Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية٠ مشاهدة

Tanggungjawab Dan Syarat-Syarat Penjamin Menurut Sistem Muamalat Islam

الجواب

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan manusia untuk sentiasa memelihara hak mereka dan tidak menghilangkannya atau tidak menyalahgunakannya pada perkara yang tidak bermanfaat. Atas dasar itulah, disyariatkan pengakuan penggunaan hak seseorang. Akad jaminan merupakan salah satu bentuk pengakuan yang disyariatkan untuk mengukuhkan pemeliharaan harta selain kesaksian dan gadaian.

Jaminan bertujuan untuk menjamin pertanggungjawaban dan melindungi jumlah pinjaman, sama ada kerana pinjaman tidak dapat dituntut atau ditagih daripada peminjam atau kerana kelalaian peminjam untuk membayarnya. Jaminan ini boleh dibuat dalam bentuk dokumen bertulis, pengesahan, jaminan peribadi, ikrar, cek dan nota janji membayar hutang.

Khusus dalam perkara pinjaman, pada kebiasaannya akad jaminan dijadikan salah satu syarat utama yang mesti dipenuhi bagi memudahkan rundingan antara peminjam dan pemberi pinjaman serta proses pinjaman. Jaminan itu diperlukan oleh peminjam bagi mengangkat bebanan dan kesempitan mereka dengan adanya pinjaman yang memerlukan akad jaminan sebelum pinjaman dibenarkan. Ia juga diperlukan oleh pemberi pinjaman untuk melindungi hak miliknya yang akan diserahkan kepada peminjam. Sebagai contoh, institusi kewangan yang memerlukan akad jaminan dalam pinjaman bagi melindungi aset mereka sekiranya peminjam tidak dapat membayar balik sebagaimana yang ditetapkan.

Melihat kepada perkara “pertanggungjawaban” dalam perkara jaminan, beberapa syarat telah digariskan oleh syara‘ dalam setiap rukun dalam perkara jaminan untuk memastikan akad jaminan terlaksana dengan sebaiknya. Antaranya syarat-syarat seseorang yang dibenarkan menjadi penjamin.

Jaminan dan Hukumnya Menurut Syara‘

Jaminan atau di dalam bahasa Arab disebut adh-dhamân (الضمان), menurut bahasa bererti tanggungan atau pertanggungjawaban. Manakala menurut syara‘ bermaksud mempertanggungjawabkan sesuatu hak yang tsabit dalam tanggungan pihak yang lain atau menghadirkan seseorang yang mempunyai kewajipan membayar hak tersebut atau mengembalikan harta benda yang menjadi barang jaminan.

Sebahagian besar ulama mazhab asy-Syafi‘i menggunakan istilah dhamân (ضمان) bagi jaminan harta, sama ada jaminan ke atas hutang atau barang. Mereka menggunakan istilah kafâlah (كفالة) pula bagi melindungi jiwa dan tubuh badan.

Berdasarkan definisi jaminan di atas, maka akad jaminan itu menghendaki pihak yang dinamakan sebagai penjamin untuk:

i. Bertanggungjawab terhadap hak yang ditanggung oleh orang lain; jika orang lain itu tidak menunaikan tanggungjawab menunaikannya.

ii. Bertanggungjawab membawa pihak yang berkewajipan dalam menunaikan sesuatu hak kepada tuan punya hak tersebut.

iii. Bertanggungjawab kepada seseorang untuk mengembalikan barang yang menjadi hak orang itu daripada pihak lain yang memegang barang tersebut.

Hukum jaminan pada asalnya adalah mubâh (dibolehkan) kerana orang yang memberi pinjaman contohnya, diberi pilihan sama ada memasukkan pengakuan penjamin ataupun tidak atau peminjam diberi pilihan untuk membayar sama ada secara tunai ataupun bertangguh.

Akan tetapi dengan adanya keperluan untuk adanya jaminan menunjukkan bahawa memberikan jaminan itu adalah digalakkan. Ia juga salah satu cara bagi mencapai maksud tolong-menolong sesama insan. Sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan manusia untuk tolong-menolong ke arah perkara kebaikan dan taqwa. Di dalamnya terdapat hikmah dalam menunaikan hajat atau keperluan orang lain, menutupi kesusahan orang yang meminjam serta menjaga hak orang yang memberi pinjaman. Demikianlah antara hikmah disyariatkan akad jaminan.

Syarat-syarat Penjamin

Rukun jaminan ada 5, iaitu: 1. Penjamin. 2. Pihak yang menerima jaminan/pihak yang menuntut hak. 3. Pihak yang dijamin. 4. Perkara/barang yang dijamin. 5. Shîghah.

Penjamin merupakan orang yang berkewajipan menunaikan hutang atau menyampaikan barang atau menghadirkan orang yang dijamin bagi orang yang menerima jaminan. Maka secara dasarnya mereka ini dianggap sebagai pemikul tanggungjawab. Oleh yang demikian, Islam menetapkan ke atas orang yang menjadi penjamin dengan syarat sebagaimana berikut:

i. Penjamin yang diterima pengakuannya.

Terkeluar daripada maksud di atas adalah golongan kanak-kanak kecil, orang gila, orang yang sedang tidur dan orang pengsan. Begitu juga tidak diterima pengakuan orang yang menderita delirium (gangguan mental serius) kerana lemah fikirannya. Jika akad jaminan dilakukan juga, maka tidak sah dan batal akad tersebut.

Jika seorang penjamin mendakwa bahawa dia masih kanak-kanak ketika akad jaminan dilakukan, maka diterima dakwaannya itu dengan bersumpah. Demikian juga jika seseorang itu mendakwa bahawa dia gila ketika akad jaminan dilakukan dan memang diketahui dia gila ketika itu atau dakwaannya itu datang dengan pembuktian bahawa dia gila ketika itu, maka diterima dakwaannya. Melainkan jika tidak diketahui oleh orang lain tentang keadaannya yang gila pada masa itu atau tiada bukti dakwaannya itu, maka diterima dakwaan orang yang menerima jaminan dengan bersumpah bahawa penjamin bukan kanak-kanak lagi atau penjamin tidak gila pada masa akad jaminan dibuat.

Bagi orang yang mabuk, para ulama membezakan hukum jaminan antara orang yang mabuk kerana perbuatan yang diharamkan dan orang yang mabuk kerana perbuatan yang diharuskan. Akad jaminan yang dilakukan oleh orang yang mabuk kerana perbuatan yang diharamkan iaitu mabuk kerana minum arak dihukumkan sah dan diterima sebagaimana diterima thalaq yang dilafazkannya ketika dia dalam keadaan mabuk. Manakala bagi orang yang mabuk kerana perbuatan yang diharuskan iaitu mengambil sesuatu yang memabukkan atau mengkhayalkan dengan tujuan berubat, maka tidak diterima dan batal akad jaminannya sama seperti orang gila.

Tidak sah akad jaminan yang dilakukan oleh orang bisu dengan isyarat yang disampaikannya tidak difahami oleh orang lain dan juga tulisannya tidak elok sehingga tidak dapat difahami. Jika dia melakukannya dengan isyarat yang difahami atau dengan tulisan yang boleh difahami, maka sah akad jaminannya sama seperti jual belinya dan lain-lain urusan transaksi yang dilakukannya.

ii. Berkelayakan untuk menderma ع)(أهلية الترب.

Disyaratkan pada seorang penjamin itu mempunyai kelayakan untuk menderma kerana jaminan ini adalah bersifat mempertanggungjawabkan harta dengan akad jaminan yang dilakukan. Adapun orang yang berkelayakan untuk menderma hendaklah seorang yang bâligh, berakal dan rasyîd iaitu pandai menjaga kemashlahatan agama dan harta.

Orang yang ditahan hartanya kerana safîh (bodoh) sehingga tidak dapat mengurus harta, maka akad jaminannya tidak sah walaupun dengan ada keizinan walinya. Berbeza halnya dengan orang yang ditahan hartanya kerana iflâs (muflis iaitu orang yang tidak mampu membayar hutangnya kerana pengeluaran/perbelanjaan pendapatannya lebih banyak daripada kemasukan), akad jaminannya sah sebagaimana sah pembeliannya dan dituntut apa yang dijaminnya itu jika hartanya tidak lagi ditahan dan dia sudah berkemampuan.

Bagi orang sakit yang menghidap penyakit yang boleh membawa maut pula, sah jaminannya dengan diambil kira setakat 1/3 daripada jumlah hartanya jika dia menjamin tanpa ada persetujuan daripada orang yang dijaminnya atau tanpa diketahui oleh orang yang dijaminnya. Jika dia menjamin dengan diketahui atau dibenarkan oleh orang yang dijaminnya, maka jaminannya sah dengan dikira daripada harta dan aset yang dimilikinya. Ini kerana sekiranya berlaku kematian kepada penjamin, maka warisnya boleh kembali kepada orang yang dijamin (bagi pengurusan harta). Walau bagaimanapun jika orang sakit itu mempunyai hutang yang banyak dan hutang itu dibayar dengan hartanya, maka tidak sah akad jaminannya itu. Akad jaminan perempuan sama ada yang berkahwin atau tidak adalah sah dan diterima. Isteri tidak memerlukan pada keizinan suami untuk dirinya menjadi penjamin sebagaimana urusan-urusan transaksinya yang lain.

iii. Hendaklah dia menjamin secara sukarela (kehendaknya sendiri). Jika dia dipaksa untuk melakukan jaminan, maka tidak sah jaminan tersebut kerana tidak sah transaksinya.

Orang yang Menerima Jaminan Diketahui Penjamin

Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘i, penjamin disyaratkan untuk mengetahui orang yang menerima jaminan (orang yang menuntut hak) secara peribadi. Tidak memadai dengan hanya mengetahui nama dan keturunannya. Ini kerana penjamin akan menunaikan hak dan hak itu dikembalikan kepada orang yang menerima jaminan.

Oleh yang demikian, penjamin hendaklah memastikan adakah orang yang menerima jaminan sesuai melakukan muamalat atau tidak. Begitu juga disyaratkan ke atas penjamin untuk mengetahui wakil orang yang menerima jaminan sekiranya orang yang menerima jaminan itu berurusan melalui perwakilan.

Demikian syarat-syarat asas seorang penjamin yang telah digariskan Islam. Walau bagaimanapun, terdapat juga pihak yang memberikan pinjaman meletakkan syarat tambahan yang akan diteliti sebelum menerima seseorang itu untuk menjadi penjamin. Sebagai contoh institusi kewangan yang meletakkan syarat penjamin hendaklah mempunyai pendapatan tetap bagi membolehkannya menjamin orang lain.

Tanggungjawab seorang penjamin amatlah besar. Seseorang yang meletakkan dirinya sebagai penjamin bertanggungjawab menanggung hutang yang telah disepakatinya dalam akad jaminan. Tanggungjawab ini tidak boleh dilepaskan sekehendak hatinya kerana dia sudah terikat dengan hutang orang yang dijaminnya. Apalagi jika melibatkan perjanjian yang bersangkutan dengan undang-undang, maka penjamin itu terikat dari segi undang-undang untuk membayar balik pinjaman jika peminjam tidak membuat pembayaran walaupun setelah dituntut oleh pihak yang meminjamkan. Oleh itu, penjamin patut mempertimbangkan terlebih dahulu kemampuannya untuk menjadi penjamin. Sekiranya dia mampu, maka capailah kebaikan dan hikmah dengan menjadi seorang penjamin kepada yang memerlukan.

Bagi pihak yang dijamin (peminjam) pula perlu menjaga perjanjian yang termeterai di dalam akad. Perlu diingat, penjamin dengan niat baik dan tulus sedaya upaya membantu peminjam dengan memudahkan urusan pinjaman yang memerlukan adanya penjamin. Begitu juga orang menerima jaminan (orang yang meminjamkan) juga berniat baik dan belas untuk meminjamkan sejumlah wang yang diperlukan si peminjam. Oleh yang demikian, bagi pihak yang dijamin (peminjam) seharusnya ada rasa jujur kepada pihak yang meminjamkan dan ada rasa belas kepada yang berkesudian menjaminkan bagi pihaknya untuk komited membayar pinjamannya mengikut waktu dan tempoh yang disepakati. Dengan yang demikian, wujud kitaran kerjasama yang baik dan harmoni di antara pihak-pihak yang berakad. Inilah antara tujuan sebenar akad jaminan disyariatkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15317

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص