Fidyah Puasa Perempuan Hamil Atau Perempuan Yang Menyusukan Anak Damit (Kecil)
الجواب
Perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak damit (kecil) yang telah memenuhi syarat-syarat wajib puasa adalah wajib melaksanakan ibadat puasa Ramadhan. Syarat wajib puasa itu adalah beragama Islam, mukallaf (bâligh dan berakal), suci daripada haidh dan nifâs sepanjang siang hari serta berkeupayaan untuk melaksanakan puasa.
Sungguhpun demikian, perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak damit (kecil) juga termasuk dalam enam golongan yang dibolehkan berbuka puasa di siang hari bulan Ramadhan. Enam golongan itu ialah orang yang musafir, orang yang sakit, orang yang sangat tua, perempuan hamil, orang yang sangat dahaga dan sangat lapar dan perempuan yang menyusukan anak damit (kecil).
Perempuan hamil atau yang menyusukan anak damit (kecil) yang diharuskan berbuka puasa di bulan Ramadhan, adakalanya hanya diwajibkan mengqadha’ puasa dan adakalanya wajib mengqadha’ puasa dan wajib membayar fidyah. Mengenai fidyah puasa ini, timbul persoalan siapakah yang wajib membayar fidyah tersebut? Adakah perempuan itu sendiri, suaminya atau orang yang mengupah perempuan tersebut untuk menyusukan anak damit (kecil)? Berikut adalah penjelasan mengenainya.
Hukum Berbuka Puasa
Antara orang yang diharuskan berbuka puasa pada siang hari bulan Ramadhan ialah orang yang takut akan berlaku sesuatu kebinasaan pada dirinya atau pada orang lain jika dia berpuasa.
Seorang yang takut dirinya binasa disebabkan oleh berpuasa, meskipun dia sihat tubuh badan (bukan orang sakit), maka berbuka puasa baginya adalah wajib, sama ada binasa itu berlaku pada dirinya atau pada suatu anggotanya atau pada manfaat suatu anggotanya. Ini kerana menyebabkan kemudharatan kepada diri sendiri hukumnya adalah haram.
Selain orang yang takut binasa pada dirinya sendiri, orang yang takut terjadi sesuatu yang membinasakan pada orang lain juga wajib berbuka puasa. Contohnya orang yang berpuasa melihat orang yang lemas dan dia tidak mungkin dapat menyelamatkan orang tersebut melainkan dengan berbuka puasa. Dalam keadaan seperti ini, wajib baginya menyelamatkan orang yang lemas itu daripada binasa dan wajib baginya berbuka puasa.
Berdasarkan penjelasan di atas, perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak damit (kecil) adalah diharuskan berbuka puasa di siang hari Ramadhan sama ada berbuka puasa itu kerana suatu sebab yang berkaitan dengan dirinya sendiri ataupun berkaitan dengan janin dalam kandungan atau anak yang disusukan.
Ini bererti, perempuan hamil atau yang menyusukan anak damit (kecil) sekiranya dengan berpuasa dia takut akan terjadi mudharat pada dirinya sendiri atau mudharat pada dirinya sendiri serta pada anak damit (kecil) atau mudharat pada anak damit (kecil) sahaja, maka hukum berbuka puasa baginya adalah wajib. Sebagai contoh seorang perempuan hamil yang takut apabila dia berpuasa, janin dalam kandungan bakal menghadapi risiko keguguran, ataupun seorang perempuan yang menyusukan anak damit yang takut apabila dia berpuasa akan menyebabkan kekurangan air susu yang akan memudharatkan anak damit (kecil).
Hukum harus berbuka puasa itu tidak semestinya disebabkan takut berlakunya kebinasaan pada anak damit (kecil), malahan memadai dengan adanya rasa takut berlaku suatu yang memudharatkan. Walau bagaimanapun mudharat yang ditakuti itu hendaklah bersandarkan kepada nasihat seorang doktor muslim yang ‘âdil.
Perempuan yang menyusukan anak damit (kecil) pula, hukum berbuka puasa baginya adalah sama, tanpa ada perbezaan sama ada anak damit (kecil) tersebut adalah anak kandungnya sendiri ataupun anak orang lain, sama ada dengan menerima upah menyusukan ataupun tanpa upah (secara sukarela).
Kewajiban Qadha’ Puasa dan Membayar Fidyah Puasa
Perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak damit (kecil) yang berbuka puasa di siang hari Ramadhan kerana sebab-sebab yang disebutkan di atas, selain diwajibkan mengqadha’ puasa mengikut jumlah hari yang dia berbuka, dia juga diwajibkan membayar fidyah puasa. Berikut adalah penjelasan berkaitan perkara ini.
1. Wajib qadha’ sahaja.
Orang yang wajib mengqadha’ puasa sahaja ialah perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak damit (kecil) yang berbuka puasa kerana takut akan berlaku mudharat kepada dirinya sendiri, ataupun berlaku mudharat kepada dirinya sendiri dan kepada janin atau anak damit (kecil) jika dia berpuasa.
2. Wajib qadha’ dan membayar fidyah puasa.
Orang yang wajib mengqadha’ puasa dan juga wajib membayar fidyah ialah perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak damit (kecil) yang berbuka puasa kerana takut akan berlaku mudharat atau kebinasaan hanya kepada janin atau anak damit (kecil) jika dia berpuasa.
Fidyah Puasa
Fidyah bagi satu hari puasa Ramadhan adalah satu mudd (cupak) daripada makanan, beras atau apa-apa juga bijirin yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Satu mudd adalah bersamaan dengan 15 tahil atau 567 gram. Fidyah tersebut diberikan hanya kepada golongan fakir dan miskin di kalangan orang Islam.
Seorang fakir atau seorang miskin sama sekali tidak boleh diberikan kurang daripada satu mudd fidyah. Dengan erti kata lain, satu mudd itu tidak boleh dibayar dan diberikan kepada dua orang atau lebih daripada golongan fakir atau miskin. Namun fidyah yang jumlahnya beberapa mudd adalah harus dibayar dan diberikan walau hanya kepada seorang sahaja. Umpamanya fidyah puasa 30 mudd, iaitu bagi satu bulan dia berbuka puasa, adalah harus dibayar kesemuanya walaupun hanya kepada seorang sahaja daripada golongan fakir atau miskin.
Fidyah puasa yang diwajibkan ke atas perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak damit (kecil) seperti dalam keadaan yang telah disebutkan di atas adalah kerana terluput ‘fadhilat waktu’, iaitu terluput fadhilat Ramadhan. Fidyah ini dibayar daripada harta milik perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak damit (kecil).
Imam ar-Ramli Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Wajib ke atas kedua-dua mereka (perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak damit) bersama dengan qadha’ (puasa, juga membayar) fidyah menurut pendapat yang azhhar, pada harta mereka berdua.
Demikian juga dengan perempuan yang menyusukan anak damit (kecil), sama ada anak tersebut adalah anaknya sendiri atau anak orang lain, meskipun dengan menerima upah, maka fidyah puasa tersebut dikeluarkan daripada hartanya sendiri bukan daripada harta orang yang mengupahnya.
Seandainya perempuan yang diwajibkan membayar fidyah puasa sepertimana yang disebutkan di atas meninggal dunia sebelum sempat membayar fidyah, maka wajib diambil daripada harta peninggalannya jumlah fidyah tersebut.
Sebagai kesimpulan, perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak damit (kecil) sekiranya dia berbuka puasa di siang hari Ramadhan disebabkan takut berlaku mudharat pada janin atau pada anak damit (kecil) sahaja, maka wajib baginya dua perkara, iaitu mengqadha’ puasa dan juga mengeluarkan fidyah puasa bagi setiap hari yang dia berbuka itu. Manakala bayaran fidyah itu adalah daripada harta perempuan itu sendiri.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15429
دليل الألوان
