Sembahyang Sunat Tarawih Dan Witir: Adakah Boleh Diqadha’?
الجواب
Bulan Ramadhan adalah bulan rahmat yang penuh dengan pelbagai fadhilat dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain. Bulan Ramadhan juga sangat istimewa kerana di dalamnya terdapat satu ibadat yang hanya boleh dilakukan pada bulan tersebut iaitu sembahyang sunat Tarawih. Umat Islam sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk mengerjakan sembahyang sunat Tarawih ini terutama sekali mengerjakannya secara berjemaah di masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadat dan rumah-rumah persendirian, yang biasanya disambung pula dengan sembahyang Witir berjemaah. Walaupun sembahyang Witir ini sunat juga dikerjakan dalam bulan-bulan yang lain, tetapi dalam bulan-bulan yang lain ia tidak disunatkan mengerjakannya secara berjemaah. Dalam bulan Ramadhan sembahyang Witir sunat dikerjakan secara berjemaah.
Salah satu perkara yang menjadi kemusykilan orang ramai mengenai kedua-dua sembahyang ini ialah adakah sembahyang-sembahyang berkenaan boleh diqadha’ sekiranya terluput dikerjakan pada waktunya.
Waktu Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir
Sembahyang sunat Tarawih dan Witir kedua-duanya merupakan sembahyang sunat yang mu’akkadah iaitu sembahyang sunat yang sangat dituntut ke atas umat Islam melakukannya dan kedua-duanya juga termasuk dalam kategori sembahyang sunat yang ada ditentukan masa untuk mengerjakannya oleh syara‘ yang dinamakan dengan istilah an-Nafl al-Mu’aqqat.
Sembahyang sunat Tarawih bermula sebaik sahaja seseorang itu selesai mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’. Namun ia lebih baik dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyah ‘Isya’ kerana sembahyang sunat ba‘diyah ‘Isya’ juga hukumnya adalah sunat mu’akkadah. Waktu sembahyang sunat Tarawih ini berkekalan sehingga terbit fajar shâdiq.
Sembahyang Witir pula, menurut pendapat yang shahîh, waktunya juga bermula setelah seseorang itu selesai mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya‘ dan berkekalan waktunya sehinggalah terbit fajar shâdiq.
Dari penjelasan mengenai waktu mengerjakan sembahyang sunat Tarawih dan Witir ini, dapat difahami bahawa antara syarat mengerjakan sembahyang sunat Tarawih dan Witir itu ialah seseorang itu telah selesai mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ kerana waktunya hanya bermula setelah seseorang itu selesai mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ dan bukan dengan masuk waktu ‘Isya’. Oleh yang demikian, adalah tidak sah sembahyang sunat Tarawih dan Witir itu jika dikerjakan oleh seseorang sebelum dia menunaikan sembahyang fardhu ‘Isya’ sama ada dengan sengaja atau terlupa.
Mengqadha’ Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir
Menurut pendapat al-azhhar dalam mazhab asy-Syafi‘i, semua sembahyang sunat yang ada ditentukan masa untuk mengerjakannya oleh syara‘ (mu’aqqat) adalah sunat untuk diqadha’ sekalipun ketika dalam musafir. Asy-Syaikh al-Khathib asy- Syarbini Rahimahullâh berkata dalam Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Sekiranya terluput sembahyang sunat mu’aqqat yang disunatkan berjemaah padanya seperti sembahyang Hari Raya atau tidak (disunatkan berjemaah padanya) seperti sembahyang Dhuha, disunatkan untuk mengqadha’nya menurut pendapat al-azhhar.
Salah satu dalil bagi ketetapan ini ialah sebuah hadits riwayat Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa (mengerjakan) sembahyang, maka hendaklah dia mengerjakannya (sembahyang itu secara qadha’) apabila dia teringat akannya (setelah luput waktunya). (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, sembahyang yang dimaksudkan dalam hadits di atas adalah umum sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat mu’aqqat seperti sembahyang sunat rawâtib, Tarawih, Witir dan sebagainya. Oleh yang demikian, selain menjadi dalil bagi kewajiban mengqadha’ sembahyang fardhu yang luput, hadits ini juga menjadi dalil bagi hukum sunat mengqadha’ sembahyang-sembahyang sunat mu’aqqat.
Waktu Menqadha’ Sembahyang
Menurut pendapat al-azhhar dalam mazhab asy-Syafi‘i, mengqadha’ sembahyang sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat boleh dikerjakan pada bila-bila masa sekalipun pada waktu-waktu ditegah mengerjakan sembahyang sunat. Oleh yang demikian, tidak disyaratkan supaya sembahyang-sembahyang malam seperti sembahyang fardhu Maghrib, ‘Isya’, sembahyang sunat Tarawih atau Witir dan lainnya dikerjakan qadha’nya pada waktu malam. Bahkan ia boleh dikerjakan pada waktu siang. Begitu juga halnya bagi sembahyang-sembahyang yang pada asalnya disyariatkan untuk dikerjakan pada waktu siang adalah boleh dikerjakan qadha’nya pada malam hari.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri diriwayatkan pernah mengqadha’ sembahyang sunat ba‘diyyah Zhuhur selepas sembahyang fardhu ‘Ashar, sedangkan waktu selepas sembahyang fardhu ‘Ashar itu adalah antara waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang sunat. Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ yang telah melihat perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ini merasa musykil kerana beliau sendiri pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang daripada berbuat demikian. Apabila hal ini ditanyakan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda menjawab:
Maksudnya: Wahai anak perempuan Abu Umayyah (Ummu Salamah)! Engkau telah mempersoalkan tentang (sembahyang) dua rakaat selepas ‘Ashar (yang telah aku kerjakan). Sesungguhnya aku telah didatangi oleh beberapa orang (utusan) daripada (bani) ‘Abdul Qais, lalu mereka membuatkan aku sibuk dari (mengerjakan) dua rakaat selepas sembahyang fardhu Zhuhur (sembahyang sunat ba‘diyyah Zhuhur). Maka kedua-dua rakaat (yang aku kerjakan itu) adalah dua rakaat tersebut (qadha’ sembahyang sunat ba‘diyyah Zhuhur). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian, mengqadha’ sembahyang sunat Tarawih dan Witir boleh dikerjakan pada hari yang sama atau pada hari-hari selepasnya walaupun di luar bulan Ramadhan dan ia boleh dikerjakan pada waktu siang atau pada waktu malam sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian.
Walau bagaimanapun, sepertimana yang dijelaskan sebelum ini, sembahyang sunat Tarawih dan Witir tidak sah dikerjakan oleh seseorang melainkan setelah dia mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ kerana waktu kedua-dua sembahyang tersebut adalah selepas sembahyang fardhu ‘Isya’ dan hanya boleh dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’. Hal ini juga sama halnya dalam perkara qadha’. Oleh yang demikian, menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘i, antaranya Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam ar-Ramli, asy-Syaikh al-Khathib asy- Syarbini Rahimahumullâh dan lainnya, sekiranya seseorang itu terluput sembahyang fardhu ‘Isya’, sembahyang sunat Tarawih dan Witir, dia hendaklah mengqadha’ sembahyang fardhu ‘Isya’ terlebih dahulu sebelum dia mengqadha’ sembahyang sunat Tarawih dan Witir.
Ketika membincangkan mengenai permasalahan sembahyang-sembahyang sunat yang disyaratkan untuk dikerjakan selepas sembahyang fardhu seperti sembahyang sunat rawâtib ba‘diyyah, Tarawih dan Witir, Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Maka pendapat al-Aujah (yang lebih dicenderungi) ialah bahawasanya tidak harus mendahulukan sesuatupun dari (sembahyang-sembahyang sunat) itu ke atas (sembahyang) fardhu dalam (keadaan) qadha’ sebagaimana (halnya dalam keadaan) tunai.
Kaifiyyah Bacaan Ketika Mengqadha’ Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir
Sembahyang sunat Tarawih dan Witir yang dikerjakan secara berjemaah di masjid, surau dan sebagainya pada malam-malam bulan Ramadhan dikerjakan secara jahr iaitu imam membaca bacaan sembahyang dengan suara yang nyaring.
Begitu juga keadaannya sunat dikerjakan secara jahr bacaan sembahyang dalam kedua-dua sembahyang tersebut sekiranya ia dikerjakan secara tunai oleh munfarid (orang yang sembahyang seorang diri) kerana sembahyang-sembahyang malam disunatkan padanya membaca secara jahr sama ada ketika dikerjakan secara berjemaah atau seorang diri.
Bagaimana pula kaifiyyah bacaan sembahyang sunat Tarawih dan Witir sekiranya dikerjakan secara qadha’? Adakah ia dituntut untuk dikerjakan secara jahr sepertimana kaifiyyah bacaan asal atau sebaliknya?
Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘i, bagi sembahyang qadha’, sama ada sembahyang qadha fardhu ataupun sunat, kaifiyyah bacaan dari segi isrâr dan jahr adalah tertakluk kepada waktu sembahyang qadha’ itu dikerjakan dan bukan mengikut kaifiyyah bacaan yang dituntut semasa ia dikerjakan secara tunai. Oleh yang demikian, sekiranya sembahyang qadha’ itu dikerjakan pada waktu yang dituntut padanya jahr, maka sembahyang yang diqadha’ itu disunatkan untuk dikerjakan secara jahr dan begitu juga sebaliknya bagi bacaan isrâr. Untuk lebih jelas lagi, dijelaskan di bawah ini pembahagian waktu isrâr dan jahr bagi sembahyang qadha’:
(i) Sekiranya sembahyang qadha’ itu dikerjakan pada waktu siang (dari waktu terbit matahari hingga terbenam matahari), maka sunat dikerjakan secara isrâr, walaupun sembahyang yang diqadha’ itu jika ditunaikan pada waktunya dikerjakan secara jahr.
(ii) Sekiranya sembahyang qadha’ itu dikerjakan pada waktu malam (setelah terbenam matahari sehingga terbit matahari), maka sunat dikerjakan secara jahr, walaupun sembahyang tersebut jika ditunaikan pada waktunya dikerjakan secara isrâr.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Adapun sembahyang yang terluput pula, maka yang diambil kira ialah waktu qadha’. Maka (sunat) dia (membaca) secara jahr pada waktu daripada terbenam matahari sehingga terbitnya (matahari) dan (sunat) dia (membaca) secara isrâr pada waktu selain itu (daripada terbit matahari sehingga ia terbenam kembali).
Walau bagaimanapun, dalam hal ini, sembahyang sunat Hari Raya ‘Idul-Fithri dan ‘Idul-Adhha adalah dituntut mengerjakan secara jahr semasa mengqadha’nya sama ada ia dikerjakan pada waktu siang atau malam sepertimana sunat bacaan jahr di dalam waktunya.
Demikian penjelasan mengenai hukum mengqadha’ sembahyang sunat Tarawih dan Witir serta permasalahan yang berhubung kait dengannya. Oleh itu sekiranya terluput sembahyang sunat Tarawih dan Witir jangan biarkan ia terlepas begitu sahaja kerana membiarkan begitu sahaja merupakan suatu kerugian. Sedangkan sembahyang sunat Tarawih, Witir dan lain-lain sembahyang sunat mu’aqqat masih boleh diqadha’.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15442
دليل الألوان
