Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة٠ مشاهدة

Bolehkah Memotong Dahan Pokok Jiran Yang Menjalar Ke Pekarangan Rumah Kita Dan Memakan Buahnya?

الجواب

Kehidupan berjiran, sama ada jiran itu terdiri daripada keluarga, sahabat mahupun orang lain pasti wujud di dalam sebuah masyarakat.

Persekitaran sebuah kejiranan itu pula sememangnya tidak kosong daripada pohon dan tumbuhan yang ditanam di pekarangan depan dan belakang rumah. Begitu juga di kiri dan kanan pekarangan rumah. Pohon dan tumbuhan yang ditanam juga ada pelbagai jenis dan saiz. Jiran di sebelah kanan terdapat pohon mangga, jiran di sebelah kiri terdapat pohon rambutan, jiran di belakang terdapat pokok pisang dan ada juga jiran yang menanam sayur-sayuran dan pokok-pokok bunga.

Untungnya, sayur dan buah milik jiran yang tumbuh di sebelah rumah itu boleh kita ni‘mati apabila ada jiran dengan bermurah hati memberikannya sedikit kepada kita. Amalan saling memberi ini bukan perkara yang asing lagi dalam kehidupan berjiran terutama di kalangan masyarakat Melayu dan beragama Islam. Amalan seumpama ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dzarr Radhiallâhu ‘anhu ketika Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Wahai Abu Dzarr, jika engkau memasak maraqah (kuah sup), maka banyakkanlah kuahnya dan berikanlah kepada jiranmu. (Hadits riwayat Muslim)

Namun dalam suasana berjiran itu, ada kalanya buah, dahan dan ranting pokok milik jiran melewati sempadan pekarangan rumahnya sehingga memasuki pekarangan rumah kita, pekarangan rumah jiran yang lain ataupun memasuki kawasan awam seperti jalan raya.

Situasi seperti ini boleh menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan dahan dan buah tersebut, sama ada dahan pokok milik jiran itu boleh dipotong atau tidak dan sama ada buahnya boleh diambil dan dimakan atau tidak.

Lebih dikhuatiri, kekeliruan di dalam perkara tersebut boleh sahaja mendatangkan perbalahan di antara jiran mahupun masyarakat setempat sedangkan Islam sangat mengutamakan sikap hormat-menghormati dalam hidup berjiran dan menyuruh umatnya untuk sentiasa berbuat baik terhadap jiran. Ini jelas disebutkan di dalam al-Qur’an, sebagaimana perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukanNya dengan suatu apa pun. Berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang-orang musafir yang terlantar dalam perjalanannya (yang terputus perbelanjaannya) dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. (Surah an-Nisâ’: 36)

Memotong Dahan Pokok yang Melewati Pekarangan Rumah

Jika dahan pokok milik jiran menjalar dan melewati sempadan sehingga memasuki ruang udara atau pekarangan rumah kita atau rumah jiran yang lain, maka kita atau jiran tetangga yang lain boleh meminta kepada jiran yang empunya pokok itu supaya menyingkirkan dahan pokok tersebut.

Jika jiran yang empunya pokok itu tidak berbuat demikian, maka kita atau jiran tetangga yang lain boleh mengalihkan dahan itu bahkan boleh memotongnya jika tidak boleh dialihkan lagi walaupun dengan tidak meminta izin kepada hakim atau pihak berkuasa yang berkenaan.

Mengenai perkara ini, para ulama ada menyebutkan di dalam kitab mereka, antaranya Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab beliau Mughni al-Muhtâj. Beliau berkata: “Seseorang boleh mengalihkan dahan-dahan pokok milik orang lain yang condong ke ruang udara milik peribadinya atau milik yang dikongsi bersama jika pemilik pokok enggan mengalihkan dahan-dahan tersebut. Dia juga boleh memotong dahan-dahan itu walaupun dengan tidak ada keizinan daripada hakim jika sekiranya dahan-dahan tersebut tidak lagi dapat dialihkan.”

Contoh: Dahan pokok mangga jiran A melewati pagar lalu memasuki pekarangan rumah jiran B. Dalam hal ini;

• jiran B boleh meminta jiran A menyingkirkan dahan pokok mangganya itu. • jiran B boleh mengalihkan dahan pokok mangga jiran A jika jiran A tidak menyingkirkannya dari pekarangan rumah jiran B. • jiran B boleh memotong dahan pokok mangga jiran A jika dahan pokok tersebut tidak lagi dapat dialihkan walaupun dengan tidak meminta izin kepada hakim atau pihak berkuasa yang berkenaan.

Memakan Buah yang Melewati Pekarangan Rumah

Seseorang tidak boleh mengambil dan memakan buah daripada pokok-pokok buah milik orang lain termasuk milik jiran dengan tidak ada izin daripada pemiliknya.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ada berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 188:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang bâthil. (Surah al-Baqarah: 188)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga pernah bersabda sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Tidak halal sesuatu daripada harta saudaranya kecuali apa yang telah diberikannya dengan kerelaan hatinya. (Hadits riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi) Hatta buah daripada pokok-pokok buah milik keluarga atau sahabat sekalipun, tidak boleh dimakan jika masih merasa bimbang dan ragu sama ada dia mengizinkan ataupun sebaliknya. Jika merasa besar kemungkinan keluarga atau sahabat itu mengizinkan, maka boleh dimakan buah tersebut dengan kadar yang berkemungkinan diizinkan sahaja. Perkara yang demikian ini adalah berbeza mengikut keadaan, orang, harta dan masa.

Walau bagaimanapun, apabila di dalam keadaan dharurat, buah-buah daripada pokok milik orang lain adalah boleh dimakan dengan syarat hendaklah diganti balik.

Mengenai dengan buah daripada pokok jiran pula kedudukannya adalah seperti berikut:

a) Buah yang masih di dahan pokok.

Sebagaimana yang telah dijelaskan, tidak boleh diambil dan dimakan buah daripada pokok milik orang lain termasuk milik jiran kecuali dengan ada izin pemilik atau di dalam keadaan dharurat.

Berdasarkan ini, buah jiran yang masih di dahan pokok walaupun kedudukannya berada di pekarangan rumah kita juga tidak boleh diambil dan dimakan sesuka hati tanpa keizinannya.

b) Buah yang telah jatuh daripada pokok.

Di dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada dinyatakan bahawa haram bagi orang lain mengambil buah yang jatuh daripada pokok yang diberi pagar dan buah tersebut jatuh di dalam kawasan pagar tersebut. Jika mengikut kebiasaan setempat pemiliknya tidak memberi keizinan untuk mengambil buah daripada pokok yang tidak diberi pagar atau buah yang jatuh di luar pagar, maka hukumnya juga haram mengambil buah itu.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula, hukum buah yang telah jatuh daripada pokok adalah mengikut hukum buah yang masih berada di atas pokok )milik tuan pokok( jika buah tersebut jatuh di dalam kawasan pagar atau sempadan. Begitu juga hukumnya jika buah tersebut jatuh di luar kawasan pagar atau sempadan dan kebiasaan penduduk setempat tidak mengizinkan orang lain mengambil dan memakan buah tersebut. Akan tetapi jika kebiasaan setempat itu mengizinkannya, maka yang ashah (lebih shahîh) adalah dibolehkan mengambil dan memakan buah tersebut berdasarkan adat kebiasaan yang biasa berlaku serta adanya zhann atau sangkaan bahawa pemilik buah berkenaan mengizinkan orang lain untuk mengambil dan memakannya.

Berdasarkan pendapat para ulama di atas, maka begitu juga kedudukan hukum buah jiran yang jatuh sama ada di dalam pekarangan rumah jiran atau di dalam pekarangan rumah kita.

Contoh: Jiran A mempunyai pokok mangga;

• jiran B tidak boleh mengambil dan memakan mangga jiran A yang masih berada di pohon sama ada di dalam pekarangan rumah jiran A ataupun yang melewati ke pekarangan rumah jiran B kecuali dengan keizinan daripada jiran A.

• jiran B tidak boleh mengambil dan memakan buah mangga jiran A yang telah jatuh di dalam pekarangan rumah jiran A kecuali dengan keizinan daripada jiran A.

• jiran B tidak boleh mengambil dan memakan buah mangga jiran A yang telah jatuh di dalam pekarangan rumah jiran B kecuali mengikut kebiasaan setempat pemilik mengizinkan buah tersebut diambil dan dimakan.

Demikian beberapa penjelasan tentang permasalahan dahan dan buah milik jiran yang melewati sempadan. Kesimpulannya, kita tidak boleh memotong dahan dan memakan buah jiran yang memasuki pekarangan rumah kita dengan sesuka hati. Terdapat beberapa ketetapan yang telah dijelaskan oleh fuqahâ’ dengan menurut kehendak syariat Islam sebagai irsyâd kepada kita dalam permasalahan tersebut.

Dalam kehidupan berjiran tetangga, adalah elok untuk menganggarkan jarak yang sesuai sebelum menanam apa juga pokok lebih-lebih lagi pokok yang menjalar dan bersaiz besar supaya pokok-pokok itu tidak memasuki pekarangan rumah jiran.

Selain mengotori pekarangan rumah jiran, dahan dan ranting-ranting yang terjuntai dan bersepah di pekarangan rumah jiran itu boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesulitan terhadap jiran bahkan mendatangkan kerosakan, kerugian, kemudharatan dan kesakitan.

Perlu diingat, perintah untuk berbuat baik terhadap jiran apatah lagi jiran yang dekat itu antaranya adalah dengan menjaga hak jiran, memelihara keselamatan jiran, memelihara pergaulan dan hubungan baik dengan jiran serta tidak menyakiti jiran.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15358

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص