dibenarkan syara‘, seperti dengan cara berhutang dan sebagainya dengan niat dan azam untuk membayar atau melunaskannya kembali, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menolongnya dengan meluaskan rezekinya di dunia supaya dia dapat melunaskan hutangnya itu.

Sekiranya orang yang ada niat untuk melunaskan hutang itu tidak sempat melunaskan hutangnya di dunia kerana belum dikurniakan kemampuan, atau dia meninggal sebelum sempat melunaskan hutangnya maka kebajikannya tidak akan diberikan kepada pemiutang dan keburukan pemiutang juga tidak akan dipertanggungkan kepadanya. Ini kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sendiri akan menjamin hutangnya itu di akhirat kelak.

Di sini jelas pentingnya niat yang baik ketika berhutang dan peranannya yang besar dalam menentukan buruk baik sesuatu perbuatan.

(ii) Azam tidak memadai tanpa usaha. Maka dari itu, penghutang mestilah sentiasa berusaha untuk melunaskan hutang dengan segera serta tidak berhenti berdo‘a memohon pertolongan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Salah satu amalan yang diajarkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ke atas mereka yang menanggung beban hutang ialah dengan membaca do‘a yang telah Baginda ajarkan kepada Sayyidina ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu iaitu:

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezekiMu yang halal agar aku terhindar dari apa yang Engkau haramkan dan kayakanlah aku dengan kurnia keni‘matanMu sehingga aku tidak meminta kepada selain Engkau. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)

Dengan mengamalkan do‘a di atas, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan membantu dia melunaskan hutangnya itu walau sebanyak manapun hutangnya itu dengan izin Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

(iii) Hanya berhutang sekiranya benar-benar terpaksa bagi keperluan perkara yang penting dan tidak dapat dielakkan.

(iv) Mengelakkan menambah hutang sebelum terlunas hutang yang terdahulu.

(v) Sekiranya telah tiba tempoh pembayaran yang disepakati, lalu penghutang belum mampu melunaskan hutangnya, maka hendaklah penghutang itu berbincang dengan elok untuk meminta tangguh.

(vi) Memberi maklumat kepada pemiutang dari semasa ke semasa dan memberi maklum balas dan tidak mengelak apabila dihubungi, tidak melarikan diri dan sentiasa berlaku baik kepada pemiutang. Jangan pula disebabkan belum mampu membayar hutang, si pemiutang dilayan sebagai orang asing atau musuh.

Apa yang menyedihkan, banyak berlaku sipemiutang pula yang terpaksa berusaha berhempas pulas, tabubut-bubut (terkejar-kejar) menagih hak milik mereka. Sedangkan penghutang bersembunyi, tidak dapat dihubungi atau acuh tidak acuh sahaja. Ini satu akhlak yang sangat buruk.

(vii) Mengelak bersenang-lenang sebelum selesai melunaskan hutang. Jangan pula penghutang itu mudah mengeluarkan belanja untuk melancong dan membeli-belah tetapi berat menjelaskan pembayaran hutang. Ini boleh membuatkan pemiutang berasa tidak puas hati dan boleh menyebabkan pertengkaran dan perselisihan di antara penghutang dan pemiutang.

(viii) Merancang perbelanjaan dengan teliti dengan mengutamakan keperluan-keperluan utama dan meninggalkan keinginan-keinginan yang tidak penting. Iaitu dengan mengamalkan hidup sederhana serta berbelanja dengan berhikmah. Jangan terlalu boros dan jangan pula terlalu kedekut sehinggakan makan minum diri dan keluarga pun dibataskan secara tidak munasabah. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil) dan janganlah (pula) engkau menghulurkannya sehabis-habisnya (boros) kerana akibatnya engkau akan jadi tercela dan menyesal. (Surah al-Isrâ’: 29)

(ix) Menanamkan sifat qanâ‘ah (merasa cukup dengan nikmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) dan redha dengan ketentuan rezeki yang telah dikurniakan olehNya.

Setiap manusia berbeza kedudukan dalam pembahagian ini menurut ilmu dan kehendak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam surah al-Isrâ’, ayat 30:

Tafsirnya: Sesungguhnya Tuhanmu meluaskan pemberian rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyempitkannya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Teliti lagi Maha Melihat hamba-hambaNya. (Surah al-Isrâ’: 30)

Dengan menanamkan kedua-dua sifat ini, seseorang itu akan lebih mudah merasa cukup dengan apa yang ada pada dirinya tanpa membanding-bandingkan dengan ketentuan nasib orang lain. Ini juga memandunya supaya tidak tertarik kepada perkara-perkara yang pada hakikatnya tidak perlu dan di luar daripada kemampuannya.

‘Ubaidullah bin Mihsan al-Khathmi Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa di antara kamu yang memasuki waktu pagi hari dalam keadaan aman pada diri dan keluarganya, sihat tubuh badannya dan dia memiliki makanan asas yang mencukupi pada hari tersebut, maka dia seolah-olah telah diberi dunia seisinya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Sebenarnya, perbuatan berhutang adalah harus jika ada hajat dan keperluan. Perbuatan berhutang, jika dilakukan berdasarkan adab, akhlak serta garis pandu yang ditentukan, ia sekali-kali tidak dikeji syara‘ dan tidak sekali-kali merendahkan maruah dan martabat seseorang. Sedangkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri juga pernah berhutang.

Satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah tanggungan hutang tidak akan terlepas daripada seseorang walaupun dia sudah meninggal dunia. Perlu diingat bahawa mati itu boleh terjadi bila-bila masa sahaja. Dari itu, perbuatan melengahkan atau menangguhkan membayar hutang sedangkan dia mampu membayarnya adalah satu perbuatan yang sangat buruk dan sangat berisiko. Mungkin dia licik dan boleh melarikan diri daripada pemiutang di dunia, akan tetapi dia sekali-kali tidak akan dapat melarikan diri daripada pengadilan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15305

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص