Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق٠ مشاهدة

Jangan Cuaikan Nafkah Isteri Dan Anak-Anak

الجواب

Islam adalah agama yang mementingkan kesejahteraan umat manusia. Manusia pula diberi tanggungjawab untuk meluaskan kesejahteraan itu dalam kehidupan mereka. Tanggungjawab itu pula jika digalas dengan sempurna sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh syara‘ akan merealisasikan kesejahteraan dalam kehidupan manusia, bahkan bagi yang menunaikannya tidak terkecuali memperoleh ganjaran daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Komitmen suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing adalah resepi utama dalam memastikan kesejahteraan dalam sebuah rumah tangga kekal berpanjangan. Isteri bertanggungjawab menunaikan hak-hak suaminya, maka sejahtera dirasai oleh suami. Suami pula bertanggungjawab terhadap hak isterinya, maka sejahtera dan selamat dirasa oleh isteri. Suami isteri menunaikan hak anak-anak yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka, maka anak-anak akan merasa sejahtera dan dilindungi.

Menyebut mengenai hak-hak isteri, penunaian nafkah adalah hak terbesar isteri yang menjadi kewajipan suami sama ada isteri berkerja atau tidak. Nafkah itu pula meliputi keperluan seharian seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Jumlah nafkah yang wajib diberi adalah mengikut kemampuan suami.

Begitu juga dengan nafkah kepada anak-anak. Kewajipan memberi nafkah kepada mereka adalah ke atas suami iaitu bapa mereka selama mana mereka menepati syarat-syarat menerima nafkah walaupun kedua-dua ibu dan bapa mereka bercerai.

Pengertian Nafkah dan Pensyariatannya

Perkataan nafkah merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab. Perkataan nafkah dalam bahasa Arab diambil daripada perkataan al-infâq. Dari segi bahasa ia bermaksud pengeluaran dan habis. Maksud daripada menafkahkan ialah menghabiskan atau menggunakan sesuatu itu hanyalah pada perkara kebaikan.

Dari segi istilah, nafkah membawa maksud harta yang dibelanjakan untuk keperluan seseorang berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan yang lainnya.

Kewajipan nafkah disyariatkan dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan melalui al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya:

1. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan kewajipan bapa menanggung nafkah makan minum dan pakaian mereka dengan cara yang patut. (Surah al-Baqarah: 233)

Menurut tafsir al-Mawardi bahawa maksud “al-maulûd” dalam ayat di atas ialah bapa. “Ar-rizq” bermaksud makanan secukupnya dan “kiswah” pula ertinya pakaian. Manakala perkataan “al-ma‘rûf” ialah tidak terlampau kikir dan tidak pula berlebihan.

Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh berkata ketika menafsirkan ayat ini bahawa wajib ke atas bapa anak tersebut untuk memberi nafkah berupa makan minum dan pakaian kepada ibu-ibu (isterinya) dengan cara yang sepatutnya iaitu mengikut adat kebiasaan ibu-ibu di negara tersebut tanpa berlebih-lebihan dan tidak pula terlalu berhemat mengikut kadar kemampuan seorang bapa atau suami iaitu dengan melihat kepada status ekonominya sama ada kaya, sederhana atau susah.

Ayat ini juga menjelaskan bahawa ketua keluarga adalah berkewajipan menyara hidup (memberi nafkah) kepada orang-orang di bawah tanggungannya menurut kemampuannya.

2. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha menceritakan tentang Hindun binti ‘Utbah (isteri Abu Sufyan) yang mengadu kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang suaminya (Abu Sufyan) yang bakhil (tidak memberi belanja yang mencukupi untuk isteri dan anaknya). Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Ambillah (daripada hartanya) kadar yang mencukupi untukmu dan anakmu mengikut kebiasaan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hadits di atas menunjukkan bahawa kewajipan nafkah isteri dan anak-anak adalah daripada harta suami.

Selain daripada itu, adanya ijmâ ‘ (kesepakatan) para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang pensyariatan nafkah dan ini juga yang diikuti para tâbi‘în (generasi selepas para sahabat), tiada seorang pun yang menyalahi tentang ketetapan itu.

Nafkah untuk Isteri Mendahului Nafkah untuk yang Lain

Menurut jumhûr ulama, kewajipan memberi nafkah terhadap orang lain terjadi disebabkan tiga perkara iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan pemilikan (nafkah tuan terhadap hambanya). Nafkah disebabkan perkahwinan adalah nafkah yang dipertanggungjawabkan ke atas suami untuk isteri apabila isteri memenuhi syarat-syarat yang ditentukan syara‘. Nafkah kepada isteri didahulukan daripada nafkah kepada anak, bapa dan ibu (jika ada) selepas nafkah untuk dirinya sendiri.

Dalam khutbah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika menunaikan haji Wada‘, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berpesan kepada umat Baginda, antaranya mengingatkan kepada golongan lelaki tentang kewajipan menunaikan nafkah. Sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Bertaqwalah kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambilnya sebagai amanah Allah dan telah menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak terhadap mereka iaitu mereka tidak boleh membiarkan orang lain yang engkau tidak sukai menempati tempat tidurmu, apabila mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakannya. Mereka berhak ke atasmu untuk meminta makan dan pakaian dengan baik. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullâh yang berupa beberapa petikan daripada khutbah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu merupakan penegasan (menyuruh untuk bersungguh-sungguh kepada para suami) supaya memelihara hak isteri dan berpesan kepada para suami berbuat baik atau memberi layanan baik kepada isteri. Telah banyak hadits-hadits shahîh mengenai pesanan berbuat baik kepada isteri dan penerangan tentang hak-hak mereka dan juga amaran jika mencuaikan hak-hak mereka.

Nafkah isteri berlaku dengan adanya akad nikah. Islam telah menetapkan kepada para suami supaya memberikan nafkah kepada isterinya selama perkahwinan itu berterusan. Akan tetapi bagi mendapatkan hak nafkah tersebut, seorang isteri hendaklah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syara‘, iaitu:

i. Isteri bersedia menyerahkan dirinya kepada suaminya.

ii. Isteri tidak keberatan untuk berpindah ke negeri atau rumah yang dipilih suami dan baik untuk didiami.

Kadar Nafkah Isteri

Menurut pendapat mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i bahawa penetapan nafkah isteri adalah bergantung pada keadaan (harta atau pekerjaan) suami, sama ada dia seorang kaya atau seorang yang sederhana atau seorang miskin, kerana nafkah ini berdasarkan pada kemampuan pemberi nafkah, maka ia tidak ditetapkan berdasarkan pada keadaan isteri.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Orang yang mampu hendaklah memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka dia hendaklah memberi nafkah daripada apa yang dikurniakan Allah kepadanya (sekadar kemampuannya). Allah tidak membebani seseorang melainkan sekadar yang dikurniakan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (Surah ath-Thalâq: 7)

Mazhab asy-Syafi‘i juga menetapkan bahawa pemberian nafkah bermula dari terbit matahari setiap hari. Walau bagaimanapun adalah harus memberi nafkah itu sama ada disegerakan atau dilambatkan tertakluk kepada persetujuan suami isteri tersebut.

Wajib memberi nafkah dengan mengeluarkan kadar mudd (cupak) daripada makanan asasi sesebuah negeri yang sah dijadikan zakat fitrah sebagaimana diqiyâskan dalam kadar membayar kaffârah. Di Negara Brunei Darussalam, nilai satu mudd bersamaan dengan lebih kurang 567 gram beras. Kadar nafkah sebagaimana berikut:

i. Suami yang berkemampuan/kaya: Sebanyak dua mudd, iaitu bersamaan dengan 1 kilo 134 gram beras sehari.

ii. Suami yang berkeadaan sederhana: Sebanyak 1½ mudd, iaitu bersamaan dengan 850.50 gram beras sehari.

iii. Suami yang tidak mampu/miskin: Sebanyak 1 mudd, iaitu bersamaan 567 gram beras sehari.

Menurut Imam As-Syirazi pula adalah harus bagi suami memberi beras itu dengan nilaian harga jika isteri bersetuju.

Nafkah Isteri yang dalam ‘Iddah

i. ‘Iddah kerana thalaq raj‘i.

Isteri yang ber‘iddah kerana thalaq raj‘i (thalaq satu atau dua), sama ada dia hamil ataupun tidak, wajib suaminya memberi nafkah kepadanya berupa sara hidup, makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh ‘iddahnya atau sehingga melahirkan anak dalam kandungannya. Walau bagaimanapun alat pembersih badan dan pencuci pakaian tidak termasuk nafkah yang diwajibkan ke atas suami kepadanya kecuali jika isteri ditimpa kesusahan dengan keadaan yang kotor. Maka dalam keadaan ini wajib suami memberikannya nafkah bagi membersihkan badan dan pakaian.

ii. ‘Iddah kerana thalaq bâ’in.

Isteri yang ber‘iddah kerana thalaq bâ’in (kerana thalaq tiga atau kerana khulu‘) yang tidak hamil, maka dia tidak menerima nafkah sara hidup dan pakaian dari (bekas) suami. Bagaimanapun isteri tersebut berhak diberi tempat tinggal sepanjang tempoh ber‘iddah.

Isteri yang ber‘iddah kerana thalaq bâ’in dan sedang hamil pula, menurut sepakat ulama, diberikan nafkah dan tempat tinggal selama dalam tempoh kehamilan sehingga dia melahirkan anak dalam kandungannya.

iii. ‘Iddah kerana kematian suami.

Isteri yang ber‘iddah kerana kematian suami, tiada nafkah baginya, tetapi dia berhak mendapat tempat tinggal, sama ada hamil ataupun tidak.

Nafkah Isteri Bagi Suami yang Tidak Berkemampuan

Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri itu tidak gugur dan tidak luput, sama ada suami seorang yang kaya (berkemampuan) atau seorang yang susah.

Jika seorang suami yang berkemampuan atau sederhana menyerahkan kepada isterinya kadar nafkah yang kurang daripada apa yang diwajibkan, umpamanya menyerahkan dengan kadar yang diwajibkan kepada orang miskin, maka baki yang kurang tersebut dianggap sebagai hutang suami kepada isterinya.

Jika tiba-tiba keadaan seorang suami berubah daripada berkemampuan kepada pertengahan atau miskin, ataupun daripada pertengahan kepada miskin, maka isteri mesti mengikut keadaan suami dan dia tidak boleh meminta lebih daripada kadar yang ditentukan berdasarkan keadaan suami.

Nafkah Bapa Kepada Anak-Anak

Adalah menjadi kewajipan seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anaknya, lelaki atau perempuan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan jika mereka menyusukan anak kamu, maka berilah mereka upah. (Surah ath-Thalâq: 6)

Dalam ayat ini, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mewajibkan bahawa bayaran upah kepada perempuan (sama ada isteri atau perempuan lain) yang menyusukan anak damit (kecil) ditanggung dan dibayar oleh bapa anak damit tersebut. Apabila kewajipan membayar upah penyusuan anak damit tersebut tertanggung ke atas bapa, maka mewajibkan ke atas bapa untuk memberi sara hidup dan nafkah kepada anak tersebut adalah lebih utama.

Syarat Wajib Bagi Seorang Ayah Memberi Nafkah

Kewajipan seorang bapa memberi nafkah kepada anaknya adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

1. Bapa mempunyai kemampuan: Seorang bapa diwajibkan ke atasnya memberi nafkah kepada anaknya apabila dia mempunyai kemampuan untuk memberi nafkah, iaitu seorang bapa mempunyai lebihan daripada nafkah dirinya sendiri dan nafkah isterinya bagi tempoh sehari semalam sama ada daripada hartanya ataupun daripada pendapatannya.

2. Anak kecil: Disyaratkan anak yang ditanggung nafkahnya itu masih kecil. Maka dalam hal ini, diwajibkan nafkahnya ke atas bapanya. Ini disebabkan faktor ketidakmampuan anak kecil itu untuk mencukupkan keperluan dirinya dan dia memang berhajat atau memerlukan nafkah tersebut.

3. Anak yang fakir: Disyaratkan anak yang ditanggung nafkahnya itu seorang yang fakir, iaitu anak tersebut tidak mempunyai kecukupan untuk keperluan dirinya dan dia tidak berkemampuan untuk bekerja. Sebagai contoh anak yang cacat anggota tubuh badannya sehingga sukar baginya untuk melakukan pekerjaan. Maka dalam hal ini, diwajibkan ke atas bapanya untuk memberi nafkah kepadanya.

Tetapi jika dia memiliki kecukupan untuk keperluan dirinya bererti dia tidak berhajat pada orang lain atau jika dia mampu untuk bekerja maka samalah keadaannya seperti orang yang mampu untuk mendapatkan harta. Dalam hal ini, tidak wajib ke atas bapanya untuk memberikan nafkah kepadanya.

Sesungguhnya nafkah isteri dan anak-anak itu merupakan kewajipan yang dituntut oleh syara‘ ke atas seorang suami. Janganlah sekali-kali diabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada mereka. Sekiranya pun terjadi perceraian suami isteri, nafkah anak-anak tetap hak yang dipertanggungjawabkan ke atas bapa mereka iaitu bekas suami.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15328

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص