Al-Qur’an Panduan Dan Rujukan Sepanjang Zaman
الجواب
Dalam dunia yang semakin moden, perkembangan teknologi moden membawa banyak perubahan dalam menaik taraf kehidupan manusia. Namun pada masa yang sama ia juga membawa pelbagai cabaran yang memberi impak terhadap manusia termasuk isu-isu berkaitan ‘aqidah orang-orang Islam. Antaranya, perubahan ideologi segelintir umat Islam yang dipengaruhi oleh pemikiran dan fahaman yang tidak sesuai malahan bertentangan dengan prinsip Islam sebagaimana yang kita dapati penyebarannya semakin berleluasa di media massa.
Contoh perubahan ideologi itu ialah fahaman yang menganggap bahawa agama adalah anutan semata-mata yang perlu diasingkan dari urusan keduniaan seperti pentadbiran, ekonomi dan sebagainya sebagaimana fahaman sekularisme. Contoh yang lain pula ialah fahaman yang menganggap hukum syara‘ menjadi penghalang kepada kemajuan pembangunan umat manusia. Mereka juga berfahaman bahawa perlu ada kebebasan dalam mentafsir dan menta’wîl nash-nash syara‘ untuk disesuaikan dengan realiti semasa mengikut rasional akal semata-mata sebagaimana fahaman liberalisme dan rasionalisme. Inilah pengaruh pemikiran dan fahaman yang dibawa golongan tertentu, termasuk mereka yang berselindung di sebalik nama Islam. Tujuannya ialah untuk melemahkan ‘aqidah Islam. Apabila ‘aqidah menjadi lemah, maka runtuhlah kekuatan dan perpaduan umat Islam.
Begitu juga dengan pemikiran dan fahaman yang tidak merujuk kepada al-Qur’an dan hadits. Sebagai contoh dalam perkara menghadapi penularan wabak COVID- 19, terdapat golongan manusia yang menganggap bahawa hanya vaksin sahaja satu-satunya yang boleh melindungi kita daripada serangan virus COVID-19. Kefahaman yang tidak merujuk kepada al-Qur’an dan hadits ini menyebabkan mereka berasa cemas dalam menghadapi wabak atau musibah tersebut. Lebih-lebih lagi apabila banyak berlaku kematian akibat daripada penularannya. Berbeza halnya dengan mereka yang mejadikan al-Qur’an dan hadits sebagai rujukan. Mereka tidak gelabah menghadapiya kerana al-Qur’an dan hadits telah pun lama menjelaskan bahawa manusia itu tidak terlepas daripada musibah yang dikehendaki oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai ujian, peringatan dan pengajaran kepada manusia sebagaimana yang pernah ditimpakan kepada umat manusia terdahulu. Al-Qur’an dan hadits juga menjelaskan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Maha Berkuasa terhadap sesuatu termasuk menyembuhkan segala penyakit dan menyelamatkan manusia daripada segala bencana atau musibah.
Selain itu ada pula golongan manusia yang hanya berserah kepada takdir Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ semata-mata tanpa melakukan sebarang usaha dan ikhtiar kerana kekeliruan dalam memahami ayat-ayat al-Qur’an disebabkan tidak merujuk sunnah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan tafsiran para ulama. Sedangkan konsep berserah kepada takdir Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau yang lebih dikenali sebagai tawakal itu memerlukan ada usaha yang dibuat terlebih dahulu sebagaimana yang dijelaskan dalam hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Kekeliruan seperti inilah yang menyebabkan berlaku perbezaan fahaman yang mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam sendiri.
Perkara-perkara di atas sangat wajar diberi perhatian dan ditangani secara bijaksana bagi mengelak kesan buruk terhadap kehidupan masyarakat Islam kerana sebahagian orang Islam sangat mudah untuk menerima budaya hidup moden yang diperkenalkan serta pemikiran-pemikiran dan fahaman-fahaman baharu yang disebarkan atas nama kemajuan dan kemodenan tanpa merujukkannya kepada ajaran tulen agama Islam mengenainya. Sikap sedemikian akan menyebabkan mereka hidup dengan kefahaman yang keliru yang akhirnya akan membawa kepada ‘aqidah yang lemah dan berlaku perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam kerana perbezaan fahaman dan pegangan dalam hidup beragama.
Untuk menangani cabaran dan membenteng ‘aqidah, umat Islam perlu memperkasa diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan tidak meninggalkan al-Qur’an sebagai panduan dan rujukan dalam semua perkara. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: (Al-Qur’an) ini ialah penerangan bagi manusia dan menjadi petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang bertaqwa. (Surah Âli ‘Imran: 138)
Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menegaskan bahawa umat Islam tidak akan sesat sekiranya mereka berpegang teguh kepada al-Qur’an dan sunnah sebagaimana sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu apa yang jika kamu berpegang teguh dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya: (iaitu) Kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah nabiNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. (Hadits riwayat al-Hakim)
Bagaimana al-Qur’an menjadi panduan dan rujukan sepanjang zaman?
Al-Qur’an Sebagai Panduan Dan Rujukan
Al-Qur’an merupakan Kalâmullâh yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ia merupakan mu‘jizat agung Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai tanda kebenaran kerasulan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di dalam da‘wah dan penyampaian risâlah Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh dalam kitab al-Burhân fî ‘Ulûm al-Qur’ân menyebut bahawa kandungan al-Qur’an itu ada tiga perkara utama iaitu at-tauhîd (pengesaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ), at-tadzkîr (peringatan) dan al-ahkâm (hukum-hakam). Beliau juga menaqal beberapa pendapat para ulama lain berkaitan ilmu al-Qur’an. Antaranya pendapat Muhammad bin Jarir ath-Thabari Rahimahullâh yang menjelaskan bahawa al-Qur’an itu mengandungi tiga perkara iaitu at-tauhîd (pengesaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ), al-akhbâr (perkhabaran) dan ad-diyânât (perkara-perkara agama).
Penjelasan mengenai tiga perkara tersebut adalah seperti berikut:
Pertama: At-tauhîd ialah pengesaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang termasuk di dalamnya mengenal tentang makhluk-makhluk, mengenal tentang Pencipta (Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) serta nama-namaNya dan sifat-sifatNya.
Antara ayat al-Qur’an yang menyebut tentang keesaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah surah al-Ikhlâsh.
Begitu juga terdapat ayat-ayat yang memerintahkan manusia untuk merenung dan memikirkan kejadian alam semesta dan isi di dalamnya sebagai bukti keesaan dan kekuasaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti merenungkan penciptaan langit dan bumi serta isi kedua-duanya sebagaimana disebut dalam surah al-Anbiyâ’, ayat 30-33, peringkat-peringkat kejadian manusia sebagaimana disebut dalam surah al- Mu’minûn, ayat 12-14, pertemuan dua lautan namun mempunyai batasan yang membezakan rasa antara kedua-duanya sebagaimana disebut dalam surah ar- Rahman, ayat 19-20, kedudukan gunung-ganang sebagai pasak yang menjadikan bumi tidak bergoncang sebagaimana disebut dalam surah al-Anbiyâ’, ayat 31 dan seumpamanya.
Imam al-Qurthubi Rahimahullâh menjelaskan bahawa setiap ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ membuktikan keesaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Kedua: At-tadzkîr iaitu peringatan.
Dalam al-Qur’an, terdapat banyak ayat-ayat berupa peringatan yang mengandungi janji baik dan janji buruk, ganjaran masuk syurga, balasan seksa neraka dan seumpamanya. Ayat peringatan yang berbentuk janji baik itu contohnya seperti dijanjikan kejayaan iaitu berkekalan pahala dan kebaikan bagi orang-orang beriman yang menjaga amanah sebagaimana disebut dalam surah al-Mu’minûn, ayat 8. Manakala ayat peringatan tentang janji buruk pula contohnya seperti balasan dahsyat di akhirat bagi orang-orang yang menipu dalam sukatan dan timbangan sebagaimana disebut dalam ayat 1, surah al-Muthaffifîn. Peringatan atau nasihat yang disebut di dalam al-Qur’an ini mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
Selain itu, terdapat juga ayat-ayat peringatan yang berupa pengkhabaran tentang kisah umat-umat terdahulu dan musibah yang ditimpakan kepada mereka. Dalam Tafsîr at-Tahrîr wa at-Tanwîr dinyatakan bahawa tujuan disebut kisah-kisah umat-umat terdahulu di dalam al-Qur’an adalah untuk dijadikan sebagai pengajaran, nasihat serta peringatan tentang kejadian yang ditimpakan kepada mereka itu adalah disebabkan perbuatan mereka supaya menjadi contoh teladan kepada umat Islam. Sebagai contoh ayat yang menceritakan mengenai azab yang ditimpakan ke atas Fir‘aun dan kaumnya yang berbentuk taufan, serangan belalang, kutu, katak dan air berubah menjadi darah yang memusnahkan kehidupan dan harta benda disebabkan kekufuran mereka sebagaimana disebut dalam surah al-A‘râf, ayat 133.
Azab yang menimpa Fir‘aun dan kaumnya merupakan salah satu di antara balasan dan siksaan yang menimpa umat-umat terdahulu yang boleh diambil i‘tibâr oleh umat manusia di zaman ini.
Menyebut tentang mengambil i‘tibâr ini, sekarang di serata dunia sedang menghadapi penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan kematian dan kesengsaraan dalam kehidupan ekoran kemerosotan perkembangan ekonomi dunia. Bagi orang yang beriman, kejadian wabak COVID-19 akan mengingatkan mereka kepada penjelasan al-Qur’an tentang azab atau musibah yang ditimpakan kepada umat terdahulu. Ingatan itu menjadikan orang beriman menerima apa saja kejadian musibah yang berlaku dengan sabar dan redha serta tidak merasa cemas kerana percaya semua itu adalah atas kehendak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang merupakan ujian kepada orang-orang yang beriman sebagaimana disebut dalam surah al-Baqarah, ayat 155 dan surah ath-Taghâbun, ayat 11.
Ketiga: Al-ahkâm iaitu hukum-hakam yang, antaranya ialah taklîf (tuntutan-tuntutan agama), penerangan mengenai perkara-perkara yang bermanfaat dan yang memudharatkan kepada manusia, perintah yang perlu ditaati dan larangan yang perlu dihindari. Sebagai contoh ayat-ayat perintah mengenai kewajiban mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat sebagaimana disebut antaranya dalam surah al-Baqarah, ayat 43 dan surah al-Mâ’idah, ayat 55, kewajiban mengerjakan haji sebagaimana disebut dalam surah Âli ‘Imran, ayat 98, kewajiban menunaikan amanah serta berlaku adil sebagaimana disebut dalam surah an-Nisâ’, ayat 58 dan lain-lainnya. Begitu juga ayat-ayat larangan kerana membawa dosa seperti larangan melakukan zina dalam surah al-Isrâ’, ayat 32, larangan mengambil hak orang lain dengan jalan yang bâthil dan melakukan rasuah dalam surah al-Baqarah, ayat 188, larangan mengejek atau mencemuh orang lain dalam surah al-Hujurât, ayat 11 dan lain-lainnya.
Al-Qur’an Petunjuk yang Lurus
Al-Qur’an diturunkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai petunjuk ke arah jalan yang benar dan lurus sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk (ke jalan yang lebih lurus) dan menyampaikan khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amalan-amalan salih bahawa sesungguhnya bagi mereka pahala yang besar. (Surah al-Isrâ’: 9)
Kewajiban beriman dan berpegang teguh kepada al-Qur’an merupakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Tetaplah beriman kepada Allah dan RasulNya dan Kitab (al-Qur’an) yang Allah turunkan kepada RasulNya (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) dan kepada kitab-kitab yang Allah turunkan (kepada rasul-rasul) sebelumnya. Sesiapa yang ingkar (kufur) kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan Hari Akhirat maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya. (Surah an-Nisâ’: 136)
Al-Qur’an itu tetap terpelihara keaslian tanpa ada perubahan atau penyelewengan sehingga Hari Kiamat sekalipun perubahan itu berupa tambahan atau pengurangan satu huruf di dalamnya sebagaimana jaminan pemeliharaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Qur’an dan sesungguhnya Kami benar-benar Pemeliharanya (daripada perubahan, penyelewengan, penambahan dan pengurangan). (Surah al-Hajr: 9)
Dengan kedudukan al-Qur’an sebagai Kalâmullâh yang mengandungi tauhîd, tadzkîr dan ahkâm serta dijamin keasliannya dengan pemeliharaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka adalah tidak diragukan lagi bahawa al-Qur’an itu menjadi panduan dan rujukan dalam kehidupan umat Islam dan seluruh umat manusia sepanjang zaman.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15453
دليل الألوان
