Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق٠ مشاهدة

Mahar Mu’ajjal

الجواب

Mahar dalam bahasa Arab disebut juga sebagai ash-shadaq. Di kalangan masyarakat Melayu pula dikenali sebagai mas kahwin. Ia wajib diberikan kepada perempuan apabila berlaku pernikahan yang sah atau persetubuhan yang berlaku secara syubhah.

Mahar yang diberikan kepada isteri adalah menjadi milik muthlaq isteri dan ia tidak dikongsi oleh orang lain seperti wali, ibu bapa dan seumpamanya. Sunat bagi suami untuk tidak menyetubuhi isterinya sehingga dia menyerahkan mahar kepada isteri sekalipun sebahagiannya sahaja.

Menyebut Mahar Dalam ‘Aqad Nikah

Hukum menyebut mahar ketika ‘aqad nikah adalah sunat kerana ittibâ‘ iaitu mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Menurut beberapa riwayat bahawa dalam ‘aqad nikah Baginda sendiri dan ‘aqad nikah anak-anak perempuan Baginda ada menyebut mahar. Walau bagaimanapun ‘aqad nikah yang berlangsung tanpa menyebut mahar adalah tetap sah menurut ijmâ‘, namun hukum tidak menyebut mahar dalam ‘aqad nikah itu adalah makruh. Antara hikmah tuntutan menyebut mahar dalam ‘aqad nikah itu adalah untuk menghindari sebarang pertelingkahan dan salah faham antara suami isteri mengenai mahar.

Mahar yang diwajibkan dengan sebab nikah yang sah adakalanya berupa mahar musamma dan adakalanya mahar mitsl.

Mahar musamma ialah mahar yang ditentukan ketika ‘aqad nikah dilaksanakan atau selepas ‘aqad. Manakala mahar mitsl pula ialah suatu kadar mahar yang biasanya menjadi kesukaan perempuan-perempuan yang setaranya berdasarkan nasab dan sifat daripada kalangan perempuan-perempuan sebelah bapanya (‘ashabah).

Penyerahan Mahar

Seorang isteri adalah berhak memilih dan menentukan cara penyerahan mahar untuknya sebagaimana yang dia kehendaki. Ini bererti mahar itu tidak disyaratkan supaya diserahkan dengan tunai. Mahar juga sah diserahkan secara bertangguh (mu’ajjal).

Menurut syara‘, terdapat tiga cara penyerahan mahar dalam ‘aqad nikah yang sah, sama ada secara tunai, secara bertangguh ke suatu tempoh ataupun gabungan dari kedua-dua cara ini iaitu sebahagian mahar diserahkan secara tunai manakala sebahagian lagi ditangguhkan penyerahannya ke suatu tempoh. Berikut adalah penjelasan dan hukum yang berkaitan dengannya.

1. Penyerahan mahar secara tunai.

Penyerahan mahar secara tunai itu adalah bermaksud penyerahan keseluruhan mahar kepada isteri sebelum persetubuhan. Penyerahan itu sah dilakukan semasa ‘aqad atau selepasnya, sama ada disyaratkan ataupun tidak.

Adapun ‘aqad yang menyebutkan mahar secara muthlaq iaitu tidak menyatakan sama ada secara tunai ataupun bertangguh, maka mahar dihukumkan untuk diserahkan secara tunai.

Dalam perkara mahar yang tunai, isteri adalah berhak untuk menahan dirinya daripada suaminya sekalipun tanpa sebarang keuzuran sehinggalah isteri menerima mahar tersebut. Maksud menahan diri di sini ialah tidak menyerahkan diri untuk disetubuhi, tidak mengikut suami dan tidak berpindah ke tempat tinggal suaminya.

Sepanjang tempoh isteri menahan dirinya daripada suaminya, dia tetap berhak mendapat nafkah daripada suaminya kerana keengganan isteri itu disebabkan oleh kelalaian atau kecuaian suami dan isteri tidak dihukumkan nusyûz dengan berbuat demikian.

2. Penyerahan mahar secara mu’ajjal (tangguh).

Penyerahan keseluruhan mahar secara tangguh adalah bermaksud penyerahan keseluruhan mahar pada suatu tempoh atau tarikh yang ditentukan. Hukum memberikan mahar secara tangguh adalah sah dengan syarat hendaklah ditentukan dan diketahui secara pasti tempoh penangguhan tersebut sekalipun setelah berlakunya persetubuhan.

Dalam perkara mahar yang bertangguh, isteri wajib menyerahkan dirinya kepada suaminya walaupun dia belum menerima maharnya kerana penangguhan mahar tersebut adalah atas keredhaan isteri akan haknya.

3. Penyerahan mahar sebahagian tunai dan sebahagian tangguh.

Penyerahan mahar kepada isteri yang sebahagiannya secara tunai dan sebahagiannya lagi secara tangguh adalah sah dengan syarat hendaklah ditentukan dan diketahui secara pasti tempoh penangguhan tersebut dan hendaklah diketahui kadar atau jumlah yang diserahkan dengan tunai daripada mahar tersebut. Dengan cara ini diketahui pula kadar atau jumlah yang akan diserahkan secara tangguh.

Menurut syara‘, isteri berhak untuk menahan dirinya daripada suaminya sehinggalah dia menerima maharnya yang tunai bukan yang bertangguh.

Mahar Mu’ajjal Dengan Tempoh Majhûl

Dari penjelasan tersebut dapat difahami bahawa mahar mu’ajjal itu ialah mahar yang diserahkan secara tangguh (selepas ‘aqad nikah). Tempoh penangguhan tersebut hendaklah dinyatakan dengan jelas. Apabila tempoh penangguhannya tidak diketahui (majhûl) sama ada kerana tidak dinyatakan atau dinyatakan tetapi tidak diketahui secara pasti waktu yang dimaksudkan, maka akan menyebabkan mahar yang disebut dalam ‘aqad menjadi rosak (fasad) namun ‘aqad nikah tidak pula menjadi batal. Dalam hal ini, dihukumkan kepada suami untuk memberi mahar mitsl kepada isteri.

Antara contoh tempoh yang majhûl itu ialah:

- Mahar adalah sebanyak seratus ringgit dan dibayar secara tangguh tanpa menyatakan tempoh tertentu.

- Mahar adalah sebanyak seratus ringgit dan dibayar pada waktu hujan turun.

- Mahar adalah sebanyak satu ribu ringgit. Lima ratus ringgit dibayar secara tunai dan lima ratus ringgit akan dibayar pada waktu berlaku kematian atau perceraian antara suami isteri.

Hak Isteri Mendapat Mahar Mu’ajjal

Apabila tempoh penyerahan mahar mu’ajjal telah sampai, maka adalah wajib bagi suami menyerahkan mahar yang ditangguhkan kepada isteri dan isteri berhak untuk menuntutnya. Dalam perkara ini, isteri tidak berhak untuk menahan dirinya daripada suaminya.

Hak isteri terhadap mahar mua’jjal tidak akan gugur atau ternafi dengan apa jua cara sekalipun jika persetubuhan telah berlaku.

Jika berlaku perceraian sebelum persetubuhan disebabkan suami menthalaq isterinya, maka isteri hanya berhak setengah daripada maharnya. Manakala jika berlaku fasakh sebelum berlaku persetubuhan, maka mahar isteri akan gugur kesemuanya.

Jika suami meninggal dunia setelah ‘aqad nikah yang sah, menurut ijmâ‘ para sahabat Radhiallâhu ‘anhum isteri berhak menerima keseluruhan maharnya itu sama ada telah berlaku persetubuhan ataupun belum.

Sebagai kesimpulan isteri mempunyai hak dalam menentukan maharnya sama ada penyerahan mahar secara tunai, secara tangguh (mu’ajjal) atau sebahagian tunai dan sebahagian lagi tangguh.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15410

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص