Hubungan Seorang Lelaki Dengan Anak Hasil Perbuatan Zinanya
الجواب
Zina merupakan satu maksiat yang sangat keji dan sangat besar kemudharatannya. Ia bukan sahaja mendatangkan dosa dan aib ke atas pasangan yang berzina, bahkan seluruh keluarga akan turut sama menanggung malu apatah lagi buat ibu bapa yang pastinya merasa sangat sedih dan kecewa atas musibah besar yang menimpa itu. Lebih menyedihkan lagi, kesannya akan turut sama ditanggung oleh anak yang tidak berdosa yang terhasil daripada perbuatan terlarang itu.
Dalam perzinaan yang menghasilkan anak, status ibu tidak menjadi persoalan kerana anak tersebut tetap sahaja bersambung nasab kepada ibu yang melahirkannya walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Apa yang menjadi kemusykilan dalam perkara ini ialah status hubungan antara lelaki dengan anak yang terhasil daripada hubungan zinanya. Adakah lelaki itu diiktiraf sebagai bapa dan ditsabitkan nasab kepadanya? Adakah ada kaitan mahram antara keduanya? Adakah sentuhan antara keduanya menjejaskan wudhu’? Adakah dia boleh menjadi wali nikah kepada anak tersebut?
Hubungan lelaki dengan anak hasil perbuatan zinanya, boleh dibahagikan kepada dua keadaan, iaitu sama ada dia mengahwini perempuan yang hamil kerana perbuatan zina itu atau dia tidak mengahwininya.
Pasangan Zina Tidak Bernikah
Sekiranya pasangan yang berzina itu tidak bernikah, lalu perempuan itu melahirkan anak hasil daripada perbuatan zina mereka itu, maka hubungan di antara lelaki dengan anak tersebut adalah sepertimana yang disebutkan di bawah ini:
(i) Permasalahan nasab.
Anak yang lahir itu tidak bersambung nasab dengan lelaki berkenaan dan tidak juga bersambung nasab dengan mana-mana lelaki sekalipun. Anak tersebut juga tidak ada apa-apa kaitan mahram dengan lelaki yang telah berzina dengan ibunya itu.
Anak seumpama ini adalah anak yang dinamakan anak tidak sah taraf, iaitu anak yang tidak mempunyai bapa pada pengertian syara‘.
Dalam Islam, haram hukumnya menasabkan mana-mana anak kepada seseorang yang tidak bersambung nasab dengannya dan ia adalah suatu perbuatan dusta terhadap nasab anak tersebut. Dalam kedudukan anak tidak sah taraf atau anak yang terhasil daripada perbuatan zina, anak tersebut hanya dinasabkan kepada ibu kandungnya. Walau bagaimanapun, anak tersebut juga harus dibinkan atau dibintikan kepada nama-nama seperti ‘Abdullah atau nama-nama lain daripada al-’Asma al-Husna dengan menambahkan ‘Abdul di pangkalnya seperti ‘AbdulRahman, ‘AbdulRahim, ‘AbdulMalik dan sebagainya yang tidak membawa kekeliruan atau kesamaran pada nasabnya.
Sa‘ad bin Abu Waqqash Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa mendakwa (mengaku) dalam Islam orang lain sebagai bapanya (sedangkan) dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jelas sekali di sini bahawa mendustakan nasab dengan cara merahsiakan atau mengubah nasabnya yang sebenar ataupun menghalalkan perbuatan tersebut adalah haram dan boleh menyebabkan berdosa dan rosak aqidah. Perbuatan seumpama ini sangat besar impaknya kerana ia membabitkan hukum-hakam yang lain seperti batas aurat, pergaulan, khalwat, wudhu’, wali dalam pernikahan dan sebagainya. Dari itu, wajib hukumnya menasabkan dengan betul supaya tidak berlaku kesamaran dan kekeliruan yang boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum-hakam Islam.
(ii) Permasalahan Wudhu’.
Lelaki yang melakukan zina dengan perempuan sehingga perempuan itu hamil lalu melahirkan anak dan lelaki itu tidak mengahwini perempuan itu, maka dia tidak ada apa-apa kaitan mahram dengan anak hasil daripada perbuatan zinanya bersama perempuan itu. Dari itu, sekiranya anak yang lahir daripada hasil perzinaan itu adalah anak perempuan, maka wudhu’ kedua-duanya yakni wudhu’ anak perempuan dengan lelaki yang telah berzina dengan ibu anak tersebut adalah batal sekiranya berlaku persentuhan kulit di antara mereka.
(iii) Permasalahan wali nikah.
Memandangkan lelaki itu tidak bersambung nasab dengan anak yang terhasil daripada perhubungan zinanya dan tidak diiktiraf sebagai bapanya dan tidak juga ada apa-apa kaitan mahram dengannya, maka dengan sendirinya dia tidak boleh mewalikan anak hasil perzinaannya itu. Bahkan anak tersebut diwalikan oleh wali hakim.
Pasangan Zina Bernikah Sebelum Perempuan yang Hamil Daripada Perbuatan Zina itu Melahirkan
Sekiranya pasangan yang berzina itu bernikah sebelum perempuan yang hamil daripada zina itu melahirkan, maka keadaan ini terbahagi kepada dua keadaan iaitu:
1) Perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah.
2) Perempuan itu melahirkan kandungannya sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah.
Dua keadaan ini mempunyai kesan tersendiri terhadap hubungan di antara lelaki tersebut dengan anak hasil perbuatan zinanya. Penjelasannya adalah seperti berikut:
(i) Permasalahan Nasab.
(a) Sekiranya perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak tersebut ditsabitkan nasabnya kepada lelaki yang bernikah dengan ibunya itu dan dibinkan atau dibintikan kepadanya.
(b) Bagaimanapun, dalam hal yang kedua pula, iaitu perempuan itu melahirkan kandungannya sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak itu tidak dinasabkan kepada lelaki yang bernikah dengan ibunya dan haram hukumnya berbuat demikian. Bahkan anak tersebut hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja atau kepada nama ‘Abdullah atau salah satu daripada al-’Asma’ al-Husna sepertimana kedudukan anak tidak sah taraf yang telah disebutkan sebelum ini.
Walaupun demikian, dalam kedua-dua keadaan ini, anak yang dilahirkan itu tetap menjadi mahram kepada suami ibunya kerana mereka bernikah menjadi suami isteri dan melakukan jima‘. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah an-Nisâ’ ayat 23:
Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (berkahwin dengan) ibu-ibu kamu (termasuk nenek iaitu ibu bagi bapa dan ibu bagi ibu hingga ke atas), dan anak-anak perempuan kamu (termasuk cucu-cucu perempuan hingga ke bawah), dan adik-beradik perempuan kamu (seibu sebapa atau sebapa atau seibu), dan ibu-ibu saudara kamu sebelah bapa, ibu-ibu saudara kamu sebelah ibu, dan anak-anak perempuan bagi adik-beradik lelaki (hingga ke bawah) dan anak-anak perempuan bagi adik- beradik perempuan (hingga ke bawah) dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu (ibu susuan) dan adik-beradik perempuan kamu yang sesusuan (termasuk anak-anak perempuan bagi adik-beradik lelaki dan adik-beradik perempuan dari ibu susuan), dan ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu (ibu mertua termasuk nenek perempuannya), dan anak-anak tiri kamu yang dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang telah kamu campuri (termasuk cucu dan setiap yang menjadi keturunan kepadanya), tetapi sekiranya kamu belum mencampuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka) maka tidaklah menjadi salah ke atas kamu (berkahwin dengan mereka). (Surah an-Nisâ’: 23)
Adapun perkiraan tempoh enam bulan itu adalah berdasarkan ijmâ‘ ulama yang mengatakan bahawa tempoh minima seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan qamariah.
Bagi tujuan penetapan nasab, hendaklah anak tersebut lahir tidak kurang daripada enam bulan qamariah dan dua lahzhah, iaitu satu lahzhah untuk jima‘ dan satu lahzhah lagi untuk melahirkan. Pengiraan ini bermula dari waktu suami isteri itu boleh bersatu (jima‘) setelah mempunyai akad nikah yang sah sehinggalah anak tersebut dilahirkan.
(ii) Permasalahan wudhu’.
Dalam kedua-dua keadaan ini, iaitu sama ada perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah atau sebelumnya, anak tersebut tetap menjadi mahram kepada suami ibunya kerana mereka bernikah menjadi suami isteri dan melakukan jima‘. Oleh itu wudhu’ tidak batal sekiranya berlaku sentuhan antara suami ibunya dengan anak tersebut.
(iii) Permasalahan wali nikah.
(a) Sekiranya perempuan itu melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak tersebut ditsabitkan nasabnya kepada lelaki yang bernikah dengan ibunya dan disabitkan dia sebagai bapa kepada anak tersebut. Dengan ini, berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya dan sah dia menjadi wali nikah bagi anak tersebut.
(b) Bagaimanapun, dalam hal yang kedua pula, iaitu perempuan itu melahirkan kandungannya sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak itu tidak dinasabkan kepada lelaki yang nikah dengan ibunya itu dan haram hukumnya berbuat demikian. Oleh itu, haram dan tidak sah dia menjadi wali nikah kepada anak tersebut.
Pasangan Zina Bernikah Selepas Perempuan yang Hamil daripada Zina itu Melahirkan
Sekiranya pasangan yang berzina itu bernikah selepas perempuan yang hamil daripada perzinaan itu melahirkan pula, maka segala hukum yang berlaku dalam permasalahan ini sama kedudukannya dengan pasangan yang berzina lalu bernikah sebelum perempuan itu melahirkan, akan tetapi anak itu lahir sebelum enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Ini bermakna, anak tersebut tidak ditsabitkan nasabnya kepada lelaki yang menjadi suami ibunya dan tidak dibinkan atau dibintikan kepadanya. Lelaki itu juga haram dan tidak sah menjadi wali nikah bagi anak tersebut. Walau bagaimanapun, dia tetap menjadi mahram kepada anak tersebut kerana dia mengahwini dan jima‘ dengan ibunya.
Demikian penjelasan mengenai status hubungan lelaki dengan anak hasil perbuatan zinanya serta hukum-hakam yang berkaitan dengannya. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat menjawab persoalan-persoalan yang seringkali timbul mengenai status hubungan seorang lelaki dengan anak yang terhasil daripada perbuatan zinanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15321
دليل الألوان
