Jangan Sekali-Kali Mencuaikan Pembayaran Upah Pekerja
الجواب
Bekerja adalah kekuatan utama untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia dan senjata utama untuk memerangi kemiskinan. Islam menyeru penganutnya supaya bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki bagi memenuhi kelangsungan hidupnya dan keluarganya serta memperoleh harta yang dapat dimanfaatkannya bagi keperluan orang lain melalui jalan-jalan yang betul seperti berwaqaf, bersedekah, qardh hasan (pinjaman tanpa faedah) atau memberi pekerjaan kepada orang lain bagi membantu ekonomi mereka.
Pemilikan harta sebenar adalah berdasarkan kepada kerja yang diusahakan, bukan berpeluk tubuh atau meminta-minta. Usaha memperoleh harta itu boleh sahaja dilakukan dengan bekerja sendiri seperti membuka perniagaan atau mengusaha ternakan atau bercucuk tanam ataupun boleh sahaja bekerja untuk orang lain dengan menerima upah atau gaji.
Menyentuh mengenai pekerjaan yang diupahkan atau digajikan, maka wujud hubungan kerja antara orang yang diupah iaitu pekerja dan orang yang membayar upahnya iaitu majikan sebaik-baik sahaja persetujuan dibuat di antara kedua-dua belah pihak. Dalam Islam, pekerja dan majikan perlu berkerjasama dalam memastikan satu-satu pekerjaan itu terlaksana dengan lancar dan efisien. Kedua-duanya saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Kedua-duanya mempunyai tanggungjawab dalam menunaikan hak-hak antara satu dengan yang lain.
Seorang pekerja bertanggungjawab terhadap tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh pihak majikan. Tugasan itu pula mesti dilaksanakan dengan komitmen dan kegigihan yang tinggi. Hasil yang diperolehi daripada pekerjaan yang dilakukannya dari usahanya sendiri itulah merupakan sumber utama baginya menampung keperluan diri dan keluarga. Diriwayatkan daripada Miqdam Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak seseorang itu memakan makanan yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Allah Daud ‘Alaihissalâm memakan (makanan) daripada hasil usaha tangannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Manakala di pihak majikan pula bertanggungjawab menunaikan hak-hak pekerja dengan memberi perlindungan dan menjaga kebajikan para pekerja. Kebajikan pekerja perlu sentiasa dititikberatkan terutama dalam pembayaran upah atau gaji pekerja. Adalah menjadi kewajipan kepada majikan untuk membayarnya sebagaimana dalam akad yang disepakati oleh kedua-dua belah pihak. Jika upah dijanjikan apabila kerja sempurna, maka hendaklah majikan membayar apabila pekerja sempurna melaksanakan pekerjaannya. Jika upah dijanjikan untuk diberi mengikut waktu seperti diberikan setiap bulan, maka hendaklah dilunaskannya mengikut waktu yang ditetapkan setiap bulan.
Pengertian Upah dari Perspektif Islam
Islam memberikan perhatian utama terhadap kepentingan upah kerana fungsinya yang besar dalam menentukan keseimbangan sosio-ekonomi sesebuah masyarakat. Manusia sememangnya memerlukan sumber kewangan bagi memenuhi keperluan asasi mereka dan keluarga mereka. Upah pula merupakan sebilangan sumber kewangan bagi memenuhi keperluan mereka itu.
Upah dalam bahasa Arab disebut sebagai ujrah (أجرة). Dari segi bahasa, upah bermaksud ganjaran atau balasan atas sesuatu pekerjaan. Dari segi istilah pula, ujrah bermaksud gantian/imbalan dalam akad sewa/upah. Dalam ilmu fiqh, ujrah merupakan salah satu antara rukun ijârah [إجارة] (sewa/upah).
Secara umum, pengertian upah sering disamakan dengan gaji. Dalam Kamus Dewan, upah ialah wang dan lain-lain yang diberikan kepada orang yang disuruh mengerjakan sesuatu, bayaran sebagai pembalas jasa atau ganjaran untuk tenaga orang yang telah digunakan. Manakala gaji pula ialah upah yang tetap atau bayaran yang tetap untuk pekerjaan. Setelah melihat definisi di atas, maka dapat disimpulkan bahawa upah dan gaji adalah perkara yang sama dari segi pembayaran perkhidmatan dan pekerjaan, hanya berbeza dari segi ketetapan pembayaran kedua-duanya. Pembayaran upah adalah berdasarkan kerja atau tugas yang dihasilkan. Manakala pembayaran gaji pula adalah tetap, di mana seseorang itu akan menerima sejumlah gaji yang sama setiap bulan bagi satu-satu jawatan yang dipegangnya. Kedua-dua bentuk pembayaran ini ada disebut dalam bab ijarah (sewa/upah) dalam kitab fiqh.
Disebutkan dalam perkara ijârah (sewa/upah), pembayaran upah bagi tenaga dan perkhidmatan sah dilakukan dengan mata wang atau bentuk barangan seperti baju, kitab, barang makanan dan sebagainya. Pembayaran upah dalam bentuk wang atau selainnya ini adalah berdasarkan kepada penetapan yang telah dipersetujui antara majikan dan pekerja. Walau bagaimanapun rata-rata pada zaman ini, pembayaran upah khidmat atau gaji pekerja dibayar dalam bentuk mata wang kerana kepentingannya lebih praktikal dalam memenuhi keperluan manusia.
Penetapan kadar upah pula biasanya bergantung pada kadar kebiasaan di sesuatu tempat, jenis pekerjaan, keadaan pekerjaan, hasil pekerjaan dan sebagainya. Semua ini mestilah jelas disebut dalam kontrak. Dalam syarat ujrah, hendaklah di antara kedua-dua pihak yang berakad tahu jenis upah, kadarnya dan sifatnya sebagaimana syarat makluman harga dalam perkara jual beli.
Hukum Mencuaikan Upah Pekerja
Dalam kontrak pekerjaan atau perkhidmatan yang dibuat di antara majikan dan pekerja, disebutkan mengenai skop kerja yang perlu dilaksanakan oleh pekerja dan sebagai imbalannya, majikan membayarnya sejumlah upah atau gaji. Jika pekerjaan atau tugasan itu dilakukan seperti yang disebut di dalam kontrak, maka tidak ada alasan bagi majikan untuk mencuaikan upah pekerja.
Mencuaikan upah pekerja membawa maksud majikan melambat-lambatkan pembayaran upah atau langsung sama sekali tidak membayar upah sebagaimana perjanjian. Tindakan ini adalah penganiayaan dan kezaliman terhadap pekerja dan hak-haknya. Oleh kerana itu ia termasuk antara dosa-dosa besar sebagaimana disebut dalam kitab az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir, karangan Ibnu Hajar al- Haitami Rahimahullâh.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Berikan seorang pekerja upahnya sebelum kering peluhnya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Disebut ‘kering peluhnya’ kerana upahnya itu adalah pekerjaan (yang dilakukan oleh tubuh badannya). Apabila manfaat pekerjaan itu segera diterima oleh seorang majikan, maka pekerja berhak menerima upah hasil usahanya itu dengan segera. Disebut ‘berikan seorang pekerja upahnya sebelum kering peluhnya’ adalah berupa perumpamaan tentang kewajipan menyegerakan pembayaran upah sebaik-baik sahaja kerja selesai apabila dituntut (oleh pekerja tersebut) walaupun dia tidak berpeluh (ketika melakukan pekerjaan) atau dia berpeluh dan peluhnya kering.
Imam al-Munawi Rahimahullâh dalam kitab beliau, Faidh al-Qadîr menjelaskan berdasarkan hadits di atas:
Ertinya: Maka haram melambat-lambatkannya (pembayaran upah) dan menangguhkannya sedangkan dia mampu (untuk membayarnya dengan segera).
Melambatkan atau menangguhkan pembayaran upah pekerja sehingga kadang-kadang sampai berminggu malahan berbulan, menyebabkan pekerja menghadapi masalah ekonomi yang bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan keluarganya, lebih-lebih lagi jika pekerja itu merupakan tulang belakang keluarga yang bertanggungjawab menyediakan keperluan asasi mereka. Bukankah ini satu penganiayaan?
Lain halnya lagi, jika majikan tidak membayar langsung upah pekerja sehinggakan ada yang tamat perkhidmatan namun jumlah upah yang dijanjikan tidak dilunaskan. Ini adalah satu penindasan dan perbuatan menindas orang lain ini sangat ditegah oleh Islam. Seseorang yang menahan orang yang diupah dari mendapatkan haknya (upahnya kerana melakukan pekerjaan), maka dia dianggap menzalimi orang yang diupah itu apabila dia menerima khidmatnya tanpa dibayar upah. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memusuhi golongan yang zalim ini. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh sahabat, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tiga orang, Aku menjadi musuh mereka pada Hari Kiamat: Seorang lelaki yang membuat perjanjian atas namaKu lalu dia memungkiri (perjanjian)nya, seorang lelaki yang menjual orang merdeka (bukan hamba sahaya) lalu dia memakan (hasil) harga jualannya dan seorang lelaki yang mengupah orang lain dan mengambil manfaat daripada orang tersebut lalu dia tidak membayar upahnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menjelaskan mengenai seorang lelaki yang mengupah orang lain dan mengambil manfaat daripada orang itu tetapi tidak membayar upahnya sama seperti dua orang yang disebut sebelumnya (seorang lelaki yang membuat perjanjian atas nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lalu dia memungkiri (perjanjian)nya dan seorang lelaki yang menjual orang merdeka (bukan hamba sahaya) lalu dia memakan (hasil) harga jualannya) yang dianggap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai musuhNya. Ini kerana orang yang mengupahkan itu menerima manfaat daripada orang yang diupahnya tanpa ada gantian atau imbalan, maka seolah-olah orang yang mengupah itu memakan hak orang yang diupahnya. Begitu juga dengan meminta khidmatnya tanpa diberi upah seolah-olah dia menghambakan orang yang berkhidmat itu.
Begitu juga dianggap penganiayaan bilamana upah seorang pekerja dibayar tetapi kurang dari jumlah yang dijanjikan dalam kontrak perkhidmatan melainkan ada sebab yang munasabah menurut kontrak bahawa upah itu dikurangkan. Perbuatan membayar upah bukan seperti jumlah yang dijanjikan dalam kontrak termasuk dalam kategori perbuatan tidak menepati janji. Tidak menepati janji juga termasuk antara dosa besar yang disebut dalam kitab az-Zawajir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir. Ini kerana menepati janji itu merupakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan sempurnakanlah janji yang kamu buat (sama ada dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan dipertanggungjawabkan (di Hari Kiamat). (Surah al-Isrâ’: 34)
Janji yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk disempurnakan dalam ayat di atas adalah perjanjian yang disepakati oleh mereka yang membuat kesepakatan dan kontrak-kontrak yang mereka bermuamalat atau berurusan dengannya. Perjanjian dan kontrak inilah yang akan dipersoalkan kepada pelakunya di hari pembalasan kelak.
Kesimpulannya, majikan berkewajipan menjaga hak-hak pekerja, antaranya ialah membayar upah atau gaji pekerja sebagaimana disebutkan dalam kontrak perkhidmatan. Pembayaran upah ataupun gaji pekerja tidak boleh dicuaikan oleh mana-mana pihak yang menggunakan khidmat orang lain dalam menjayakan perkhidmatan dan menghasilkan produksi sektor mereka. Ini kerana pembayaran upah dan gaji yang dilaksanakan secara efisien dan mencukupi keperluan pekerja dan keluarganya berperanan besar dalam mengatasi masalah sosio-ekonomi seperti mengurangkan jumlah kemiskinan atau perbuatan meminta-minta. Ini termasuklah apa-apa bentuk imbalan yang dijanjikan pihak majikan kepada pekerja dalam kontrak perkhidmatan seperti elaun, komisyen dan yang seumpamanya. Maka, adalah tidak wajar menangguh-nangguhkan pembayaran upah atau gaji mereka sehingga mengambil masa yang lama untuk mereka menerimanya atau langsung tidak dibayar. Rebutlah ganjaran pahala daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan membantu memudahkan urusan orang lain yang menjana pendapatan bagi kehidupan mereka.
Dalam pada itu, pekerja pula tidak boleh mengambil ringan akan tugasannya walaupun sekiranya upah atau gaji yang dibayar kepadanya tetap dan tidak bergantung pada hasil tugas. Dia juga berkewajipan menjaga hak-hak majikan, antaranya menyelesaikan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan tekun dan jujur, tidak sekali-kali cuai apa lagi berlaku khianat. Seorang pekerja bertanggungjawab terhadap apa-apa sahaja aktiviti yang berkaitan dengan pekerjaannya dan tidak boleh wujud salah laku seperti penyalahgunaan bekalan/kemudahan di tempat kerja, tidak jujur dan tidak amanah, melakukan kelakuan tidak bermoral di tempat kerja atau tidak patuh dan ingkar terhadap majikan. Raihlah keberkatan melalui upah pekerjaan yang dilakukan dengan amanah dan diniatkan kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15312
دليل الألوان
